Friday 18 December 2015

PERGINYA AMRAH YASIN ATEH YANG JUGA MAK TEH KAMI



Ketika mengerjakan Umrah tahun 1998. Dari kiri Mak, Amrah dan Ruby.


PERGINYA AMRAH YASIN, ATEH DAN MAK TEH KAMI

29 Ogos 2012
Hajah Amrah Yasin TBS 1969 kembali ke rahmatullah (1951-2012) Segala-galanya bermula apabila sehari sebelumnya, iaitu pada 28 Ogos 2012 Amrah mengadu sesak nafas. Ketika itu tidak ada seorang pun berada di rumah keluarga di Gadong kecuali Amrah dan mak yang juga tidak sihat badan. Amrah ambil inisiatif panggil ambulans dari Hospital Tampin. Mak tinggal di rumah sendirian sementara Amrah ke hospital kira-kitra tengah hari dengan ambulans. Pada pukul 3.00 petang Amrah dipindahan ke Hospital Tuanku Jaafar di Seremban kerana disyaki kesesakan nafas dikaitkan dengan jantung. Apabila ahli-ahli keluarga sampai kira-kira pukul 4.00 petang di Bahagian Kecemasan hospital, Amrah masih lagi dirawat di bilik kecemasan sementara.

Kira-kira jam 6.00 petang Amrah dipindahkan ke wad di tingkat 6A. Saya bersama Basrah dan Shahrir ikut ke wad. Kami berbual perlahan dengan Amrah. Tidak banyak bicaranya kali ini. Lebih banyak diam diri, namun kami lihat nafasnya telah kembali seperti biasa, mungkin kerana Amrah masih dibantu alat pernafasan. Dua orang doktor merawatnya dan setengah jam kemudian Basrah memberi Amrah seteguk air kerana haus barangkali. Tidak beberapa saat kemudian, Amrah muntah. Saya menggenggam tangan kirinya, erat dan seolah-olah tanpa mahu melepaskannya. Saya tidak pasti sama ada saya menciumnya seperti yang selalu saya berikan setiap kali bertemu. Apa pun, pandangan Amrah tepat ke mata saya seperti mahu berkata sesuatu, namun tidak terungkapkan. Pandangan Amrah begitu sayu, bagaikan Amrah mahu mengulangi kata-katanya ketika bersama-sama keluarga di kampung. Katanya ketika di kampung, “Oni sayu saja sehari dua ini.” Mengapa Amrah berkata begitu kami tidak pasti.

Kira-kira jam 9.00 malam saya menerima panggilan telefon daripada doktor yang merawatnya. Doktor wanita itu memaklumkan risiko yang bakal dihadapi Amrah kerana “pihak kami berusaha menstabilkan jantungnya yang tersekat oleh darah yang semakin membeku.” Doktor berusaha mencairkan darah di pembuluh. Apabila saya desak risiko apa yang bakal diterima, saya terkejut besar dengan tanda-tanda yang diberikannya. Lantas saya terus menghubungi anggota keluarga agar bergegas ke hospital dan memantau keadaan dengan lebih dekat. Ketika ini semua anggota keluarga mula berkumpul di rumah Amrah di Paroi Jaya, Seremban. Manakala saya pulang sebentar menjemput isteri di Rawang.

Saya kembali ke Hospital Seremban pada pukul 1.00 pagi 29 Ogos. Kami kemudian dinasihatkan pihak hospital supaya berehat di rumah sahaja kerana tidak ada apa yang dapat dilakukan kecuali berdoa sahaja. Manakala Amrah telah dipindahkan ke bilik CCU. Sementara itu semua anggota keluarga telah berkumpul di Paroi. Ada yang datang sejauh Johor Bahru, dari Gadong dan dari Kuala Lumpur, berdoa dan berharap agar Amrah kembali pulih. Ada sesuatu yang memilukan kami apabila Amrah berbisik kepada adiknya Basrah sejurus sebelum kami diminta meninggalkan wad untuk tujuan rawatan intensif. “Kalau Oni koma, ertinya maut.” Dua kali Amrah berbisik kepada Basrah. Sedih dan terlalu pilu rasanya apabila kami mendengarnya dan begitulah sekitar 2.30 pagi kami terima panggilan telefon daripada hospital meminta kami datang segera. Basrah yang menerima panggilan itu memberitahu, “Sedih bunyi suara di hujung talian.”

Kami pun mengerti apa yang Basrah maksudkan dan apa yang kami takuti berlaku selama ini pun berlakulah. Semasa kami sampai Amrah telah pergi buat selama-lamanya. Innalillahi- Wainna-Ilaihi Roji’un! Tenang wajahnya adalah segala-galanya bagi kami. Masih segar dalam ingatan, pernah Allahyarham ingin mengerjakan haji sekali lagi pada tahun 2013 (kali ketiga). Pernah juga pada hari raya kedua lalu, Allahyarhamah bincangkannya dengan keluarga, malah dengan anak saudaranya, Izanul Fazliah yang bertugas di Tabung Haji, di Kuala Lumpur. Allahyarhamah bersetuju untuk bersama-sama Izanul ke Mekah pada tahun 2014.

Menurut beberapa orang anggota keluarga Allahyarhamah banyak kali meminta maaf sambil berpelukan, terutama dengan adiknya Mohd. Zaki (her immediate younger brother). Tetapi ketika itu mungkin kedatangan lebaran menyebabkan Allahyarhamah bermaaf-maafan dengan anggota keluarga. Tidak ada yang luar biasa. Allahyarhamah pernah menyebut ingin mendermakan sebahagian daripada pungutan sewa apartmennya di Ampang kepada yang memerlukan. Namun, ia belum dapat dilaksanakan kerana masih di peringkat cadangan.

Allahyarham memulakan kerjayanya sebagai jurujual Syarikat Minyak Geliga di Johor Bahru sebaik sahaja selesai persekolahan di Tunku Besar School, Tampin pada tahun 1969. Allahyarham ke Johor Bahru dan tinggal bersama kakaknya Sabariah yang bekerja di sana. Lagi pula, saya sebagai abang sulungnya, bertugas di Johor Bahru. Semasa bekerja secara sementara di Syarikat Minyak Geliga ini, sempat pula Allahyarhamah berkawan sesama jurujual yang lain, antaranya Othman Hj. Zainuddin (yang kemudian bertugas di DBP sebagai pelukis). Tidak lama Allahyarham di syarikat itu, Allahyarhamah bertugas pula sebagai kerani kewangan di Hongkong Bank di Petaling Jaya. Allahyarhamah kemudian bertugas pula dengan Malaysia-Singapore Airline (MSA) sebelum Allahyarhamah pindah ke MAS. Jawatannya sebagai Pramugari MAS membolehkannya berkhidmat di dalam (domestic) dan di luar negara (international). Teman sekerjanya Ayob Hashim mungkin lebih mengetahui perkara ini.

Kesihatannya mula terganggu sejak pertengahan tahun 1977 dan akhirnya terpaksa bersara awal (pencen ilat) melalui SOCSO. Kesihatannya dikaitkan dengan penyakit apa yang disebut doktor sebagai SLA (a rare disease). Allahyarhamah berubat ke merata-rata tempat di dalam dan luar negara. Pernah bertemu tabib di Bandung dan di Solo. Ada pula yang menganggap Allahyarhamah “termakan santau”. Bersama rombongan GAPENA, Allahyarhamah mengerjakan umrah pada tahun 1989. Allahyarhamah pernah mendirikan rumah tangga dengan pegawai eksekutif bank, Kassim Sir beberapa ketika, namun oleh sebab kesihatannya tidak mengizinkannya untuk kekal bertahan dan mereka berpisah beberapa tahun kemudian. Antara yang hadir di majlis perkahwinan Allahyarhamah ialah dua rakannya, iaitu Dato’ Usman Awang dan Dato’ M. Noor Azam.

Ketika berkunjung ke Bandung pada tahun 1977, Allahyarhamah suami isteri pernah diraikan oleh mantan Dekan Fakultas Pubisistik, UNPAD, Drs. Onong Uhjana Effendy M.A. Ini adalah sebagai balasan kunjungan Pak Onong ke Malaysia di mana Allahyarhamah meraikannya dalam satu jamuan khas di rumah Allahyarhamah di Subang Jaya, ketika itu. Sejak berpisah Allahyarhamah tinggal sendirian bersama mak di kampung. Hajat mak untuk berziarah ke Makam Walisongo ditunaikan apabila kami mengunjungi Makam Walisongo di Cirebon pada awal tahun ini. Kami berempat ke sana, bertemankan teman-teman dari Bandung Allahyarhamah, mak, kakak ipar Ruby dan saya. Di Bandung yang menemani kami ialah Deni Moerdiana. Walaupun pada mulanya kunjungan ke makam akan disertai oleh dua lagi anggota rombongan, Abdullah dan Bahari Abd. Rahman, jiran sekampung tetapi oleh sebab kesuntukan masa Abdullah dan Bahari terpaksa pulang ke Kuala Lumpur lebih awal. Al-Fatihah!

Ucapan takziah melalui Facebook: Erina binti Eddy, Drs. (Jakarta): Assalamualaikum WBT, Abang dan kakak, kami sekeluarga mengucapkan Innalillahi wa innailaihi rojiun atas berpulangnya Almh. Kak Amrah ke pangkuan Ilahi Robby, semoga almh diterima di sisi Allah SWT dan diterima amal ibadahnya, Aamiin Ya Robb…. Ahmad Fadzil Yassin: Innalillahi Wainna Ilaihiraji'un!!


Berpulangnya adik kami, Hajah Amrah binti Yasin (62), ke rahmatullah pada 2.30 pagi 29 Ogos 2012 adalah kehilangan yang amat sukar diterima, namun demikianlah perencanaan Ilahi yang tidak dapat kita mungkiri. Namun, Allahyarhamah lebih disayangi dan kami terpaksa relakan adik kami pergi. Adik kami pergi dengan wajah yang tenang, namun tersirat daripada wajah tenang itu terukir keabadian jiwa yang luhur dan ikhlas, insan istimewa! Dan kepadamu ya-Allah, kami serahkan kembali. Pagi ini kami masih lagi mendengar ingatan terakhir bacaan terakhir talkin oleh Haji A. Rahman, Imam Masjid Kg. Gadong memanggil Allahyarhamah, "Ingatlah Amrah anak Minah, tinggallah kamu sekarang berdepan dengan Allah, jawablah dengan tenang apa-apa sahaja yang akan ditanyakan, kerana yang bertanya itu juga adalah makhluk Allah jua."

Unit Forensik Hospital Tuanku Jaafar Seremban mengesahkan punca pemergian adik kami ialah myocardial Infraction with Cardiogenic Shock. Bersemadilah adik kami di daerah yang kekal dan abadi. Selama-lamanya. Daripada Tajul Ariffin Kamat kami terima mesej, “Assalamualaikum wrbth.. Inna lillah hi wainna lillah hirajiun.. Alfatihah… Dukacita dimaklumkan bahawa sahabat kita Amrah Yasin, ex-TBS 69 telah kembali ke rahmatullah jam 2.00 pagi ini di Kg. Gadong, Rembau. Jenazah akan dikebumikan selepas solat zuhur. Alfatihah... Ini ialah nombor mobile arwah dan sekiranya ingin mendapatkan alamat arwah, adiknya akan memberitahu lebih lanjut 019 2690825,” 7.56 am, 29 Ogos 2012.

Ucapan takziah SMS: Antaranya daripada Mohd. Sedek Suleiman: “Innalillah…Takziah. Semoga Allah menempatkan rohnya di tempat mereka yang beriman”, 4.00 am, 29 Ogos 2012; Wan Aizan Wan Ahmad, “Salam. Takziah dari saya untuk sdr sekeluarga. Innalillah…Di mana meninggalnya & nak dikebumikan di mana?” 6.59 am 29 Ogos 2012; Mohd. Zain Yassin, “Innalillah… Saya dan isteri mengucapkan takziah atas meninggalnya adinda anda tersayang. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas roh beliau. Al-Fatihah!” 7.22 am 29 Ogos 2012; Mohd. Ruskeen Suleiman “Salam Bang. Takziah untuk abang sekeluarga. Akeen x dapat hadir ke Gadong. Semoga roh Aunty Amrah dicucuri rahmat,” 7.29 am, 29 Ogos 2012; Dato’ Suriah Abd. Rahman, 7.36 am, 29 Ogos 2012. (Bercakap melalui telefon sebelumnya); Zahriman Alias, “Innalillah…Salam takziah dari saya dan isteri atas pemergian adinda Abang Fadzil tercinta. Allah juga yang telah menyayanginya. Al-Fatihah! Semoga rohnya berada di tempat orang beriman,” 8.09 am, 29 Ogos 2012; Dr.  Ismail Abdullah, “Saya dan keluarga turut berdukacita. Semoga rohnya mendapat tempat yang baik di sisi Allah SWT. Amin! Semoga anda tabah menghadapi ujian ini – Ismail & Umi,” 8.21 am, 29 Ogos 2012.

Daripada Borhan & Zahrah, “Salam takziah daripada kami sekeluarga. Al-Fatihah! Kami doakan rohnya dicucuri rahmat Allah SWT,” 10.05 am, 29 Ogos 2012; Dra. Ervinna Hadiyanto, Bandung, “Bang, kami mengucapkan ikut berdukacita yang sedalam-dalamnya. Semoga amal ibadah beliau diterima Allah SWT. Amin! Dan keluarga besar abang dapat menerima dengan lapang dada. Nanti saya sampaikan ke teman-teman salam berduka buat keluarga besar di Malaysia. Bang, wah, mengejutkan kami.” 8.25 am 01 September 2012; Prof. Dr. Deddy Mulyana, Bandung, “Innalillah…. Saya sekeluarga ikut berdukacita bang. Semoga Kak Amrah Almarhumah diterima di sisi Allah SWT. Amin!” 9.15 am, 1 September 2012.
Dra. Irawaty Nasution, Drs. & Karim Papatungan, Jakarta, “Turut berdukacita. Semoga arwahnya mendapat tempat di sisi Allah. Diampuni segala dosanya. Diterima iman Islamnya dan yang ditinggalkan diberi kesabaran. Wass,” 11.09 am, 1 September 2012. Dr. Betty Soemirat & Dr. Soleh Soemirat, “Innalillah…. Pa Fadzil dan Bu Ruby ytc, saya dan Pa Soleh sekeluarga turut berdukacita atas wafatnya Kak Amrah. Semoga Almarhumah mendapat tempat yang paling mulia di sisi-Nya dan kepada keluarga yang ditinggalkan, semoga diberi ketabahan dan kekuatan iman. (Soleh Soemirat sekeluarga di Bandung),” Bu Betty kemudian bercakap melalui telefon dengan saya selama 5 minit bercerita tentang arwah. 5.36 pm, 1 September 

Al-Fatihah! 

2 comments:

  1. Menarik tulisan ini. Mungkin ada lagi anak Mukim Gadong yang pernah bertugas sebagai Pramugari dalam pelbagai Airline bagus juga kita kongsi pengalaman. Untuk manfaat anak-anak Mukim Gadong ynag tertarik dengan kerjsya ini.

    ReplyDelete
  2. Al-Fatihah, semoga rohnya ditempatkan bersama orang2 yang solehah... Aamiin.

    ReplyDelete