Monday, 11 January 2016

MEMAKMURKAN TANAH ADAT DI REMBAU: APA DAH JADI?

Memakmurkan tanah adat tanggungjwab siapa?  Kawasan sekitar Btg. Nyamor  yang masih boleh diusahakan dengan lebih efektif.



Memakmur Semula Tanah Adat
TIDAK banyak tanah adat yang dimajukan selain daripada tanah
sawah dan tanah dusun di Negeri Sembilan. Timbul pula
persoalan bahawa pewaris tanah itu tidak mengikut hukum
syarak atau faraid, sedangkan pewarisnya adalah orang Melayu yang
beragama Islam. Mengapa baru sekarang timbul soal hukum syarak
atau tidak hukum syarak dalam pewarisan tanah adat ini? A.F. Yassin
yang mengikuti seminar Adat Perpatih di Port Dickson baru-baru ini
memberikan pendapatnya.

Di Negeri Sembilan ada tiga kategori tanah, iaitu tanah pusaka adat,
tanah carian bujang dan tanah carian suami isteri. Tanah pusaka adat
ialah tanah yang diwarisi oleh anggota perempuan dan dalam satu
suku. Tanah ini menjadi milik suku. Tanah carian bujang ialah tanah
milik anggota lelaki atau perempuan ketika belum berkahwin dan tanah
carian suami isteri ialah tanah yang diperoleh pasangan itu ketika
hidup bersama. Demikian menurut Dr Nadzan Haron dalam Seminar
Adat Pepatih di Port Dickson, akhir Disember lalu. Dr Nadzan adalah
pensyarah di Jabatan Sejarah, UKM.

Dato' Hj. Sulong Miah   (kiri) Undang dari waris Lela Maharaja (Kg. Gadong) dan Dato'  Hj. Abdullah Dahan  dari waris Sedia Raja (Kg. Tanjong)

Bagi Dr Nadzan pembahagian atau pemilihan ketiga-tiga kategori
tanah ini dilakukan atas dasar enam prinsip. Pertama, tanah pusaka
adat dihakmilikkan kepada suku bukan kepada individu ke atas tanah
pusaka adat. Kedua, semua harta carian termasuk tanah yang diwarisi
anggota perempuan akan dianggap sebagai tanah pusaka adat. Apabila
ini berlaku, tanah itu akan menjadi milik suku bukan milik individu
lagi. Hanya jika tanah itu diwarisi oleh anak lelaki, maka tanah
itu tetap akan menjadi tanah di luar pusaka adat.

Ketiga, yang berhak mewarisi tanah pusaka adat hanyalah anak
perempuan. Sebabnya perempuan melahirkan ahli-ahli suku dan menentukan
maruah suku. Keempat, pewaris tanah pusaka adat adalah
berdasarkan kepada waris perempuan terdekat seperti kata perbilangan:
Harta pusaka turun kepada anak/tiada anak waris ikrab/tiada
waris ikrab ‘waris bersanak/tiada waris bersanak’ terpulang kepada
suku. Waris ikrab ialah kakak dan adik perempuan. Kelima, pembahagian
hak milik dibuat sama rata. Keenam, adat tidak menentukan anak
angkat berhak mewarisi tanah pusaka ibu angkatnya. Mengikut adat,
anak angkat dinafikan sebagai waris pusaka tetapi adat membenarkan
anak angkat diberi tanah pusaka adat tetapi dia tidak mewarisi.

Dua anak cucu CGDG 71350 Salleh Simon (kanan) dan Ahmad Fadzil Yassin (kiri) memimpin guru kesayangan mereka Cikgu Hamzah Othman dalam satu majlis pelancaran buku SKDTBS di Sekolah Menengah TBS Tampin tak lama dulu.  Kini Cikgu Hamzah telah bersara dan menetap di Senaling, Kuala Pilah. 

Bagaimanapun, cara mewariskan tanah pusaka ini menimbulkan
kekecohan yang berlarutan sejak sebelum perang lagi. Akibatnya banyak
tanah adat, terutamanya banyak di daerah Kuala Pilah, Jelebu
dan Rembau tinggal terbiar. Daerah (luak) Sungai Hujung sedikit
beruntung kerana tidak lagi ada banyak tanah terbiar. Hal ini mungkin
disebabkan tanah pusaka adat di luak itu tidak lagi diwarisi melalui
sistem Adat Pepatih, tetapi sistem adat Temenggung, seperti halnya di
negeri-negeri lain di Semenanjung.

Tan Sri Samad Idris, seorang tokoh adat, amat bersimpati dengan
tanah adat terbiar ini. Beliau yang membentangkan kertas kerja pada
hari pertama seminar berkata, tidak banyak tanah adat yang dimajukan
selain daripada tanah sawah dan tanah dusun. Kemudian timbul
pula persoalan bahawa pewaris tanah itu tidak mengikut hukum
syarak atau faraid, sedangkan pewarisnya adalah orang Melayu yang
beragama Islam. Soalnya mengapa baru sekarang timbul soal hukum
syarak atau tidak hukum syarak dalam pewarisan tanah adat ini?
Samad cuba mengembalikan ingatan peserta seminar kepada asal
usul tanah adat ini. Menurutnya, dahulu tanah adat dan juga tanahtanah
lain tidak mempunyai batu sempadan atau geran. Pembahagian
milik hanya ditentukan oleh Datuk Lembaga suku. Sempadan tanah
hanyalah pokok baka yang kekal atau jika ia tanah sawah, sempadannya
adalah jenjang-jenjangnya. Semua tanah menjadi milik suku dengan
dikawal oleh Datuk Lembaga suku itu. Waris perempuan berhak
mendiami tanah sementara lelaki berhak mengerjakan tanah itu. Pada
waktu itu tidak timbul persoalan sama ada pembahagian hak milik
bertentangan dengan hukum syarak atau sebaliknya. Sebabnya, baik
perempuan mahupun lelaki berhak ke atas tanah itu.

Manik-manik kekecohan ke atas pembahagian tanah ini mula timbul
apabila penjajah Inggeris membuat peraturan untuk menyenangkannya
mengutip cukai tanah. Penjajah memperkenalkan batu sempadan
dan geran dengan nama pemilik tercatat di dalamnya. Disebabkan tanah
pusaka adat ini didiami waris perempuan maka di dalam gerannya
dicatat nama waris perempuan itu. Tidak ada nama waris lelaki.
Menurut Samad, pada awalnya peraturan ini tidak menimbulkan
perbalahan kerana setiap anak buah suku mematuhi peraturan adat
yang dipusakai turun-temurun. Bagaimanapun, setelah kebanyakan
orang tua-tua meninggal dunia, pusaka waris tinggal kepada anakanak
cucu, maka timbullah perbalahan. Ahli-ahli waris berebut harta
dan wang ringgit secara individu.

Akhirnya mereka mempersoalkan
proses pemilikan tanah pusaka adat yang tidak berlandaskan hukum
syarak ini. Masalah ini hangat dibincangkan dalam seminar di Port
Dickson, 26-27 Disember lalu, yang dirasmikan oleh Menteri Besar
Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad. Beliau berharap semua Datuk Lembaga
yang dianggap pakar rujuk adat oleh Menteri Besar Negeri Sembilan
menyelesaikan kontroversi tanah pusaka adat ini dengan segera,
agar tanah pusaka adat yang terbiar dapat dimajukan
Hari ini, kebanyakan tanah pusaka adat di Kuala Pilah, Jelebu,
Rembau dan Tampin, terutamanya tanah sawah dan tanah getah terbiar
seperti tanah tidak bertuan. Tanah sawah menjadi belukar dan
tanah getah menjadi hutan dara semula.

Di beberapa tempat ada usaha untuk memajukannya semula,
namun kebanyakan projek yang dilaksanakan terbengkalai separuh jalan.
Di tanah getah diusahakan tanaman semula dengan bantuan kerajaan
tetapi apabila tiba waktu menoreh, tidak ada siapa yang mahu menorehnya.
Anak-anak muda berhijrah ke kota sedangkan orang tua tidak berdaya untuk
mengusahakannya. Tokoh adat dan Datuk Lembaga perlu memikirkan dengan sung-
guh-sungguh akan masalah tanah pusaka adat yang terbiar ini. Ikhtiar
perlu dicari supaya seperti kata Samad, “Perkara yang kusut ini dapat
disesuaikan dengan sebaik-baiknya; ibarat menarik rambut dalam tepung,
rambut jangan putus tepung jangan berselerak.”

Seminar dua hari itu barangkali sudah pun membuat cadangan yang
boleh dikemukakan kepada Dewan Keadilan dan Undang. Dewan
Keadilan dan Undang ini mempunyai kuasa penuh membincangkan
semua perkara yang berkaitan dengan hukum agama dan peraturan
adat. Dewan Keadilan dan Undang ini adalah sebuah majlis kerabat
yang antara lain dianggotai oleh raja dan semua undang luak. Merekalah
yang memegang pucuk pimpinan dalam hal yang berkaitan dengan
adat.

Dalam hal ini, agak menarik jika diteliti cadangan yang dikemukakan
oleh Majlis Agama Islam Negeri seperti yang dipetik oleh Samad
dalam kertas kerjanya. Majlis Agama Islam Negeri mencadangkan kepada
Dewan Keadilan dan Undang agar ditambah satu ceraian lagi kepada
Akta Tanah Adat yang ada, iaitu pemilik tanah adat boleh memohon
menjadikan tanahnya tanah kawasan Melayu atau menjadikan
tanah pusaka adat tanah sebagai wakaf dengan mengekalkan syarat-syarat
yang sedia ada: atau membatalkan Akta Tanah Adat (SEDO)
ACT. 98 (i) kerana undang-undang itu berlawanan dengan adat dan
syarak; atau menambah satu ceraian kepada akta yang ada dengan setiap
orang yang meninggal dan hartanya berada di Negeri Sembilan
maka pembahagian hartanya itu hendaklah mengikut agama si mati.

Cadangan Majlis Agama Islam ini dikaji oleh sebuah jawatankuasa
khas yang dianggotai oleh tokoh pentadbiran, perundangan, alim
ulama dan tokoh-tokoh adat. Jawatankuasa ini membuat dua syor,
iaitu sekiranya pewaris dengan sukarela menyerahkan haknya kepada
pewaris lain, maka mereka dibolehkan berbuat demikian kerana ia dibolehkan
di sisi syarak. Syor kedua ialah jika ada pewaris menuntut
haknya masing-masing maka pembahagian pusaka hendaklah dibuat
menurut hukum faraid. Kedua-dua syor ini selari dengan pepatah
adat, iaitu adat bersendi hukum; hukum bersendi kitabullah; syarak
mengata adat menurut.

Seminar dua hari di Port Dickson itu seperti membuka mata tokohtokoh
adat dan semua Datuk Lembaga. Memang menjadi harapan kemelut
tanah pusaka adat ini dapat diselesaikan atau setidak-tidaknya
Dewan Keadilan dan Undang memberi persetujuan kepada syor Jabatan
Agama Islam Negeri. Inilah pilihan yang ada untuk menyesuaikan
sistem pembahagian tanah pusaka adat ini demi pembangunan
tanah itu sendiri. Jika ini dapat dilaksanakan maka masalah prinsip
pembahagian seperti yang dikemukakan oleh Dr. Nadzan itu tidak akan
timbul lagi. Atau apa kata jika daerah-daerah adat di Negeri Sembilan
menukarkan sistem pembahagian tanah pusaka adat berdasarkan
Adat Pepatih kepada sistem adat Temenggung yang kini dilaksanakan
oleh Luak Sungai Ujung? (Berita Harian, 11 Januari 1995.)

3 comments:

  1. Sudah sampai masanya untuk berbuat sesuatu untuk memajukan tanah adat. Kembalikan sawah dan getah. Sawit hanya menyemakkan pemandangan. Lihat contoh keadaan antara Tedatar dan Tanjung. Dulu nampak jugak orang lalu lalang dekat Surau Batu. Hari ini dah jadi hutan sawit dgn hasil tak berapa.

    ReplyDelete
  2. kalau kita sudah beriktiqat bahawa Tuhan tu Esa dan Nabi Muhammad adalah Rasul yang terakhir,kalau dah Jazam ,apa tunggu lagi ikut sahaja lah perintah Allah ( Hukum Syarak).Masaalah masaalah sentiasa ada ,tuhan yang mencipta kita dan bumi ini,In Sha Allah kalau ikut sapenuhnya hukum Allah selasai masaalah.

    ReplyDelete
  3. kalau kita sudah beriktiqat bahawa Tuhan tu Esa dan Nabi Muhammad adalah Rasul yang terakhir,kalau dah Jazam ,apa tunggu lagi ikut sahaja lah perintah Allah ( Hukum Syarak).Masaalah masaalah sentiasa ada ,tuhan yang mencipta kita dan bumi ini,In Sha Allah kalau ikut sapenuhnya hukum Allah selasai masaalah.

    ReplyDelete