Wednesday, 30 December 2015

REMBAU DI SEBALIK MITOS NAMANYA



Jln Kg. Tanah Datar depan rumah Haji Mohd. Noh  dan Kak Pesah


Dulu namanya Rembau

Allahyarham Nurhalim Ibrahim

Nurhalim Ibrahim, seorang pensyarah UPM begitu sibuk menelaah dan meneliti beberapa dokumen sewaktu saya mengunjunginya minggu lalu. Dia begitu asyik sehingga dia tidak sedar saya sudah berada di muka pintu. Dan di muka pintu lagi saya melihat bermacam-macam jenis buku memenuhi ruang tamunya. Biasanya di ruang tamu, orang meletakkan barang hiasan tetapi di rumah Nurhalim, barang hiasannya hanyalah buku dan dokumen-dokumen yang dijilid khas.
“Maaf, tak perasan awak datang. Maklum, lagi sibuk menyiapkan buku terbaharu saya,” katanya begitu apologetik.
“Tak mengapa. Saya faham perangai awak,” jawab saya, lalu masuk tanpa dipelawa lagi.
“Buku apa lagi?” tanya saya.
“Buku tentang Rembau, sebuah daerah di Negeri Sembilan. Saya tertarik dengan Rembau ini sejak kecil lagi. Saya mahu tahu sejarahnya.”
“Apa hebatnya Rembau ini sehingga awak beria-ria benar hendak mengetahuinya?”
“Pada saya, Rembau ini unik. Nama Rembau ini pernah disebut dalam buku Sejarah Melayu. Dahulu ia sebuah negeri merdeka. Orang Rembau (Kundur) dikatakan pernah membantu membina istana Sultan Mansur Shah di Melaka. Mereka membuat balai apit kedua-dua pintu istana. Orang Rembau juga pernah bertempur dengan Portugis, Belanda dan Inggeris. Dan yang hebatnya tentang Rembau juga ialah tanah kerajaan bagi Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan. Yamtuan Besar Negeri Sembilan pertama dahulu pernah bersemayam di Rembau sebelum baginda bersemayam kekal di Seri Menanti, Kuala Pilah. Kalau awak baca sejarah Rembau tentu awak tahu betapa beraninya pendekar Rembau membantu Naning melawan Inggeris pada abad yang lalu.”
“Jadi, apa yang awak cari sekarang?”
“Nama Rembau itu sendiri. Banyak mitos dikaitkan dengannya. Yang menariknya adalah walaupun namanya dimitoskan ada pula bukti tentang asal usul nama Rembau ini.”

Nurhalim bercerita panjang. Dia menghulurkan draf manuskrip empat bab yang telah disiapkan. Katanya buku baharunya itu akan mengandungi 10 bab. Nurhalim membuat perancangan rapi tentang bukunya itu. Dia telah menelusuri seluruh daerah Rembau, malah seluruh negeri Sembilan dan Sumatera Barat, Kepulauan Riau serta daerah-daerah timur Sumatera. Katanya Rembau ialah nama yang menemukan dua suku bangsa, iaitu suku bangsa Minangkabau dari Sumatera dan suku bangsa tempatan, orang Melayu jinak atau jakun. Proses asimilasi kedua-dua suku bangsa inilah yang mewujudkan Rembau seperti yang ada sekarang ini.

Menurut Nurhalim, nama Rembau yang asal ialah Prabo yang bererti daulat, dipertuan atau anak raja. Probo waktu itu didiami oleh orang Melayu jinak ini dan ditadbirkan oleh seorang yang digelar batin. Dikatakan ketua tadbir pertama Prabo ialah Batin Tok Nilo. Daerah itu merangkumi antara lain Merbok Kerawang,  Buluh Bukil, Lengkap Berjuntai, Subang Hilang, dan Beranang. Antara nama itu hanya Prabo yang kekal dalam daerah Rembau sekarang. Ia telah dinamakan semula dengan Semerbuk. Pada awal abad ke-16 Prabo ditadbir oleh Batin Skudai. Pusat pentadbirannya di Kampung Relung, satu penempatan yang baru dibukanya. Batin ini berkahwin dengan anak Batin Seribu Jaya yang tinggal di Rahang, Sungai Ujong (sekarang Seremban). Batin Skudai memperoleh tiga orang anak, iaitu Datuk Mudik, Datuk Tunggal dan Datuk Mengkudu, kesemuanya perempuan. Anaknya yang sulung, Datuk Mudik dikahwinkan dengan orang Pasai bernama Khatib Muhammad.

Batin Skudai membuka beberapa buah kampung lagi antaranya Kebun Lada, Kampung Gembira dan Paya Merbau, kesemuanya terletak di selatan Kampung Relung. Kampung Gembira ini menjadi penempatan Batin Pak Nilo, iaitu ipar Batin Skudai. Atas permintaan Batin Skudai, Batin Pak Nilo meluaskan lagi Kampung Gembira hingga ke kaki Gunung Datuk. Semasa meneroka kawasan baharu inilah, Batin Pak Nilobertemu dengan pokok merbau yang luar biasa besarnya. Batin Pak Nilo enggan menebangnya kerana menganggapnya keramat. Oleh sebab penempatan baharu ini terlalu besar maka Batin Pak Nilo membahagikannya kepada dua. Kawasan perluasan baharu itu diberi nama Kampung Paya Merbau. Batin Pak Nilo sendiri tetap tinggal di Kampung Gembira.

Tidak lama kemudian, ayah Batin Pak Nilo, iaitu Batin Chepa datang mengunjunginya. Batin Cela bermuafakat dengan anak buahnya untuk menebang pokok merbau yang luar biasa besarnya itu. Menurut cerita lisan, Batin Cela terpaksa mengambil masa dua kali tujuh hari untuk menebang pokok itu. Dengan bantuan ilmu Batin Cela, akhirnya pokok itu berjaya juga ditumbangkan. Kononnya begitu besarnya perepangan tunggul pokok yang tinggal itu sehingga ia boleh menampung dua belas dulang hidangan makanan (atau dua belas jambar mengikut istilah orang Rembau) yang disusun di atasnya. Ini bererti 48 orang boleh makan serentak di atas tunggul kayu itu. Cerita pokok merbau yang luar biasa besarnya ini merebak ke seluruh kawasan dan akhirnya menggantikan nama Prabo kepada Merbau Tua, untuk mengambil sempena pokok merbau yang besar itu. Ada pula yang menyebutnya Merbau Tua Buah. Kononnya hujung pokok merbau itu apabila tumbang, terletak di Sungai Hujung (Seremban). Jika benar cerita ini, maka tinggi pokok itu ialah kira-kira 30 kilometer kerana itulah jarak antara Sungai Ujong dengan tempat pokok merbau itu tumbuh. Nama Merbau Tua yang menggantikan Prabo itu akhirnya disingkatkan kepada Rembau sahaja.

Menurut cerita masih terdapat serpihan-serpihan tunggul pokok merbau ini hingga ke hari ini. Tunggul itu terletak di Kampung Api-api di Mukim Gadong, di dalam sebuah kawasan sawah yang sekarang ini tinggal terbiar. Menurut Nurhalim, Kampung Gembira dan Kampung Merbau Tua itu dibuka pada akhir abad kelima belas. Pada waktu itu orang Minangkabau sudah mulai membanjiri Rembau dan ramai yang telah bermastautin di lorong dan Kampung Lada.

Dua nama tempat yang disebutkan Nurhalim masih asing bagi penduduk Rembau sekarang. Saya juga tidak melihatnya dalam peta Negeri Sembilan atau Rembau. Kedua-dua nama itu ialah Kampung Kebun Lada dan Kampung Gembira. Menurut Nurhalim, kedua-dua kampung itu sudah ditukar namanya. Kampung Kebun Lada ditukar kepada Kampung Lada, yang terletak kira-kira enam kilometer dari Pekan Rembau  Kampung Gembira ditukar kepada Kampung Kota Lama, kira-kira 10 kilometer dari Pekan Tampin.

“Kedua-dua tempat ini berada dalam mukim Gadong,” katanya.
“Kenapa Kampung Gembira dinamakan Kampung Kota Lama? Bukankah nama itu sudah cukup menarik?” tanya saya.
“Panjang ceritanya. Ia berkait rapat dengan kedatangan pemimpin Minangkabau bernama Datuk Lela Balang dan Datuk Laut Dalam ini pula memainkan peranan dalam mendirikan institusi undang di Rembau yang kekal hingga ke hari ini,” jawab Nurhalim dengan penuh minat.
“Bagaimana ceritanya?”
“Lain kali sahajalah. Kita boleh bercerita panjang jika awak datang lagi,” jawab Nurhalim.
Demikianlah, pada pertemuan saya dengan Nurhalim Ibrahim, yang baru sahaja menerbitkan buku Adat Perpatih dan Perbezaannya dengan Adat Temenggung itu seperti mahu bercerita panjang lagi tentang subjek yang diminatinya sekarang. Sebelum saya melangkah pulang dia berpesan, “Kalau nak tahu lebih lanjut tentang penubuhan institusi undang di Negeri Sembilan, terutama di Rembau datanglah lagi.” (“Sembang-sembang”, dalam Utusan Zaman, 31 Julai 1994.)

Tuesday, 29 December 2015

KADI REMBAU HJ MOHD YATIM LANTIKAN DATO' IPAP




 
Tok Kenai Ulamak Kelantan yang pernah mendidik Tuan Hj. Mohd Yatim selok-belok agama Islam


Mukim Gadong bertuah kerana seorang anak watannya pernah menjadi Kadi Daerah Rembau suatu ketika. Berlatar belakangkan ilmu agama  Allahyarham Haji Mohd Yatim Bin Zainal Abidin (1903 – 1979) berada pada kedudukan yang begitu mulia walaupun dilahirkan dalam suasana kampong yang serba dhaif . Allahyarham  yang popular dengan panggilan Long Atin dalam kalangan sanak saudra dilahirkan pada  tahun 1903 bersamaan 1320 Hijrah di Kampung Tanah Datar, Kota dalam Daerah Rembau. Bapanya dari suku Biduanda Gadong Baroh  manakala ibunya dari suku Tanah Datar Gadong, waris Biduanda.  Long Atin Beliau anak pertama dari dua adik beradik. Pendidikan Menurut sumber yang layak dipercayai, Long Atin  mula mendapatkan pendidikan di Sekolah Melayu Kota sehingga Darjah Empat. Bapanya Hj. Zainal menyimpan hasrat supaya anak lelakinya itu menjadi orang alim dalam agama. Lalu beliau menghantar anaknya, mengaji agama di pondok- pondok di Kedah dan Kelantan ketika usianya menjangkau 20an. Mengikut riwayatnya, Long Atin pernah berguru dengan Allahyarham Tok Kenali tokoh ulama terbilang dari Kelantan.

Sekembalinya ke kampung halaman, Long Atin bertemu jodoh dengan Hajjah Aminah Binti Haji Taha. dan ketika usianya telah 32 tahun. Mereka dikurniakan anak lelaki dalam tahun 1936. Long Atin kemudian belayar membawa bersama isteri dan anak kecilnya menunaikan rukun Islam kelima. Long Atin bertekad untuk menetap di Mekah untuk melanjutkan pengajian agamanya, dan  menuntut di Darul Ulum Masjidil Haram Al Makkahtul Mukarramah. Suami isteri ini dikrniakan anak perempuan di sana tetapi Allah SWT lebih menyayangi puterinya ini dan meninggal dunia dalam usia masih kecil. Sumber yang layak dipercayai menyebut Long Atin menuntut di Mekah selama hampir 4 tahun sebelum balik ke tanah air. Long Atin memutuskan untuk membuka Madrasah Sekembalinya dari Mekah, Long Atin menubuhkan sekolah pondok di kampong tempat Long Atin brsemenda, iaitu di Kampung Ulu Gadong. Tiga tahun kemudian Long Atin begitu prihatin dengan kedhaifan anak-anak yatim lagi miskin kerana kekurangan dalam pengajian agama.



Dengan tekad dan sokongan penduduk kampung, Long Atin akhirnya mendirikan Madrasah Itthihadiah Ulu Gadong lengkap dengan asrama untuk dihuni oleh anak-anak yatim dan miskin secara percuma. Long Atin menumpukan seluruh perhatian dan tenaganya untuk menghidupkan madrasah yang telah didirikan. Di samping itu Long Atin turut mengajar agama (isitilah yang digunakan di kampong itu ialah Baca Kitab) di  sebelah malamnya di surau-surau atau masjid sekitar Daerah Rembau sehingga akhir hayatnya. Long Atin juga adalah pengasas Pertubuhan Kebajikan Anak Yatim Dan Miskin Ulu Gadong. Atas kegigihan dan kealimannya maka YAM Dato' Haji Ipap bin Haji Abdullah, Undang Luak Rembau ketika itu telah melantik Long Atin  menjadi Kadhi Daerah Rembau bagi tahun 1954 hingga 1968.

Perawakan Long Atin menurut anak-anaknya, lemah lembut, tekun dalam mencari ilmu dan mendidik, mudah tersenyum dan penyabar. Sikap ini tentu menepati gaya peribadi unggul seorang guru dan alim pula dalam agama. Long Atin juga bersikap sederhana dalam berpakaian dan sering berserban, berbaju Melayu dan berkain pelekat sahaja. Dengan isterinya Hajjah Aminah Binti Haji Tahadan, mereka dikurniakan 11 orang cahaya mata iatu 4 lelaki dan 7 perempuan. Setelah isterinya meninggal dunia, Long Atin berkahwin kali kedua dengan Hajjah Sarah Binti Haji Maarof tetapi tiada memperolehi anak.Long Atin telah menghabiskan sebahagian usianya untuk  pendidikan ilmu agama dan akhirnya Long Atin dijemput Allah SWT kembali ke sisi-Nya pada 13  April 1979 pada usia 76 tahun. Sempena pemergian dan khismat baktinya menegakkan syiar Islam  sekolah agama yang didirikannya telah diambil alih oleh Kerajaan dan ditukar namanya kepada Sekolah Menengah Agama Haji Mohd Yatim.

Long Atin juga telah dianugerahkan Pingat Khidmat Lama ( PKL) dan dinobatkan sebagai Tokoh Ulama Silam Negeri Sembilan sempena Sambutan Maal Hijrah 1423 yang lalu. Kita berdoa semoga ulama yang gigih ini diberkati Allah SWT jua atas sumbang bakti beliau dalam mendidik anak bangsanya. Al-Fatihah.  (Dipetik dengan ehsan daripada blog Orangtuo).

Saya sering mendengar emak bercerita tentang hubungan pasang surut anntara Long Atin dengan adik lelakinya satu ayah berlainan ibu . Adiknya ini bernama Haji Yassin Bin Hj. Zainal (1907 – 1984). Orang kampong memanggil Hj. Yassin ini “Yassin Ana” dan popular dengan panggilan Ngah Asin. Sebab orang meanggilnya Yassin Ana kerana Ngah Asin membahasakan dirinya “Ana”. Isteri Ngah Asin, iaitu ibu saya, Minah Wahab, sering memberikan penjelasan tentang hubung kait antara Long Atin dengan Ngah Asin terutama yang merujuk kepada kekeluargaan. Menurut Minah, Long Atin dan Ngah Asin berbapakan Haji Zainal Abidin dari Suku Biduanda Gadong Baroh. Haji Zainal nama penuhnya Haji Zainal Abidin bin Lamit.

Haji Zainal popular dengan panggilan Dang Sena adalah orang suku Biduanda Gadong Baroh yang bersemenda dengan suku Tanah Datar apabila beliau berkahwin dengan wanita darpada suku berkenaan. Adik perempuannya bernama Lamah bte Lamit. Lamah ini adalah ibu mentua kepada Cikgu Abbas Bin Ali dari Chengkau, seorang guru sekolah King George Ke-V, Seremban. Cikgu Abbas pernah menterjemahkan buku “Rembau, Sejarah Perlembagaan Adat dan Istiadatnya, karangan C.W.C Parr and W.H. Mackray dalam JS, 1910.

Menurut cerita Minah, madrasah yang didirikan di Ulu Gadong itu diasaskan bersama kedua adik-beradik ini dengan antara tenaga pengajarnya termasuklah beberapa ustaz terkenal di daerah itu, seperti Ustaz Ahmd Serol, Legong, Ustaz Ahmad Anwar, Ustaz Ahmad Munir dan Ngah Asin sendiri. Asalnya madrasah ini ditempatkan di Surau Ulu Gadong sebelum dipindahkan ke lokasinya yang ada sekrang. Adik Long Atin, Ngah Asin juga pernah belajar agama di Kedah dan Kelantan. Semasa di Kelantan Ngah Asin juga belajar dengan Tok Kenali. Ngah Asin telah kembali ke Rahmatullah pada tahun 1984. Kedua-dua adik beradik ini ke Mekkah secara berasingan. Ngah Asin ke Mekah ketika masih kecil, dibawa oleh emak saudaranya, Hajah Meja (Anjang), isteri kedua Undang Rembau Ke-17 Dato' Haji Sulong Miah Lela Maharaja.

Penulis Memoir A.F.Yassin ini adalah anak saudara kepada Long Atin. Semasa kecil kami saling berkunjungan, iaitu mengunjungi anak Long Atin bernama Haji Fuzi di Seremban, Haji Hamdan yang tinggal di Bongek, dan Hajah Rahah yang menetap di Sri Kendong.

19 Mei 2008.

Monday, 28 December 2015

SIAPA PENEROKA GUNUNG DATUK

JK Penerbitan Cucu Gunung Datuk Gadong yang bertanggungjawab enyediakan buku CGDG 71350 menjelang Hari Raya Puasa 2016. Satu Tall order yang perlu dilaksanakan.


 
Siapa Peneroka Gunung Datuk ini

Pusara yang bernisankan Batu Aceh tanda pusara ini milik keluarga bangsawan. Kenapa  pusara ini terletak di porak  Tanah Datar Gadong?

Menurut terombo di Negeri Sembilan, Datuk Perpatih Pinang Sebatang ini telah diperintahkan oleh Raja Minangkabau di Pagar Ruyung pergi ke tanah seberang (Semenanjung Malaysia) untuk menjaga kepentingan orang Minangkabau yang telah lama bermastautin di sana. Hari ini kawasan itu meliputi Negeri Sembilan, Alor Gajah, Segamat dan Kelang. Bagaimanapun, kedatangan datuk adat ini diceritakan dalam pelbagai versi. Dua yang paling terkenal ialah apa yang disebut Terombo versi Kuala Pilah dan Terombo versi Naning. Akhir-akhir ini penulis buku Negeri Yang Sembilan (1995),

Norhalim Haji. Ibrahim telah memperkenalkan Teromba versi Rembau atau lebih tepat versi Batu Hampar. Kesemua versi ini cuba menegakkan keberanan masing-masing. Percanggahan amat nyata walaupun kesamaan masih terasa. Kata seorang Datuk Lembaga di Rembau, “Inilah masalahnya. Saya sekarang tak tahu versi yang mana yang boleh kita terima. Kuala Pilah, Naning atau Rembau. Dan siapa tahu tidak lama lagi akan muncul pula Terombo versi Jelebu, Johor, Tampin dan Sungai Ujong. Semua akan mengaku versinya lebih tepat dan betul.” Anggapan versi mana yang lebih tepat dan betul ini lazimnya dikaitkan dengan ketokohan dan karisme datuk peneroka adat itu sendiri. Secara psikologis kelompok masyarakat yang mendakwa mereka dari keturunan peneroka adat ini akan meletakkan status sosialnya lebih tinggi berbanding kelompok masyarakat lain yang sekadar menjadi pengikut.

Sesetengah kalangan di Negeri Sembilan berpendapat oleh kerana “kehebatan tokoh inilah, maka banyak daerah di negeri itu mahu mengaitkan datuk ini dengan pembukaannya.” Terombo versi Kuala Pilah setakat ini lebih tertonjol berbanding versi-versi lain. Menurut Norhalim selagi tidak ada versi yang dapat menyanggah kebenaran Kuala Pilah ini selagi itulah ia dianggap versi terkuat. Lagi pula yang memperkenalkan versi ini adalah tokoh adat yang bukan “calang-calang”, antaranya Allahyarham Tan Sri Abdul Samad Idris melalui buku Payung Terkembang (1990) dan pengarang Dharmala N.S.. Terombo versi Naning adalah pencabar terdekatnya. Menurut terombo versi Kuala Pilah yang dicatat Abu Cit Mat Serum, rombongan pertama orang Minangkabau datang ke Negeri Sembilan di bawah pimpinan Datuk Perpatih Pinang Sebatang.

Rombongan meninggalkan Pagar Ruyung di Sumatera menuju Siak. Dari Siak rombongan belayar ke Muar. Dari Muar, rombongan mengikuti jalan darat menuju Bukit Kepong dan terus ke Johor (Lama?). Dari Johor rombongan mudik pula ke Pasir Besar dan terus ke Hulu Muar ke satu tempat yang disebut Pelangai. Setelah beberapa ketika rombongan meneruskan perjalanan ke Kampung Tengah, Seri Menanti dan akhirnya Pilah. Rombongan akhirnya menetap di Angga Bisa, Hulu Pilah. Ketua rombongan Datuk Perpatih mula menyusun dan mengatur pantang dan sendi adat yang akhirnya dinamakan Adat Perpatih. Adat ini disebarkan ke seluruh kawasan yang berdekatan yang didiami orang asli, antaranya di Jenang, Jiru dan Johol. Datuk Perpatih kemudian bertolak ke Naning tetapi gagal menemui Datuk Batin ketua penduduk orang asli di sana. Dalam perjalanan pulang Datuk Perpatih singgah di Rembau, Sungai Ujong dan Jelebu.

Menurut ceritanya ke mana sahaja datuk ini singgah, pengikut-pengikutnya terus meneroka negeri. Maksudnya mereka menetap di tempat-tempat yang dilalui dan berkahwin dengan penduduk-penduduk asli tempatan. Pada tahun 1372, dan setelah berada selama 20 tahun di Tanah Semenanjung, Datuk itu mengadakan satu perhimpunan besar di Gunung Datuk, juga disebut Gunung Rembau. Dalam perhimpunan itu Datuk Perpatih melantik Datuk-Datuk Undang dan Datuk-Datuk Lembaga untuk semua kawasan yang telah menerima sistem Adat Perpatih. Dikatakan setelelah pelantikan itu Datuk Perpatih pun menghilangkan diri (ghaib?). Penduduk-penduduk di kaki gunung itu mendakwa nama Gunung Datuk itu adalah mengambil sempena nama Datuk Perpatih Pinang Sebatang. Nama Gunung Datuk lebih terkenal berbanding nama rasminya Gunung Rembau.

Terombo versi Naning pula membawa sedikit kelainan. Pencatat versi ini, Shahiba, menulis Datuk Perpatih Pinang Sebatang meninggalkan Pagar Ruyung menuju Kampar lalu ke Siak. Dari Siak rombongan belayar ke Bengkalis dan Bukit Batu. Rombongan kemudian menyeberang Selat Melaka ke muara Sungai Linggi. Dari muara ini mereka mudik ke hulu sungai hingga ke Paya Dalam dan meneruskan perjalanan ke Bukit Penyaling lalu membuat kampung. Datuk Perpatih berkahwin dengan anak Datuk batin, ketua orang Jakun di kawasan itu, sementara pengikut-pengikut Datuk itu berkahwin dengan anak-anak buah Datuk Batin. Tidak lama kemudian Datuk Perpatih menamakan tempat itu Naning dan beliau dilantik menjadi Penghulu Naning yang pertama bergelar Datuk Naning. Datuk Naning pertama mewujudkan Suku Semelenggang dan keturunan Datuk Naning dari suku ini menjadi pewaris jawatan Datuk Naning hingga ke hari ini. Datuk Naning pertama (Datuk Perpatih Pinang Sebatang) meninggal dunia dan dimakamkan di pinggir jalan yang menghala ke Lubok Kepong.

 Terombo versi Naning mendakwa Datuk Perpatih Pinang Sebatang bukanlah orangnya yang “membuka” dan memperkenalkan Adat Perpatih di Segamat, Hulu Muar, Johor, Rembau, Sungai Ujong, Jelebu, Kelang, Hulu Pahang, Jempul dan Serting. Semua daerah ini diteroka oleh kumpulan orang Minangkabau yang datang kemudian. Kumpulan inilah yang memperkenalkan adat ini setelah mendapat restu dari Datuk Perpatih di Naning. Maka jelas melalui kedua-dua versi ini terlihat percanggahan dalam penglibatan Datuk Perpatih di Negeri Sembilan dan Naning. Dari sudut geografi, versi Naning lebih mudah difahami dan lebih diterima akal. Secara alamiah, kawasan pantai barat Semenanjung akan menjadi kawasan pertama yang akan didiami oleh penghijrah dari Sumatera.

Dalam hal ini kemungkinan amat besar bahawa rombongan Datuk Perpatih akan meneroka daerah di sepanjang pantai. Rombongan berikutnya akan “terpaksa” mudik dari muara sungai ke hulu atau mengikut jalan darat ke daerah pedalaman. Jika dikaji kedudukan daerah-daerah yang disebutkan itu, Naning merupakan kawasan yang paling dekat dengan pantai. Jaraknya tidak melebihi 40 km berbanding Kuala Pilah atau Jelebu yang jauhnya ratusan kilometer di pedalaman, hatta Sungai Ujong sekalipun. Hanya Rembau yang bersamaan jarak dengan Naning. Juga sedikit aneh dan tidak ada sebab, mengapa rombongan Datuk Perpatih perlu berjalan beratus-ratus kilometer ke daerah pedalaman hingga ke Kuala Pilah dan Jelebu untuk menjaga kepentingan orang Minangkabau. Sedangkan secara geografisnya kebanyakan orang Minangkabau telah terlebih dahulu bermastautin di kawasan-kawasan pantai Selat Melaka. Pemastautin di Kuala Pilah tentunya merupakan pendatang-pendatang terkemudian. Lain lagi ceritanya dengan Terombo versi Rembau (Batu Hampar) yang diperkenalkan Norhalim.

Menurut Norhalim, yang memetik beberapa hasil kajian orang Portugis dan Belanda, adat Perpatih yang hampir sama dengan adat di Minangkabau diperkenalkan oleh seorang “wakil” Raja Minangkabau. Wakil raja itu bernama Datuk Leteh dan diperintahkan pergi ke Rembau pada tahun 1490an Raja untuk memimpin masyarakat Minangkabau yang menetap di daerah-daerah di sekitar pantai dan kawasan yang hari ini disebut Rembau. Datuk Leteh berasal dari Batu Hampar, Mendahiling dan bersukukan Caniago. Pengikut-pengikutnya terdiri daripada penduduk-penduduk dari suku Batu Hampar sendiri, Paya Bidara, Pagar Cincang dan Agam. Mereka sampai di muara sungai yang hari ini disebut Kuala Sungai Linggi lalu mudik ke Lubok China (wilayah Naning sekarang Alor Gajah). Dari Lubok China Datuk Leteh mudik ke hulu hingga ke Relong dan bertemu dengan ketua orang Asli, Datuk Batin Skudai. Datuk Leteh meminta izin dengan datuk batin untuk menetap di Relong. Kawasan itu hari ini dinamakan Kampung Penajis Ulu. Datuk Leteh mula menyusun dan mengatur system masyarakat orang Minangkabau sehampir mungkin dengan system adat di tanah asalnya. Sistem ini diterima baik oleh penduduk orang asli pimpinan Datuk Batin Skudai kerana kebersamaan dengan adat orang asli yang matrilineal. Pada tahun 1500, Datuk Leteh bersama Datuk Batin Skudai meninggalkan Relong untuk membuka negeri di Kampung Lada, Chengkau. Datuk Batin Skudai kemudian meninggalkan Kampung Lada untuk menetap di Seliau, Rantau dan meninggalkan salah seorang anak perempuannya, Datuk Bungkal, dalam jagaan Datuk Leteh. Datuk Bungkal telah lama menjadi anak angkat Datuk Leteh. Ada kemungkinan Datuk Leteh tidak mempunyai anak dan menjadikan anak Datuk Batin Skudai anak angkatnya.

Pada tahun 1502, Datuk Leteh sekali lagi pindah, kali ini ke Kampung Kota Lama (sebelumnya dinamakan Kampung Gembira yang dibuka oleh Datuk Batin Pak Nilu dari Sungai Ujong, kawasan Rahang, Seremban sekarang). Di kampung itu pertemuan diadakan dengan Datuk Lela Balang, juga dari Batu Hampar yang telah menetap di Kota Lama. Mereka bermuafakat untuk membahagikan wilayah kuasa di Kota Lama itu kepada dua, satu ditadbirkan Datuk Leteh dan satu lagi Datuk Lela Balang. Berdasarkan permuafakatan itu Datuk Leteh mendapat wilayah “kanan mudik” Sungai Rembau, sementara Datuk Lela Balang wilayah “kiri mudik.” Datuk Leteh menamakan wilayah kuasanya sebagai Kampung Perah oleh kerana banyaknya pokok perah (elateriospermum tapos) di kawasan itu. Datuk Lela Balang dikahwinkan dengan Datuk Bungkal dan keturunan keluarga ini mewarisi jawatan Undang Rembau hari ini.

Walaupun terombo versi Rembau ini tidak menyebut langsung nama Datuk Perpatih Pinang Sebatang tetapi perintah yang diberikan kepadanya oleh Raja Minangkabau dan tindakannya memperkenal sistem adat Minangkabau adalah sama seperti yang ditulis dalam versi Kuala Pilah dan Naning. Cuma perbezaannya terletak pada nama tokoh sentralnya, sama ada Datuk Perpatih Pinang Sebatang atau Datuk Leteh. Di kalangan penduduk Rembau ada yang menganggap Datuk Leteh dan Datuk Perpatih Pinang Sebatang sebenarnya nama orang yang sama. Anggapan ini diasaskan kepada beberapa pertimbangan. Pertama berlakunya peristiwa perhimpunan besar di Gunung Datuk untuk melantik undang dan lembaga oleh Datuk Perpatih Pinang Sebatang. Gunung ini terletak di Rembau. Di kaki gunung terletak Kampung Perah dan Kampung Kota Lama yang pula bersempadankan Naning. Sedangkan Kuala Pilah berada jauh di sebalik gunung. Bayangkan Datuk Perpatih terpaksa mendaki Bukit Putus atau Bukit Miku sebelum mendaki Gunung Datuk.

 Andainya Datuk Perpatih Pinang Sebatang mahu melantik undang dan lembaga, apakah perlu beliau naik gunung turun gunung yang mungkin memakan masa beberapa hari, malah minggu untuk sampai ke puncak Gunung Datuk. Manakala Datuk Leteh yang tinggal di kaki gunung tersebut hanya memerlukan kira-kira tiga atau empat jam untuk sampai ke puncak. Kedua, titah perintah raja Minangkabau kepada Datuk Perpatih adalah juga titah perintah raja Minangkabau kepada Datuk Leteh. Soalnya apakah perlu seorang raja memerintahkan dua orang pembesarnya untuk menjaga kepentingan masyarakat Minangkabau di kawasan yang sama di seberang? Dikatakan Datuk Perpatih dan Datuk Leteh belayar ke seberang melalui pangkalan yang sama, iaitu Siak. Cuma bezanya Datuk Perpatih menuju muara Sungai Muar (versi Kuala Pilah) sementara Datuk Leteh menuju muara Sungai Linggi (versi Rembau).

Dalam hal ini ada persamaan antara versi Naning dengan Rembau. Kedua-dua versi ini menyebut orang besar raja ini belayar dari Siak menuju muara Sungai Linggi. Jika versi Kuala Pilah diambil kira maka sudah tentu ada kesan-kesan peninggalan Minangkabau di Muar seperti halnya di Kuala Linggi. Setidak-tidaknya adan proses penyemendaan antara orang Minang dengan penduduk tempatan. Ketiga dan dianggap lebih penting ialah kisah penerokaan Datuk Perpatih dalam ketiga-tiga versi. Teromba versi Kuala Pilah memperlihatkan satu perjalan yang kompleks (sungai dan daratan) sebelum membuka tempat baru. Versi ini menunjukkan kehebatan Datuk Perpatih mengembari dari Muar ke Johor Lama (mungkin ke Batu Sawar tempat bersemanyamnya Sultan Johor), lalu mudik ke Hulu Muar sebelum meneruskan perjalanan ke Hulu Pilah.

Secara geografisnya hari ini, Datuk itu bersama pengikutnya menjelajah dua negeri, Johor dan Negeri Sembilan. Satu perjalanan panjang dan memakan masa berbulan-bulan lamanya. Jika dilihat dari sudut ini, maka versi Naning dan Rembau adalah lebih rasional. Demikianlah, tiga versi terombo yang kadang-kadang terlihat sebagai satu cara memperbesar jurai keturunan penganut adat Perpatih di Negeri Sembilan dan Alor Gajah (Naning) hari ini. Norhalim barangkali berkata benar apabila orang sering mengaitkan kehebatan tokoh peneroka dengan daerah tempat tinggalnya.

Saturday, 26 December 2015

KAMPONG JERAM : NASIB PESAWAH BERNAMA UJANG

Dari kaki Gunung Datuk ketulan baesar batu batan yang menjadi ciri utama puncak gunung dibadikan dari kaki gunung oleh Ahmad Fadzil Yassin
Sebahagian dariada Banjaran Titiwangsa yang menempatkan lokasi Gunung Datuk di salah satu puncak tertinggi Banjaran.. Gunung Datuk mempunyai ketinggian sekitar 800 meter dari paras laut



Nasib Pesawah Bernama Ujang
Di Kampung Jeram
REMBAU
Nasib Pesawah Bernama Ujang di Kampung Jeram
UJANG berusia 38 tahun beristeri dan mempunyai enam orang
anak serta satu tanggungan lain, iaitu ibunya yang sudah tua.
Ujang adalah nama “manja” Ahmad Abdul Rahman, nama
yang lebih dikenali oleh orang Kampung Jeram, Kota, Negeri Sembilan.
Istilah “Ujang” dikaitkan dengan “sudah besar dan sudah remaja”
dan membawa maksud dia sudah boleh diharapkan untuk membantu
ibu dan bapa walaupun dalam usia yang masih kecil. Biasanya pada
waktu kecil dahulu, Ujang berasa bangga dipanggil dengan nama itu
dan akan berbuat segera segala yang disuruh orang tuanya. Jadi, dia
membantu orang tuanya bersawah dan menoreh getah. Sekarang
Ujang sudah mempunyai keluarga sendiri. Dia tidak lagi membantu
orang tuanya, tetapi berkewajipan pula menghidupkan semua anggota
keluarganya. Untuk memenuhi kewajipan inilah yang menjadi
masalah pokok Ujang.

Kampung Jeram merupakan salah sebuah kampung di Mukim Gadong,
Daerah Rembau yang menyediakan sawah dan tanah getah sebagai
sumber pencarian penduduknya. Kebanyakannya adalah harta
warisan tanah pusaka turun-temurun diwariskan. Tanah sawah yang
dikerjakan oleh Ujang sekarang adalah kepunyaan isterinya Kama-
riah Zainuddin, warisan pusaka daripada ibunya. Memang, di negeri
yang bersandarkan kebiasaan sistem Adat Perpatih harta warisan diturunkan
kepada pihak perempuan. Melalui sistem ini, Ujang tidak
berhak menerima tanah pusaka. Maka jadilah Ujang sebagai pekerja
di tanah sawah isterinya.

Luas tanah sawah yang dikerjakan oleh Ujang ialah satu ekar. Tanah
seluas ini dibahagi berpetak-petak atau “berlopak” mengikut istilah
daerah ini. Ada 10 lopak semuanya, setiap satu luasnya kira-kira 30 x
40 kaki. Menurut Ujang jenis bibit yang digunakan untuk sawahnya
ialah Mahsuri. Sekali tanam mendatangkan hasil kira-kira 300 gantang
padi bersih. Jumlah ini didasarkan kepada penanaman padi
sekali setahun sahaja. Memang sudah menjadi tradisi di daerah ini
sawah dikerjakan sekali setahun. Kebiasaan ini ditentukan oleh faktor
lingkungan dan “kehendak alam”. Maksudnya, kebanyakan yang
ke sawah terdiri daripada kaum wanita dan ibu-ibu kecuali beberapa
orang lelaki seperti Ujang yang tidak mempunyai kerja tetap yang.
Lazimnya orang lelaki menoreh getah. Di sawah kaum wanita akan
bekerja dari pagi sampai ke petang. Setelah padi masak dan dituai
selepas enam bulan, biasanya mereka akan istirahat untuk beberapa
bulan sebelum “turun ke sawah” semula.

Ujang juga terpaksa mengikut kebiasaan ramai. Dari segi kehendak
alam pula, Ujang dan juga pesawah lainnya terpaksa menunggu
musim. Pada musim hujan mereka mula turun ke sawah dan pada
musim panas, padi sudah menguning untuk dituai. Jika Ujang dan
orang kampung lainnya tidak menurut “ kehendak alam” begitu makan
hasilnya tidak akan sampai ke peringkat yang menguntungkan. Pernah
satu kali Ujang cuba mengerjakan sawahnya dua kali setahun, kerana
dia mempunyai banyak waktu yang terluang. Hasil yang diperolehnya
pada penanaman yang kedua kali jatuh merosot disebabkan musim
yang tidak sesuai ditambah musuh-musuh padi seperti hama dan tikus,
itik dan kambing.

Kata Ujang, jumlah 300 gantang bersih yang diperoleh setahun itu
sudah tentu tidak mencukupi. Tiga bulan terakhir sebelum padi baharu
dituai dia terpaksa membeli. Maka di sinilah timbul masalah daya
belinya. Dia berusaha mengambil upah menebas ladang. Tidak cukup
dengan upah itu dia berusaha pula menoreh getah. Hasilnya dibahagi
dua. Kerja menoreh getah ini dilakukannya dalam masa enam bulan
dia tidak ke sawah. Pendapatan hasil torehan tidak seberapa. Purata
sebulan setelah ditolak hari hujan dan keadaan badan yang tidak
mengizinkan pendapatannya sekitar RM48.00. Sehari menoreh dia
memperoleh empat keping getah, setiap keping beratnya 11⁄2 kati.
Demikianlah kehidupan ekonomi Ujang, sehingga sering sahaja
dia mengeluh bahawa hidupnya sekeluarga adalah serba-serbi dalam
kekurangan. Persoalannya yang paling berat dan mendapat perhatian
khusus ialah bagaimana menyesuaikan diri dengan keperluan hidup
moden. Maksudnya tiga orang anaknya yang tertua, masing-masing
12, 11 dan 10 tahun sedang berada di sekolah rendah.

Pada tahun depan seorang lagi akan disekolahkan. Soalnya mereka perlu pakaian
sekolah di samping pakaian rumah, perlu makanan yang cukup, perlu
menjaga kebersihan dan sewaktu-waktu perlu membayar yuran dan
buku tulis. Ujang memikirkan juga tentang persekolahan anaknya
yang tertua yang akan ke sekolah menengah pada tahun hadapan. Ini
menambahkan lagi bebannya untuk mempersiapkan diri.
Ujang berterus terang bahawa setiap amalan sebelum tidur untuk
bangun menghadapi masalah hari esoknya, dia dan isterinya sering
membincangkan nasib mereka sekeluarga. Ujang ingin mengubah nasibnya,
mencari jalan sebaiknya bagaimana mengurangkan masalah
kewangan rumah tangganya. Melalui radio yang hanya dapat mereka
dengar waktu malam hari, di bandar banyak terdapat peluang kerja.
Malah, melalui kawan-kawan yang sering diajak berbual waktu sekalisekala
di kedai kopi di kampung itu, Ujang difahamkan bahawa bandar
itu adalah “gudang pekerjaan”.

Namun, Ujang mempersoalkan pula tingkat pendidikannya. Dia
hanya lulus Darjah VI Sekolah Melayu. Pekerjaan apa yang boleh
dibuatnya kecuali buruh kasar. Kadang-kadang terfikir juga olehnya
akan keuntungan bekerja menjadi buruh kasar di bandar. Gajinya
tetap, tempatnya di bandar yang bererti dia perlu berhijrah. Sudah
tentu juga gajinya akan lebih besar dibandingkan dengan apa yang
diperolehnya sekarang, tetapi dalam waktu terdekat ini dia belum
berani mengambil keputusan berhijrah. Sebabnya ialah dia bimbang
dengan keadaan hidup di bandar. Sudah banyak didengarnya bahawa
adalah lebih baik hidup di kampung dengan pendapatan RM100.00
sebulan daripada hidup di bandar dengan pendapatan RM300.00.
Dia menggunakan akal sihatnya dengan mencongak-congak. Di ban-
dar semuanya perlu dibeli, sayurnya, lauknya dan lain-lain yang pokok
dan remeh. Sedangkan di kampung itu boleh didapatkan dengan
usaha sendiri. Sayur ditanam, lauk ada di sungai dan di sawah.
Dalam pada itu dia terfikir pula tentang kawan-kawannya yang sudah
berhijrah ke bandar. Mereka bekerja sebagai buruh kasar, buruh
kilang atau bekerja sendiri. Mereka mempunyai tingkat pendidikan
yang sama dengannya. Sesekali mereka pulang Ujang melihat perubahan
pada diri mereka, baik dari segi berpakaian mahupun dari
segi bertingkah laku. Ujang kadang-kadang mengagumi keberanian
kawan-kawannya yang paling rapat yang telah berkeluarga yang pada
penglihatannya “sudah hidup mewah di Kuala Lumpur”.

Ujang masih terus menimbang-nimbang. Tanah sawah yang dikerjakan
memberikan hasil yang sama setiap tahun sedangkan keluarganya
semakin bertambah besar. Kawan-kawannya yang sudah bekerja
di bandar dilihatnya semakin bertambah “segar dengan angin bandar”
sedangkan dia masih tetap seperti keadaan biasa. Barangkali Ujang
sedang membentuk sikap baharu. Mana tahu satu hari dia memutuskan
untuk mengikut jejak kawan-kawannya yang telah terlebih dahulu
meninggalkan cara hidup lamanya. (Dewan Masyarakat, 15 Jun
1980.)



Monday, 21 December 2015

MENGINGATI ABAH DI PAGI KERAMAT



Hj. Yassin Bin Hj. Zainal - Abah -  ketika berusia 74 tahun

Abah (Hj. Yassin Bin Hj. Zainal) meninggal dunia pada tahun 1985 semasa berusia 74 tahun. Ketika abah masih hidup saya sebagai anak sulungnya dan sebagai seorang kanak-kanak rindukan alam kanak-kanak. Saya jarang dapat bermain dengan kawan-kawan sebaya kerana pada waktu petang saya mengikuti kelas agama dan pada hari cuti sekolah dan hujung minggu saya terpaksa bantu abah menoreh getah di ladang. Pernah satu kali saya dibaling dengan kasut oleh abah kerana enggan mengikutnya menoreh. Saya geram dengan tindakan abah tetapi saya takutkan abah. Kadang-kadang timbul juga rasa benci terhadap abah. Mak juga tidak berbuat apa-apa apabila abah berada dalam keadaan marah dan panas baran.

Demikianlah saya kurang dapat manfaatkan alam kanak-kanak. Say tidak seceria seperti halnya kanak-kanak lain di Kg. Gadong yang petang-petang hari pergi melastik burung dalam belukar dan tangkap belalang di tengah sawah. Ada pula yang memancing dan tidak kurang yang memanjat pokok jambu batu yang tumbuh liar di kawasan hutan di belakang kampung. Apa pun jua, saya tidak dapat melupakan satu peristiwa yang terjadi kepada saya yang mengubah sikap saya terhadap abah. Saya tidak pasti bila peristiwa itu berlaku tetapi saya masih ingat, pada waktu itu saya masih menuntut di sekolah rendah Inggeris kerajaan.

Abah bercerita kepada saya. Pada satu pagi abah ke dusun durian di lereng bukit kira-kira 10 kilometer dari Bukit Tempayan di penghujung selatan Banjaran Titiwangsa. Orang kampung menamakan kawasan lereng bukit itu Dusun Nangka dan semua kawasan itu ditanam dengan durian. Abah ke dusun untuk menebas kerana musim durian akan bermula tidak lama lagi. Abah mendapati banyak buah durian pada musim itu. Dalam pada itu abah faham sangat, waktu-waktu terakhir ini dusun nangka kerap benar menjadi sasaran pengeboman pihak tentera kerana dusun nangka dianggap laluan dan sarang pengganas komunis. Kawasan itu masih diisytihar kawasan hitam. Namun, musim durian mendorongnya kuat untuk menebas dusunnya walaupun dia bermain dengan bahaya. Bila-bila masa sahaja dia mungkin terserempak dengan pengganas komunis atau berada di tengah-tengah sasaran operasi tentera.

Biasanya sebelum memulakan operasi, pihak tentera akan menaburkan lembaran-lembaran kertas dari udara meminta orang kampung meninggalkan kawasan sasaran. Sebuah helikopter akan terbang rendah untuk menaburkan lembaran-lembaran itu dari udara, sambil menasihatkan orang kampung melalui pembesar suara supaya meninggalkan kawasan sasaran.

Pada pagi itu abah terlupa akan bahaya itu. Dia pun mula menebas sehingga pada suatu ketika dia terdengar laungan amaran daripada helikopter yang terbang rendah dari atas. Dia terus sahaja bekerja walaupun telah beberapa kali dia mendengar laungan suara itu. Tiba-tiba dia dikejutkan oleh suara letupan bom yang menggegarkan seluruh kawasan. Kakinya seperti tercabut oleh kuatnya bunyi ledakan itu. Dia terasa dirinya terperangkap. Dia tidak pasti sama ada dia akan berjaya melepaskan diri kerana bunyi ledakan bom semakin hampir jua. Hati kecilnya berkata barangkali ajalnya akan sampai pada hari itu, dalam pada itu dia berusaha mencari perlindungan di celah-celah batu dan hanya dapat berdoa agar batu-batu di atas tidak terkena sasaran bom.

Setelah beberapa lama, enjin pesawat pengebom itu semakin sayup didengarnya. Dengan cepat dia bertindak keluar dari celah-celah batu itu lalu berlari kencang turun dari lereng bukit menuju sawah di bawah bukit. Parang masih di tangannya. Sebaik sahaja sampai di tengah sawah sekali lagi dia mendengar bunyi deru pesawat. Deru itu semakin lama semakin dekat dan abah mendongak ke atas. Dia melihat dua pesawat pengebom terbang rendah menuju arah bukit. Beberapa saat kemudian abah terdengar beberapa dentuman kuat dan api mula kelihatan menjilat pokok di beberapa kawasan bukit, api juga kelihatan di kawasan dusunnya.

Abah cemas. Dia hanya seorang diri di tengah sawah dan terdedah pula kepada penglihatan dan ancaman bahaya. Siapa dalam pesawat pengebom itu, mungkin akan menyangkanya seorang komunis yang cuba melarikan diri dan dia akan menjadi sasaran bom mereka. Dengan tangan di parang abah pura-pura menebas rumput di permatang sawah. Dia terus membaca ayat suci al-Quran setiap kali pesawat pengebom terbang rendah di atas kepala. Satu ledakan terjadi pula betul-betul di pinggir sawah, tidak jauh dari tempat dia menebas rumput. Begitu kuat bunyi ledakan itu sehingga abah terjatuh ke dalam sawah. Debaran jantungnya semakin kencang, sekencang kumat-kamit bibirnya. Setelah beberapa lama kedua-dua pesawat itu pun pergi. Abah menunggu sehingga bunyi ancaman pesawat itu hilang daripada pandangan. Kemudian abah bingkas bangun lalu berlari menuju sungai sebelum pulang ke rumah melalui kebun getah Lopari.

Saya dan Mak sedang menunggu kepulangan abah. Mak begitu risau dengan keselamatan suaminya. Mata Mak merah. Mak begitu lega apabila abah muncul di pintu pagar. Suasana kepulangan abah segar benar dalam ingatan dan saya tidak akan dapat melupakannya, apatah lagi setelah abah bercerita tentang pengalaman azabnya itu.


Sejak peristiwa abah lari daripada perangkap bom itu abah tidak pergi lagi ke dusun untuk beberapa minggu. Setelah itu dia mendapatkan nasihat ketua kampung tentang cara-cara yang selamat untuk ke dusun. Satu jadual yang diselaraskan dengan operasi tentera di kawasan itu diberikan kepadanya dan penduduk kampung agar mereka mengelakkan diri daripada terperangkap dalam operasi tentera. Pengalaman azab ayah itu benar-benar membuatkan saya berubah sikap terhadap abah. Hilang semua rasa marah dan benci terhadap abah kerana “mendera”nya di hujung minggu. Sewaktu menatap kali terakhir wajah abah sebelum jenazahnya dikebumikan pada tahun 1985 dahulu saya membuat janji dengan diri sendiri untuk “menjaga” arwah abah dengan baik. Saya berjanji untuk memberi peringatan khas kepada abah setiap pagi subuh hari kemerdekaan melalui wirid dan doa panjang. Pada waktu itu saya akan memainkan dalam kepalanya seluruh rakaman hidup masa lalunya bersama abah. Pada pagi 31 Ogos 2015 lalu, saya keluar dari bilik sambil mengesat mata saya yang merah. Al-Fatihah!
Ahmad Fadzil Yassin

Sunday, 20 December 2015

MISTERI BATU NISAN ACEH DI TANAH DATAR GADONG

Puncak Gunung Datuk kelihatan dari tobek Kg. Seberang Paya




SEPASANG batu nisan yang terdapat di kawasan rumah ini menyerupai
batu nisan yang dikenali dengan Nisan Batu Aceh. Ini
dapat dilihat daripada bentuk dan ukirannya yang menyamai
bentuk dan ukiran batu nisan makam raja-raja, seperti yang terdapat
di Makam Tauhid dan Makam Sultan Mahmud Mangkat Dijulang di
Kota Tinggi, Johor.

Bentuk batu nisan ini sama dengan bentuk batu nisan yang menghiasi
kulit buku Batu Aceh Warisan Sejarah Johor yang ditulis oleh
Daniel Perret dan Kamaruddin Abd. Razak dan diterbitkan oleh
Yayasan Warisan Johor pada tahun 1999. Berdasarkan kajian Daniel
dan Kamaruddin, Batu Aceh “digunakan untuk orang Islam tertentu
sahaja di Semenanjung Malaysia mulai abad ke-15. Sebenarnya maklumat
yang terkandung dalam tulisan yang diukir pada beberapa batu
Aceh menunjukkan bahawa ia digunakan sebagai tanda makam sultan,
kaum kerabatnya serta orang-orang besar kerajaan.”

Lazimnya, pada ketika Kesultanan Melayu baik di Melaka, mahupun
di tempat-tempat lain dalam daerah Nusantara adat kematian
orang biasa tidak disebut dalam sumber-sumber tempatan. Undangundang
Melaka, berdasarkan Fasal Ketiga, memberikan beberapa
maklumat tentang hukum kematian rakyat jelata, orang besar-besar
dan pemimpin, khususnya larangan berkaitan dengan penggunaan
payung dan warna kuning. Ia tidak menyebut bahawa mayat orang
biasa dikuburkan. Menurut sejarah, mayat orang Melayu biasa dibakar,
tidak dikebumikan seperti yang dilakukan hari ini.

Maka batu nisan yang ditemui di halaman rumah Uwan Piah itu
dikesan sebagai batu nisan jenis Batu Aceh. Menurut Daniel dan Kamaruddin
yang memetik kata-kata Prof. Dr. Othman Yatim dari Jabatan
Muzium dan Antikuti, Kuala Lumpur dan kini pensyarah kanan
di Universiti Malaya, setakat ini kira-kira 300 Batu Aceh ditemui di
seluruh Semenanjung Tanah Melayu. Jika benar batu nisan di halaman
rumah Uwan Piah itu daripada jenis Batu Aceh, maka jumlahnya
kini meningkat 301 buah. Johor dikatakan mempunyai jumlah yang
banyak, iaitu kira-kira 211 buah berdasarkan kajian Daniel dan Kamaruddin.
Namun, R.O. Winstedt menemukan hanya 137, sementara Dr.
Othman menemukan 137.

Berdasarkan kajian yang dilakukan oleh Daniel dan Kamaruddin
dan Dr. Othman Yatim, batu nisan Batu Aceh terdiri daripada 16 jenis
dan mempunyai 14 bentuk. Jika diteliti Batu Aceh yang terdapat di
halaman rumah Uwan Piah itu adalah daripada jenis C yang sehingga
kajian dibuat ditemukan sebanyak 90 buah (tidak termasuk yang ditemui
di halamn rumah Uwan Piah.
Batu Aceh mula disebut pada tahun 1512 oleh Tome Pires dalam bukunya,
Suma Oriental. Beliau menyebut Makam Sultan Mansur Shah,
Sultan Melaka, menggunakan batu nisan jenis Batu Aceh. Batu Aceh
ini dibahagikan yang terdiri daripada “kepala”, “badan” dan “kaki”.
Bahagian di antara kepala dan badan, iaitu bahagian yang melengkung
disebut “bahu” sementara bahagian yang paling bawah ataupun
tapaknya disebut “kaki”. Kebanyakan batu nisan ini diperbuat daripada
batu pasir (sandstone) kerana lembut dan mudah dibentuk. Batu
jenis ini tidak terdapat di Semenanjung Malaysia tetapi hanya terdapat
di Aceh. Hiasan yang terdapat di batu nisan ini boleh dibahagikan kepada
dua, iaitu tulisan atau inskripsi dan simbol atau lambang.

Berdasarkan maklumat tersebut dan keyakinan bahawa batu nisan
Batu Aceh hanya digunakan untuk menandakan makam raja-raja,
kerabatnya dan orang besar kerajaan, maka diyakini batu nisan di
halaman rumah Uwan Piah di Kampung Tanah Datar Gadong adalah
daripada jenis Batu Aceh. Ini menjadi bukti bahawa jenazah yang
dikebumikan itu ialah jenazah diraja, sama ada raja, ahli kerabatnya
atau Orang Besar Raja. Yang masih menjadi tanda tanya ialah mengapa 
batu nisan itu berada di halaman rumah berkenaan. Juga menjadi tanda 
tanya di kedua-dua Tanah Perkuburan Gadong dan Tanah Datar tidak ada batu
nisan jenis ini. Jika makam ini makam diraja, siapakah gerangan yang
dimakamkan? Jika lokaliti menjadi prasyarat keyakinan, maka besar
kemungkinan makam itu ialah makam nenek moyang keluarga Uwan
Piah adik-beradik.

Sayugia dimaklumkan bahawa Uwan Piah mempunyai beberapa
orang adik-beradik. Yang tua bernama Lanjung (Anjung) yang juga
digekar Uwan Aruh. Yang kedua ialah Sakiyah, ketiga Piah (Safiah).
Keempat Meja (Uwan Anjang). Kelima Hawa (Uwan Teh), keenam
Hussein (yang berkahwin dengan orang Mungkal) dan ayah kepada
Aji (Datuk Samsura Pahlawan, salah seorang Lembaga Tiang Balai
Nan Berempat) dan suami kepada Induk Limah. Yang paling bongsu
ialah Bedah (Uwan Cu).

Orang tua mereka ialah Jaafar (ayah) dan Sulung (ibu). Siapa orang
tua Jaafar atau Sulung masih menjadi tanda tanya. Menurut sejarah
Negeri Sembilan, khususnya sejarah kerabat diraja Negeri Sembilan,
ada satu jurai keturunan daripada Raja Melewar, iaitu Tengku Jaafar
berkahwin dengan Tengku Sulung. Persamaan nama dua mempelai
diraja ini dengan Jaafar dan Sulung yang tinggal di Tanah Datar menjadi
satu misteri yang jawapannya mungkin terletak pada batu nisan
Batu Aceh di halaman rumah Uwan Piah.

Kajian perlu dilakukan ke atas batu nisan berkenaan dari sudut saintifik
dan sejarah. Barangkali pakar antikuiti seperti Prof. Dr. Othman
Yatim yang banyak mengkaji Batu Aceh ini boleh membantu mencari
jawapan kepada misteri batu nisan Batu Aceh di Tanah Datar ini. Tulisan
sama ada dalam bentuk inskripsi atau lambang di batu nisan itu
mungkin dapat membantu menghuraikan bukan sahaja misteri kewujudannya
di kawasan itu, tetapi sekali gus menemukan jurai keturunan
Jaafar dan Sulung. Siapa mereka sebenarnya dan dari mana mereka
datang sehingga menetap di Kampung Tanah Datar.
Perlu juga dimaklumkan bahawa istana Pagarruyung di Sumatera
Barat tempat bersemayamnya raja-raja Minangkabau terletak di lu-
hak (luak) Tanah Datar. Raja yang mendirikan kerajaan Minangkabau
ialah Adityavarman (1305-98) dengan Pagarruyung menjadi
ibu kotanya. 

Pada abad ke-19 berlaku pertentangan antara kaum adat
dengan kaum bangsawan di Pagarruyung yang dikenal sebagai Gerakan
Padri. Kaum bangsawan yang dikenali sebagai kaum Padri ini
bersetuju mengadakan rundingan di Bukit Marapalam, berhampiran
Pagarruyung. Kesepakatan dicapai yang dikenal dengan permuafakatan
(konsensus), iaitu “Adat Bersendi Syarak, Syarak Bersendi Adat”.
Maksudnya adat dan agama saling berhubungan.
Kesepakatan ini tidak bertahan lama. Ketika British menguasai
Padang, satu rundingan Kota Tengah diadakan antara kaum Padri
di bawah pimpinan Tuanku Lintau dengan perwakilan dari Pagarruyung.
Tetapi semua perwakilan dari Pagarruyung dibunuh. Sultan
Muning Alam Shah, Raja Pagarruyung dapat melarikan diri ke Bahagian
Timur. Anak saudaranya, Sultan Gagagar Alam Shah berundur ke
Padang. Tidak dijelaskan daerah timur yang mana Sultan Muning dan
keluarganya melarikan diri. Apakah sultan itu dan kerabatnya menyeberang
Selat Melaka. Adakah salah seorang daripada kerabat itu ada
yang bernama Tengku Jaafar dan Tengku Sulung?

Juga untuk mengelakkan daripada dikejar oleh kaum Padri di
Minangkabau, maka keluarga diraja ini membuang gelaran Tengku di
hadapan namanya dan hanya mahu menjadi rakyat biasa dan meneroka
kawasan apa yang dinamakan Tanah Datar, Gadong hari ini? Ada
beberapa teori lain yang boleh menjawab misteri Batu Aceh di Tanah
Datar ini. Satu teori yang dianggap munasabah ialah kegagalan anak
Raja Melewar menggantikan Raja Melewar (Raja Mahmud) menjadi
raja Negeri Sembilan (1773-95). Anak Raja Melewar ini bernama Raja
Totok. Undang Yang Empat tidak melantik Raja Totok menjadi Yang
Dipertuan tetapi menjemput seorang lagi anak raja di Minangkabau
untuk ditabalkan. Nama anak raja yang dijemput itu ialah Raja Hitam.
Setelah Raja Hitam mangkat pada tahun 1808, puteranya Raja
Alang Husein tidak ditabalkan. Sebaliknya, anak raja dari Minangkabau
dijemput, iaitu Raja Lenggang. Baginda memerintah dari tahun
1808-24.

Apabila baginda mangkat, anaknya Raja Radin menggantikannya.
Mulai saat ini anak raja dari Pagarruyung tidak dijemput lagi. Tidak
dijelaskan mengapa jemputan ini tidak diteruskan lagi seperti sebe-
lumnya. Dan juga tidak dijelaskan mengapa putera Raja Melewar
tidak dijadikan raja. Begitu juga halnya dengan Putera Raja Hitam.
Putera Raja Melewar ialah Raja Totok dan putera Raja Hitam ialah
Raja Alang Hussein. Kemungkinanya Raja Totok dan Raja Alang Hussein
masih kecil sehingga belum bersedia dijadikan raja.
Soalnya, apa telah terjadi dengan keturunan Raja Melewar dan
puteranya Raja Totok. Sudah tentu mereka mempunyai keluarga dan
di mana ahli-ahli keluarga diraja itu sekarang. Kemungkinan masih
ada jika keturunan Raja Melewar ini masih berada di Negeri Sembilan
tetapi lokasinya tidaklah diketahui. Apakah kemungkinan salah
seorang ahli kerabat diraja ini membawa diri ke Rembau? Khususnya
ke Tanah Datar Gadong dan meneruskan kehidupan sebagai rakyat
biasa, tanpa mahu menggunakan gelaran diraja lagi.

Biasanya raja-raja dan ahli kerabatnya ketika itu membawa batu
nisan daripada jenis Batu Aceh ke mana sahaja mereka pindah. Jika
demikian apakah tidak mungkin salah seorang kerabat keturunan Raja
Melewar ini daripada salasilah Raja Totok membawa bersamanya
batu nisan Batu Aceh ini ke Rembau sebagai persediaan menjelang
tutup usia. Teori ini menarik. Menurut sejarah Raja Melewar, sebagai Raja
Rembau, tidak disenangi oleh kumpulan tertentu, terutama Undang
Luak Rembau, Datuk Sabat Sedia Raja, kerana tingkah laku dan tindak-
tanduk raja itu ketika memerintah. Sejarawan Norhalim Ibrahim
menyebut punca rasa tidak senang Datuk Undang ialah keputusan Raja
Melewar mengahwini Cik Sani, anak Datuk Naim dari Seri Menanti.
Cik Sani ini ialah adik kepada Warna Emas, isteri Raja Khatib yang
dianggap Tan Sri A. Samad Idris sebagai pembelot kepada Raja Melewar.

Samad menulis Raja Khatib dititahkan Raja Pagarruyung untuk
membuat persediaan sebelum keberangkatan Raja Melewar sebagai
Raja Rembau (ketika itu belum ada apa yang disebut Negeri Sembilan)
dan menganggap dirinya raja yang dilantik.
Raja Melewar kemudian memerangi Raja Khatib yang bersekongkol
dengan mentuanya, Penghulu Naim pada kali kedua setelah kalah
pada kali pertama. Khabarnya Raja Khatib melarikan diri ke Naning
dan kemudian diserahkan kepada Sultan Siak. Sebabnya pembelotan
Raja Khatib ini dirancang oleh Sultan Siak sendiri. Bagaimanapun
orang Rembau tidak senang dengan tindakan Raja Melewar menja-
dikan adik ipar musuhnya itu sebagai isterinya. Raja Melewar pun diminta
keluar dari Rembau dan mengambil keputusan untuk pulang ke
rumah isterinya di Seri Menanti.

Dalam perjalanan, berlaku salah faham antara pengikut Raja Melewar
dengan tentera Rembau di Lubuk Rusa berhampiran dengan
Kampung Selemak. Orang Rembau yang simpati dengan tenteranya
cuba menyekat perjalanan Raja Melewar di Pedas. Mereka kemudian
memburu Raja Melewar hingga ke hutan Miku. Namun, Raja Melewar
berjaya sampai ke Seri Menanti, manakala ada beberapa orang kerabatnya
dikatakan sempat melarikan diri daripada serangan itu.
Baik Samad mahupun Norhalim tidak menyebut tentang akibat serangan
itu. Juga tidak dijelaskan apa yang terjadi dengan kebanyakan
pengikut Raja Melewar, terutama puteranya Raja Totok. Seorang penduduk
Tanah Datar yakin beberapa orang ahli kerabat Raja Melewar
menyelamatkan diri dengan berundur ke selatan hingga ke Rembau
Baruh. Mereka kemudian “menanggalkan” semua darjah kebesaran
dan memutuskan untuk menjadi rakyat biasa untuk mengelak mereka
diserang oleh undang dan pengikut-pengikutnya.

Penduduk ini amat yakin salah satu pasangan suami isteri yang
menetap di Tanah Datar boleh dikaitkan dengan keturunan Raja Melewar
ini. Pasangan itu bernama Jaafar dan Sulung. Dalam salasilah
Raja Melewar ada ahli kerabatnya yang bernama Raja Jaafar dan Raja
Sulung. Katanya, “Ini persamaan yang amat tidak boleh diabaikan begitu
sahaja. Mungkin Jaafar dan Sulung ini boleh dikaitkan dengan
salasilah ini. Satu kajian boleh dilakukan.”

Penduduk ini menyandarkan kaitan itu dengan nisan Batu Aceh di
pekarangan rumah Uwan Piah. “Takkanlah batu nisan itu tidak mempunyai
apa-apa pengertian. Mustahil ia ditanam di situ tanpa jenazah.
Jika kelaziman raja-raja dan pembesar kerajaan dahulu membawa
batu nisan ke mana-mana menjadi petunjuk saya yakin batu Aceh di
Tanah Datar ini adalah daripada kerabat raja juga. Yang belum dapat
dijawab, siapa ahli kerabat diraja itu? Mungkin juga salah seorang
anak cucu Raja Melewar,” katanya.
Othman dan Norhalim boleh membantu meleraikan persoalan ini
dengan mengadakan kajian bersama dengan Jabatan Muzium dan
Antikuiti Malaysia.

Saturday, 19 December 2015

ANAK CUCU GUNUNG DATUK: DOLLAH ABD. RAHMAN

Abdullah Abd. Rahman (kanan) bersama adiknya Bahari Abd. Rahman ketika mengunjungi  Kota Kasut Cibaduyut Ciry di Bandung beberapa tahun yang lalu.


Abdullah Abd. Rahman anak Ulu Gadong ketika berkunjung ke Masjid Salman di Kampus ITB Bandung beberapa tahun yang lalu. Gambar dibadikan Ahmad Fadzil Yassin 


ABDULLAH ABD. RAHMAN
Dollah Rahman Yang Mana Satu?
NAMA ini betul-betul baharu. Belum pernah saya dengar nama
ini sejak saya mengenal asam garam kehidupan lebih enam
dekad yang lalu. Tiba-tiba saya terlihat fotonya dalam Facebook.
Fikir saya, “Macam kenal, tapi siapa ya?” Setelah beberapa kali
berkomunikasi melalui media sosial itu, “foto” itu memaklumkan
bahawa, “saya abang Bahari Abd. Rahman. Nama saya Abdullah dan
berusia 70 tahun.” Ini tahun 2011. Pertama kali saya dengar Bahari
Abd. Rahman, suami Rosiah Othman (kini Datuk) mempunyai abang.
Saya kagum melihat foto yang dipamerkan dalam Facebook. Salin tak
tumpah wajah Bahari yang saya kenal sejak bersama sebagai murid di
Sekolah Tunku Besar Tampin tahun 1950-an dahulu. Itulah asal mula
saya mengenali Abdullah, seorang “waghih” daripada suku Tanah Datar,
Gadong. Kata Bahari, di kampung Abdullah popular dengan panggilan
Dollah.

Mengikut cerita yang empunya badan Dollah merantau ke Kuala
Lumpur setelah dikatakan merajuk akibat tertekan dengan cakapcakap
kurang positif orang kampung terhadap dirinya. Beliau meninggalkan
kampung setelah tamat belajar setakat Darjah VII di Sekolah
Melayu Kota (terletak di Kampung Perah) sekitar tahun 1955. Dengan
berbekalkan pendidikan di tahap itu dan dilengkapi asas-asas ilmu
agama yang dipelajarinya di Sekolah Agama Ulu Gadong (kini dinamakan
Sekolah Menengah Agama Haji Mohd. Yatim, Ulu Gadong),
Dollah meneruskan pelajaran secara sendiri-sendiri sehingga berjaya
memasuki Institut Pertanian Serdang. Rumah tradisi keluarga Dollah
terletak di Tanah Datar, Gadong. Dollah akhirnya memajukan bidang
kerjayanya dalam bidang pertanian dan berkhidmat sebagai kakitangan
kerajaan. Menurutnya mana negeri yang beliau tidak memberikan
khidmatnya. Beliau cukup banyak pengalaman bagaikan beliau
sendiri faham asam garam sebagai seorang anak tani, lahir dan membesar
di kampung.

Barangkali beliau amat memahami bahawa ayahnya seorang penoreh
getah, manakala ibunya seorang pesawah. Apatah lagi apabila
beliau adalah ahli waris yang taat mengamalkan sistem Adat Perpatih.
Anak suku Tanah Datar ini pernah menyemenda ke suku Biduanda
Gadong. Beliau aktif dalam kerja-kerja sosial dan kemasyarakatan.
Beliau tidak mengasingkan diri dalam memahami politik tanah
air. Malah, beliau memperkasa dirinya menjadi seorang yang pintar
berkomunikasi dengan penduduk setempat, terutama di tempat
beliau tinggal sekarang, iaitu di Taman Seri Rampai, Setapak Jaya.
Begitu akrabnya beliau dengan anggota masyarakat setempat beliau
terus dipilih menjadi pemimpin masyarakat (opinion leader) yang
saya anggap amat disenangi. Beliau cepat mesra, mesra tegur sapanya
malah ketawanya telah menjadi ciri khas perawakannya. Saya sendiri
baru mengenalinya kira-kira sebulan yang lalu tetapi kemesraan bersamanya
seolah-olah saya telah mengenalinya sejak mula mengenal
asam garam kehidupan. Dan ketika beliau menyebut nama saya, seolah-
olah saya merasa saya seperti mempunyai seorang abang kandung
yang sejak 50 tahun lalu hilang “entah ke mana”.

Pada 8 November 2011 yang lalu, saya, Dollah dan adiknya Bahari ke
kampung untuk menemui beberapa orang kampung yang telah lama
tidak dikunjungi Dollah. Maklum sejak Dollah merantau pada tahun
1955. Nama yang masih meniti di bibirnya ialah Haji Hamdan Yatim,
anak mantan Kadi Rembau, Haji Mohd. Yatim Haji Zainal, Abd. Latiff
Rahman yang sesuku dengan Dollah dan seorang dua yang namanya
masih meniti di bibirnya. Sepanjang hari Selasa itu kami mengadakan
kunjungan ke rumah mereka. Di Bongek kami menemui Haji Ham-
dan, kini bertugas sebagai Imam di Masjid Bongek, Chengkau. Kalau
tidak dilerai pertemuan dua kawan lama ini barangkali Dollah mungkin
“kena tinggal bermalam di rumah Hamdan.”

Kemudian kami mengunjungi
Latiff Rahman di Lubok China di Taman Berembang Jaya.
Latiff sempat memperkenalkan kolam mandi mini dan Homestay Villagenya.
Kami dijamu dengan masakan khas “ikan sembilang sungai
gulai lomak cili api”. Sebelum mengunjungi ibu saya, Minah Wahab
dan bekas rakan sekerja, Haji Majid dan isteri, Kak Chik, kami bertiga
sempat mengunjungi replika Istana Raja Melewar di Istana Raja.
Ketika singgah di rumah keluarga di Tanah Datar, Ulu Gadong, Dollah
dan Bahari akan bernostalgia, malah bertafakur beberapa minit di
“porak” rumah. Rumah keluarga ini mungkin telah berusia satu abad
tetapi masih utuh. Binaan dan struktur rumah masih kukuh. Rumah
yang terletak betul-betul di belakang Sekolah Menengah Agama Haji
Mohd. Yatim, Ulu Gadong. Ketika di rumah Minah Wahab, perbualan
berlangsung hampir satu jam. Abdullah banyak bercerita tentang
kisah beliau masih kanak-kanak dan beliau dianggap nakal. Abdullah
dan Bahari dijamu dengan lemang dan rendang kerana kebetulan sudah
masuk waktu minum petang. Sebelum meninggalkan kampung,

Abdullah menguji ingatan teman sekerjanya, Majid yang tinggal sejiran
dengan rumah ibu saya, Minah. Ternyata Majid tidak mengenali
Abdullah sehingga Majid mendengar ketawanya. “Dollah ni. Apa buat
kat sini?” dan walaupun perbualan ringkas tetapi mereka saling berpelukan
dan bercerita kisah lama ketika bertugas di Kuala Lumpur. “Kita
akan jumpa lagi, insya-Allah,” kata Abdullah. Daripada Majid Abdullah
kami dapat tahu bahawa Majid suami isteri baru sahaja “pulang kampung”
beberapa tahun kebelakangan ini. Begitulah perjalanan Abdullah
dengan ditemani adiknya Bahari dan saya menelusuri sepanjang jalan
kenangan sehari suntuk hanya untuk menemui dua tiga orang rakan
lamanya yang tidak pernah ditemuinya sejak tahun 1955. Seorang budak
kampung yang merajuk hati yang akhirnya menjadi seorang yang
dianggap popular dalam kalangan komunitinya di tempat baharunya di
Kuala Lumpur.

 Itulah Haji Abdullah Abd. Rahman yang kini bertugas
sebagai Pengerusi Masjid Taman Seri Rampai, Setapak Jaya. Namun,
beliau tetap sederhana dalam penampilan, cepat mesra dan mudah
bergaul. Beliau turut memiliki blognya sendiri yang beliau namakan
Cahaya Andang, http://www.cahayaandang.blogspot.com.