Demi adat |
DEMI ANAK DAN DEMI ADAT
Seorang
pakar penyelidik Adat Perpatih di Negeri Seremban menyifatkan isyarat kurang
sopan seorang pembesar adat (Undang Luak) Mei 2005 lalu dalam satu majlis rasmi kerajaan negeri
sebagai kurang sopan dan tak beradat. Katanya, “Itu baru isyarat. Ada yang telah melanggari
adat yang menaikkan darjat dan martabatnya. Kadang-kadang pembesar adat ini
terlupa akan sumpah perlantikannya, mahu mempertahankan adat. Saya berani
katalah perbilangan ‘jangan mati anak jangan mati adat’ sudah tidak boleh
dipakai lagi sekarang. Ada
pembesar adat yang terang-terang mahu mematikan adat itu sendiri.”
Saya
percaya apa akan berlaku kepada sistem dan peraturan adat jika salah seorang
pentadbir adat bertindak “kurang sopan dan tak beradat.” Jika sesuatu tindakan
tidak diambil, Lembaga, buapak dan anak buah dalam lingkungan adat akan
memandang serong kepada orang besar adat itu. Mereka berasa dipermalu kerana
pilihan mereka selama ini dikirakan kurang tepat, iaitu memilih seorang ketua
adat yang “mematikan adat” itu sendiri.
Pandangan
penyelidik Adat Perpatih itu menunjukkan keprihatinannya tentang sikap dan
tingkah laku orang Melayu, khususnya
terhadap adat kebiasaan yang sejak dahulu kala mengawal kehidupan sehari-harian
mereka. Barangkali pandangannya bahawa “adat sudah mati” sedikit keterlaluan,
namun jika pembesar adat sendiri yang tidak menghormati adat, tidak ada jaminan
orang ramai atau anak buah pembesar adat ini tidak akan mengikuti perbuatannya.
Ibarat kata bidalan “bapak borek anak rintik.”
Pandangan
penyelidik adat ini mengingatkan saya kepada kata-kata Datuk Onn Jaafar ketika
memimpin orang Melayu menentang penjajahan Inggeris dahulu. Datuk Onn dalam
buku Biografi Dato’ Onn Jaafar (Penerbit Fajar Bakti, 1984), menyeru
orang Melayu menerima konsep “biar mati adat jangan mati anak” sebagai satu
anjakan paradigma. Bagi Dato’ Onn adat yang mengatur kehidupan harian orang
Melayu yang dianggap lapuk dan tidak lagi sesuai perlu disisihkan sahaja. Saya
menilai seruan Datuk Onn ini mulai memberi kesan positif kepada perlakuan dan
pemikiran orang Melayu umumnya. Yang paling ketara, orang Melayu telah mula
berjiwa korporat, bukan lagi petani, orang Melayu sudah mula berfikir global tidak lagi lokal.
Saya
menganggap seruan Datuk Onn dan pandangan penyelidik Adat Perpatih tentang
“adat telah mati dan mahu dimatikan” bagaikan membawa kesan negatif dan
positif. Jelas dua kes berasingan ini memperlihatkan pemahaman tentang adat
yang berbeza-beza. Pendek kata istilah “adat” yang dimkasudkan oleh Datuk Onn
dan penyelidik Adat Perpatih mempunyai definisi berlainan. Ertinya juga adat
dan pengertiannya perlu dilihat secara terpisah-pisah, yang satu berbeza dengan
yang lain.
Tetapi
dalam pengertian biasa ini adat mungkin apa yang disebut sopan santun dan
tatasusila dalam pergaulan sehari-hari. Masih banyak lagi pengertian lain. Masih
banyak aturan lain yang sangat mendasar dan mengikat, termasuk hal yang
dikaitkan dengan landasan berfikir, nilai-nilai dan falsafah hidup dan hokum
yang perlu dipatuhi. Pemikir berpendapat adat merangkumi seluruh aturan hidup
bermasyarakat itu ke daldan boleh dibahagikan kepada empat kategori, iaitu adat
yang sebenar adat, adat yang diadatkan, adat yang teradat dan adat istiadat.
Manakala
ramai ahli sejarah menyamakan adat dengan undang-undang, berdasarkan kepada
pengertian “aturan hidup harian”. Jika pengertian ini dipakai maka seruan Datuk
Onn akan memakan diri sendiri. Apa akan terjadi kepada bangsa Melayu jika “adat
dimatikan untuk menyelamatkan anak”? Kacau-bilau dan kehidupan tak menentu dan
hukum rimba akan mengambil alih peranan adat. “Anak-anak” yang hidup dan tidak
lagi “beradat” akan berkelakuan lebih rendah berbanding haiwan.
Penerhati
politik menyifatkan seruan Datuk Onn itu ditujukan, khususnya kepada tiga
kategori adat, iaitu adat yang diadatkan, adat yang teradat dan adat istiadat.
Kesemua kategori adat ini membabitkan tingkah laku, kebiasaan, landasan
berfikir dan falsafah orang Melayu. Sesetengah kalangan menilai seruan Datuk
Onn itu sebagai meninggalkan kebiasaan dan pemikiran orang Melayu yang tidak
lagi relevan dengan kehendak zaman dan mencari kebiasaan dan pemikiran baru.
Seperti kata seorang ahli veteran UMNO yang diminta pendapatnya, “Datuk Onn
mahu orang Melayu lebih pragmatic, dinamik dan
berdaya maju, kalau kita masih mahu kekalkan slogan ‘Takkan Melayu
Hilang Di Dunia.”
Katanya
lagi, “Jadi jangan kita salah anggap seruan Datuk Onn itu. Dia mahu kita orang
Melayu buang semua kebiasaan dan aturan hidup yang merugikan dan fikirkan survival
Melayu seribu tahun lagi. Bagi saya itu satu seruan ikhlas dan kasihnya Datuk
Onn kepada orang Melayu. Adat yang merugikan Melayu itu dibuang sajalah. Saya
setuju adat adat kebiasaan yang boleh kita teruskan seperti yang sering kita
laungkan, iaitu tak lekang dek panas tak
lapuk dek hujan. Malah ada adat yang mengekalkan jati diri kita orang Melayu
dan survival nama Melayu bergantung kepada selama lama mana ia dapat bertahan.”
Adat
yang dimaksudkan veteran UMNO itu ialah adat yang sebenar adat. Ia telah
menjadi institusi dan menunjukkan identiti sesuatu bangsa atau masyarakat.
Termasuk dalam adat ini boleh dilihat dalam sesuatu kelompok masyarakat Melayu.
Di Negeri Sembilan, misalnya, silsilah keturunan mengikut garis ibu atau apa
yang desebut sebagai matrilineal merupakan adat yang menjadi identity Melayu
negeri itu. Adat itu dikatakan berasal dari Minangkabau. Ada pula mendakwa ia adalah warisan adat
asetempat (orang asli) yang diadunkan dengan adat pendatang dari Sumatera
Barat.
Di
peringkat nasional, ada yang melihat sistem beraja yang diamalkan Malaysia
hari ini adalah lanjutan daripada adat zaman dahulu, walaupun dalam keadaan
yang telah diubah suai mengikut kehendak zaman. Jika satu waktu dahulu raja
adalah kuasa dan titahnya adalah undang-undang mengikut adat, hari ini raja
adalah simbol kedaulatan sesebuah negara. Kekuasaan yang pernah dimilikinya
berpindah ke pihak lain melalui dasar dan amalan demokrasi.
Jika
adat yang sebenar adat ini “dimatikan” maka identiti orang Melayu; khususnya
dan Malaysia
amnya tercalar, malah boleh hilang. Seperti yang dikatakan bijak pandai adat,
“Dianjak layu dicabut mati.” Ada
yang mempersoalkan Melayu tidak akan hilang jika adat mati. Memang benar secara
raga (fizikal) dan darah daging Melayu tidak akan hilang, tetapi identiti,
semangat dan jiwa yang bernama Melayu tetap akan mati. Orang Melayu boleh
mamtikan adat yang diadatkan, adat yang teradat dan adat-istiadat dan identity
dan jiwa Melayu tetap utuh, tetapi jika Melayu mematikan adat yang sebenar adat, maka konsep “biar mati adat jangan mati anak”
dalam landasaran berfikir orang Melayu akan menyebabkan apa apa yang kita kenal
sebagai identiti Melayu hari ini akan
hilang digantikan dengan suatu “identity Melayu yang sama sekali baru dan serba
serbi asing.”
Kemungkinan
besar inilah yang dibayangkan pakar penyelidik Adat Perpatih di Negeri Sembilan
itu apabila dia berkata, “Saya berani katalah perbilangan ‘jangan mati anak
jangan mati adat’ sudah tidak boleh dipakai lagi sekarang.” Orang Melayu di Negeri
Sembilan tidak lagi menjadikan sistem Adat Perpatih sebagai agen pengatur
kehidupan sehari-hari masyarakatnya. Malah adat itu sendiri telah dimatikan.
Tidak ada lagi institusi undang, lembaga dan buapak. Lebih parah lagi pembesar
adat, terutama yang bertingkah menyalahi adat dan yang selama ini mendapat rezeki melalui
kedudukannya di sisi adat akan lonco
dan uceh. Dia kehilangan
segala-galanya.
3
Jun 2005
Gambar
yang dicadangkan:
1. Datuk
Onn Jaafar
2. Istana
Pagarruyung
3. Orang
Melayu berpakaian Melayu
4. Makan
beradat seperti dalam majlis nikah kahwin atau majlis keraiaan.
5. Orang
kahwin
No comments:
Post a Comment