Sultan Siak Inderapura telah hampir satu jam ditutup. Namun, kru
penggambaran Jejak Bahasa dari TV3 masih berada di dalam untuk
mengabadikan beberapa barang purba ke dalam media selulos. Antara
barang yang diabadikan termasuklah manuskrip dan perjanjian
lama yang dibuat antara Sultan Siak dengan Belanda. Juga yang menjadi
tarikan kru ialah sebuah alat muzik lama, satu daripada dua yang
masih ada di dunia. Di luar muzium ada tiga orang gadis menghampiri
pintu masuk. Mereka mahu masuk tetapi dicegah oleh pengawal
muzium. Kata seorang gadis, “Awak nak nengok!” Dia merayu supaya
membenarkannya masuk tetapi tetap dihalang. Kata pengawal, “Ada
TV3 dari Malaysia lagi shooting.”
Gadis itu membahasakan dirinya “awak” dan awak di Siak bererti
saya. Lalu saya teringat akan bahasa orang Negeri Sembilan, terutama
di Rembau yang lazimnya membahasakan dirinya “awak”. Beberapa
minit kemudian saya terdengar pula pengawal itu bersembang dengan
seorang kawannya yang baru sampai. Tanya pengawal, “Malam ini kau
buek apo?” Kawannya menjawab, “Tak ado buek apo doh! Duduk yo
di rumah. Nak nengok budak-budak itu baco buku sekolah.” Budak-
budak bermaksud anak-anaknya.
Sekali lagi saya teringatkan dialek orang Negeri Sembilan. Pernah
Prof. Madya Zainal Borhan menjelaskan bahawa dialek pertuturan
orang Siak sama dengan orang di Negeri Sembilan. Malam itu saya
menghubungi Dharmawijaya, penyair dan budayawan terbilang di
Seremban melalui telefon. Saya hendakkan kepastian tentang perbilangan
tentang hubungan Siak dengan Negeri Sembilan, terutama
Rembau. Dharwamijaya membacakan satu petikan daripada sebuah
buku, “Raja Mahmud dijadikan raja di Negeri Sembilan (Rembau) dan
menetap di Penajis dengan gelaran Raja Melewar, setelah mendapat
restu daripada Sultan Johor pada abad ke-17. Maka adalah perbilangan
yang berbunyi, beraja ke Johor, ‘bertali ke Siak’ dan ‘bertuan ke
Minangkabau’.”
Pengarang buku Negeri Yang Sembilan Nurhalim Ibrahim pula
suatu ketika pernah cuba mencari makna perbilangan ini. Nurhalim
berpendapat “bertali ke Siak” itu mungkin membawa maksud orangorang
di Negeri Sembilan, khususnya Rembau kebanyakannya mempunyai
hubungan keluarga dengan orang Siak, ada pertalian darah.
Kurang pasti apakah Datuk Lela Balang yang keturunannya menjadi
Undang Rembau sejak abad ke-16 lagi berasal dari Siak atau dari
Minangkabau. Dalam pada itu ada pula suku-suku di Rembau yang
sama namanya dengan suku-suku di Siak, seperti suku tanah datar.
Andainya Nurhalim turut berada di Siak dan mendengar pertuturan
penduduknya, adalah diyakini Nurhalim akan membuat kesimpulan
bahawa sebenarnyalah orang Rembau (Negeri Sembilan) itu sebahagian
besarnya berasal dari Siak.
Pengaruh dialek Minang dalam bahasa Melayu Siak amat ketara,
walaupun orang Siak tidak bercakap dalam bahasa Minang. Lenggok
intonasi pertuturan orang Siak amat berbeza dengan orang Minang
tetapi lenggok intonasi pertuturan orang Rembau hampir sama dengan
lenggok orang Siak. Amat menarik jika orang Rembau di Negeri Sembilan
mengunjungi Siak Sri Indrapura, apakah perasaannya? Apakah
ia terasa akan wujud keterikatan daripada sudut pertuturan dan pertalian
darah yang kental setelah mendengar orang Siak bercakap atau
melihat keadaan alam sekeliling yang salin tak tumpah dengan di daerahnya
sendiri? Di tebing Sungai Siak penuh dengan pokok rumbia.
Ada juga pokok mengkuang. Kelapa sawit dan getah menjadi tanaman
utama. Sepanjang perjalanan dari Pekan Baru, ibu kota Propinsi Riau
ke Siak Sri Indrapura yang dilihat di kiri kanan hanya estet kelapa
sawit, getah dan dusun buah-buahan.
Siak Sri Indrapura suatu ketika dahulu merupakan sebuah kerajaan
besar dan berdaulat. Daerah takluknya menjangkau wilayah yang hari
ini terletaknya Medan di Sumatera Utara. Menurut sejarah, Kerajaan
Siak diasaskan oleh Raja Kecil (Raja Kecik, menurut sebutan orang
Siak), yang dikatakan anak Sultan Mahmud, Johor yang mangkat dijulang
pada tahun 1699. Drs. Husrin dari Pejabat Pelancongan Siak
menjelaskan, anak Sultan Mahmud dengan isterinya Cik Pung ini
yang masih bayi ketika dibawa lari ke Sumatera.
Cerita pelarian Raja Kecil ini mempunyai dua versi. Menurut versi
pertama, setelah sultan mangkat dijulang, setelah ditikam oleh Laksamana
Bentan dalam perjalanan ke masjid, Cik Pung dilarikan bersama
bayinya ke Jambi lalu ke Sumatera Selatan. Di sana anaknya itu
dibesarkan dan akhirnya mengasaskan Kerajaan Siak. Menurut versi
kedua pula, Cik Pung dan anaknya dibawa lari ke Jambi lalu ke Pagar
Ruyung di Sumatera Barat (Minangkabau). Setelah dewasa Raja Kecil
perlu membuktikan dirinya anak raja dengan memanjat pohon jelatang,
sejenis pokok yang daunnya jika dipegang atau disentuh membuat
orang gatal-gatal. Raja Kecil memanjat pohon itu dan kemudian
turun tanpa mengalami gatal-gatal di tubuhnya. Dengan ujian ini Raja
Pagarruyung mengisytiharkan Raja Kecil sememangnyalah seorang
anak raja sebenar-benarnya.
Siak waktu itu masih di bawah takluk Johor tetapi hanya pada nama
dan diketuai oleh seorang Syahbandar. Maka oleh Raja Kecil Siak dijadikan
pusat kekuasaannya dengan mengasaskan sebuah kerajaan
yang dipanggil Kerajaan Siak Sri Indrapura. Raja Kecil menjadi raja
dengan gelaran Sultan Abdul Jalil Rahmat Syah dan bertakhta dari
tahun 1723-45. Baginda memerangi Johor yang di bawah sultan yang
bernisabkan bendahara, setelah kemangkatan Sultan Mahmud dikatakan
tidak meninggalkan pengganti.
Ahli sejarah berpendapat Sultan Mahmud mangkat dibunuh tanpa
mempunyai anak sebagai ganti. Maka ditabalkanlah bendahara sebagai
pengganti raja untuk memerintah Johor dan akhirnya keturunannya
menjadi raja untuk wilayah takluk yang meliputi Johor, Riau,
Pahang dan Lingga. Sultan terakhir dalam kalangan keturunan ben-
dahara ini ialah Sultan Ali yang keturunannya telah diusir keluar dari
Istana Sri Gelam Singapura pada tahun lalu melalui satu enakmen
Parlimen Singapura.
Apa pun jua, Sultan Abdul Jalil Rahmat Shah bercita-cita merebut
takhta milik ayahandanya Sultan Mahmud Mangkat Dijulang daripada
tangan sultan keturunan bendahara. Beberapa peperangan terjadi
dengan menang dan kalah menjadi adat orang berperang. Pernah
Sultan Abdul Jalil Rahmat menguasai seluruh kerajaan Johor, namun
akhirnya baginda terpaksa akur dengan kekuatan Johor. Bagaimanapun,
semangat juang Sultan Abdul Jalil Rahmat ini diteruskan oleh
penggantinya yang pada kali ini menentang penjajahan Belanda pula.
Ada sebelas sultan yang bertakhta di Siak Sri Indrapura silih berganti
sejak mangkatnya Sultan Abdul Jalil Rahmat Shah (Raja Kecil)
pada tahun 1746. Mereka terdiri daripada anakanda baginda Sultan
Abdul Jalil Muzaffar Shah (1746-65); Sultan Abdul Jalil Jalaluddin
Shah (1765-66); Sultan Abdul Jalil Alamuddin Shah (1766-80); Sultan
Muhammad Ali Abdul Jalil Muazzam Shah (1780-82); Sultan Yahya
Abdul Jalil Muzaffar Shah (1782-84); Sultan Assyidis Syarif Ali Abdul
Jalil Syaifuddin Baalawi (1784-1810). Baginda merupakan sultan
pertama yang berdarah Arab dengan gelaran Syed Syarif. Baginda ialah
anakanda kepada puteri Sultan Yahya Abdul Jalil Muzaffar Syah,
sultan yang keenam memerintah Siak. Puteri ini berkahwin dengan
bangsawan Arab. Ketika Sultan Abdul Jalil Muzaffar Shah mangkat di
Dungun ketika mengunjungi Terengganu pada tahun 1784, cucu baginda
yang berdarah Arab ini menjadi penggantinya.
Sultan pertama berdarah Arab ini mangkat pada tahun 1810 dan digantikan
oleh puteranya dengan gelaran Sultan Assyaidis Syarif Ibrahim
Abdul Jalil Khaliluddin (1810-15). Penggantinya Sultan Assyaidis
Syarif Ismail Abdul Jalil Jalaluddin (1815-54). Anakanda baginda
naik takhta pada tahun 1854 dengan gelaran Sultan Assyaidis Syarif
Kassim Abd. Jalil. Baginda naik takhta sehingga tahun 1889. Setelah
mangkat baginda digantikan pula oleh Sultan Assyaidis Syarif Hashim
Abdul Jalil Syaifuddin (1889-1908). Anakanda baginda yang bernama
Tengku Sulong naik takhta setelah tujuh tahun kemangkatan ayahandanya,
Sultan Assyaidis Syarif Hashim Abdul Jalil Syaifuddin, iaitu
pada tahun 1915.
Baginda merupakan Sultan Siak terakhir setelah baginda me-
nyatakan taat setia kerajaan Siak kepada pemerintah Republik Indonesia
dan bersama berjuang menentang Belanda. Pernyataan baginda
ini mendapat bantahan keras daripada Belanda. Akhirnya baginda
meninggalkan Siak lalu menggabungkan diri dengan rakyat Indonesia
untuk melanjutkan perjuangan di daerah Aceh. Sebelum meninggalkan
Siak baginda menyerahkan istananya berserta keseluruhan
kekayaan Siak kepada pemerintah Republik Indonesia. Setelah Indonesia
merdeka dengan rasmi pada 17 Ogos 1945 baginda berangkat ke
Jakarta dan tinggal menetap di sana dengan mendapat pencen daripada
pemerintah Indonesia.
Beberapa tahun kemudian baginda kembali ke Siak, tanah tumpah
darahnya dan wafat pada 23 April 1968 dalam usia 76 tahun. Baginda
dimakamkan berdekatan dengan masjid Shahabuddin Sri Indrapura
dengan penuh istiadat kenegaraan. Baginda dianugerahi secara “post
humus” gelaran Pahlawan Nasional dengan disertai piagam dan tanda
kehormatan Bintang Mahaputra Adipradana oleh Presiden Republik
Indonesia pada tahun 1998 sebagai mengenang jasanya berjuang menentang
Belanda.
Muzium Siak Sri Indrapura yang terletak kira-kira 300 meter dari
masjid ini adalah lambang kebesaran kesultanan Siak, terutama sultan
terakhirnya. Di dalamnya terdapat pelbagai khazanah peninggalan
sultan sejak tahun 1725, walaupun ada di antaranya hanya tiruan
daripada asalnya yang telah disimpan di Muzium Jakarta atau yang
telah hilang.
Ketika pertemuan dengan Timbalan Setiausaha Daerah Kabupaten
Siak, Drs. Zul Irianto, 19 Februari lalu, kepada rombongan Jejak
Bahasa diperjelaskan komitmen Siak sebagai sebuah daerah dalam
kesatuan Republik Indonesia. Penduduk Siak sejak berada dalam
republik telah mengalami pelbagai situasi politik. Suka dan duka
silih berganti. Setelah menjadi rakyat sebuah kesultanan besar yang
mempunyai daerah takluk hingga ke daerah Sumatera Utara bersempadankan
Aceh, penduduk yang kini dianggarkan berjumlah hanya 20
000 orang ini turun status menjadi warga bertaraf kacamatan (desa).
Hanya pada tahun lalu, Siak dinaik taraf menjadi sebuah kabupaten
semacam regensi atau daerah.
Keadaan hidup masih dianggap daif. Penduduk masih mendapatkan
air dari Sungai Siak yang dianggap terdalam di seluruh Indone-
sia. Telaga masih menjadi suatu kemudahan asas di setiap rumah dan
kedai. Zul Irianto menjelaskan setelah Siak Sri Indrapura naik taraf
maka pembangunan akan diusahakan secara terancang sesuai dengan
kedudukannya sebagai salah sebuah kabupaten dalam Propinsi Riau.
Barangkali di dalam kepala timbalan setiausaha daerah ini terdapat
pemikiran bagaimana suatu hari nanti penduduk Siak tidak lagi perlu
mandi daripada air Sungai Siak yang kemerahan warnanya akibat
pencemaran di hulu sungai. Di Siak Raya dan Pekan Baru kira-kira 80
km ke hulu Siak, terdapat banyak kilang perusahaan, terutama kilang
memproses papan lapis.
Anggota rombongan yang ditempatkan di Wisma Tuah yang baru
siap dibina terpaksa berpuas hati mandi dengan air sungai yang kemerahan.
Dan tidak dapat dielakkan ada yang mandi dalam gelap kerana
tidak sanggup melihat air merah membasahi badan. Apa pun jua, rombongan
Jejak Bahasa begitu selesa tinggal di Siak selama empat hari
kerana suasana dan lingkungan yang amat mirip kepada yang terdapat
di Malaysia. Saya sendiri seperti berada di tengah-tengah kaum keluarga
dan sahabat handai di Rembau setiap kali makan dan bercakap
dengan penduduk tempatan.
Siak Sri Indrapura, 23 Februari 2001
No comments:
Post a Comment