Jalan dalam Gadong-Bongek yang membelah kampung-kampung dalam Mukim Gsdong. Gambar ini dirakam berhampiran rumah keluarga Hasny Abd. Manaf di Kg.T anah Datar, Gadong |
Puncak Gunung Datuk seperti yang diabadikan Ahmad Fadzil Yassin dari kaki Gunung Datuk dari Kg. Ulu Api-Api. |
Kulit buku Gunung Datuk yang sedang dalam penerbitannya. |
Menurut
terombo di Negeri Sembilan, Datuk Perpatih Pinang Sebatang ini telah
diperintahkan oleh Raja Minangkabau di Pagar Ruyung pergi ke tanah seberang
(Semenanjung Malaysia) untuk menjaga kepentingan orang Minangkabau yang telah
lama bermastautin di sana. Hari ini, kawasan itu meliputi Negeri Sembilan, Alor
Gajah, Segamat dan Klang. Bagaimanapun, kedatangan datuk adat ini diceritakan
dalam pelbagai versi. Dua versi yang paling terkenal ialah apa yang disebut
Terombo versi Kuala Pilah dan Terombo versi Naning. Akhir-akhir ini penulis
buku Negeri Yang Sembilan (1995), Norhalim Haji. Ibrahim telah memperkenalkan
Teromba versi Rembau atau lebih tepat versi Batu Hampar.
Kesemua versi ini cuba menegakkan
kebenaran masing-masing. Percanggahan amat nyata walaupun kesamaan masih
terasa. Kata seorang Datuk Lembaga di Rembau, “Inilah masalahnya. Saya sekarang
tak tahu versi yang mana yang boleh kita terima. Kuala Pilah, Naning atau
Rembau dan siapa tahu tidak lama lagi akan muncul pula Terombo versi Jelebu,
Johor, Tampin dan Sungai Ujong. Semuanya akan mengaku versinya lebih tepat dan
betul.”
Anggapan versi mana yang lebih tepat
dan betul ini lazimnya dikaitkan dengan ketokohan dan karisme datuk peneroka
adat itu sendiri. Secara psikologi kelompok masyarakat yang mendakwa mereka
daripada keturunan peneroka adat ini akan meletakkan status sosialnya lebih
tinggi berbanding kelompok masyarakat lain yang sekadar menjadi pengikut.
Sesetengah kalangan di Negeri Sembilan berpendapat oleh sebab “kehebatan tokoh
inilah, maka banyak daerah di negeri itu mahu mengaitkan datuk ini dengan
pembukaannya.”
Terombo versi Kuala Pilah setakat ini
lebih tertonjol berbanding versi-versi lain. Menurut Norhalim selagi tidak ada
versi yang dapat menyanggah kebenaran Kuala Pilah ini selagi itulah ia dianggap
versi terkuat. Lagi pula yang memperkenalkan versi ini adalah tokoh adat yang
bukan “calang-calang”, antaranya Allahyarham Tan Sri Abdul Samad Idris melalui
buku Payung Terkembang (1990) dan pengarang Dharmala N.S. Terombo versi
Naning adalah pencabar terdekatnya.
Menurut terombo versi Kuala Pilah yang
dicatat oleh Abu Cit Mat Serum, rombongan pertama orang Minangkabau datang ke
Negeri Sembilan di bawah pimpinan Datuk Perpatih Pinang Sebatang. Rombongan
meninggalkan Pagar Ruyung di Sumatera menuju Siak. Dari Siak rombongan belayar
ke Muar. Dari Muar, rombongan mengikuti jalan darat menuju Bukit Kepong dan
terus ke Johor (Lama?). Dari Johor rombongan mudik pula ke Pasir Besar dan
terus ke Hulu Muar ke satu tempat yang disebut Pelangai. Setelah beberapa
ketika rombongan meneruskan perjalanan ke Kampung Tengah, Seri Menanti dan
akhirnya Pilah. Rombongan akhirnya menetap di Angga Bisa, Hulu Pilah.
Ketua rombongan Datuk Perpatih mula
menyusun dan mengatur pantang dan sendi adat yang akhirnya dinamakan Adat
Perpatih. Adat ini disebarkan ke seluruh kawasan yang berdekatan yang didiami
orang asli, antaranya di Jenang, Jiru dan Johol. Datuk Perpatih kemudian
bertolak ke Naning tetapi gagal menemui Datuk Batin ketua penduduk orang asli
di sana. Dalam perjalanan pulang Datuk Perpatih singgah di Rembau, Sungai Ujong
dan Jelebu. Menurut ceritanya ke mana sahaja datuk ini singgah,
pengikut-pengikutnya terus meneroka negeri. Maksudnya mereka menetap di
tempat-tempat yang dilalui dan berkahwin dengan penduduk asli tempatan.
Pada tahun 1372 dan setelah berada
selama 20 tahun di Tanah Semenanjung, Datuk itu mengadakan satu perhimpunan
besar di Gunung Datuk, juga disebut Gunung Rembau. Dalam perhimpunan itu Datuk
Perpatih melantik Datuk-Datuk Undang dan Datuk-Datuk Lembaga untuk semua
kawasan yang telah menerima sistem Adat Perpatih. Dikatakan setelah pelantikan
itu Datuk Perpatih pun menghilangkan diri (ghaib?). Penduduk di kaki gunung itu
mendakwa nama Gunung Datuk itu mengambil sempena nama Datuk Perpatih Pinang
Sebatang. Nama Gunung Datuk lebih terkenal berbanding nama rasminya Gunung
Rembau.
Terombo versi Naning pula membawa
sedikit kelainan. Pencatat versi ini, Shahiba, menulis Datuk Perpatih Pinang
Sebatang meninggalkan Pagar Ruyung menuju Kampar lalu ke Siak. Dari Siak
rombongan belayar ke Bengkalis dan Bukit Batu. Rombongan kemudian menyeberang
Selat Melaka terus ke muara Sungai Linggi. Dari muara ini mereka mudik ke hulu
sungai hingga ke Paya Dalam dan meneruskan perjalanan ke Bukit Penyaling lalu
membuat kampung. Datuk Perpatih berkahwin dengan anak Tok Batin, ketua orang
Jakun di kawasan itu, sementara
pengikut-pengikut Datuk itu berkahwin dengan anak-anak buah Tok Batin. Tidak
lama kemudian Datuk Perpatih menamakan tempat itu Naning dan beliau dilantik
menjadi Penghulu Naning yang pertama bergelar Datuk Naning.
Datuk Naning pertama mewujudkan Suku
Semelenggang dan keturunan Datuk Naning daripada suku ini menjadi pewaris
jawatan Datuk Naning hingga ke hari ini. Datuk Naning pertama (Datuk Perpatih
Pinang Sebatang) meninggal dunia dan dimakamkan di pinggir jalan yang menghala
ke Lubok Kepong. Terombo versi Naning mendakwa Datuk
Perpatih Pinang Sebatang bukanlah orangnya yang “membuka” dan memperkenalkan
Adat Perpatih di Segamat, Hulu Muar, Johor, Rembau, Sungai Ujong, Jelebu,
Klang, Hulu Pahang, Jempol dan Serting. Semua daerah ini diteroka oleh kumpulan
orang Minangkabau yang datang kemudian. Kumpulan inilah yang memperkenalkan
adat ini setelah mendapat restu daripada Datuk Perpatih di Naning.
Maka jelas melalui kedua-dua versi ini
terlihat percanggahan dalam penglibatan Datuk Perpatih di Negeri Sembilan dan
Naning. Dari sudut geografi, versi Naning lebih mudah difahami dan diterima
akal. Secara alamiah, kawasan pantai barat Semenanjung akan menjadi kawasan
pertama yang akan didiami oleh penghijrah dari Sumatera. Dalam hal ini
kemungkinan amat besar bahawa rombongan Datuk Perpatih akan meneroka daerah di
sepanjang pantai. Rombongan berikutnya akan “terpaksa” mudik dari muara sungai
ke hulu atau mengikut jalan darat ke daerah pedalaman.
Jika dikaji kedudukan daerah-daerah
yang disebutkan itu, Naning merupakan kawasan yang paling dekat dengan pantai.
Jaraknya tidak melebihi 40 kilometer berbanding Kuala Pilah atau Jelebu yang
jauhnya ratusan kilometer di pedalaman, hatta Sungai Ujong sekalipun. Hanya
Rembau yang bersamaan jarak dengan Naning. Juga sedikit aneh dan tidak ada
sebab, mengapa rombongan Datuk Perpatih perlu berjalan beratus-ratus kilometer
ke daerah pedalaman hingga ke Kuala Pilah dan Jelebu untuk menjaga kepentingan
orang Minangkabau. Sedangkan secara geografinya kebanyakan orang Minangkabau
telah terlebih dahulu bermastautin di kawasan-kawasan pantai Selat Melaka.
Pemastautin di Kuala Pilah tentunya merupakan pendatang-pendatang terkemudian.
Lain pula ceritanya dengan Terombo
versi Rembau (Batu Hampar) yang diperkenalkan Norhalim. Menurut Norhalim, yang
memetik beberapa hasil kajian orang Portugis dan Belanda, adat Perpatih yang
hampir sama dengan adat di Minangkabau diperkenalkan oleh seorang “wakil” Raja
Minangkabau. Wakil raja itu bernama Datuk Leteh dan diperintahkan pergi ke
Rembau pada tahun 1490-an untuk memimpin masyarakat Minangkabau yang menetap di
daerah-daerah di sekitar pantai dan kawasan yang hari ini disebut Rembau. Datuk
Leteh berasal dari Batu Hampar, Mendiling dan bersuku Caniago.
Pengikut-pengikutnya terdiri daripada penduduk daripada suku Batu Hampar
sendiri, Paya Bidara, Pagar Cincang dan Agam.
Mereka sampai di muara sungai yang hari
ini disebut Kuala Sungai Linggi lalu mudik ke Lubok Cina (wilayah Naning
sekarang Alor Gajah). Dari Lubok Cina, Datuk Leteh mudik ke hulu hingga ke
Relong dan bertemu dengan ketua orang asli, Tok Batin Skudai. Datuk Leteh
meminta izin dengan tok batin untuk menetap di Relong. Kawasan itu hari ini
dinamakan Kampung Penajis Ulu. Datuk Leteh mula menyusun dan mengatur sistem
masyarakat orang Minangkabau sehampir mungkin dengan sistem adat di tanah
asalnya. Sistem ini diterima baik oleh penduduk orang asli pimpinan Tok Batin
Skudai kerana kebersamaan dengan adat orang asli yang matrilineal.
Pada tahun 1500, Datuk Leteh bersama
Tok Batin Skudai meninggalkan Relong untuk membuka negeri di Kampung Lada,
Chengkau. Tok Batin Skudai kemudian meninggalkan Kampung Lada untuk menetap di
Seliau, Rantau dan meninggalkan salah seorang anak perempuannya, Datuk Bungkal
dalam jagaan Datuk Leteh. Datuk Bungkal telah lama menjadi anak angkat Datuk
Leteh. Ada kemungkinan Datuk Leteh tidak mempunyai anak dan menjadikan anak Tok
Batin Skudai anak angkatnya.
Pada tahun 1502, Datuk Leteh sekali
lagi pindah, kali ini ke Kampung Kota Lama (sebelumnya dinamakan Kampung
Gembira yang dibuka oleh Tok Batin Pak Nilu dari Sungai Ujong, kawasan Rahang,
Seremban sekarang). Di kampung itu pertemuan diadakan dengan Datuk Lela Balang,
juga dari Batu Hampar yang telah menetap di Kota Lama. Mereka bermuafakat untuk
membahagikan wilayah kuasa di Kota Lama itu kepada dua, satu ditadbirkan Datuk
Leteh dan satu lagi Datuk Lela Balang. Berdasarkan permuafakatan itu Datuk
Leteh mendapat wilayah “kiri mudik” Sungai Rembau, sementara Datuk Lela Balang
wilayah “kanan mudik.” Datuk Leteh
menamakan wilayah kuasanya sebagai Kampung Perah oleh sebab banyaknya pokok
perah (elateriospermum tapos) di kawasan itu. Datuk Lela Balang
dikahwinkan dengan Datuk Bungkal dan keturunan keluarga ini mewarisi jawatan
Undang Rembau hari ini.
Walaupun terombo versi Rembau ini tidak
menyebut langsung nama Datuk Perpatih Pinang Sebatang tetapi perintah yang
diberikan kepadanya oleh Raja Minangkabau dan tindakannya memperkenal sistem
adat Minangkabau adalah sama seperti yang ditulis dalam versi Kuala Pilah dan
Naning. Cuma perbezaannya terletak pada nama tokoh sentralnya, sama ada Datuk
Perpatih Pinang Sebatang atau Datuk Leteh. Dalam kalangan penduduk Rembau ada
yang menganggap Datuk Leteh dan Datuk Perpatih Pinang Sebatang sebenarnya nama
orang yang sama.
Anggapan ini diasaskan kepada beberapa
pertimbangan. Pertama berlakunya peristiwa perhimpunan besar di Gunung Datuk
untuk melantik undang dan lembaga oleh Datuk Perpatih Pinang Sebatang. Gunung
ini terletak di Rembau. Di kaki gunung terletak Kampung Perah dan Kampung Kota
Lama yang pula bersempadankan Naning. Sedangkan
Kuala Pilah terletak jauh di sebalik gunung. Bayangkan Datuk Perpatih
terpaksa mendaki Bukit Putus atau Bukit Miku sebelum mendaki Gunung Datuk.
Andainya Datuk Perpatih Pinang Sebatang mahu melantik undang dan lembaga,
apakah perlu beliau naik gunung turun gunung yang mungkin memakan masa beberapa
hari, malah minggu untuk sampai ke puncak Gunung Datuk. Manakala Datuk Leteh
yang tinggal di kaki gunung tersebut hanya memerlukan kira-kira tiga atau empat
jam untuk sampai ke puncak.
Kedua, titah perintah raja Minangkabau
kepada Datuk Perpatih adalah juga titah perintah raja Minangkabau kepada Datuk
Leteh. Soalnya apakah perlu seorang raja memerintahkan dua orang pembesarnya
untuk menjaga kepentingan masyarakat Minangkabau di kawasan yang sama di
seberang? Dikatakan Datuk Perpatih dan Datuk Leteh belayar ke seberang melalui
pangkalan yang sama, iaitu Siak. Cuma bezanya Datuk Perpatih menuju muara
Sungai Muar (versi Kuala Pilah) sementara Datuk Leteh menuju muara Sungai
Linggi (versi Rembau). Dalam hal ini ada persamaan antara versi Naning dengan
Rembau. Kedua-dua versi ini menyebut orang besar raja ini belayar dari Siak
menuju muara Sungai Linggi. Jika versi Kuala Pilah diambil kira maka sudah
tentu ada kesan-kesan peninggalan Minangkabau di Muar seperti halnya di Kuala
Linggi. Setidak-tidaknya ada proses penyemendaan antara orang Minangkabau
dengan penduduk tempatan.
Ketiga dan dianggap lebih penting ialah
kisah penerokaan Datuk Perpatih dalam ketiga-tiga versi. Teromba versi Kuala
Pilah memperlihatkan satu perjalanan yang kompleks (sungai dan daratan) sebelum
membuka tempat baru. Versi ini menunjukkan kehebatan Datuk Perpatih mengembara
dari Muar ke Johor Lama (mungkin ke Batu Sawar tempat bersemanyamnya Sultan
Johor), lalu mudik ke Hulu Muar sebelum meneruskan perjalanan ke Hulu Pilah.
Secara geografinya hari ini, Datuk itu bersama pengikutnya menjelajah dua
negeri, Johor dan Negeri Sembilan. Satu perjalanan panjang dan memakan masa
berbulan-bulan lamanya. Jika dilihat dari sudut ini, maka versi Naning dan
Rembau adalah lebih rasional.
Demikianlah, tiga versi terombo yang
kadang-kadang terlihat sebagai satu cara memperbesar jurai keturunan penganut
Adat Perpatih di Negeri Sembilan dan Alor Gajah (Naning) hari ini. Norhalim
barangkali berkata benar apabila orang sering mengaitkan kehebatan tokoh
peneroka dengan daerah tempat tinggalnya.
(A.F.Yassin, Utusan Melayu Mingguan
suatu ketika dahulu dan pernah disiarkan semula pada 25 April 2012 lalu dalam
Blog Adat Perpatih).
CATATAN : Artikel ini akan dimuatkan dalam buku GUNUNG DATUK yang bakal diterbitkan tidak lama lagi.
No comments:
Post a Comment