Monday 21 December 2015

MENGINGATI ABAH DI PAGI KERAMAT



Hj. Yassin Bin Hj. Zainal - Abah -  ketika berusia 74 tahun

Abah (Hj. Yassin Bin Hj. Zainal) meninggal dunia pada tahun 1985 semasa berusia 74 tahun. Ketika abah masih hidup saya sebagai anak sulungnya dan sebagai seorang kanak-kanak rindukan alam kanak-kanak. Saya jarang dapat bermain dengan kawan-kawan sebaya kerana pada waktu petang saya mengikuti kelas agama dan pada hari cuti sekolah dan hujung minggu saya terpaksa bantu abah menoreh getah di ladang. Pernah satu kali saya dibaling dengan kasut oleh abah kerana enggan mengikutnya menoreh. Saya geram dengan tindakan abah tetapi saya takutkan abah. Kadang-kadang timbul juga rasa benci terhadap abah. Mak juga tidak berbuat apa-apa apabila abah berada dalam keadaan marah dan panas baran.

Demikianlah saya kurang dapat manfaatkan alam kanak-kanak. Say tidak seceria seperti halnya kanak-kanak lain di Kg. Gadong yang petang-petang hari pergi melastik burung dalam belukar dan tangkap belalang di tengah sawah. Ada pula yang memancing dan tidak kurang yang memanjat pokok jambu batu yang tumbuh liar di kawasan hutan di belakang kampung. Apa pun jua, saya tidak dapat melupakan satu peristiwa yang terjadi kepada saya yang mengubah sikap saya terhadap abah. Saya tidak pasti bila peristiwa itu berlaku tetapi saya masih ingat, pada waktu itu saya masih menuntut di sekolah rendah Inggeris kerajaan.

Abah bercerita kepada saya. Pada satu pagi abah ke dusun durian di lereng bukit kira-kira 10 kilometer dari Bukit Tempayan di penghujung selatan Banjaran Titiwangsa. Orang kampung menamakan kawasan lereng bukit itu Dusun Nangka dan semua kawasan itu ditanam dengan durian. Abah ke dusun untuk menebas kerana musim durian akan bermula tidak lama lagi. Abah mendapati banyak buah durian pada musim itu. Dalam pada itu abah faham sangat, waktu-waktu terakhir ini dusun nangka kerap benar menjadi sasaran pengeboman pihak tentera kerana dusun nangka dianggap laluan dan sarang pengganas komunis. Kawasan itu masih diisytihar kawasan hitam. Namun, musim durian mendorongnya kuat untuk menebas dusunnya walaupun dia bermain dengan bahaya. Bila-bila masa sahaja dia mungkin terserempak dengan pengganas komunis atau berada di tengah-tengah sasaran operasi tentera.

Biasanya sebelum memulakan operasi, pihak tentera akan menaburkan lembaran-lembaran kertas dari udara meminta orang kampung meninggalkan kawasan sasaran. Sebuah helikopter akan terbang rendah untuk menaburkan lembaran-lembaran itu dari udara, sambil menasihatkan orang kampung melalui pembesar suara supaya meninggalkan kawasan sasaran.

Pada pagi itu abah terlupa akan bahaya itu. Dia pun mula menebas sehingga pada suatu ketika dia terdengar laungan amaran daripada helikopter yang terbang rendah dari atas. Dia terus sahaja bekerja walaupun telah beberapa kali dia mendengar laungan suara itu. Tiba-tiba dia dikejutkan oleh suara letupan bom yang menggegarkan seluruh kawasan. Kakinya seperti tercabut oleh kuatnya bunyi ledakan itu. Dia terasa dirinya terperangkap. Dia tidak pasti sama ada dia akan berjaya melepaskan diri kerana bunyi ledakan bom semakin hampir jua. Hati kecilnya berkata barangkali ajalnya akan sampai pada hari itu, dalam pada itu dia berusaha mencari perlindungan di celah-celah batu dan hanya dapat berdoa agar batu-batu di atas tidak terkena sasaran bom.

Setelah beberapa lama, enjin pesawat pengebom itu semakin sayup didengarnya. Dengan cepat dia bertindak keluar dari celah-celah batu itu lalu berlari kencang turun dari lereng bukit menuju sawah di bawah bukit. Parang masih di tangannya. Sebaik sahaja sampai di tengah sawah sekali lagi dia mendengar bunyi deru pesawat. Deru itu semakin lama semakin dekat dan abah mendongak ke atas. Dia melihat dua pesawat pengebom terbang rendah menuju arah bukit. Beberapa saat kemudian abah terdengar beberapa dentuman kuat dan api mula kelihatan menjilat pokok di beberapa kawasan bukit, api juga kelihatan di kawasan dusunnya.

Abah cemas. Dia hanya seorang diri di tengah sawah dan terdedah pula kepada penglihatan dan ancaman bahaya. Siapa dalam pesawat pengebom itu, mungkin akan menyangkanya seorang komunis yang cuba melarikan diri dan dia akan menjadi sasaran bom mereka. Dengan tangan di parang abah pura-pura menebas rumput di permatang sawah. Dia terus membaca ayat suci al-Quran setiap kali pesawat pengebom terbang rendah di atas kepala. Satu ledakan terjadi pula betul-betul di pinggir sawah, tidak jauh dari tempat dia menebas rumput. Begitu kuat bunyi ledakan itu sehingga abah terjatuh ke dalam sawah. Debaran jantungnya semakin kencang, sekencang kumat-kamit bibirnya. Setelah beberapa lama kedua-dua pesawat itu pun pergi. Abah menunggu sehingga bunyi ancaman pesawat itu hilang daripada pandangan. Kemudian abah bingkas bangun lalu berlari menuju sungai sebelum pulang ke rumah melalui kebun getah Lopari.

Saya dan Mak sedang menunggu kepulangan abah. Mak begitu risau dengan keselamatan suaminya. Mata Mak merah. Mak begitu lega apabila abah muncul di pintu pagar. Suasana kepulangan abah segar benar dalam ingatan dan saya tidak akan dapat melupakannya, apatah lagi setelah abah bercerita tentang pengalaman azabnya itu.


Sejak peristiwa abah lari daripada perangkap bom itu abah tidak pergi lagi ke dusun untuk beberapa minggu. Setelah itu dia mendapatkan nasihat ketua kampung tentang cara-cara yang selamat untuk ke dusun. Satu jadual yang diselaraskan dengan operasi tentera di kawasan itu diberikan kepadanya dan penduduk kampung agar mereka mengelakkan diri daripada terperangkap dalam operasi tentera. Pengalaman azab ayah itu benar-benar membuatkan saya berubah sikap terhadap abah. Hilang semua rasa marah dan benci terhadap abah kerana “mendera”nya di hujung minggu. Sewaktu menatap kali terakhir wajah abah sebelum jenazahnya dikebumikan pada tahun 1985 dahulu saya membuat janji dengan diri sendiri untuk “menjaga” arwah abah dengan baik. Saya berjanji untuk memberi peringatan khas kepada abah setiap pagi subuh hari kemerdekaan melalui wirid dan doa panjang. Pada waktu itu saya akan memainkan dalam kepalanya seluruh rakaman hidup masa lalunya bersama abah. Pada pagi 31 Ogos 2015 lalu, saya keluar dari bilik sambil mengesat mata saya yang merah. Al-Fatihah!
Ahmad Fadzil Yassin

1 comment:

  1. Al-Fatihah.. Semoga rohnya ditempatkan bersama sama orang yang soleh.. Aamiin.

    P/S : Shukor Alhamdulillah, Tuan masih beruntung kerana berkesempatan utk menatap wajah aruah bapa disaat akhir. Perkara ini tidak terjadi kepada diri saya sendiri. Tarikh 26 December 1981 akan sentiasa kekal dlm ingatan saya. Tarikh 26 December 2015 yg akan menjelang tiba genap 34 tahun aruah bapa meninggalkan kami sekeluarga.
    Al-Fatihah.. Semoga rohnya ditempatkan bersama-sama orang yg solehah... Aamiin.

    ReplyDelete