Wednesday, 30 December 2015

REMBAU DI SEBALIK MITOS NAMANYA



Jln Kg. Tanah Datar depan rumah Haji Mohd. Noh  dan Kak Pesah


Dulu namanya Rembau

Allahyarham Nurhalim Ibrahim

Nurhalim Ibrahim, seorang pensyarah UPM begitu sibuk menelaah dan meneliti beberapa dokumen sewaktu saya mengunjunginya minggu lalu. Dia begitu asyik sehingga dia tidak sedar saya sudah berada di muka pintu. Dan di muka pintu lagi saya melihat bermacam-macam jenis buku memenuhi ruang tamunya. Biasanya di ruang tamu, orang meletakkan barang hiasan tetapi di rumah Nurhalim, barang hiasannya hanyalah buku dan dokumen-dokumen yang dijilid khas.
“Maaf, tak perasan awak datang. Maklum, lagi sibuk menyiapkan buku terbaharu saya,” katanya begitu apologetik.
“Tak mengapa. Saya faham perangai awak,” jawab saya, lalu masuk tanpa dipelawa lagi.
“Buku apa lagi?” tanya saya.
“Buku tentang Rembau, sebuah daerah di Negeri Sembilan. Saya tertarik dengan Rembau ini sejak kecil lagi. Saya mahu tahu sejarahnya.”
“Apa hebatnya Rembau ini sehingga awak beria-ria benar hendak mengetahuinya?”
“Pada saya, Rembau ini unik. Nama Rembau ini pernah disebut dalam buku Sejarah Melayu. Dahulu ia sebuah negeri merdeka. Orang Rembau (Kundur) dikatakan pernah membantu membina istana Sultan Mansur Shah di Melaka. Mereka membuat balai apit kedua-dua pintu istana. Orang Rembau juga pernah bertempur dengan Portugis, Belanda dan Inggeris. Dan yang hebatnya tentang Rembau juga ialah tanah kerajaan bagi Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan. Yamtuan Besar Negeri Sembilan pertama dahulu pernah bersemayam di Rembau sebelum baginda bersemayam kekal di Seri Menanti, Kuala Pilah. Kalau awak baca sejarah Rembau tentu awak tahu betapa beraninya pendekar Rembau membantu Naning melawan Inggeris pada abad yang lalu.”
“Jadi, apa yang awak cari sekarang?”
“Nama Rembau itu sendiri. Banyak mitos dikaitkan dengannya. Yang menariknya adalah walaupun namanya dimitoskan ada pula bukti tentang asal usul nama Rembau ini.”

Nurhalim bercerita panjang. Dia menghulurkan draf manuskrip empat bab yang telah disiapkan. Katanya buku baharunya itu akan mengandungi 10 bab. Nurhalim membuat perancangan rapi tentang bukunya itu. Dia telah menelusuri seluruh daerah Rembau, malah seluruh negeri Sembilan dan Sumatera Barat, Kepulauan Riau serta daerah-daerah timur Sumatera. Katanya Rembau ialah nama yang menemukan dua suku bangsa, iaitu suku bangsa Minangkabau dari Sumatera dan suku bangsa tempatan, orang Melayu jinak atau jakun. Proses asimilasi kedua-dua suku bangsa inilah yang mewujudkan Rembau seperti yang ada sekarang ini.

Menurut Nurhalim, nama Rembau yang asal ialah Prabo yang bererti daulat, dipertuan atau anak raja. Probo waktu itu didiami oleh orang Melayu jinak ini dan ditadbirkan oleh seorang yang digelar batin. Dikatakan ketua tadbir pertama Prabo ialah Batin Tok Nilo. Daerah itu merangkumi antara lain Merbok Kerawang,  Buluh Bukil, Lengkap Berjuntai, Subang Hilang, dan Beranang. Antara nama itu hanya Prabo yang kekal dalam daerah Rembau sekarang. Ia telah dinamakan semula dengan Semerbuk. Pada awal abad ke-16 Prabo ditadbir oleh Batin Skudai. Pusat pentadbirannya di Kampung Relung, satu penempatan yang baru dibukanya. Batin ini berkahwin dengan anak Batin Seribu Jaya yang tinggal di Rahang, Sungai Ujong (sekarang Seremban). Batin Skudai memperoleh tiga orang anak, iaitu Datuk Mudik, Datuk Tunggal dan Datuk Mengkudu, kesemuanya perempuan. Anaknya yang sulung, Datuk Mudik dikahwinkan dengan orang Pasai bernama Khatib Muhammad.

Batin Skudai membuka beberapa buah kampung lagi antaranya Kebun Lada, Kampung Gembira dan Paya Merbau, kesemuanya terletak di selatan Kampung Relung. Kampung Gembira ini menjadi penempatan Batin Pak Nilo, iaitu ipar Batin Skudai. Atas permintaan Batin Skudai, Batin Pak Nilo meluaskan lagi Kampung Gembira hingga ke kaki Gunung Datuk. Semasa meneroka kawasan baharu inilah, Batin Pak Nilobertemu dengan pokok merbau yang luar biasa besarnya. Batin Pak Nilo enggan menebangnya kerana menganggapnya keramat. Oleh sebab penempatan baharu ini terlalu besar maka Batin Pak Nilo membahagikannya kepada dua. Kawasan perluasan baharu itu diberi nama Kampung Paya Merbau. Batin Pak Nilo sendiri tetap tinggal di Kampung Gembira.

Tidak lama kemudian, ayah Batin Pak Nilo, iaitu Batin Chepa datang mengunjunginya. Batin Cela bermuafakat dengan anak buahnya untuk menebang pokok merbau yang luar biasa besarnya itu. Menurut cerita lisan, Batin Cela terpaksa mengambil masa dua kali tujuh hari untuk menebang pokok itu. Dengan bantuan ilmu Batin Cela, akhirnya pokok itu berjaya juga ditumbangkan. Kononnya begitu besarnya perepangan tunggul pokok yang tinggal itu sehingga ia boleh menampung dua belas dulang hidangan makanan (atau dua belas jambar mengikut istilah orang Rembau) yang disusun di atasnya. Ini bererti 48 orang boleh makan serentak di atas tunggul kayu itu. Cerita pokok merbau yang luar biasa besarnya ini merebak ke seluruh kawasan dan akhirnya menggantikan nama Prabo kepada Merbau Tua, untuk mengambil sempena pokok merbau yang besar itu. Ada pula yang menyebutnya Merbau Tua Buah. Kononnya hujung pokok merbau itu apabila tumbang, terletak di Sungai Hujung (Seremban). Jika benar cerita ini, maka tinggi pokok itu ialah kira-kira 30 kilometer kerana itulah jarak antara Sungai Ujong dengan tempat pokok merbau itu tumbuh. Nama Merbau Tua yang menggantikan Prabo itu akhirnya disingkatkan kepada Rembau sahaja.

Menurut cerita masih terdapat serpihan-serpihan tunggul pokok merbau ini hingga ke hari ini. Tunggul itu terletak di Kampung Api-api di Mukim Gadong, di dalam sebuah kawasan sawah yang sekarang ini tinggal terbiar. Menurut Nurhalim, Kampung Gembira dan Kampung Merbau Tua itu dibuka pada akhir abad kelima belas. Pada waktu itu orang Minangkabau sudah mulai membanjiri Rembau dan ramai yang telah bermastautin di lorong dan Kampung Lada.

Dua nama tempat yang disebutkan Nurhalim masih asing bagi penduduk Rembau sekarang. Saya juga tidak melihatnya dalam peta Negeri Sembilan atau Rembau. Kedua-dua nama itu ialah Kampung Kebun Lada dan Kampung Gembira. Menurut Nurhalim, kedua-dua kampung itu sudah ditukar namanya. Kampung Kebun Lada ditukar kepada Kampung Lada, yang terletak kira-kira enam kilometer dari Pekan Rembau  Kampung Gembira ditukar kepada Kampung Kota Lama, kira-kira 10 kilometer dari Pekan Tampin.

“Kedua-dua tempat ini berada dalam mukim Gadong,” katanya.
“Kenapa Kampung Gembira dinamakan Kampung Kota Lama? Bukankah nama itu sudah cukup menarik?” tanya saya.
“Panjang ceritanya. Ia berkait rapat dengan kedatangan pemimpin Minangkabau bernama Datuk Lela Balang dan Datuk Laut Dalam ini pula memainkan peranan dalam mendirikan institusi undang di Rembau yang kekal hingga ke hari ini,” jawab Nurhalim dengan penuh minat.
“Bagaimana ceritanya?”
“Lain kali sahajalah. Kita boleh bercerita panjang jika awak datang lagi,” jawab Nurhalim.
Demikianlah, pada pertemuan saya dengan Nurhalim Ibrahim, yang baru sahaja menerbitkan buku Adat Perpatih dan Perbezaannya dengan Adat Temenggung itu seperti mahu bercerita panjang lagi tentang subjek yang diminatinya sekarang. Sebelum saya melangkah pulang dia berpesan, “Kalau nak tahu lebih lanjut tentang penubuhan institusi undang di Negeri Sembilan, terutama di Rembau datanglah lagi.” (“Sembang-sembang”, dalam Utusan Zaman, 31 Julai 1994.)

No comments:

Post a Comment