Thursday 28 January 2016

ORANG AUSTRALIA MENDAKI GUNUNG DATUK SAMBIL MANFAATKAN ALAM SEMULA JADI

Puncak Gunung Datuk yang berbatu



DAVID COTTON
Memanfaatkan Kekayaan Tradisi
Alam Semula Jadi

Memanfaatkan Kekayaan Tradisi Alam Semula Jadi
TAMU saya awal Syawal ini seorang pemuda Australia. Namanya
David Cotton dan berusia 22 tahun. Dia berkunjung ke Malaysia
buat pertama kali untuk menghabiskan cuti semesternya. Dia
sedang menuntut dalam jurusan akauntansi di sebuah kolej di Canberra.
Dia berkunjung bersendirian. Sedikit janggal bagi pemuda yang
masih muda belia mengembara jauh dari keluarga dan negaranya.
Yang menarik tentang pemuda Australia ini ialah minatnya untuk
melihat dunia. Katanya dia sudah menjelajah ke seluruh pelosok pulau
Pasifik Selatan, terutama Pulau Fiji. Kini, dia mahu memulakan
kunjungan ke tanah daratan Asia pula dengan Malaysia dan Singapura
tempat persinggahan pertamanya. Dalam usia semuda David ini yang
masih di bawah tanggungan keluarga, minatnya ini bukan sahaja dianggap
“komoditi mewah” tetapi juga merupakan “satu cabaran yang
memerlukan jiwa berani”. Memikirkan David sudah berpetualangan
selama ini maka dia memang mempunyai jiwa berani.

Dalam tubuh David mengalir darah petualangan (adventure) yang
dimiliki ibunya Ruth Tufferey Cotton yang suka mengembara pada
kala usia mudanya. David mengakui Malaysia menjadi destinasi pertamanya,
sebab pengaruh kuat ibunya  Ruth Tuffrey yang pernah bercerita, dua
puluh lima tahun dahulu. Dia singgah di Kuala Lumpur dalam perjalanan
ke Eropah. Namun, keindahan Malaysia dan keramahan orangnya
menyebabkan dia menangguhkan kunjungan ke Eropah dan
menetap selama dua tahun di Kuala Lumpur. Ibunya diterima bekerja
di ATM, sebagai pembantu khas kepada Pengarahnya. Dengan berlatarbelakangkan
pendidikan ilmu pasti, minat David ini dirasakan
sedikit janggal. Sebabnya amat jarang seorang yang meminati jurusan
akauntansi dan matematik sukakan sosial budaya. Malah, dalam masa
yang sama David turut menyukai muzik – dia pemain gitar sebuah
kumpulan muzik di daerahnya.

Dalam perjalanan kami mengunjungi tempat-tempat menarik di ibu
kota dan Melaka dia meluahkan rasa kesalnya kerana tidak membawa
gitarnya. Hal ini amat dirasakannya apabila dia mendengar bunyi gitar
mainan seorang seniman jalanan di atas Bukit St. Paul, Kota A Famosa,
Melaka. David cuba bersungguh-sungguh menghayati sejarah
sekitarnya. Dia leka mendengar kami bercerita tentang sejarah tempatan.
Di atas Bukit St. Paul dia merenung laut Selat Melaka setelah
mendengar penerangan kami. Dia seperti membayangkan ratusan kapal
layar yang suatu waktu dahulu berlabuh di Pelabuhan Melaka yang
sibuk. Dia juga membayangkan betapa sibuknya pedagang dari seluruh
dunia memunggah muatan di kota pelabuhan masyhur itu. Cuma
menurutnya, amat sayang Kota A Famosa semakin hari semakin jauh
juga dari lautan sehingga dengan demikian nilai dan kesan sejarahnya
semakin berkurangan.

“Alangkah baiknya jika sekitar Bukit St. Paul ini dibangunkan sebagai
kawasan sejarah tulen tanpa ada bangunan moden dan pusat
membeli-belah. Keaslian nilai sejarahnya sebaiknya dikekalkan. Nampaknya
sejarah terpaksa berkorban memberi laluan kepada pembangunan,”
katanya. Di Perigi Hang Tuah, David bertafakur lama. Dia membaca sejarahnya
di papan penerangan. Legenda Hang Tuah lima bersahabat
ini, menurutnya mempunyai moral cerita yang sama seperti The
Three Musketeers di Perancis atau cerita kepahlawanan King Arthur
dan pahlawan Meja Bulatnya, iaitu kesetiaan kepada raja yang pada
waktu itu adalah simbol keluhuran undang-undang. Namun, sekali
lagi dia meluahkan rasa terkilannya kepada keadaan sekitaran perigi
ini dibangunkan replika perkampungan yang menyerupai perkampungan
Hang Tuah pada zaman legenda itu.

“Saya yakin para pelancong, terutamanya mahu tahu cara hidup
orang dahulu dan mahu menghayati alam lampau melalui terowong
waktu mindanya. Saya kira muzium budaya dekat Kota A Famosa itu
lebih membuat pelancong memasuki alam fantasinya ke zaman silamnya,”
katanya. Di Taman Mini Malaysia dia berdepan pula dengan keadaan kawasan
yang disifatkan sebagai kurang terpelihara. Setelah menaiki
beberapa rumah replika daripada beberapa buah negeri dia terus bertanya,
“Apakah semuanya sama?”
“Maksud David sama apanya?”
“Ya, gelapnya, habuknya dan patung-patung manusia yang tak terurus.”
“Barangkali kita membuat kunjungan pada bulan puasa atau kita
sampai terlalu pagi,” jelas saya cuba mencari jawapan.
Apa pun jua, David nyaris terjatuh semasa berada dalam rumah
Sarawak apabila kakinya tersangkut di lantai buluh yang sudah rapuh.
Setelah itu dia begitu berhati-hati memijak lantai buluh bulat yang di
sana sini sudah menampakkan usia lanjutnya. Tatkala mengunjungi
rumah-rumah ASEAN, dia bertanya apakah dia pada waktu itu sedang
melihat rumah tinggal. Apabila ditanya maksudnya menjelaskan bahawa
sekitar kawasan seperti sudah lama terbiar, tasik yang menampung
Rumah Brunei dipenuhi lumut dan tumbuhan rumpai lainnya.
Dua buah perahu tersadai di tepian. Sementara itu keadaan Rumah
Thailand pula membingungkan David. Sebuah pintu di bahagian yang
menghala ke tasik telah pecah dan daun pintu itu masih disandarkan
di dinding. Sesekali David melihat tapak kakinya apabila berada di
rumah itu. Dia melihat saya sambil tersenyum. Sebelum masuk dia
telah menanggalkan kasutnya, patuh kepada arahan yang tertulis di
tangga rumah.

Saya tidak pasti apakah pengalamannya semasa di taman mini itu
akan memberi kesan negatif kepada dirinya untuk beberapa lama,
namun satu hal jelas dan akan tetap bermain dalam kepalanya. Dia
se-perti bertanya, apakah Malaysia kurang menghargai warisan budaya
bangsanya? Apakah Malaysia tidak punya pilihan kecuali mengorbankan
sejarah dan budaya bangsanya demi pembangunan? Dia tidak meluahkan pertanyaan ini tetapi cara dia merenung dan menilai pameran sejarah dan budaya negara ini memperlihatkan rentetan
pertanyaan itu. Di Johor Bahru, dia berdiri lama di Kompleks Kastam
Tanjung Puteri sambil menggeleng kepala apabila kami ceritakan
bahawa di bukit Tanjung Puteri tempat terletaknya kompleks kastam
sekarang adalah dahulunya suatu kawasan legenda Si Bongkok.

Hobi utama David ialah memanjat gunung (mountaineering).
Semasa mengunjungi Batu Caves, David meneliti curaman batu kapur
yang sebahagian menjadi dinding gua. Dari bawah tangga dia meneliti
curaman bahagian luar. Katanya dia tergiur untuk menskala curaman
Batu Caves itu dengan menggunakan peralatan memanjatnya. Namun,
dia terpaksa memendamkan hasrat itu kerana dia berkunjung
ke tempat itu sebagai pelancong biasa. Untuk tidak menghampakannya
kami membawanya mendaki Gunung Datuk setinggi 800 meter di
Gadong, Rembau Negeri Sembilan. Dengan ipar saya, Aziman Shah sebagai pemandu David berserta
sepuluh anggota pendaki yang lain, termasuk beberapa orang kanakkanak
memulakan pendakian pada pagi 3 Syawal. Dia membawa bersama
sebuah teropong buatan Rusia milik saya yang boleh mendekatkan
jarak objek yang jauhnya beberapa kilometer. Kesukaan David
seperti seorang anak kecil. Dia terkinja-kinja dan terlompat-lompat
bagaikan anak kena garu semasa mendaki. Di puncak gunung dia
terpukau dengan keindahan panorama. Kebiruan Selat Melaka jauh
berbalam dan di kaki gunung, melalui teropong jarak jauhnya dia menikmati
pemandangan kampung-kampung Melayu dan tanah sawah
yang terbiar. Tambah memukaunya ialah cerita Aziman tentang kekeramatan
dan legenda Gunung Datuk.

Konon ceritanya di puncak inilah pemimpin ulung adat perpatih
mewariskan sistem sosial baharu kepada anak-anak buahnya sebelum
pemimpin itu berundur diri. Juga konon ceritanya di atas gunung itu
duduk bertapa seorang keramat yang akhirnya berpindah ke Tanjung
Tuan, Port Dickson dengan hanya selangkah pergi. Makanya sehingga
hari ini masih ada kesan tapak kaki keramat itu di salah sebuah ketulan
batu pepejal di puncak gunung dan sebelah lagi tapak kaki dapat
pula dikesan di Tanjung Tuan. Barangkali dalam kepala David berlegar cerita legenda itu sekali
gus cuba mencari logiknya. Dia memerhatikan tapak kaki yang terukir
di atas batu, barangkali juga untuk mencari jawapan secara ilmiah.
Sekali lagi kami mendengar pendapatnya yang kami anggap lebih
berorientasikan pelancongan. Katanya Gunung Datuk berpotensi untuk
menjadi tempat pelancong yang baik kerana ketinggiannya yang
sederhana dan hawanya yang menyamankan.

“Saya secara peribadi, andainya ada rumah atau calet di sini sudah
pasti saya ingin bermalam dua atau tiga hari lagi. Keindahan flora dan
fauna di kawasan puncak gunung ini menakjubkan. Sungguh sayang
ia tidak dimajukan,” katanya.

Demikianlah, David yang menjadi tamu kami dalam usia semuda
itu telah menunjukkan kemampuan untuk berkomunikasi secara
efektif dalam bidang yang dia minati. Dia seorang anak muda yang
bercakap “main lepas” sahaja. Dia meluahkan rasa hatinya tanpa dia
sedari bahawa dia sedang bertamu di negeri orang. Barangkali juga,
latar belakangnya sebagai seorang yang berpendidikan dalam jurusan
bukan sains sosial membuatkannya bercakap seperti “orang celopar”.
Apa pun juga, kami kagumi semangat dan minatnya dan apabila kami
tanyakan siapa yang membiayai kos kunjungannya ke Malaysia, dengan
bersahaja dia menjawab, “saya sendiri”.

Menurutnya, dia belajar sambil bekerja. Dia mengambil masa beberapa
tahun menabung secukupnya untuk memulakan perjalanan.
Cara itulah yang dia lakukan untuk membiayai kos pengembaraannya
ke pulau-pulau Pasifik Selatan. Menurutnya lagi, dia menolak pemberian
ibunya, kerana “ibu masih punya tanggungan lagi”. Saya ada
seorang adik lelaki dan seorang adik perempuan yang masih bersekolah.
Jawapan itu mengingatkan kami kepada jawapan ibunya semasa
mula kami kenalinya dua puluh lima tahun yang lalu. Persis sama,
iaitu menabung secukupnya. Cuma terdapat sedikit perbezaan dari
segi cara menabung. Kalau David menabung melalui kerja sambilan,
ibunya pula menabung dengan bekerja sepenuh masa. Sebelum pulang
melalui Singapura, David membeli sepasang baju Melayu, sehelai
samping dan songkok dan untuk ibunya dia akan hadiahkan sepasang
baju kurung yang dia beli di Wisma Yakin, Masjid India, Kuala Lumpur.
(Utusan Zaman, 3 Mac 1996.)

No comments:

Post a Comment