Terdapat Kata Pengantar yang ditulis oleh Penterjemah Buku Cikgu Abbas Ali dari Cengkau berdasarkan buku ori oleh Parr and Makcray |
KATA
PENGANTAR
Bahawa
buku ini diusahakan menterjemahnya adalah untuk memberi sedikit gambaran kepada
ahli-ahlinya, khasnya anak-anak Rembau sendiri yang berhajat hendak menyemak
sejarah pentadbiran dan adat perpatihnya, kerana pada masa-masa yang akhir ini
didapati selalu benar menjadi perbincangan di dalam surat-surat khabar tempatan
dengan berbagai-bagai fikiran dan tuduhan didatangkan oleh penulis-penulisnya,
mengatakan pada beberapa perkara, maka adat ini kononnya telah tidak
bersesuaian lagi dengan zaman sekarang.
Sama
ada pendapat dan tuduhan-tuduhan yang pernah didatangkan oleh penulis-penulis
itu benar atau tidak, tiadalah penyalin hendak mengulasnya di sini; tetapi
harus berguna diperkatakan bahawa sebagai sebuah negeri kecil, maka Rembau yang
luasnya kira-kira 400 batu persegi sahaja dalam Negeri Sembilan sekarang adalah
mempunyai sejarah yang patut dimegahkannya pada zaman kebesarannya, iaitu pada
suatu masa dahulu, 350 tahun atau lebih ialah sebagai sebuah negeri Melayu yang
berkerajaan sendiri, mempunyai perlembagaan dan “undang” menjadi pucuk pemimpin
pemerintahan.
Dengan
sedikit pindaan pada mana-mana tentangan yang telah berubah maka buku ini
bolehlah dikatakan terjemahan bulat-bulat daripada karangan C.W.C. Par dan
W.H.Macrel dalam jurnal, Stories Branch
Royal Asiatic Society, bilangan 56, keluaran Disember 1910. Maka semenjak
tarikh tersusunnya sebanyak yang ada ini sampai sekarang, masanya telah
berjalan selama 43 tahun dan penyusunnya boleh mengumpulkan dalam masa yang
singkat dan beberapa tahun sahaja setelah berdamping mencampuri hal-hal
pemerintahan adat Rembau, oleh yang demikian tidaklah syak bahawa pada beberapa
perkara, maka buku ini masih dalam keadaan yang kekurangan juga.
Bagaimanakah
caranya pemerintahan Rembau itu dijalankan dan apakah undang-undang yang
dipakai oleh kerajaan pada zamannya? Buku ini akan memberi sedikit bayangan
kepada pembaca-pembacanya. Kesan-kesan yang ada pada hari ini menunjukkan belaka, dengan tidak
syak, akan jajahan ini ialah satu-satunya negeri kecil yang telah lama
berkemajuan dan mempunyai peradaban dan kebudayaan, setidak-tidaknya dari masa
setelah runtuhnya kerajaan Melayu Melaka tahun 1511 dahulu lagi. Adapun darihal
rupa atau cara undang-undang negerinya pada zamannya itu tidaklah lain daripada
yang disebut dengan nama “adat perpatih” masa ini yang diketahui oleh anak-anak
Rembau dengan lancar di mulut sahaja dan tiap-tiap satunya menjadi kata-kata
basahan dalam masyarakat mereka hari-hari. Maka bolehlah dikatakan bahawa kata
“nang tua-tua”, bagaimana difahamkan di Rembau daripada kumpulan kata pepatah,
bidalan, perumpamaan, tamsil ibarat dan sebagainya yang banyak dibukukan
sekarang ialah bukan perkara baharu kepada orang-orang Melayu Negeri Sembilan
yang beradatkan perpatih, meskipun sesetengah daripadanya masih tidak pun tahu
menulis. Maka apabila disebut adat di Rembau adalah difahamkan meliputi
kehendak-kehendak yang luas ertinya. Adat inilah undang-undang negeri mereka
dan sangat dipegang dan dihormati oleh mereka.
Sesiapayang
didapati oleh mereka di dalam masyarakatnya berkelakuan tidak baik atau membuat
sesuatu yang tidak senonoh maka dikata oleh mereka “tak tahu adat” dan
hendaklah dihukum. Jika membuat sesuatu yang ditegah agama juga akan dikata
oleh mereka “melanggar hukuman adat” keranaagama dikira oleh mereka sebahagian
daripada adat juga yang berjalan seiring dan terus-menerus di mana-mana juga
tempatnya. Tiap-tiap orang ada belaka kerajaan bagi membetulkan yang lainnya
mengikut adat. Adat berjalan “membujur lalu, melintang patah” kata perbilangan,
ertinya adat tetap berjalan lurus menuju matlamatnya, tiada apa yang boleh
menahan dan mengendalakan. (Biar mati anak, asalkan jangan mati adat”, kata
mereka, jikalau anak hidup, tiada mahu mengikut benar dan undang-undang
masyarakat hidup dikelilingnya, maka tiadalah dipandang ia berharga dalam
kumpulan mereka, demikianlah teguhnya mereka berpegang kepada adat.)
Mengapakah
sampai demikian kuatnya pegangan mereka? Tidaklah lain daripada mengikut
tafsirannya bahawa adat itu dikatakan diasaskan daripada enam puncak kata-kata
yang berbunyi:
Pertama, kata Allah,
Kedua, kata Rasul,
Ketiga, kata pusaka,
Keempat, kata muafakat,
Kelima, kata berteromba dan
Keenam, bersalasilah.
Yakni
segala-galanya sudah terkandung belaka di dalam suatu ikatan peraturan yang
membawa kepada kebajikan dan keselamatan hidup. Maka daripada kata-kata
tersebut mereka meletakkan kedudukan adat berbanding dengan syarak dalam
serangkap kata pengikat yang berbunyi:
“Pada adat: Menghilangkan yang
buruk, menimbulkan yang baik”.
“Pada syarak: Menyuruh berbuat baik,
menegah berbuat jahat”.
Jika
difahamkan baik-baik, maka didapati pula mengandungi kehendak-kehendak dan
tujuan yang luas dan adil. Perbilangan adat yang sebenar-benarnya disebut oleh
mereka “kata pusaka” dan menjadi pakaian kepada seseorang yang gemar hendak
hidup mengikut jalan lurus, betul, damai dan menimbang rasa dan keadaan dalam
pergaulan adalah berusaha menggalakkan cara hidup bertolong-tolongan dan
persamaan rata; berbanding dengan adat temenggung dalam perbilangan yang
berbunyi:
“Siapa menjala, siapa terjun,
“Siapa salah, siapa bertimbang,
“Siapa berhutang, siapa membayar,
“Siapa membunuh, siapa kena bunuh.”
Maka
adat perpatih adalah berkata:
“Hutang bertaruh, cagar bergadai,
“Cincang pampas, bunuh beri balas.”
Iaitu
cenderung kepada bersama-sama memperbaiki sesuatu kerosakan dalam keluarga,
tidak membiarkan hidup “laksana telur sesangkar, pecah sebiji, pecah semuanya”.
Maka adalah didapati bahawa daripada sekecil-kecil kejadian sampailahkepada
sebesar-besarnya, samaada perkaranya itu baik ataupun jahat, mengikut adat,
bukanlah dia hak perseorangan. Apakala seseorang yang tinggal di Pahang,
Selangor ataupun di Perak misalnya, terpaksa menerima hukuman atas sesuatu
kesalahannya yang disyak sahaja dan tiada upaya si yang tertuduh itu hendak
mempertahankan dirinya daripada terlepas kena hukum maka tentulah ia akan terus
menghadap nasibnya; tetapi di dalam masyarakat adat perpatih, semuanya atau
sekurang-kurangnya ahli bagi suku yang tertuduh itu akan bangkit membantah,
setidak-tidaknya bersuara menegur atau berkata, si penimbang (hakim) itu tidak
tahu adat atau tidak memakai “cupak asli,” maka pada zaman Melayu dahulu lazim
kejadian demikian membawa kepada perkelahian yang menumpahkan darah kerana
kekurangan usul periksa serta terlangsung memberi keputusan yang bergopoh-gapah
itu. Sesuatu keputusan yang didapati adil pada mereka dikata
“cupak yang pepat,
“gantang yang piwai,
“bungkal yang betul,
“teraju yang baik,”
Pendeknya,
apa-apa juga perkaranya, terutama pendakwaan atau tuntutan-tuntutan hendaklah
dikemukakan kepada yang bertanggungjawab mengikut aturannya dan jenis serta
besar kecilnya perkara itu dengan setahu ramai, kerana macam mana pun halnya,
tiap-tiap orang ada belaka kuasanya dan bernobat:
“raja menobat di dalam alam,
“penghulu menobat didalam luak,
“lembaga menobat di dalam lingkungan
“ibu bapa menobat pada anak buah,
dan
“orang banyak menobat di dalam
terataknya.”
Jika
“penghulu biasa berhukumkan adat,
“alam biasa berhukumkan syarak,
“hulubalang biasa menjarah,
“juara biasa melepas,
“saudagar biasa bermain bungkal teraju dan
“perempuan biasa berusahakan kapas
dan benang.”
Demikianlah
sedikit daripada garisan-garisan asas adat dengan sekali imbas hal-hal yang
lanjut masih banyak boleh didapati dan hanya ahli-ahlinya yang gemar
membongkar, menyiasat dan mengumpulkan, akhirnya boleh menimbang dengan fikiran
yang tenang, sihat dan saksama sahaja yang mengetahui kedudukannya yang sebenar
pada masa yang lalu berbanding dengan zaman yang dikatakan kemajuan sekarang
ini.
Penyalin
buku ini sengaja tidak menyebutkan sesetengah daripada pendapat ahli Rembau,
terutama hal yang mengenai bahagian mewarisi tanah pusaka, masyarakat hidup
bersuku, nikah kahwin dan lain-lainnya mengikut segi agama yang selalu menjadi
sungutan baru-baru ini, keranasepanjang yang diketahui bahawa apa yang pernah
diperkatakan itu adalah masih sebagai rancangan yang belum masak dan
angan-angan yang selalu dijumpai di mana-mana tempat lain (Tanah Melayu) jua,
jika dilayani maka akibatnya akan lebih mengecewakan daripada mendatangkan
kebajikan dalam masa segala-galanya masih berjelantah susunannya lagi.
Adapun
perihal Rembau memanglah banyak diriwayatkan oleh penulis bangsa asing seperti
Portugis, Belanda dan Inggeris dalam masing-masing zamannya. (semaklah majalah
JMBRAS jilid XII, 1934; jilid III bahagian II, nombor 1925, sejarah Melayu dan
sejarah-sejarah perihal Tanah Melayu) maka dengan ini bertambah kuatlah
kepercayaan kita mengatakan bahawa wujudnya dalam setiap zaman itu sebagai sebuah
kerajaan merdeka, bukan seperti suatu dusun atau suluk yang didiami oleh
orang-orang darah yang masih liar. Sejarah
Melayu yang terkarang pada tahun 1612 Masihi itu sungguhpun tiada
menyebutkan perkataan “Rembau”, tetapi pada masa Sultan Mansor Syah (1459-77
T.M.) mendirikan istana adalah orang-orang Kundur sana, iaitu membuat dua buah
balai pengapit pintu istana baginda,itu menunjukkan bahawa Rembau ialah sebuah jajahan yang
diperintah oleh orang-orang besar (bendahara) Melaka juga dengan Kundur sebagai
pusat pentadbiran luaknya. Dan Penajih (Penajis) pun memang telah terkenal
dalam zaman kerajaan Melaka, iaitu mana-mana daerah yang dilembahkan oleh
Sungai Linggi sekarang. Dahulu namanya Penajih dan Kuala Linggi disebut Kuala
Penajih. Nama-nama lain yang ada tersebut dalam Sejarah Melayu ialah Lubuk Cina, Hulu Muar, Sening Ujung, Orang-orang dan lan-lain
lagi.
Maka
suku Biduanda yang dikenal di Rembau sekarang sebagai suku yang memerintah
haruslah keturunan Biduanda. Melaka yang mencampuri pemerintahan Rembau pada
zaman kerajaan Melaka Tua itu juga. Biduanda ialah panggilan kepada keluarga
bendahara dan memegang jawatan-jawatan yang penting dipaseban Raja Melaka. Sejarah Melayu menyebutkan bahawa anak
baik-baik Cina dan juga kaum-kaum bangsawan Jawa yang berkahwin dengan
perempuan–perempuan Melayu Melaka semua keturunannya digelar Biduanda. Sama ada
cerita bendahara Sekudai yang sememangnya keturunan daripada
bendahara-bendahara Melaka juga,manakala tiba ke Rembau berkahwin dengan puteri
Biduanda (Jakun) Rembau boleh dikatakan sebagai menghubungkan pertalian darah
yang telah renggang atau hendak diterima bulat-bulat cerita bapa kepada anak
yang terkenal di Rembau itu seperti yang diterangkan oleh buku ini kelak, maka
bolehlah sama-sama kita fikirkan; tetapi satu perkara nyatalah benar, iaitu
Rembau ialah daerah yang dekat sekali dengan Melaka dan lagi di Rembaulah boleh
didapati tersangat ramai orang-orang Biduanda. Saudagar-saudagar di Melaka
memang tertarik hati mencampuri hal Rembau kerana daerah ini banyak
mengeluarkan bijih dan benda-benda hutan yang berhasil. Dalam peta d’Eredia
tahun 1613 Masihi, Rembau telah ada disamping nama-nama Klang, Sungai Ujung,
Naning, Johol dan Jempul dan juga menyebutkan bahawa pada tahun 1613 itu Klang
telah mengeluarkan bijih sebanyak seratus bahara setiap tahun. Demikian juga
Penajis (tempat bijih dari hulu Rembau terkumpul).
Darihal
kedatangan orang-orang Minangkabau ke Rembau ahli-ahli pentarikh Portugis
mempercayai semenjak padaabad ke-15 lagi dan keadaannya bertambah ramai dari
semasa ke semasa. Maka kebanyakan mereka bercucuk tanam. Apabila Portugis
menduduki Melaka sehingga membawa ke tahun 1856 mereka adalah bersahabat dan
bertukar-tukarbarang dengan Portugis, iaitu Portugis membawakan barang-barang
perniagaan dari Coromandel, India dan orang-orang Minangkabau Rembau memberi
emas pula sebagai pertukaran. Pada tahun 1856 mereka pun berpaling tadah, iaitu
menyebelahi Johor memerangi Portugis di Melaka dengan angkatan seramai
kira-kira 2000 orang dari Rembau di bawah pimpinan seorang panglima perang dari
Johor. Apabila
Potugis menyerang balas ke Rembau dengan kekuatan 100 orang soldadu Portugis
dan 600 soldadu tempatan maka panglima Rembau ini dapat melarikan diri;
orang-orang Rembau telah dimaafkan perbuatan ini.
Jadinya,
jikalau pada tahun 1856 ini sudah boleh mengadakan angkatan tentera sampai 2000
orang, maka haruslah sekurang-kurangnya sudah seabad dahulu Minangkabau
menduduki Rembau atau Rembau-Naning pada masa itu. Tambahan lagi, sebagai
memperkuat kepercayaan ini, kita dapati sebuah makam di Pengkalan Kempas yang
bertarikh 1467 Tahun Masihi yang tersurat dengan huruf Arab berbahasa Melayu
Sumatera dan buatannya pun lebih kurang sama dengan bentuk kebanyakan kubur di
sana, maka ini juga menunjukkan jika tidak pun hendak dikatakan ongeng di dalam kubur itu
seorang pemimpin agama orang Minangkabau, maka yang menukangi batu-batu nisan
ini ialah orang-orang Minangkabau juga.
Pentarikh
Portugis d’Eredia sungguhpun tidak menyebutkan apakah bangsa orang yang
menduduki Rembau pada masa Portugis menakluki Melaka pada tahun 1511, tetapi
dengan jelasnya menerangkan bahawa Rembau, Sungai Ujong dan Klang adalah
sebahagian daripada daerah Kerajaan Melayu Melaka.Maka kenyataan Portugis ini
disokong pula oleh Dagh Register,iaitu penyata harian Belanda semasa memerintah
Melaka, mengesahkan bahawa sememangnya semenjak beberapa lama orang-orang
Portugis mengadakan perhubungan perniagaan dengan jajahan-jajahan yang dahulu
negeri Melaka.
Adapun
perkelahian di antara Rembau dengan Portugis pada tahun 1585 itu sungguhpun
berkesudahan dengan bermaaf-maafan tetapi boleh dikatakan semenjak itu juga
keadaan perhubungan diantara kedua-duanya semakin renggang dan selalu sahaja
berlaku persengketaan, sampailah pada masa Belanda merampas Melaka daripada
Portugis tahun 1641, kerana hubungan Rembau telah bertambah rapat dengan Johor
dan Belanda pula. Maka pada masa Belanda mengambil Melaka daripada Portugis,
orang-orang Johor, Naning dan Rembau adalah sama mencampurinya; jika tidak pun
dikatakan memihak kepada Belanda maka mereka telah melakukan perampasan harta
benda dan menawan orang-orang pelarian Portugis yang dalam kelaparan yang
berundur ke darat negeri Melaka dan di samping itu, menyekat Sungai Penajih
(Linggi)supaya ketenteraman mereka jangan pula dicerobohi oleh Belanda yang
sememangnya di sebalik perkataan “bersahabat” hendak memborong pula apa-apa
juga hasil yang dikeluarkan oleh Rembau.
Kepercayaan
Rembau kepada Belanda telah rosak, manakala Belanda menuntut supaya memulangkan
orang-orang tawanan Kristian kepadanya apabila selesai sahaja memerangi Melaka
dan juga Belanda memaksa Rembau dan negeri-negeri lain di Semenanjung ini
berniaga dengannya sahaja. Mulai dari tahun 1641 itu juga Rembau telah
membukakan perniagaan dengan orang-orang asing. Maka pada masa itu wakil
Belanda sebagai Temenggung Naning ialah Jan Menie namanya sebagai mengganggu
perbuatan Rembau ini maka Temenggung ini telah menyekat Sungai Penajih pada
bulan Januari 1642, tetapi dapat dikalahkan oleh Rembau. Pada bulan Mei tahun
itu Sultan Johorpun menghantar utusan ke Rembau bagi mendenda Dato’ Lela
Maharaja dan lembaga-lembaga Rembau, jumlah denda semuanya sebanyak $200 kerana
perbuatan membenarkan orang-orang asing berniaga dengannya.
Belanda
tidaklah terhenti usahanya sekadar menghasut Johor ini sahaja. Lebih lanjut
pada awal tahun 1643, daripada keputusan jemaah tadbir Belanda di Melaka bahawa
mustahaklah konon dihantar perutusan ke Naning dan Rembau bagi memujuk kerajaan
kedua-dua luak ini supaya bersifat damai dan aman dan berhenti daripada
melakukan rompakan dan membuat huru-hara. Perutusan ini bertolak pada 3
Februari, diketuai oleh Gabenor Jeremias van Vliet dan diiringi oleh Kapten
Laurens Forsenburgh, Temenggung Jan Jansz Menie,hakim, setiausaha Belanda dan
dikawal oleh 60 orang tentera Belanda serta seratus askar tempatan. Maka
lawatan ini sunguhpun dikatakan berhasil kerana Belanda telah dapat memecah dan
mendenda setengah-setengah ketua tempatan seperti memecah A.Badur, ketua melakik dan membuka sekatan
di Pengkalan Nawar
dan juga menetapkan cukai 1/10 daripada hasil padi mesti dibayar oleh Naning
kepada Belanda, tetapi apabila mara lagi hendak masuk ke Rembau mereka telah
kecewa dan menemui jalan buntu. Apabila Belanda menuntut kepada Rembau supaya
memulangkan orang-orang tawanan Kristian, senjata dan lain-lain barang rampasan
serta juga jajahan Tampin, Rembau telah menangguh-nangguhkan tuntutan itu.
Kerajaan
Rembau menegaskan bahawa Tampin telah diberikan oleh Sultan Johor kepadanya dan
darihal barang-barang rampasan dan orang-orang tawanan, sagu hati sudah pun
dibayar kepada Menie. Oleh yang demikian Belanda pun mengambil langkah yang
bergopoh-gapah lalu menyerang, tetapi tidak berhasil kerana sebelum sempat
bertentangan di medan, mereka telah diserang hendap oleh Rembau. Kapten
Forsenburgh dan Temenggung Menie berserta enam orang lagi askar Belanda telah
terbunuh dalam serangan ini. Maka satu angkatan tentera lagi telah dikirimkan
tetapi itu pun gagal juga dan terpaksa berundur ke Melaka dengan meninggalkan
sebuah peti berisi wang sebanyak kira-kira 14,000 riyal dan 30 orang lagiaskar
Belanda terkorban. Sultan Johor tidak dapat berbuat apa-apa dalam rusuhan ini
selain daripada berdalih mengatakan bahawa kejadian yang tersebut ialah
perbuatan orang-orang bendaharanya dan kerajaan tidak bertanggungjawab serta
menghantar Hang Khamis dan Hang Sikam, iaitu dua orang utusan bagi menyampaikan
ucapan dukacitanya terhadap kematian sahabatnya, Menie dan dua orang lagi
diutus ke Betawi iaitu Seri Maharaja Lela dan Lela Wangsa bagi menerangkan
kejadian ini juga.
Selain
daripada kejadian tersebut, sekurang-kurangnya ada dua kejadian yang besar lagi
yang berlaku pada tahun 1643, iaitu pada 5 Mei orang-orang Rembau telah
berhasil membinasakan sebuah kapal nelayan Belanda di Sungai Baru dengan
membunuh dua orang daripada orang-orangnya: perbuatan ini telah dibalas oleh
Belanda dengan menyekat Sungai Penajih juga dengan tujuan hendak melaparkan
Rembau. Pada 23 Mei pula berperang betul-betul di antara Belanda pada satu
pihak dengan Rembau dan Naning pada pihak yang sebelahnya. Raja Merah, penghulu
Naning hendak berbaik-baik dengan Belanda, tetapi bimbang pula akan Rembau.
Masa inilah juga Belanda sendiri telah serbasalah, bimbang kepada Johor dan
sebaliknya Johor bimbangkan Belanda, dalam mana akibatnya perniagaan di Melaka
telah susut dan kucar-kacir. Setelah beberapa bulan lamanya dalam keadaan yang
bersorong tarik ini barulah Belanda dapat bertapak sedikit demi sedikit
mempengaruhi Rembau, Naning dan Johor.
Pada
bulan Ogos 1644 ada lima orang Melayu Naning telah dijatuhihukum oleh Belanda
mengikut Dagh Register. Nama-nama mereka ialah Sitam, Busu, Silap, Putra dan seorang
utusan bernama Pijum
yang bekerja sebagai pengintip rahsia. Kesalahan Sitam yang sifatnya sebagai
orang kepercayaan Belanda di Melaka bagi menyampaikan surat utusan ke Naning
dan Rembau, sebaliknya telah mengusahakan satu angkatan seramai 2000 orang
Minangkabau melawan Belanda. Dia dihukum bunuh dan tubuhnya dipertunjukkan
kepada khalayak ramai sampai hancur. Silap dan Busu dihukum pancung, demikian juga Putra, tetapi
Putra dicacakkan kepalanya pada kayu; Pijum dilepaskan. Selain daripada itu ada dua
orang Rembau pula yang dapat ditangkap oleh Belanda dahulu Muar dan dihukum bunuh tidak berapa
lama kemudiaannya, iaitu setelah Belanda mengutus Peter Souriji menuntut
berdamai menerusi Johor dan Johor mengutus Bendahara Skudai untuk menyelesaikan
hal dan pertelingkahan yang tidakberkesudahan ini. Sebagai satu muslihat, maka
Bendahara Skudai melantik cucunya yang bergelar Lela Maharaja[1],
menjadi Undang Rembau. Setelah itu, apabila hal-hal Rembau dan Naning telah
tenang maka Skudai pun beredar ke Sungai Ujong seterusnya ke Pahang.
Sungguhpun
keadaan telah berjalan dengan baik tetapi hanya buat sementara sahaja kerana
Belanda masih berdendam hendak membalas perbuatan Rembau membunuh dua orang
pembesarnya, iaitu Forsenburgh dan Menie.Pada (bulan Februari 1645 dihantarnya
satu angkatan seramai 350 orang tentera melanggar Naning dan Rembau, tetapi
tidak berhasil menentang kekuatan Rembau yang seramai 2000 orang, lalu
berundur.(Setahun kemudian dilanggar sekali lagi dengan angkatan yang lebih
besar, barulah Rembau menuntut damai kerana tidak tahan melihat keganasan
Belanda terhadap pokok tanam-tanaman dan rumah-rumah mereka yang dibinasakan.
Di antara tujuh orang wakil pihak Naning dan Rembau yang datang sebagai utusan
menuntut damai termasuklah Jalila Muluk, iaitu ipar Dato’ Lela Maharaja Rembau
dan Katib Sitam Muda ipar Dato’ Syahbandar Rembau. Belanda menuntut tiga orang
dari Rembaudan tiga orang dari Naning hendaklah dijatuhkan hukum bunuh kerana
perbuatan membunuh dua orang pembesarnya dan semua barang yang dirampas dan
wang yang tercicir dahulu jugaperlu dipulangkan. Rembau menuntut maaf sahaja
dan tiada upaya menyempurnakan tuntutan-tuntutan ini. Belanda pula sekadar jika
dilakukan sebarang perbuatan yang bergopoh-gapah akibatnya akan
menambahburukkankeadaan.Oleh yang demikian, hukuman itu diringankan dengan
denda wang sahaja. Ini pun tidak juga sanggup Rembau membayarnya, kecuali
mengaku hendak dibayar dengan beransur-ansur. Sebagai hendak berbaik-baik
sangka, maka pada 17 September 1646 dibuatlah satu perjanjian persahabatan di
antara wakil-wakil Kerajaan Rembau dengan Syahbandar Abraham Steen dan yang
demikian Sungai Penajih pun dibuka semula bagi perniagaan, Rembau
bertambah-tambah maju.
Pada
tahun 1673 datanglah Jambi melanggar Johor lalu Sultan Johor berundur,
mula-mulanya ke Johor Lama dan setelah itu ke Pahang. Melihat kejadian ini
Rembau pun memutuskan perhubungan dengan Johor dan bersekutu semula dengan
Naning memilih seorang raja dari pantai timur Sumatera. Raja ini namanya Raja
Ibrahim, dari Sayak. Ia mengaku dirinya keramat dan keturunan raja-raja Melaka.
Mengikut kenyataan Balthasar Bort, iaitu Gabenor Belanda di Melaka bahawa Raja
Ibrahim ini ialah seorang pelarian dari Acheh dan tiada betul akalnya. Dalam
pada itu, ia berjaya mempengaruhi Naning dan Rembau dengan mengadakan kekuatan
tentera melanggar Belanda di Melaka sampai dapat dikalahkannya batang tiga dan berganti-ganti
kalah menang dengan Belanda. Dalam peperangan ini sungguhpun Belanda
cuba menyekat Sungai Penajih semuladengan kapal-kapal perangnya yang bernama
t’Wape van Malacca dan Onrust bagi memotong perbekalan Rembau dan Naning tetapi
tidak berjaya juga. Setelah Raja Ibrahim mangkat dibunuh oleh Bugis pada tahun
1679 barulah rusuhan ini berhenti. Maka berdamailah semula Belanda dengan
Naning serta Naning mengaku bahawa perbuatannya yang sudah-sudah itu hanyalah
kerana terpaksa dan dipengaruhi oleh Rembau. Pada 13 Februari 1680 dibuatlah
lagi perjanjian persahabatan di antara Belanda dengan Naning-Rembau bagi
membaharui persetiaan yang dahulu.
Apabila
Johor telah berbaik-baik semula dengan Jambi maka Belanda pun ke Johor meminta
Johor mempengaruhi Rembau semula supaya sentiasa menghormati
perjanjian-perjanjian persahabatan.Pada sesetengah riwayat akibat daripada
permintaan ini maka pada tahun 1701 Johor pun menyerahkan kuasanya di Naning
kepada Belanda.
Pada
tahun 1707 diterimalah oleh Undang Rembau surat cap mohor yang bertulis “dengan
kurnia Bendahara Seri Maharaja” sebagai menghubung semula ikatan dan pertalian
mereka yang telah renggang itu. Kemudian daripada ini negeri Johor telah
termasuk ke dalam kuasa Bugis dan dengan sebab itu, Rembau pun tertarik sama.
Maka berbalik semula bermusuh dengan Belanda. Pada akhir tahun 1756 Rembau
telah membantu Daeng Kemboja, Yamtuan Muda Linggi, melanggar Belanda di Melaka,
tetapi pada bulan Mei 1757 telah terpaksa berundur. Sultan Sulaiman, Johor dan
Sultan Mansor, Terengganu telah berjaya mengeluarkan Rembau dan Linggi daripada
cengkaman Bugis tetapi kerana kuasa Johor semakin lemah maka diserahkan hak
memerintah atau sekurang-kurangnya menaungi Rembau yang dikatakan tidak berapa
menguntungkan itu kepada Belanda. Kuasa-kuasa Daeng Kemboja, Raja Alam, Raja
Said, Raja Haji, Dato’ Engku Klang dan Raja Adil Rembau yang semuanya sangat
merosakkan kuasa Belanda di Melaka telah dilucutkan. Pada 1 Januari 1758
diikatlah satu perjanjian lagi di Fort of Filipina, Kuala Linggi diantara
Belanda dengan Bugis beraku-akuan sahabat dan Johor meluluskan Belanda memajak
bijih timah yang dikeluarkan dari Linggi, Rembau dan Klang. Demikian juga pada
11 November 1759 di antara Gabenor David Bulen bagi pihak Belanda di Melaka
dengan Daeng Kemboja, Linggi, Dato’ Engku Klang, Setia Purba, Paduka Alam bagi
pihak suku berempat, Rembau dan penghulu pendeta kaya serta Syahbandar Pendeta
Garing, Rembau, sekaliannya berikrar hendak bersungguh-sungguh bersama
memerangi perompak-perompak lanun dan menahan kapal-kapal lain yang belayar di
Selat Melaka yang tidak dengan kebenaran Belanda. Maka perjanjian ini
diperbaharui oleh Gabenor Thyssen, Inggeris di Melaka, tahun 1818.
Satu
daripada perkara yang menarik hati lagi ialah bahawa perjanjian ini ada menyebutkan
sembilan daerah di Rembau dan juga ditandatangani oleh Dato’ Undang Rembau
sahaja sebagai penghulu bagi pihaknya dengan meninggalkan Raja Adil, iaitu
menunjukkan bahawa Raja Adil bukanlah raja yang memerintah Rembau yang diakui
oleh pembesar-pembesar Bugis bagi pihak kerajaan Johor pada masa itu sungguhpun
gelarannya Yamtuan Muda Rembau mengikut gelarannya yang dipakai oleh Kerajaan
Riau-Johor dan isterinya pun seorang puteri Bugis.
Darihal
raja-raja Minangkabau mencampuri hal Negeri Sembilan amnya dan Rembau khasnya
adalah bermacam-macam cerita. Sebelum datang Raja Adil, yakni selepasa Raja
Ibrahim yang terbunuh pada tahun 1679, dalam riwayat Sungai Ujong ada menyebut
nama Raja Kasah. Raja ini dijemput oleh Undang Sungai Ujong, Johol, Naning dan
Jelebu tetapi oleh sebab didapati jahil dalam adat perpatih lalu terletak
semula ke Sumatera. Kemudian barulah datang Raja Adil. Selepas itu Raja Khatib
pula namanya. Dia ini pun dikatakan raja tiada sah juga. Akhirnya barulah Raja
Melewar. Mengikut peringatan hari-hari Belanda bahawa (Raja Melewar datang pada
tahun 1772.)
Maka
riwayat perjalanan Raja Melewar datang penuh dengan cerita yang
dibesar-besarkan, dalam pada itu diakui bahawa ia datang melalui Siak dengan
membawa keterangan yang bercapkan mohor sebagai Sultan Minangkabau, kononnya
memerintah Palembang, Jambi, Inderagiri, Inderapura, Siak, Acheh Pariaman dan
lain-lain lagi. Darihal menabalkan dia jadi Yamtuan pula bermacam-macam cerita
yang didapati lagi, setengah riwayat menyebutkan ditabalkan oleh Undang Sungai
Ujong, Johol dan Rembau dan setengahnya mengatakan Undang Jelebu termasuk
sebagai penabal yang keempat; yang lain lagi menyebutkan pula penghulu Klang, ada
yang mengatakan Dato’ Ulu Muar, Dato’ Naning dan bermacam-macam lagi. Jika
hendak diterima kesimpulannya maka haruslah bukan keempat-empat undang sekali
menabalkan dia, melainkan Raja Melewar perlahan-lahan kuasanya luas
mempengaruhi daerah Ulu Muar dengan meninggalkan daerah-daerah di tepi laut
yang dibawah pengaruh Bugis yang tidak berkesudahan menghuru-harakan Belanda di
Melaka. Maka pada masa Rembau membantu Raja Haji (Bugis)menyerang Melaka tahun
1784 Raja Melewar tidak mencampuri hal Rembau itu. (Raja Melewar mangkat pada
tahun 1795), iaitu semasa Inggeris mengambil Melaka daripada Belanda. Pendeknya
Raja Melewar tidak mengambil hirau akan hal-hal Bugis di luar daerah Melaka
serta mengambil tahu hal penghasilan bijih timah di Sungai Ujong dan Jelebu dan
juga persengketaan Undang Rembau atau Sungai Ujong yang kedua-duanya sama kuat
dan tidak mahu beralah, sebaliknya ia berdiam-diam mempengaruhi penghulu Ulu
Muar, Terachi Gunung Pasir, Jempul dan Inas sebagai penyokongnya.
Adalah
campuran British ke atas Rembau mulai tegap ialah selepas Perang Naning tahun
1832 kerana Rembau telah tidak menyalahi Naning lagi. Pada mula-mula Perang
Naning ini Raja Ali, Rembau telah dapat dipujuk oleh Dol Said, Dato’ Naning
memihak kepada Naning dengan alasan bahawa selepas British berjaya menyerang
Naning, maka ia akan menyerang Rembau pula. Maka bantuan Rembau ke atas Naning
itu menyebabkan British kalah dalam serangannya yang pertama dan memeranjatkan,
sampai disangkanya bahawa seluruh Negeri Sembilanlah yang membantu Naning itu.
Tetapi setelah berjaya Gabenor Ibbetson memujuk dan menerangkan kepada Raja Ali
bahawa British sekali-kali tidak berniat sedemikian, maka barulah Rembau
menarik tenteranya dari Naning dan kemudian Syed Syaaban berpaling pula
membantu British sebagai pengakap yang membukakan rahsia perkubuan Naning.
Perundingan-perundingan
di antara British dengan Rembau ini berjalan di antara bulan September 1831
membawa kebulan Januari tahun berikutnya: perjanjian-perjanjian telah dibuat,
mula-mulanya pada 30 November 1831 dan kemudian disambung lagi pada 28 Januari
1832 dengan menyebut di antara lain “bahawa Kerajaan Rembau dengan kuasa yang
ada kepadanya adalah bebas menjalankan pemerintahan di dalam daerah luaknya
mengikut undang (adat perpatih) pentadbirannya sendiri” dan British dengan
Rembau tiadalah harus lagi bermusuh-musuhan dan rampas-merampas jajahan.
Selepas perjanjian ini ditandatangani dan Rembau mendapat perhatian British,
maka Raja Ali pun sebagai menangguk di air keruh, menggelar dirinya Yamtuan
Besar Negeri Sembilan yang tidak pernah diakui oleh sesiapa dan menantunya,
Syed Syaaban digelarnya Yamtuan Muda Rembau. Tetapi tidak pun beberapa lama
timbullah pula perselisihan dengan Dato’ Muda keatas Linggi, lalu berperang.
Maka dalam perkelahian ini Dato’ Undang Rembau mendiamkan diri sahaja, tidak
memihak kepada mana-mana. Syed Syaaban marah lalu cuba menjalankan muslihat
hendak membunuh Undang Rembau. Maka dengan sokongan Undang Sungai Ujong Raja
Ali pun dapat diundurkan dan lari ke Lukut dan Syed Syaaban berpindah ke
Tampin, iaitu sebahagian daripada hujung daerah luak Rembau yang disebelah
timur. Maka disini ia memakai gelaran Tengku Besar dan memerintah, kekal
berketurunan kepadaanak cucunya sampai sekarang dengan gelaran tersebut.
Setelah itu Rembau pun tetaplah menjalankan halnya dengan menderhaka dan
bersendirian membuat sebarang perjanjian dengan British dari semasa ke semasa.
Maka
adalah satu perkara lagi yang rasanya berguna disebutkan selepas Perang Naning
ini. Adapun Naning berperang melawan British itu berakhir dengan Naning kalah
pada 15 Jun 1832, Dato’ Dol Said berundur menyelamatkan diri, maka sebagai
membalas budi baik Raja Ali lalu British hendak menyerahkan Naning di bawah
tadbirnya. Tetapi oleh keadaannya dalam bimbang agaknya, maka tiadalah diterima
pemberian ini. Oleh itu, Naning pun diperintah dari Melaka dengan Tuan Westerhout,
seorang Belanda diwakilkan memungut cukai dan menjaga hal ehwal daerah ini.
(Tuan ini dikenal dengan sebutan Tuan Bartje oleh orang-orang Melaka, iaitu dipelatkan
daripada nama Kristiannya Bartholomeus atau Bartje.)
Selepas
kejadian tersebut, apabila Raja Ali dan Syed Syaaban berundur dari Rembau, maka
Sungai Ujong pula berbalah dengan Rembau kerana Dato’ Kelana tidak berkenan
akan Lebai Kulub memungut cukai di Simpang bagi pihak Rembau. Pergaduhan ini
tamat pada bulan Ogos 1885. Tetapi satu perkara lain berbangkit pula, gabenor
Negeri-negeri Selat mengeluarkan peraturan bahawa Sungai Ujong hendaklah jangan
mendirikan kubu lagi di Kuala Linggi. Maka sejak itu, kapal-kapal perang
British berkawal di laut untuk memastikan peraturan ini dihormati. Pada tahun
1860 dan 1861 Haji Musa dengan kuasa yang diberi oleh Undang Sedia Raja Rembau
telah tampil menuntut cukai bijih yang dibeli oleh kapal-kapal British di Lubuk
Cina. Maka kejadian ini melarat kepada pergaduhan senjata di antara Rembau bagi
sebelah pihak dan Sungai Ujong serta Linggi di sebelahnya lagi kerana Dato’
Muda Linggi tidak sudi memberi cukai daripada hasil-hasil yang dipungutnya di
Sungai Linggi kepada Rembau. Rembau memanjangkan perkara ini kepada British
bagi timbang rasa, tetapi British tidak pula berupaya memberi suatu ketetapan
yang diikut oleh kedua-duabelah pihak. Apabila selesai pergaduhan ini pada
tahun 1877 Simpang pun berpindah ke tangan British diserahkan oleh Undang Lela
Maharaja Haji Sahil dengan suatu perjanjian yang tidak diakui oleh
lembaga-lembaga berlapan.
Pada
tahun 1877 ini dua perjanjian yang dibuat oleh Rembau dengan British. Satu
bertarikh 31 Mac dibuat di antara Gabenor Wm.F.Drummond Jervois bagi pihak
British dengan Sultan Abu Bakar, Johor dan Undang Lela Maharaja Haji Sahil bagi
pihak Rembau. (pada masa itu Sultan Johor ada di Rembau). Maka diantara
lain-lain dalam perjanjian itu, Undang Haji Sahilmengaku hendak tinggal dengan
aman dan damai dalam luaknya dan tidak lagi mengharu atau mengganggu hal-hal
Sungai Ujong, Jelebu, Seri Menanti, Jempul, Johol dan lain-lain negeri kecil di
Seri Menanti yang di bawah Yamtuan Antah. Jika berbangkit perselisihan dengan
negeri yang berjiran, maka Rembau mengaku membawakan halnya bagi pemerhatian
Seri Maharaja Johor. Perjanjian ini tidak ditandatangani oleh lembaga berlapan
dan yang demikian tidak sah mengikut peraturan Rembau. Satu lagi ialah surat
penyerahan Simpang yang disebutkan di atas. Iaitu bertarikh 27 September, ini
pun sebagai perjanjian yang tidak sah juga kerana selain daripada tandatangan
Undang Haji Sahil (cap) maka tidak ada tandatangan Dato’-dato’ Lembaga
berlapan. Meskipun dalam surat ini ada menyebut perkataan “bahawa kami, Haji
Sahil, Dato’ Rembau LelaMaharaja dengan lembaga berlapan suku yang tersebut
namanya di bawah ini…” iaitu sepatutnya ada tandatangan mereka di bawah surat
itu. Jadinya, perbuatan Undang Haji Sahil ini ialah bersendirian dan yang
demikian telah membangkitkan perselisihan. Maka pada tahun 1883 beliau pun
dipecat oleh lembaga-lembaga Rembau. Mulai dari tahun ini Rembau tidaklah
menggantungkan halnya ke Johor lagi melainkan berhubung rapat dengan gabenor
British pula.
Sepuluh
tahun lepas, perjanjian ini iaitu pada tahun 1887 dibuat lagi satu persetiaan
yang besar sekali maknanya dalam sejarah Rembau. Persetiaan ini bertarikh 17
September. Persetiaan inilah sebagai penamat riwayat Rembau yang sifatnya
sebuah negeri merdeka semenjak hampir 400 tahun itu berpindah menjadi jajahan
naungan. Di antara lain maka di dalamnya menyebutkan bahawa segala perkara yang
berhubung dengan hasil negeri, mahkamah pengadilan sivil dan jenayah hendaklah
terserah ke dalam kuasa British. Dato’ Undang Rembau hanyalah akan menerima
bersih 1/3 daripada hasil negeri sahaja bagi saranya dan sara Dato’-dato’ Lembaga
dan pegawai-pegawai adatnya. Maka keadaan demikian berjalan sehingga tahun
1922, manakala Undang Sedia Raja Abdullah dengan muslihat yang tidak dapat
dielakkan terpaksa menerima sara tetap bulanan bagi pihaknya dan Dato’-dato’ adatnya juga demikian hingga sekarang.
Akhirnya
pada tahun 1889 Rembau dan Tampin pun masuklah ke dalam persekutuan sembilan
negeri yang ditubuhkan semenjak tahun 1887 dan mengaku bernaung di bawah
penasihat Residen British yang memerintah daerah Seri Menanti. Pada masa itu
hingga tahun 1895, iaitu apabila diadakan seorang residen sahaja bagi Negeri
Sembilan yang duduk di Seremban. Maka Yamtuan Seri Menanti, Undang Johol,
Sungai Ujong, Jelebu dan Rembau serta Tengku Besar Tampin mengaku meletakkan
negeri masing-masing di bawah naungan British dengan angkatan nama “Negeri
Sembilan” dari semenjak ini tiadalah lagi Rembau membuat apa-apa persetiaan
atau sebarang surat perjanjian yang bersendirian dengan kerajaan luar.
Sebaliknya perlahan-lahan hak dan tarafnya berkurangan sebagaimana kuasa dan tadbiran
adat-adat itu bertambah layu dan tiada terpakai kerana digantikan dengan
undang-undang British yang berjalan mengikut perubahan yang diruntun oleh masa
sekarang adanya. Wassalam.
Abbas
bin Haji Ali.
Seremban,
10
Oktober 1952.
[1][1]
. Jika hendak disangkutkan
Bendahara Skudai dengan sejarah Undang Rembau maka tarikh mengikut Parr and Mackray itu berbeza
kira-kira seratus tahun. Bendahara Skudai mengikut sejarah Melayu ialah
keturunan yang ke-7 daripada Seri Nara Diraja Tun Ali, Melaka atau bendahara
yang ke-XV daripada keturunan bendahara-bendahara Melaka dan Johor. Rembau
telah terbuka dan berkerajaan terdahulu daripada kedatangan Skudai, tetapi
siapakah pemerintahnya? Adakah Dato’ Ubun, waris Jakun Cengkau iaitu undang
yang ke-5 itu cucu Skudai? Jika sungguh maka bukanlah cucu Skudai yang
sebenar-benarnya undang yang-1, Rembau. Penyalin.
Buku ini ado tak kek perpustakaan Awam Negeri Sembilan?
ReplyDelete