Tuesday 2 February 2016

BUDAK KAMPUNG BILA DI KOTA: ITULAH DAK ABOK (NASIR MOHD NOH)

Porak rumah keluarga Nasir Mohd Noh di Kg. Tanah Datar, Gadong




Budak Kampung Bila di Kota
Saya memanggilnya Abuk. Nama ini nama timangannya waktu zaman anak-anak dahulu. Kenapa dia dinamakan Abuk tidak ada siapa daripada kalangan kawan-kawannya yang tahu. Barangkali nama Abuk itu ada kaitannya dengan badannya yang gempal dan pejal berbanding adik-beradiknya yang lain. Pun dia memang lebih gempal berbanding kawan-kawan yang sebaya dengannya.

Pernah juga kawan-kawan menyakatnya dengan nyanyian anak-anak yang liriknya dicipta mereka sendiri. Setiap kali menyanyi mereka akan melagukan, “Bok-bok bing bing, kerbau dak Abok banyak daging”. Mulanya Abuk marah dengan sendaan kawan-kawannya itu tetapi lama-kelamaan dia tidak ambil kisah lagi. Telinganya juga telah lali mendengar lirik sendaan itu. Malah, sesekali dia turut menyanyikan lirik itu. Pernah dia kata bahawa dia juga berbadan gempal kerana dia cukup makan minum, tidak seperti sesetengah kawan-kawan yang kurus kering macam cicak kubin.

Demikianlah dua hari lalu saya melihatnya semasa dia mengunjungi saya di pejabat. Cerita-cerita lama berarak lalu dalam kepala semasa kami berbual-bual santai. Rupa-rupanya dia punya sebab untuk “memunculkan diri” menemui saya pagi itu. Saya bergurau mimpi apa dia datang menemui saya dari jauh-jauh pekan Ampang ke Batu Tiga Shah Alam. Dia jawab yang dia hendak membuat penyelidikan.

“Kata nak pencen awal. Menyelidik?”
“Kerana nak pencenlah saya hendak buat penyelidikan,” jawabnya.
“Orang kalau nak pencen, modnya nak rileks saja. Ini tidak.”
“Untuk masa depan. Itu pun kalau termampu,” katanya lagi.

Abuk rupa-rupanya sedang menyiapkan satu kertas projek kursus sebelum bersara yang dia ikuti sekarang. Kursus yang diadakan di sebuah perbadanan kerajaan itu akan berakhir bulan ini. Dia ditugaskan membuat satu kertas projek niaga yang boleh membantunya memulakan perniagaannya sendiri setelah bersara kelak.
“Masih di tempat kerja lama?”
“Begitulah. Kita kakitangan kerajaan. Mana lagi. Asyik berpusing-pusing dalam cawan sahajalah.”
“Bila nak pencen?”
“Akhir tahun. Satu Januari depan saya masuk Kelab Elit Warga Tua.”

Tanpa ditanya Abuk bercerita. Walaupun dia masih punya dua tahun lagi untuk bersara, tetapi dia telah membuat keputusan untuk “menutup buku kerjanya” lebih awal. Jawatan yang disandangnya sekarang ialah Penolong Pengarah di sebuah jabatan kerajaan. Jawatan ini ialah puncak kerjayanya setelah bertugas selama 34 tahun dengan kerajaan. Dia menaikkan tangga kerjayanya dari bawah, bermula sebagai seorang kerani rendah. Kelayakannya cuma darjah 9 sekolah Inggeris masa dulu-dulu. Dan dengan berbekalkan kelayakan itulah dia meninggalkan kampungnya menuju Kuala Lumpur.

Dia bertugas di pelbagai jabatan dan kementerian. Berkat ketekunannya, dia menapak naik daripada kerani biasa kepada kerani besar. Kemudian dia bertugas pula sebagai pegawai kerja sebelum dia naik pangkat menjadi penolong pengarah. Tugas pengkhususannya ialah bahagian kewangan. Dia bertanggungjawab membantu menyiapkan gaji staf jabatan. Tugasnya sekarang pula berkait rapat dengan perancangan pembangunan. Pengalaman bekerjanya sungguh luas. Dia telah masak dengan sepak terajang, kerenah pentadbiran kerajaan dan sikap kepegawaian sesetengah kakitangannya.

Abuk mempunyai keluarga yang bahagia. Selama berkongsi hidup dengan isterinya, seorang wanita dari Perak, dia dikurniakan enam orang anak – tiga lelaki, tiga perempuan. Pada mulanya dia bercadang untuk mempunyai empat orang anak sahaja – dua pasangan – tetapi seperti yang dikatakannya “Tuhan tidak merestui apabila anak kedua, ketiga dan keempat semuanya lelaki.” Tuhan barangkali memakbulkan doanya apabila anak kelimanya perempuan. Begitu juga dengan anak keenamnya. Akhirnya dia mempunyai tiga pasang, lebih sepasang daripada rancangannya. Dia mengakui kehidupannya begitu mencabar apabila dia dan isterinya terpaksa menanggung enam orang anak. Dengan pendapatan yang tidak seberapa dan isteri pula tidak bekerja, dia terpaksa mengempiskan perut dan berlinang air mata untuk membesarkan anak-anak.

“Maklum, gaji kerani waktu itu berapa sen sangatlah. Harapkan adik-beradik, mereka juga dua kali lima hidupnya di Kuala Lumpur ini.” Nasib abang dan kakaknya tidak pula lebih baik daripadanya. Mereka juga punya keluarga besar dan bergaji kecil.

Abuk mula berwajah serius mengulangi cerita lamanya. Kedutan mukanya mengingatkan saya zaman persekolahannya. Pagi-pagi lagi dia telah mengayuh basikal Raleigh menuju pekan Kota yang jauhnya tiga kilometer dari rumahnya. Di pekan itu dia menunggu bas Southern berwarna merah untuk membawanya dan murid-murid sekolah lain ke pekan Rabu, 12 kilometer ke utara. Abuk belajar di Undang Rembau English School. Walaupun hujan dia tetap menunggang basikalnya. Pada masa itu sebelah tangannya akan memegang hendal basikal dan sebelah lagi memegang daun pisang untuk menutup dirinya daripada hujan. Biasanya sampai sahaja di pekan Kota dia akan basah kuyup dan sesampai di sekolah pula pakaiannya hampir kering kecuali seluarnya.

Setiap petang pada hari-hari sekolah dia dan kawan-kawan sebaya akan menghadiri kelas agama di madrasah Hulu Gadung yang sekarang dinamakan Sekolah Agama Berasrama Anak Yatim Hulu Gadung. Abuk akan berjalan satu kilometer dari rumahnya melalui sawah. Dia memakai kain pelekat yang digulung besar di bahagian perut dan baju Melayu, serta bersongkok kulup. Dia belajar asas-asas agama Islam seperti fardu ain, fikah dan tulisan khat. Sebelum kelas bermula dia dan murid-murid akan beratur di pekarangan madrasah sambil menyanyi lagu-lagu Arab.

Abuk bersyukur kerana didikan asas agamanya membolehkannya mendidik anak-anaknya dengan lebih baik di rumah. Secara peribadi dia berjaya membatasi dirinya di samping menyekat keinginannya untuk hidup seperti lazim anak-anak muda di kota besar. Barangkali latar belakang hidup orang tuanya juga turut memperkuat azamnya untuk tidak terjerumus “ke alam muda-mudi dan nafsu-nafsi kota besar”. Ayah seorang bilal di kampung sebelum dia meninggal dunia semasa Abuk berusia 30-an.

Kampung Baru, Kuala Lumpur menjadi tempat dia bermukim. Dia cuma pindah dari satu jalan ke satu jalan yang lain, tetapi tetap di kawasan Kampung Baru. Akhirnya dia berpeluang memiliki sebidang tanah lot di Ampang yang dulunya bekas lombong. “Rezeki anak-anak,” katanya. “Tidak banyak duit saya keluar semasa mendapat tanah itu.” Dia tidak menjelaskan lebih lanjut.

Hari ini, walaupun dengan pendapatannya telah sampai ke peringkat maksimum lebih kurang dua ribu tetapi dia hidup bahagia dengan isteri dan anak-anak. Seorang daripada anaknya telah pun bekerja, yang tentunya dapat membantu meringankan beban hariannya.

Di atas tanah lotnya itulah dia mendirikan sebuah rumah setingkat yang dibiayai melalui pinjaman perumahan kerajaan. Melihat rumahnya itu tidak ada siapa yang akan menduga bahawa pemiliknya adalah seorang yang hampir seluruh hidupnya bekerja dengan kerajaan sebagai pegawai rendah. Menurutnya, semuanya ini adalah hasil kerjasama dan tabah hati isterinya. Dia berjaya mengatasi semua cabaran, terutama cabaran kewangan. Abuk lebih rela tidak punya kenderaan asalkan keluarganya punya tempat berteduh yang selesa. Sejak dia membina rumahnya itu, Abuk ke pejabat menaiki kenderaan awam. Katanya mula-mula rasa janggal juga tetapi akhirnya “menjadi seronok pula”.

Dengan berterus terang dia meminta saya membantunya dalam tugas penyelidikannya. Dia begitu mengambil berat akan kursus yang sedang dia jalani waktu ini kerana mengikutnya dia “tidak mahu terperangkap dalam alam pencen” tanpa berbuat apa-apa. Anak-anaknya masih bersekolah kecuali yang sulung. Dia masih memerlukan wang secukupnya untuk memastikan pelajaran anak-anaknya tidak terbantut. Kadang-kadang, katanya timbul juga rasa kesal kerana dia berkahwin agak lewat. “Nak pencen tapi anak masih banyak yang sekolah,” katanya. Dengan setengah daripada pencennya nanti habis untuk membayar hutang rumah, dia tidak akan mampu lagi berbelanja seperti sekarang.

Penyelidikan Abuk berkisar kepada perniagaan buku dan alat-alat pejabat. Minatnya untuk berdagang buku ini timbul apabila dia melihat anak-anaknya suka membaca. Ada kalanya dia berasa sedih kerana tidak dapat membantu baik untuk membolehkan anak-anaknya membeli buku bacaan. Dia juga ingin membaca tetapi tidak mampu membeli buku. Maka atas desakan inilah minatnya sedikit demi sedikit timbul untuk memulakan perniagaan dalam bidang ini. Inti penyelidikannya ialah menganalisis sejauh mana prospek perniagaan ini dari segi jangka panjangnya. Dia diminta menganalisis pasaran buku dan untung ruginya. Dia ingin mendapatkan nasihat dan kalau perlu latihan amali daripada penerbit. Namun, katanya telah dua tiga penerbit dia hubungi tetapi tidak satu pun sanggup memberikan kemudahan.
“Dewan Bahasa dan Pustaka?”
“Tak dapat. Barangkali dia orang begitu sibuk atau dia orang tidak ada program latihan seumpama itu,” katanya.

Menurut Abuk, dia menandatangani berbagai-bagai pegawai Dewan Bahasa dan Pustaka, dia menemui siapa sahaja pegawai yang dia disuruh temui tetapi akhirnya dia berlegar-legar dalam bangunan dewan bahasa. “Berjumpa dengan seorang pegawai kepada pegawai yang lain tetapi akhirnya ditolak.”
“Kita sama-sama main guli dulu, main kotak rokok tembak, main gasing dan main getah takkan sekarang awak tak boleh bantu saya,” katanya. Dia seperti mengusik simpati melalui kisah anak-anak ini.
“Modal daripada mana nanti?”
“Belum tahu.”
“Pinjam MARA bagaimana?”
“Itu saya kena tanya diri saya dulu siapa saya,” jawabnya.
“Bagaimana dengan grituiti persaraan?”
“Tak berapa sen. Gaji pegawai cabuk seperti saya ini berapalah yang akan saya terima.”

Selepas berbincang untuk memenuhi kehendak penyelidikan, kami beredar ke sebuah kedai makan di taman Batu Tiga. Kemudian Abuk meminta dihantar ke stesen KTM Komuter Batu Tiga untuk membolehkannya naik komuter pulang ke Kuala Lumpur. Rambutnya yang sudah mula memutih merupakan simbol kedewasaannya menjalani liku-liku hidup kota. Bagi saya, Abuk adalah juga simbol kejiwaan seorang anak kampung yang berhijrah ke bandar dengan hanya berbekalkan kelayakan darjah 9 sekolah Inggeris. Baginya mungkin sumber rezekinya telah ditakdirkan ada di bandar, bukan di kampung di mana pada hari ini rumah orang tuanya hampir sahaja tersembam ke bumi.

Demikianlah satu kisah anak muda yang mengalami proses kedewasaan dalam lingkungan hutan batu metropolitan. Tidak banyak yang mengenali Abuk ini. Di pejabat orang lebih kenal dia sebagai Nasir, iaitu namanya yang sebenar.

No comments:

Post a Comment