Saturday 26 December 2015

KAMPONG JERAM : NASIB PESAWAH BERNAMA UJANG

Dari kaki Gunung Datuk ketulan baesar batu batan yang menjadi ciri utama puncak gunung dibadikan dari kaki gunung oleh Ahmad Fadzil Yassin
Sebahagian dariada Banjaran Titiwangsa yang menempatkan lokasi Gunung Datuk di salah satu puncak tertinggi Banjaran.. Gunung Datuk mempunyai ketinggian sekitar 800 meter dari paras laut



Nasib Pesawah Bernama Ujang
Di Kampung Jeram
REMBAU
Nasib Pesawah Bernama Ujang di Kampung Jeram
UJANG berusia 38 tahun beristeri dan mempunyai enam orang
anak serta satu tanggungan lain, iaitu ibunya yang sudah tua.
Ujang adalah nama “manja” Ahmad Abdul Rahman, nama
yang lebih dikenali oleh orang Kampung Jeram, Kota, Negeri Sembilan.
Istilah “Ujang” dikaitkan dengan “sudah besar dan sudah remaja”
dan membawa maksud dia sudah boleh diharapkan untuk membantu
ibu dan bapa walaupun dalam usia yang masih kecil. Biasanya pada
waktu kecil dahulu, Ujang berasa bangga dipanggil dengan nama itu
dan akan berbuat segera segala yang disuruh orang tuanya. Jadi, dia
membantu orang tuanya bersawah dan menoreh getah. Sekarang
Ujang sudah mempunyai keluarga sendiri. Dia tidak lagi membantu
orang tuanya, tetapi berkewajipan pula menghidupkan semua anggota
keluarganya. Untuk memenuhi kewajipan inilah yang menjadi
masalah pokok Ujang.

Kampung Jeram merupakan salah sebuah kampung di Mukim Gadong,
Daerah Rembau yang menyediakan sawah dan tanah getah sebagai
sumber pencarian penduduknya. Kebanyakannya adalah harta
warisan tanah pusaka turun-temurun diwariskan. Tanah sawah yang
dikerjakan oleh Ujang sekarang adalah kepunyaan isterinya Kama-
riah Zainuddin, warisan pusaka daripada ibunya. Memang, di negeri
yang bersandarkan kebiasaan sistem Adat Perpatih harta warisan diturunkan
kepada pihak perempuan. Melalui sistem ini, Ujang tidak
berhak menerima tanah pusaka. Maka jadilah Ujang sebagai pekerja
di tanah sawah isterinya.

Luas tanah sawah yang dikerjakan oleh Ujang ialah satu ekar. Tanah
seluas ini dibahagi berpetak-petak atau “berlopak” mengikut istilah
daerah ini. Ada 10 lopak semuanya, setiap satu luasnya kira-kira 30 x
40 kaki. Menurut Ujang jenis bibit yang digunakan untuk sawahnya
ialah Mahsuri. Sekali tanam mendatangkan hasil kira-kira 300 gantang
padi bersih. Jumlah ini didasarkan kepada penanaman padi
sekali setahun sahaja. Memang sudah menjadi tradisi di daerah ini
sawah dikerjakan sekali setahun. Kebiasaan ini ditentukan oleh faktor
lingkungan dan “kehendak alam”. Maksudnya, kebanyakan yang
ke sawah terdiri daripada kaum wanita dan ibu-ibu kecuali beberapa
orang lelaki seperti Ujang yang tidak mempunyai kerja tetap yang.
Lazimnya orang lelaki menoreh getah. Di sawah kaum wanita akan
bekerja dari pagi sampai ke petang. Setelah padi masak dan dituai
selepas enam bulan, biasanya mereka akan istirahat untuk beberapa
bulan sebelum “turun ke sawah” semula.

Ujang juga terpaksa mengikut kebiasaan ramai. Dari segi kehendak
alam pula, Ujang dan juga pesawah lainnya terpaksa menunggu
musim. Pada musim hujan mereka mula turun ke sawah dan pada
musim panas, padi sudah menguning untuk dituai. Jika Ujang dan
orang kampung lainnya tidak menurut “ kehendak alam” begitu makan
hasilnya tidak akan sampai ke peringkat yang menguntungkan. Pernah
satu kali Ujang cuba mengerjakan sawahnya dua kali setahun, kerana
dia mempunyai banyak waktu yang terluang. Hasil yang diperolehnya
pada penanaman yang kedua kali jatuh merosot disebabkan musim
yang tidak sesuai ditambah musuh-musuh padi seperti hama dan tikus,
itik dan kambing.

Kata Ujang, jumlah 300 gantang bersih yang diperoleh setahun itu
sudah tentu tidak mencukupi. Tiga bulan terakhir sebelum padi baharu
dituai dia terpaksa membeli. Maka di sinilah timbul masalah daya
belinya. Dia berusaha mengambil upah menebas ladang. Tidak cukup
dengan upah itu dia berusaha pula menoreh getah. Hasilnya dibahagi
dua. Kerja menoreh getah ini dilakukannya dalam masa enam bulan
dia tidak ke sawah. Pendapatan hasil torehan tidak seberapa. Purata
sebulan setelah ditolak hari hujan dan keadaan badan yang tidak
mengizinkan pendapatannya sekitar RM48.00. Sehari menoreh dia
memperoleh empat keping getah, setiap keping beratnya 11⁄2 kati.
Demikianlah kehidupan ekonomi Ujang, sehingga sering sahaja
dia mengeluh bahawa hidupnya sekeluarga adalah serba-serbi dalam
kekurangan. Persoalannya yang paling berat dan mendapat perhatian
khusus ialah bagaimana menyesuaikan diri dengan keperluan hidup
moden. Maksudnya tiga orang anaknya yang tertua, masing-masing
12, 11 dan 10 tahun sedang berada di sekolah rendah.

Pada tahun depan seorang lagi akan disekolahkan. Soalnya mereka perlu pakaian
sekolah di samping pakaian rumah, perlu makanan yang cukup, perlu
menjaga kebersihan dan sewaktu-waktu perlu membayar yuran dan
buku tulis. Ujang memikirkan juga tentang persekolahan anaknya
yang tertua yang akan ke sekolah menengah pada tahun hadapan. Ini
menambahkan lagi bebannya untuk mempersiapkan diri.
Ujang berterus terang bahawa setiap amalan sebelum tidur untuk
bangun menghadapi masalah hari esoknya, dia dan isterinya sering
membincangkan nasib mereka sekeluarga. Ujang ingin mengubah nasibnya,
mencari jalan sebaiknya bagaimana mengurangkan masalah
kewangan rumah tangganya. Melalui radio yang hanya dapat mereka
dengar waktu malam hari, di bandar banyak terdapat peluang kerja.
Malah, melalui kawan-kawan yang sering diajak berbual waktu sekalisekala
di kedai kopi di kampung itu, Ujang difahamkan bahawa bandar
itu adalah “gudang pekerjaan”.

Namun, Ujang mempersoalkan pula tingkat pendidikannya. Dia
hanya lulus Darjah VI Sekolah Melayu. Pekerjaan apa yang boleh
dibuatnya kecuali buruh kasar. Kadang-kadang terfikir juga olehnya
akan keuntungan bekerja menjadi buruh kasar di bandar. Gajinya
tetap, tempatnya di bandar yang bererti dia perlu berhijrah. Sudah
tentu juga gajinya akan lebih besar dibandingkan dengan apa yang
diperolehnya sekarang, tetapi dalam waktu terdekat ini dia belum
berani mengambil keputusan berhijrah. Sebabnya ialah dia bimbang
dengan keadaan hidup di bandar. Sudah banyak didengarnya bahawa
adalah lebih baik hidup di kampung dengan pendapatan RM100.00
sebulan daripada hidup di bandar dengan pendapatan RM300.00.
Dia menggunakan akal sihatnya dengan mencongak-congak. Di ban-
dar semuanya perlu dibeli, sayurnya, lauknya dan lain-lain yang pokok
dan remeh. Sedangkan di kampung itu boleh didapatkan dengan
usaha sendiri. Sayur ditanam, lauk ada di sungai dan di sawah.
Dalam pada itu dia terfikir pula tentang kawan-kawannya yang sudah
berhijrah ke bandar. Mereka bekerja sebagai buruh kasar, buruh
kilang atau bekerja sendiri. Mereka mempunyai tingkat pendidikan
yang sama dengannya. Sesekali mereka pulang Ujang melihat perubahan
pada diri mereka, baik dari segi berpakaian mahupun dari
segi bertingkah laku. Ujang kadang-kadang mengagumi keberanian
kawan-kawannya yang paling rapat yang telah berkeluarga yang pada
penglihatannya “sudah hidup mewah di Kuala Lumpur”.

Ujang masih terus menimbang-nimbang. Tanah sawah yang dikerjakan
memberikan hasil yang sama setiap tahun sedangkan keluarganya
semakin bertambah besar. Kawan-kawannya yang sudah bekerja
di bandar dilihatnya semakin bertambah “segar dengan angin bandar”
sedangkan dia masih tetap seperti keadaan biasa. Barangkali Ujang
sedang membentuk sikap baharu. Mana tahu satu hari dia memutuskan
untuk mengikut jejak kawan-kawannya yang telah terlebih dahulu
meninggalkan cara hidup lamanya. (Dewan Masyarakat, 15 Jun
1980.)



No comments:

Post a Comment