Tuesday, 19 January 2016

APABILA HJH MINAH WAHAB GADONG BERCERITA TENTANG SALSILAH KELUARGA

Hj. Hamdan Hj. Yatim (tengah) kini Imam Masjid Bongek ketika dikunjungi oleh dua cucu CGDG Abdullah  (kanan) dan Bahari Abd. Rahman dari Kg. Ulu Gadong beberapa tahun yang lalu. 


Rumah Hjh. Minah Wahab (Allahyarham) di Kg. Gadong.

Badarriah Haron (kanan) bersama Mohammad Ibrahim dan
(kiri) dan abang ipar ketika kenduri di rumah Kak Salbiah di Kg. Batang Nyamor.


Pada satu ketika, sedang kami berehat di ruang tamu di rumah Kg. Kubu Gajah, emak (Hajah Minah Bte Wahab) bermurah hati bercerita tentang kisah keluarga kami dan hubungannya dengan jiran seamung di Kg. Gdong dan Kg. Taah Dtar serta Kg. Ulu Gadong. Menurut emak, tersebutlah nama satu keluarga beranak tiga dari suku Tanah Datar, Gadong. Nama anak-anak satu keluarga ini ialah Jais, Sulong dan Idris . Sulong ini adik perempuan kepada Jais. Sulong ini berkahwin dengan  Jaafar, sementara Jais berkahwin dengan perempuan di Kg. Seberang Paya (Mempaya).

Hasil daripada perkahwinan itu Jais beroleh dua orang anak lelaki, iaitu seorang lelaki  (tidak diketahui namanya) dan Taha. Setelah besar Taha berkahwin  dengan Sipah dari Ulu Gadong dan dikurniakn enam orang anak, iaitu Borhan, Mustaffa, Adnan, Keledek, Ibi dan Sapiah (induk). Borhan (Haji Borhan) berkahwin dengan wanita di Tampin, seorang berstatus janda.  Mustaffa kahwin dengan Hasnah di Kampung Jawa, Gadong, Adnan (Cikgu Dinan) berkahwin dengan wanita dari Kota.

Abang lelaki Taha, anak Jais berkahwin dan mempunyai seorang anak perempuan bernama Sulong. Sulong berkahwin dengan  Jaafar dan dikurniakan ramai anak Anak yang tua diberi nama Lanjung (Uwan Anjung atau Uwan Aroh (Baroh). Lanjung berkahwin tetapi tidak kekal dan Lanjung pun menjadi janda muda di Tanah Datar.

Lanjung mempunyai ramai adik-beradik. Dengan kata lain Sulong yang berkahwin dengan Jaafar dikurniakan tujuh orang anak lelaki dan perempuan, iaitu Lanjung (yang tua), Siyah, Piah, Meja, Hawa, Bedah (Uwan Cu) dan Husin (ayah Long Aji Samsura). Adik Lanjung bernama Siah berkahwin dengan Cawang dari Mungkal dan dikurniakan tiga orang anak, iaitu Othman, Hitam dan Yunus.

KELUARGA OTHMAN CAWANG: Othman ini berkahwin dengan wanita di Kendung dan mendapat anak, antaranya Haron. Othman (Ngah Suman) ini menetap di Segambut dan pernah berkhidmat dengan Keretapi Tanah Melayu di Sentul. Ngah Suman memperkenalkan satu ajaran Islam yang dianggap sesat oleh Majlis Agama islam Selangor. Konon ceritanya, ajaran ini diperoleh Ngah Suman dari Medan, Sumatera. Ngah Suman meninggal dunia di Medan. Sementara ajarannya diambil alih oleh Haron sehingga ke hari ini. Ngah Suman yang berpindah ke Paya Jaras mewariskan peningalannya, sebuah masjid di pekarangan rumahnya di Paya Jaras kepada Haron (Hj. Haron) sehingga ke hari ini.

KELUARGA LANJUNG (UWAN ANJONG – UWAN AROH): Setelah menjadi janda, Lanjung menaruh hati dengan Zainal, abang Uwan Lamah Gadong). Zainal ketika itu masih berkahwin dengan Peah, juga dari suku Tanah Datar, Gadong. Peah ini adalah anak Tiah yang mempunyai empat orang anak. Anak-anak Tiah ialah seorang lelaki (yang tua), Peah, Kote (Uwan Kote) dan seorang perempuan (emak kepada Jenab). Jenab ini berkahwin dengan Lebai Mohd. Noh.

 Hasil perkahwinan itu Zainal dengan Peah dikurniakan seorang anak lelaki yang diberi nama Mohd. Yatim yang kemudian mengasaskan sebuah madrasah di Ulu Gadong dengan bantuan adiknya Mohd. Yassin (tapi berlainan ibu). Hari ini nama Hj. Mohd Yatim Zainal, yang pernah menyandang jawatan Kadi Rembau terpahat dalam sejarah apabila Kerajaan mengiktiraf madrasah itu sebagai Sekolah Menengah Agama Tuan Hj. Mohd. Yatim dan kini tersergam megah di Ulu Gadong. 

Catatan: Kisah ini dirakamkan di Kg. Kubu Gajah, Sg. Buloh, Selangor pada 10 Jun 2004.

SOLOK SENGKUANG CABIN D'VILLAGE BATANG NYAMOR, GADONG





Zahriah Mohd. Shariff (dua kanan) penulis artikel ini bersama JK Penerbitan di Homestay Batang Nyamor  9 Januari 2016 yang lalu .  Kelihatan dari kii Mohammad Ibrahim, Trongman, Tok Ompek, Hasni Abd. Manaf dan Bahari Abd. Rahman. Artikel Solok Menguang telah didaftarkan sebagai salah satu artikel yang menghiasi buku CGDG 71350 yang akan diterbitkan. 

 SOLOK SENGKUANG CABIN D'VILLAGE
Oleh Zahriah Mohd. Shariff
Solok Sengkuang Cabin D’Village adalah satu tempat  pelancongan berkonsepkan pelancongan penginapan yang bermula operasi  pada September 2015. Ianya  di tadbir urus oleh Koperasi Homestay Batang Nyamor Rembau Berhad (ringkasan KHOBA’AN) yang ditubuhkan pada bulan Julai 2014.

Kemudahan yang terdapat di sini ialah:-
  1.             9 unit Kabin Keluarga berhawa dingin dilengkapi dengan bilik air
  2.             9 unit Kabin Dorm  kapisiti 4 orang
  3.             Tapak Pekhemahan kapisiti 400 orang
  4.             Zon Penginapan Hammock
  5.             Khemah (4 orang)
  6.             Dewan berhawa dingin
  7.             Surau
  8.             CafĂ©
  9.              Kedai cenderahati
  10.  Mountain Bike dan  berbasikal melalui trek-trek mencabar bermula dari   
             Kg. Kendong hingga ke Kg. Bongek
  1.  2 Kolam Mandi untuk kanak dan dewasa (punca air dari gunung)
12.                        Pakej aktiviti ( obstacle ,panjat tiang licin,pukul bantal dan lain)
13.                        Jurupandu samada mendaki Gunung ataupun Ke Air Terjun Lubuk Petai
  1. Bilik Air
  2. Tempahan makan minum

Solok Sengkuang merupakan kawasan tanah pamah bekas sawah padi yang tidak diusahakan lagi dan terbiar melebihi 40 tahun. Status tanah adalah milikan individu (tanah adat) yang ditadbir dibawah Adat Istiadat Negeri Sembilan. Solok Sengkuang terletak 400 meter dari penempatan yang paling hampir dan tidak mempunyai kemudahan Air serta  jalan raya. Buat masa ini hanya jalan tanah di dalam kebun kelapa sawit Batang Nyamor kepunyaan FELCRA menjadi perantaraan.

Apabila menyentuh  hal pembangunan tanah adat yang begitu lama terbiar saya ingin berkongsi pengalaman menguruskan sehinggalah perjanjian di meterai di antara pemilik tanah dan juga  waris tuan tanah dengan Koperasi Homestay Batang Nyamor Rembau Berhad. Setelah pemilihan kawasan di persetujui carian rasmi tuan tanah  bagi lot-lot terlibat perlu di buat di Pejabat Tanah Daerah Rembau. Antara masalah yang dihadapi ialah   seperti di bawah:-

Ada pemilik yang tidak tahu yang mereka  ada mempunyai lot tanah di kawasan tersebut ,pemilik  tidak tahu lokasi, tiada pertukaran nama dibuat, terlalu banyak nama dalam grant, pembahagian di buat secara lisan  ( dalam bahaso kampung yang sobalah hulu tu ompok kau, yang hilir tu ompok kak long kau, yang darek tu ompok kak ngah kau) penyerahan secara hitam putih tidak dibuat , tiada batu sempadan, pemilik sukar dan tidak dapat di kesan, tiada dokumen hitam putih jual beli antara adik beradik sebagai contoh penubusan hutang bercagarkan tanah.

Sejarah Pembangunan Solok Sengkuang Cabin D’Village

Pembangunan Solok Sengkuang ini adalah di bawah Program Desa Lestari – 21st Century Village (Desa Abad Ke-21 ) yang telah dirancang oleh Kementerian Kemajuan Luar Bandar Dan Wilayah yang bermula pada tahun 2013 hingga 2015.

Pada Mac 2013 JKKK Batang Nyamor, Rembau, telah dicalonkan  dibawah Program Desa Lestari dan pada Jun 2013 pihak JKKK telah menerima surat UPEN NS untuk mengadakan sesi pembentangan pencapaian JKKK Negeri Sembilan. Sesi pembentangan pertama telah di adakan pada 7 Julai 2013 – Ahad (9.00 malam) di INFRA Bangi. 4 buah kampong di setiap daerah turut dicalonkan iaitu Kg. Gebok Seremban, Kg.Terusan Uli,K.Pilah, Kg. Geduk Tampin, Kg. Gagu, Jelebu (tarik diri) (lebih 60 buah kampong terlibat dari seluruh Malaysia).

JKKK Batang Nyamor dan Kg Geduk Tampin telah terpilih untuk pembentangan kali kedua iaitu merupakan Sesi Lawatan dan Penilaian Kampung Desa Lestari yang di adakan pada 11 September 2013. Pada hari sesi lawatan ini pihak JKKK menjemput penduduk kampong terutama warga emas dan juga belia-belia  sama-sama hadir di balairaya bagi menunjukkan sokongan.   Difahamkan kehadiran mereka ini merupakan salah  satu criteria yang membolehkan JKKK Batang Nyamor di berjaya di pilih sebagai Kampung Desa Lestari bagi seluruh Negeri Sembilan dan antara 13 kampung berjaya terpilih seluruh Malaysia( 24 buah kampong di senarai pendek ). Melalui surat Kementerian Kemajuan Luar Bandar  bertarikh 20 Februari 2014 telah mengesah bahawa Kampung Batang Nyamor, Gadong, Rembau telah dipilih sebagai salah satu kampong yang akan dimajukan pada tahun 2014/2015. Dengan pemilihan ini KKLW merasakan ia akan dapat menjadi lonjakan kepada tranformasi ekonomi setempat  dan kampong-kampung  berhampiran.

KKLW telah menetapkan 25 Mac 2014 sebagai lawatan penilaian pembentangan cadangan Projek Ekonomi Program Desa Lestari. Kami telah memilih Projek Pelancongan Penginapan untuk pembentangan. Bermula dari akhir Februari  2014 sehingga minggu ketiga Mac 2014 semua AJK JKKK dan orang persaorangan berkemahiran sama-sama membantu menyediakan kertas cadangan.

Pada 18 September 2014 Mesyuarat Jawatankuasa Induk Pelaksaan Desa Lestari KKLW telah meluluskan bagi melaksanakan 13 projek di bawah Program Desa Lestari yang berjumlah RM921,770.00 . Dengan kelulusan ini bermula kerja-kerja pembersihan  serta meratakan kawasan serta pembinaan kabin-kabin. Setelah pembinaan siap pada 06 September 2015 penduduk kampong telah mengadakan gotong royong membersihan kawasan serta mengindahkan lanskap Solok Sengkuang. Pada 12 September 2015 Kumpulan yang pertama seramai 130 orang dari Persatuan Silat Cekak Hanafi Seremban mengadakan program di Solok Sengkuang Cabin D’Village.

Program Desa Lestari mewajibkan satu konsep iaitu setiap kampung dipilih disyaratkan menubuhkan KOPERASI sebagai perancang dan pengendalian projek. Koperasi Homestay Batang Nyamor Rembau Bhd. telah diluluskan penubuhanya pada bulan Julai 2014.  Koperasi bertindak selaku agen pembangunan ekonomi kampung dengan penglibatan menyeluruh penduduk kampung sebagai ahli dan pekerja. Di samping itu agensi-agensi KKLW  sebagai penyelaras dengan kerjasama Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) selaku badan induk yang akan membimbing projek oleh Koperasi Desa Lestari. Bagi Kg. Batang Nyamor agensi KKLW yang dilantik ialah RISDA (pemantauan dan pengesahan perjalanan projek) dan FELCRA      ( pembayaran projek kerana semua peruntukan di salurkan terus ke FELCRA tidak kepada Koperasi)  KHOBA’AN juga berharap perubahan ini akan memberi kesan yang lebih positif dari segi peningkatan ekonomi dan juga meningkatkan minat ahli KHOBA’AN untuk turut serta didalan setiap projek yang telah dirancang.

Pembangunan akan datang
  1. Pembinaan Jalan masuk melalui jalan ke Taman Rekreasi Gunung Datuk bersebelahan laluan paip Petronas
  2. Pembinaan flying Fox
  3. Jambatan Gantung
  4. Tambahbaik  Cabin
  5. Ladang Ternakan Rusa
  6. Horse Riding
  7. Gelanggang  petanque
  8. Pembekalan  Air dari SAINS

Dengan pembukaan Solok Sengkuang Cabin D’Village ini ianya telah mencapai objektif Program Desa Lestari iaitu melibatkan pengupayaan komuniti dalam merancang serta menjayakan pelaksanaan pembangunan di kampung dan memperkasa aktiviti ekonomi dan keusahawanan penduduk kampung.Impak pelaksanaan Program Desa Lestari telah membuka peluang pekerjaan. Buat masa ini seramai 7 orang penduduk kampung telah lantik dengan menerima gaji tetap bulanan sebanyak RM900.00 sebulan. Disamping itu antara 3 – 15 orang kampung di bayar elaun khas  apabila membantu secara sambilan mengikut aktiviti.

Dengan adanya Solok Sengkuang Cabin D’Village ini bertambahlah destinasi pelancongan di dalam Gadong selain dari Gunung Datuk dan Air Terjun Lubuk Petai.

Saturday, 16 January 2016

JATUH BANGUN KELAB RAGBI NS WANDERERS

Hasni Abd. Manaf Penulis Artikel ini



JATUH BANGUN KELAB RAGBI NS WANDERERS
Walaupun Kesatuan Ragbi Negeri Sembilan (KRNS/NSRU) ditubuhkan secara rasmi pada 22 Jun 1953 tetapi mengikut kaji selidik, sukan ragbi Negeri Sembilan dikatakan telah bermula lebih awal daripada tarikh berkenaan. Menurut sumber, sukan ragbi telah bertapak di negeri ini sejak zaman penjajahan British iaitu pada tahun 1920-an. Pada ketika itu permainan ini dimainkan dikalangan pegawai-pegawai tentera dan pegawai kerajaan British serta tentera Fiji yang berkhidmat di Tanah Melayu dan berpengkalan di Kem Sikamat juga bersama segelintir anak-anak tempatan. Dipercayai anak-anak Negeri Sembilan merupakan anak tempatan di Malaysia yang mula-mula bermain permainan ini.

Lt. D.E. Lander iaitu pegawai tentera Laut British merupakan orang pertama yang memperkenalkan sukan ragbi ini dikalangan anak tempatan Negeri Sembilan. Bermula daripada detik inilah maka tertubuhnya sebuah kelab ragbi yang terawal dinegeri ini iaitu All Blues Football Rugby Association. Orang melayu yang pertama menerajui kelab ini ialah Dato’ Sheikh Ahmad Al Haj, Jurulatih pasukan ialah D.E. Lander sementara ketua pasukan ialah Charlie Pinto. Peningkatan prestasi anak tempatan dalam permainan ini dari masa kesemasa amat menggalakan..

Bila penarikan tentera British dari negeri ini sekitar tahun 70an, standard permainan ragbi telah menurun dan kekurangan pemain sehingga terpaksa bergabung dengan negeri Melaka untuk menubuhkan sebuah pasukan bagi bertanding diperingkat kebangsaan. Dalam tahun-tahun berikutnya sehingga awal tahun 80an sekumpulan anak muda yang berpotensi mula menjinakkan diri bermain sukan ragbi. Ada yang bermain untuk Negeri Sembilan Chinese Recreation Club (NSCRC) dan ada yang berhijrah ke Lembah Kelang kerana bekerja disana dan bermain untuk Kelab Ragbi Risda dan kelab-kelab yang lain sambil mengembangkan bakat mereka yang sedia ada..

Sekumpulan anak jati dari Negeri Sembilan yang merantau di Kuala Lumpur  sepakat untuk mencari identiti sendiri. Antara faktor kewujudan kelab ini ialah kerana tidak ramai individu yang berminat untuk menggerakkan “KRNS”. Permasalahan ini timbul disebabkan faktor kewangan. Kelahiran kelab Ragbi NS Wanderers ini juga berkait rapat dengan berkuburnya kelab NSCRC dan kelab Ragbi Risda yang wujud sebelum ini. Apabila fenomena ini berlaku anak-anak tempatan yang pernah bermain dengan NSCRC  dan kelab Ragbi Risda yang kebanyakannya bekerja di Kuala Lumpur bagai kehilangan arah. Ini kerana mereka yang masih bersemangat untuk bermain, tidak dapat beraksi dalam mana-mana kejohanan didalam atau luar Negeri Sembilan khususnya di Selangor dan Kuala Lumpur kerana tiadanya pasukan atau kelab yang boleh diwakili atas nama Negeri Sembilan. Atas kesedaran dan semangat kenegerian serta cinta akan sukan ragbi yang telah lama bertapak dinegeri ini, beberapa orang pemain dan bekas pemain yang diketuai oleh Hj Abd. Jalil bin Hj Borhanuddin, Hj Zainal Abidin bin Isa dan Kamal Abdullah telah mengambil inisiatif untuk menubuhkan kelab ini. Pada tahun 1984 dengan rasminya kelab Ragbi NS Wanderers (NSW) ditubuhkan dan diterajui oleh Hj Abd. Jalil bin Hj Borhanuddin sendiri. Untuk makluman semua, keluarga beliau merupakan penyokong setia NSW dan merupakan waris dari CGDG. Berkahwin dengan Puan Zainab binti Kassim dari Kampong Gadong. Dalam pada itu, ramai waris CGDG yang terlibat secara langsung (Bermain) menaikkan nama NSW seperti Nor Akmal bin Moh Nor, Nor Zaimi bin Mohd Nor, Mohd Rozie bin Hamzah, Abd Aziz bin Hj Borhanudin, Abdul Halim bin Hj Borhanuddin, Hasni bin Abd Manap dan Hanafi bin Abd Manap. 

          

Sejak ditubuhkan, kelab Ragbi NS Wanderers (NSW) tidak menoleh ke belakang lagi. Dalam masa yang sama menghadapi masaalah untuk mengumpulkan kesemua pemain dalam satu waktu dan ketiadaan padang untuk berlatih. Pada tahun tersebut NSW telah menjadi Naib Johan dalam pertandingan Liga Boh (Selangor) dan membolehkan bertanding dalam Liga Guinness pada tahun berikutnya.  Memang menjadi lumrah adat, kalau tak dipecahkan ruyung, manakan mendapat sagunya.. Diawal penglibatan NSW yang masih mentah dlm sukan ragbi ini, dengan kemampuan yang ada cuba memberi saingan pada nama-nama besar seperti Blackhawk, PDRM, Cobra, SMS Old Boys dan RSC. Setiap pemain terpaksa memberi sumbangan bagi menggerakan aktiviti kelab dan merealisasikan impian yang sedia ada. Dalam pada itu sentiasa mencari bakat-bakat baru dalam sukan ragbi untuk diketengahkan. Segala penat lelah mula membuahkan hasil pada akhirnya. Hanya pada era 1990an hingga awal tahun 2000, kejayaan mula dicapai dengan memenangi banyak kejohanan diperingkat kebangsaan dan antarabangsa. Pada masa ini NSW mempunyai lebih 250 pemain terdiri dari pelbagai peringkat, dari budak sekolah hinggalah ke pemain kebangsaan dan bekas pemain kebangsaan dan juga dari luar negara.
Uniknya NSW jika dibandingkan dengan kelab-kelab lain adalah dari segi semangat kenegerian yang bagitu kuat. Disamping itu semangat dan hubungan kekeluargaan membuat mereka semua bagitu akrab antara satu sama lain baik didalam atau luar padang. Boleh dikatakan setiap kali ada pertandingan disekitar Kuala Lumpur, Isteri dan anak-anak akan sentiasa bersama memberi sokongan moral. Program kekeluargaan sesama ahli NSW sentiasa diadakan bagi mengeratkan hubungan siratulrahim antara satu sama lain. Dalam masa yang sama nama NSW mula dikenali diperingkat antarabangsa terutama negara-negara ASEAN.  Pasukan ‘7 sebelah NSW sentiasa mendapat jemputan dikejohanan  SCC ‘7, Bangkok ‘7, Chiengmai ‘7 dan Haadyai ‘7. Kelab NSW mula mengadakan lawatan ke negara-negara luar seperti Hong Kong, Singapore, Sri Langka, Thailand dan menyertai kejohanan di negara-negara tersebut. Kejayaan terbesar NSW ialah mengadakan lawatan ke England dan Wales pada tahun 2002 dan South Afrika pada tahun 2006.  .

Setelah lama mencuba, Tahun 1999 mula membuahkan hasil.. Kejayaan demi kejayaan mula dicapai oleh NSW. Bermula dengan menjadi juara kejohanan ‘7 sebelah Jonah Jones dengan  mengalahkan musuh tradisi pasukan Cobra diperingkat akhir dan mengalahkan pasukan South Queensland Army dari Australia diperingkat separuh akhir. Selepas itu pada bulan September tahun yang sama telah menjuarai ‘7 sebelah Hadyaai dengan mengalahkan musuh tradisi juga pasukan Polis Thai. Dua kejohanan ini bagitu berprestige dipersada sukan ragbi. Perancangan rapi dari pihak pengurusan NSW untuk jangka masa panjang dengan membawa masuk dua orang pemain dari Negara Fiji 1) Eramesse Lanqere 2) Sekili Lanqere mula membuahkan hasil. Kehadiran pemain ini bagitu disenangi oleh semua pemain dan dapat mengatasi kelemahan dalam pasukan yang sedia ada..
Sinar mentari mula menyinar. Moral dan semangat berpasukan bagitu tinggi pada masa itu untuk menghadapi kejohanan Liga tempatan dan pertandingan yang lain. Dengan purata umur pemain kebanyakkan nya berumur dalam lingkungan 25-30an, seolah-olah menjanjikan masa depan yang cerah buat Kelab Ragbi NS Wanderers di tahun-tahun mendatang..

KEJOHANAN / TAHUN
1999
2000
2001
2002
JONAH JONES ‘7s (Malaysia)
Johan
Separuh Akhir
Johan

NS Royal ‘7s (Malaysia)
Naib Johan
Johan
Naib Johan

Hadyaai ‘7s (Thailand)
Johan
Johan
Naib Johan
Johan
Bangkok ‘7s (Thailand)
##
Separuh Akhir
Naib Johan
##
KL ‘7s (Malaysia)
Separuh Akhir
Separuh Akhir
Separuh Akhir
Naib Johan
Terengganu ‘10s (Malaysia)
##
Separuh Akhir
Johan
Johan
Penang ‘10s (Malaysia)
Johan
Johan
Johan
Johan
Kuching ‘10s (Malaysia)
##
Johan
Johan
##
MACOBA ‘10s (MALAYSIA)
#
#
Separuh Akhir

SINGAPORE BLACK ‘10s
##
Naib Johan
##

SCC ‘7 (SINGAPORE)
##
Suku Akhir
##

LIGA KEBANGSAAN ‘15
#
Naib Johan
Naib Johan







Catitan:
#    - Tiada kejohanan
##  - Tidak ambil bahagian


Untuk makluman, kesemua pemain NSW mewakili Negeri Sembilan di peringkat Kebangsaan dalam kejohanan seperti ‘7 sebelah dan Piala Agong-

KEJOHANAN
TAHUN
KEJOHANAN ‘7 SEBELAH KEBANGSAAN
Johan Tahun 1992, 1993, 1994,1996 dan 2002
PIALA AGONG (DIVISION 2)
Johan Tahun 1984, 1988 dan 1999
PIALA AGONG (DIVISION 1)
Johan Tahun 2000 dan 2002


Semoga segala memori yang terpahat akan dapat mengembalikan segala nostalgia kepada seluruh warga ragbi dan semua rakan-rakan seperjuangan yang bertungkus lumus menaikan nama NSW dipersada ragbi tanah air dan antarabangsa. Disamping itu, memori ini juga akan menjadi renungan, panduan dan lipatan sejarah untuk generasi ragbi dan waris-waris Cucu Gunung Datuk Gadung pada masa akan datang...
Dikesempatan yang sedia ada, saya ingin mengambil kesempatan mengucapkan ribuan terima kasih diatas segala tunjuk ajar dan bantuan baik dari segi keewangan dan tenaga yang tidak terhingga dari Tuan Haji Abdul Jalil dan keluarga. Semoga ALLAH swt yang dapat membalas segala kebaikan Tuan Haji Jalil sekeluarga selama ini…       
Admin merupakan bekas pemain NSW yang masih memegang rekod sebagai pemain yang paling lama bermain untuk NSW. Bersara dari sukan ragbi pada tahun 2002. Pernah menjawat jawatan sebagai Naib Presiden, Setiausaha dan Kelab Kapten. Banyak pengalaman yang telah saya pelajari tentang kehidupan selama bergelumang dalam sukan ragbi. Catitan saya ini berdasarkan pengalaman saya selama Tujuh Belas (17) tahun bergelar pemain ragbi bersama Kelab Ragbi NS Wanderers..
(Al-Fatihah buat rakan-rakan seperjuangan yang telah pergi untuk selamanya.. Aamiin)

Hasni bin Abdul Manap.
Pengerusi CGDG71350



Pasukan Rugby 2nd XV dari Tunku Besar School Tampin  yang dipimpin Mr. Chndran dan Cikgu Hamzah Othman. 

 r