Saturday 19 December 2015

ANAK CUCU GUNUNG DATUK: DOLLAH ABD. RAHMAN

Abdullah Abd. Rahman (kanan) bersama adiknya Bahari Abd. Rahman ketika mengunjungi  Kota Kasut Cibaduyut Ciry di Bandung beberapa tahun yang lalu.


Abdullah Abd. Rahman anak Ulu Gadong ketika berkunjung ke Masjid Salman di Kampus ITB Bandung beberapa tahun yang lalu. Gambar dibadikan Ahmad Fadzil Yassin 


ABDULLAH ABD. RAHMAN
Dollah Rahman Yang Mana Satu?
NAMA ini betul-betul baharu. Belum pernah saya dengar nama
ini sejak saya mengenal asam garam kehidupan lebih enam
dekad yang lalu. Tiba-tiba saya terlihat fotonya dalam Facebook.
Fikir saya, “Macam kenal, tapi siapa ya?” Setelah beberapa kali
berkomunikasi melalui media sosial itu, “foto” itu memaklumkan
bahawa, “saya abang Bahari Abd. Rahman. Nama saya Abdullah dan
berusia 70 tahun.” Ini tahun 2011. Pertama kali saya dengar Bahari
Abd. Rahman, suami Rosiah Othman (kini Datuk) mempunyai abang.
Saya kagum melihat foto yang dipamerkan dalam Facebook. Salin tak
tumpah wajah Bahari yang saya kenal sejak bersama sebagai murid di
Sekolah Tunku Besar Tampin tahun 1950-an dahulu. Itulah asal mula
saya mengenali Abdullah, seorang “waghih” daripada suku Tanah Datar,
Gadong. Kata Bahari, di kampung Abdullah popular dengan panggilan
Dollah.

Mengikut cerita yang empunya badan Dollah merantau ke Kuala
Lumpur setelah dikatakan merajuk akibat tertekan dengan cakapcakap
kurang positif orang kampung terhadap dirinya. Beliau meninggalkan
kampung setelah tamat belajar setakat Darjah VII di Sekolah
Melayu Kota (terletak di Kampung Perah) sekitar tahun 1955. Dengan
berbekalkan pendidikan di tahap itu dan dilengkapi asas-asas ilmu
agama yang dipelajarinya di Sekolah Agama Ulu Gadong (kini dinamakan
Sekolah Menengah Agama Haji Mohd. Yatim, Ulu Gadong),
Dollah meneruskan pelajaran secara sendiri-sendiri sehingga berjaya
memasuki Institut Pertanian Serdang. Rumah tradisi keluarga Dollah
terletak di Tanah Datar, Gadong. Dollah akhirnya memajukan bidang
kerjayanya dalam bidang pertanian dan berkhidmat sebagai kakitangan
kerajaan. Menurutnya mana negeri yang beliau tidak memberikan
khidmatnya. Beliau cukup banyak pengalaman bagaikan beliau
sendiri faham asam garam sebagai seorang anak tani, lahir dan membesar
di kampung.

Barangkali beliau amat memahami bahawa ayahnya seorang penoreh
getah, manakala ibunya seorang pesawah. Apatah lagi apabila
beliau adalah ahli waris yang taat mengamalkan sistem Adat Perpatih.
Anak suku Tanah Datar ini pernah menyemenda ke suku Biduanda
Gadong. Beliau aktif dalam kerja-kerja sosial dan kemasyarakatan.
Beliau tidak mengasingkan diri dalam memahami politik tanah
air. Malah, beliau memperkasa dirinya menjadi seorang yang pintar
berkomunikasi dengan penduduk setempat, terutama di tempat
beliau tinggal sekarang, iaitu di Taman Seri Rampai, Setapak Jaya.
Begitu akrabnya beliau dengan anggota masyarakat setempat beliau
terus dipilih menjadi pemimpin masyarakat (opinion leader) yang
saya anggap amat disenangi. Beliau cepat mesra, mesra tegur sapanya
malah ketawanya telah menjadi ciri khas perawakannya. Saya sendiri
baru mengenalinya kira-kira sebulan yang lalu tetapi kemesraan bersamanya
seolah-olah saya telah mengenalinya sejak mula mengenal
asam garam kehidupan. Dan ketika beliau menyebut nama saya, seolah-
olah saya merasa saya seperti mempunyai seorang abang kandung
yang sejak 50 tahun lalu hilang “entah ke mana”.

Pada 8 November 2011 yang lalu, saya, Dollah dan adiknya Bahari ke
kampung untuk menemui beberapa orang kampung yang telah lama
tidak dikunjungi Dollah. Maklum sejak Dollah merantau pada tahun
1955. Nama yang masih meniti di bibirnya ialah Haji Hamdan Yatim,
anak mantan Kadi Rembau, Haji Mohd. Yatim Haji Zainal, Abd. Latiff
Rahman yang sesuku dengan Dollah dan seorang dua yang namanya
masih meniti di bibirnya. Sepanjang hari Selasa itu kami mengadakan
kunjungan ke rumah mereka. Di Bongek kami menemui Haji Ham-
dan, kini bertugas sebagai Imam di Masjid Bongek, Chengkau. Kalau
tidak dilerai pertemuan dua kawan lama ini barangkali Dollah mungkin
“kena tinggal bermalam di rumah Hamdan.”

Kemudian kami mengunjungi
Latiff Rahman di Lubok China di Taman Berembang Jaya.
Latiff sempat memperkenalkan kolam mandi mini dan Homestay Villagenya.
Kami dijamu dengan masakan khas “ikan sembilang sungai
gulai lomak cili api”. Sebelum mengunjungi ibu saya, Minah Wahab
dan bekas rakan sekerja, Haji Majid dan isteri, Kak Chik, kami bertiga
sempat mengunjungi replika Istana Raja Melewar di Istana Raja.
Ketika singgah di rumah keluarga di Tanah Datar, Ulu Gadong, Dollah
dan Bahari akan bernostalgia, malah bertafakur beberapa minit di
“porak” rumah. Rumah keluarga ini mungkin telah berusia satu abad
tetapi masih utuh. Binaan dan struktur rumah masih kukuh. Rumah
yang terletak betul-betul di belakang Sekolah Menengah Agama Haji
Mohd. Yatim, Ulu Gadong. Ketika di rumah Minah Wahab, perbualan
berlangsung hampir satu jam. Abdullah banyak bercerita tentang
kisah beliau masih kanak-kanak dan beliau dianggap nakal. Abdullah
dan Bahari dijamu dengan lemang dan rendang kerana kebetulan sudah
masuk waktu minum petang. Sebelum meninggalkan kampung,

Abdullah menguji ingatan teman sekerjanya, Majid yang tinggal sejiran
dengan rumah ibu saya, Minah. Ternyata Majid tidak mengenali
Abdullah sehingga Majid mendengar ketawanya. “Dollah ni. Apa buat
kat sini?” dan walaupun perbualan ringkas tetapi mereka saling berpelukan
dan bercerita kisah lama ketika bertugas di Kuala Lumpur. “Kita
akan jumpa lagi, insya-Allah,” kata Abdullah. Daripada Majid Abdullah
kami dapat tahu bahawa Majid suami isteri baru sahaja “pulang kampung”
beberapa tahun kebelakangan ini. Begitulah perjalanan Abdullah
dengan ditemani adiknya Bahari dan saya menelusuri sepanjang jalan
kenangan sehari suntuk hanya untuk menemui dua tiga orang rakan
lamanya yang tidak pernah ditemuinya sejak tahun 1955. Seorang budak
kampung yang merajuk hati yang akhirnya menjadi seorang yang
dianggap popular dalam kalangan komunitinya di tempat baharunya di
Kuala Lumpur.

 Itulah Haji Abdullah Abd. Rahman yang kini bertugas
sebagai Pengerusi Masjid Taman Seri Rampai, Setapak Jaya. Namun,
beliau tetap sederhana dalam penampilan, cepat mesra dan mudah
bergaul. Beliau turut memiliki blognya sendiri yang beliau namakan
Cahaya Andang, http://www.cahayaandang.blogspot.com.

1 comment:

  1. Assalammualaikom. Amat tertarik sya dengan tulisan ini. Syabas di atas kegigihan sdr Abdullah & Bahari. Sya tak begitu ingat tentang sdr Abdullah kerna munkin dia lebih senior dan meninggalkan kampong masa sya maseh hinggus meleleh. Munkin sya kenal dan ingat sdr Bahari ... kalau betul lah ingatan sya ... rumah nya di hilir rumah Band Endeh tukang gunting yg anak eh sebayo dgn sya yg bernama Ujang (kita panggil dia dulu Ujang Midu)..berhampiran juga dgn umah dak Bulat anak Wan Tu Som??? dan rumah Tobakan Hj Kadir. Kg tu dulu kito panggil Todatar. Emak bernama .. minta maaf yo dgn namo yg sya ingat - cik kambam yg selalu lalu kek porak umah emak sya ketika dlm perjalanan kesawah eh kek moro. Masa tu sya amat takut bersemuka dgn ayah kamu Abd Rahman sebab sya selalu kono lolah kek cik Aman kek sawah moro kerna mancing ikan kek lubok eh kek situ.. ha ha lucu nya bilo teringat zaman tu. Kalau ini betul maka itu lah sdr Bahari yg saya ingat, kalau tak munkin org lain yg sya tak ingat. Wallahhualam. Tolong bori pencerahan kalau boleh. Tkaseh.

    ReplyDelete