Sunday, 21 February 2016

SURAU BATU KG. GADONG OLEH SAEDATTOL AINY ABDULLAH

Undang Dato' Hj. Sulong Anbia (kiri) dan penggantinya Undang Dato' Abdullah Dahan




SURAU BATU KAMPUNG GADONG

Surau ini adalah milik persendirian. Ia didirikan oleh Undang Dato’ Lela Maharaja Hj. Sulong bin Ambia dalam anggaran 1920 atau 1921. Saya difahamkan oleh arwah datuk saya Hj. Amin bin Hj. Peral bahawa hanya surau sahaja diwakafkan tetapi bukan tapaknya. Walaubagaimanapun surau ini adalah milik semua penduduk di Kampung Gadong ini. Mengikut cerita arwah datuk saya bahawa surau ini terdiri adalah untuk kegunaan Tuan Hj. Abbas, mantan Kadi Daerah Rembau yang tinggal di rumah pusaka ibu Hj. Sulong yang didiami oleh kakaknya yang juga ibu mentua kepada Hj. Abbas. Dengan adanya surau ini maka dapatlah Tuan Hj. Abbas mengembangkan ilmu keagamaan kepada penduduk Kampung Gadong. Apabila Tuan Hj Abbas berpindah ke rumah beliau sendiri maka surau batu ini tinggal begitu sahaja hanya diadakan solat terawih pada bulan Ramadan sahaja sehinggalah arwah datuk saya meninggal dunia akhir 1984.
Pembinaan surau ini adalah tidak dirancang. Ia berpunca daripada situasi pada masa itu di mana sebuah masjid di Seberang Paya telah runtuh dan bahan binaan masjid itu tidak mencukupi untuk mendirikan masjid yang baharu, maka satu keputusan telah dibuat untuk menggunakan bahan-bahan itu untuk membina surau di tapak yang baharu dan masjid akan dibuat di tempat yang lama. Jadi, bahan-bahan binaan itu telah diangkat ke Kampung Gadong di tapak atau kampung asal UndangDato’ Hj. Sulong. Surau ini lebih dikenali dengan nama Surau Batu kerana binaannya daripada batu dan ketika itu tiada surau yang dibuat daripada batu.
Dengan terdirinya Surau Batu dapatlah penduduk di Kampung Gadong mempelajari ilmu keagamaan yang diterajui oleh Tuan Hj. Abbas bin Hj. Zakariah yang berkahwin dengan anaksaudara Undang Hj. Sulong,iaitu Chalus binti Dato’ Samsura Pahlawan Mudin yang secara kebetulan baru pulang dari Mekah setelah mendalami ilmu keagamaan selama tujuh tahun. Maka tercapailah fungsi untuk menjadikan surau ini sebagai pusat untuk mempelajari ilmu keagamaan.
Di surauinilah Tuan Hj. Abbas menyampaikan ceramah tentang keagamaan kepada pendudukKampung Gadong dan juga telah menjemput beberapa penceramah  untuk memberi ceramah keagamaan dari akar umbi untuk penduduk Kampung Gadong di semua peringkat umur. Lebih meriah lagi apabila datangnya bulan Ramadan, penduduk Kampung Gadong akan meluangkan masa untuk melakukan amalan-amalan sunat seperti bertadarus pada siang hari dan solat terawih pad awaktu malam dan solat-solat sunat yang lain.
Sekitar dalam tahun 1929 Tuan Hj.Abbas bersama keluarga beliau telah berpindah ke rumah sendiri setelah adik iparnya Timah binti  Dato’ Samsura Mudin berkahwin denganTuan Hj. Amin bin Peral yang mewarisi rumah pusaka ibu Undang Hj. Sulong. Setelah itu tempat beliau digantikan dengan Tuan Hj.Mahmud,menantu Penghulu Abu Bakar yang tinggal berhampiran dengan surau batu tetapi beliau hanyalah berperanan sebagai imam sahaja. Setelah Tuan Hj. Mahmud meninggal dunia, surau ini menuju kemalapan dan bangunannya lama-kelamaan menjadi rosak kerana tiada sumber kewangan untuk membaiki bangunan tersebut. Walaupun surau ini ditinggal begitu lama dan dimamah usia tetapi struktur bangunan tetap tegak berdiri,hanya struktur bumbung, panel-panel pintu dan tingkap sahaja yang runtuh. Banyak juga orang kampung berjumpa saya untuk merobohkan bangunan surau untuk dibuat jalan. Tetapi saya tetap berpegang teguh kepada wasiat daripada arwah datuk saya supaya tidak meruntuhkan bangunan itu. Kita merancang Allah yang menentukan.  
Penulis artikel ini Saedattol Ainy Abdullah (kanan) bersama Zahriah Mohd. Shariff (tengah) dan Cham Sida
Maka berlakulah keajaiban itu bahawa pihak Muzium Negara mewarwarkan bajet untuk memperbaiki bangunan yang ada sejarah. Atas daya usaha sepupu yang juga jiran saya mereka telah memohon persetujuan saya untuk memperbaiki surau tersebut. Apalagi pucuk dicita ulam mendatang saya terus setuju tanpa berfikir panjang. Permohonan diluluskan, alhamdulillah surau ini telah dibaikpulih seperti sediakala. Semasa Ustazah Amrah Hj. Mahmud masih hidup beliaulah yang mengusahakan untuk mengimarakkan surau tersebut dengan memanggil anak-anak yatim yang bersekolah berhampiran untuk bersolat terawih dan makanan sumbangan daripada kami sekalian. Setelah Ustazah Amrah meninggal dunia,s
dunia surau ini kembali sepi. Saya bermohon kepada Allah semoga surau ini dapat diimarakkan dengan cara apa pun. Insya-Allah.

Saedattolainy Abdullah
Gadong,Negeri Sembilan
2016 



No comments:

Post a Comment