Puncak Gunung Datuk kelihatan dari tobek Kg. Seberang Paya |
SEPASANG batu nisan yang terdapat di kawasan rumah ini menyerupai
batu nisan yang dikenali dengan Nisan Batu Aceh. Ini
dapat dilihat daripada bentuk dan ukirannya yang menyamai
bentuk dan ukiran batu nisan makam raja-raja, seperti yang terdapat
di Makam Tauhid dan Makam Sultan Mahmud Mangkat Dijulang di
Kota Tinggi, Johor.
Bentuk batu nisan ini sama dengan bentuk batu nisan yang menghiasi
kulit buku Batu Aceh Warisan Sejarah Johor yang ditulis oleh
Daniel Perret dan Kamaruddin Abd. Razak dan diterbitkan oleh
Yayasan Warisan Johor pada tahun 1999. Berdasarkan kajian Daniel
dan Kamaruddin, Batu Aceh “digunakan untuk orang Islam tertentu
sahaja di Semenanjung Malaysia mulai abad ke-15. Sebenarnya maklumat
yang terkandung dalam tulisan yang diukir pada beberapa batu
Aceh menunjukkan bahawa ia digunakan sebagai tanda makam sultan,
kaum kerabatnya serta orang-orang besar kerajaan.”
Lazimnya, pada ketika Kesultanan Melayu baik di Melaka, mahupun
di tempat-tempat lain dalam daerah Nusantara adat kematian
orang biasa tidak disebut dalam sumber-sumber tempatan. Undangundang
Melaka, berdasarkan Fasal Ketiga, memberikan beberapa
maklumat tentang hukum kematian rakyat jelata, orang besar-besar
dan pemimpin, khususnya larangan berkaitan dengan penggunaan
payung dan warna kuning. Ia tidak menyebut bahawa mayat orang
biasa dikuburkan. Menurut sejarah, mayat orang Melayu biasa dibakar,
tidak dikebumikan seperti yang dilakukan hari ini.
Maka batu nisan yang ditemui di halaman rumah Uwan Piah itu
dikesan sebagai batu nisan jenis Batu Aceh. Menurut Daniel dan Kamaruddin
yang memetik kata-kata Prof. Dr. Othman Yatim dari Jabatan
Muzium dan Antikuti, Kuala Lumpur dan kini pensyarah kanan
di Universiti Malaya, setakat ini kira-kira 300 Batu Aceh ditemui di
seluruh Semenanjung Tanah Melayu. Jika benar batu nisan di halaman
rumah Uwan Piah itu daripada jenis Batu Aceh, maka jumlahnya
kini meningkat 301 buah. Johor dikatakan mempunyai jumlah yang
banyak, iaitu kira-kira 211 buah berdasarkan kajian Daniel dan Kamaruddin.
Namun, R.O. Winstedt menemukan hanya 137, sementara Dr.
Othman menemukan 137.
Berdasarkan kajian yang dilakukan oleh Daniel dan Kamaruddin
dan Dr. Othman Yatim, batu nisan Batu Aceh terdiri daripada 16 jenis
dan mempunyai 14 bentuk. Jika diteliti Batu Aceh yang terdapat di
halaman rumah Uwan Piah itu adalah daripada jenis C yang sehingga
kajian dibuat ditemukan sebanyak 90 buah (tidak termasuk yang ditemui
di halamn rumah Uwan Piah.
Batu Aceh mula disebut pada tahun 1512 oleh Tome Pires dalam bukunya,
Suma Oriental. Beliau menyebut Makam Sultan Mansur Shah,
Sultan Melaka, menggunakan batu nisan jenis Batu Aceh. Batu Aceh
ini dibahagikan yang terdiri daripada “kepala”, “badan” dan “kaki”.
Bahagian di antara kepala dan badan, iaitu bahagian yang melengkung
disebut “bahu” sementara bahagian yang paling bawah ataupun
tapaknya disebut “kaki”. Kebanyakan batu nisan ini diperbuat daripada
batu pasir (sandstone) kerana lembut dan mudah dibentuk. Batu
jenis ini tidak terdapat di Semenanjung Malaysia tetapi hanya terdapat
di Aceh. Hiasan yang terdapat di batu nisan ini boleh dibahagikan kepada
dua, iaitu tulisan atau inskripsi dan simbol atau lambang.
Berdasarkan maklumat tersebut dan keyakinan bahawa batu nisan
Batu Aceh hanya digunakan untuk menandakan makam raja-raja,
kerabatnya dan orang besar kerajaan, maka diyakini batu nisan di
halaman rumah Uwan Piah di Kampung Tanah Datar Gadong adalah
daripada jenis Batu Aceh. Ini menjadi bukti bahawa jenazah yang
dikebumikan itu ialah jenazah diraja, sama ada raja, ahli kerabatnya
atau Orang Besar Raja. Yang masih menjadi tanda tanya ialah mengapa
batu nisan itu berada di halaman rumah berkenaan. Juga menjadi tanda
tanya di kedua-dua Tanah Perkuburan Gadong dan Tanah Datar tidak ada batu
nisan jenis ini. Jika makam ini makam diraja, siapakah gerangan yang
dimakamkan? Jika lokaliti menjadi prasyarat keyakinan, maka besar
kemungkinan makam itu ialah makam nenek moyang keluarga Uwan
Piah adik-beradik.
Sayugia dimaklumkan bahawa Uwan Piah mempunyai beberapa
orang adik-beradik. Yang tua bernama Lanjung (Anjung) yang juga
digekar Uwan Aruh. Yang kedua ialah Sakiyah, ketiga Piah (Safiah).
Keempat Meja (Uwan Anjang). Kelima Hawa (Uwan Teh), keenam
Hussein (yang berkahwin dengan orang Mungkal) dan ayah kepada
Aji (Datuk Samsura Pahlawan, salah seorang Lembaga Tiang Balai
Nan Berempat) dan suami kepada Induk Limah. Yang paling bongsu
ialah Bedah (Uwan Cu).
Orang tua mereka ialah Jaafar (ayah) dan Sulung (ibu). Siapa orang
tua Jaafar atau Sulung masih menjadi tanda tanya. Menurut sejarah
Negeri Sembilan, khususnya sejarah kerabat diraja Negeri Sembilan,
ada satu jurai keturunan daripada Raja Melewar, iaitu Tengku Jaafar
berkahwin dengan Tengku Sulung. Persamaan nama dua mempelai
diraja ini dengan Jaafar dan Sulung yang tinggal di Tanah Datar menjadi
satu misteri yang jawapannya mungkin terletak pada batu nisan
Batu Aceh di halaman rumah Uwan Piah.
Kajian perlu dilakukan ke atas batu nisan berkenaan dari sudut saintifik
dan sejarah. Barangkali pakar antikuiti seperti Prof. Dr. Othman
Yatim yang banyak mengkaji Batu Aceh ini boleh membantu mencari
jawapan kepada misteri batu nisan Batu Aceh di Tanah Datar ini. Tulisan
sama ada dalam bentuk inskripsi atau lambang di batu nisan itu
mungkin dapat membantu menghuraikan bukan sahaja misteri kewujudannya
di kawasan itu, tetapi sekali gus menemukan jurai keturunan
Jaafar dan Sulung. Siapa mereka sebenarnya dan dari mana mereka
datang sehingga menetap di Kampung Tanah Datar.
Perlu juga dimaklumkan bahawa istana Pagarruyung di Sumatera
Barat tempat bersemayamnya raja-raja Minangkabau terletak di lu-
hak (luak) Tanah Datar. Raja yang mendirikan kerajaan Minangkabau
ialah Adityavarman (1305-98) dengan Pagarruyung menjadi
ibu kotanya.
Pada abad ke-19 berlaku pertentangan antara kaum adat
dengan kaum bangsawan di Pagarruyung yang dikenal sebagai Gerakan
Padri. Kaum bangsawan yang dikenali sebagai kaum Padri ini
bersetuju mengadakan rundingan di Bukit Marapalam, berhampiran
Pagarruyung. Kesepakatan dicapai yang dikenal dengan permuafakatan
(konsensus), iaitu “Adat Bersendi Syarak, Syarak Bersendi Adat”.
Maksudnya adat dan agama saling berhubungan.
Kesepakatan ini tidak bertahan lama. Ketika British menguasai
Padang, satu rundingan Kota Tengah diadakan antara kaum Padri
di bawah pimpinan Tuanku Lintau dengan perwakilan dari Pagarruyung.
Tetapi semua perwakilan dari Pagarruyung dibunuh. Sultan
Muning Alam Shah, Raja Pagarruyung dapat melarikan diri ke Bahagian
Timur. Anak saudaranya, Sultan Gagagar Alam Shah berundur ke
Padang. Tidak dijelaskan daerah timur yang mana Sultan Muning dan
keluarganya melarikan diri. Apakah sultan itu dan kerabatnya menyeberang
Selat Melaka. Adakah salah seorang daripada kerabat itu ada
yang bernama Tengku Jaafar dan Tengku Sulung?
Juga untuk mengelakkan daripada dikejar oleh kaum Padri di
Minangkabau, maka keluarga diraja ini membuang gelaran Tengku di
hadapan namanya dan hanya mahu menjadi rakyat biasa dan meneroka
kawasan apa yang dinamakan Tanah Datar, Gadong hari ini? Ada
beberapa teori lain yang boleh menjawab misteri Batu Aceh di Tanah
Datar ini. Satu teori yang dianggap munasabah ialah kegagalan anak
Raja Melewar menggantikan Raja Melewar (Raja Mahmud) menjadi
raja Negeri Sembilan (1773-95). Anak Raja Melewar ini bernama Raja
Totok. Undang Yang Empat tidak melantik Raja Totok menjadi Yang
Dipertuan tetapi menjemput seorang lagi anak raja di Minangkabau
untuk ditabalkan. Nama anak raja yang dijemput itu ialah Raja Hitam.
Setelah Raja Hitam mangkat pada tahun 1808, puteranya Raja
Alang Husein tidak ditabalkan. Sebaliknya, anak raja dari Minangkabau
dijemput, iaitu Raja Lenggang. Baginda memerintah dari tahun
1808-24.
Apabila baginda mangkat, anaknya Raja Radin menggantikannya.
Mulai saat ini anak raja dari Pagarruyung tidak dijemput lagi. Tidak
dijelaskan mengapa jemputan ini tidak diteruskan lagi seperti sebe-
lumnya. Dan juga tidak dijelaskan mengapa putera Raja Melewar
tidak dijadikan raja. Begitu juga halnya dengan Putera Raja Hitam.
Putera Raja Melewar ialah Raja Totok dan putera Raja Hitam ialah
Raja Alang Hussein. Kemungkinanya Raja Totok dan Raja Alang Hussein
masih kecil sehingga belum bersedia dijadikan raja.
Soalnya, apa telah terjadi dengan keturunan Raja Melewar dan
puteranya Raja Totok. Sudah tentu mereka mempunyai keluarga dan
di mana ahli-ahli keluarga diraja itu sekarang. Kemungkinan masih
ada jika keturunan Raja Melewar ini masih berada di Negeri Sembilan
tetapi lokasinya tidaklah diketahui. Apakah kemungkinan salah
seorang ahli kerabat diraja ini membawa diri ke Rembau? Khususnya
ke Tanah Datar Gadong dan meneruskan kehidupan sebagai rakyat
biasa, tanpa mahu menggunakan gelaran diraja lagi.
Biasanya raja-raja dan ahli kerabatnya ketika itu membawa batu
nisan daripada jenis Batu Aceh ke mana sahaja mereka pindah. Jika
demikian apakah tidak mungkin salah seorang kerabat keturunan Raja
Melewar ini daripada salasilah Raja Totok membawa bersamanya
batu nisan Batu Aceh ini ke Rembau sebagai persediaan menjelang
tutup usia. Teori ini menarik. Menurut sejarah Raja Melewar, sebagai Raja
Rembau, tidak disenangi oleh kumpulan tertentu, terutama Undang
Luak Rembau, Datuk Sabat Sedia Raja, kerana tingkah laku dan tindak-
tanduk raja itu ketika memerintah. Sejarawan Norhalim Ibrahim
menyebut punca rasa tidak senang Datuk Undang ialah keputusan Raja
Melewar mengahwini Cik Sani, anak Datuk Naim dari Seri Menanti.
Cik Sani ini ialah adik kepada Warna Emas, isteri Raja Khatib yang
dianggap Tan Sri A. Samad Idris sebagai pembelot kepada Raja Melewar.
Samad menulis Raja Khatib dititahkan Raja Pagarruyung untuk
membuat persediaan sebelum keberangkatan Raja Melewar sebagai
Raja Rembau (ketika itu belum ada apa yang disebut Negeri Sembilan)
dan menganggap dirinya raja yang dilantik.
Raja Melewar kemudian memerangi Raja Khatib yang bersekongkol
dengan mentuanya, Penghulu Naim pada kali kedua setelah kalah
pada kali pertama. Khabarnya Raja Khatib melarikan diri ke Naning
dan kemudian diserahkan kepada Sultan Siak. Sebabnya pembelotan
Raja Khatib ini dirancang oleh Sultan Siak sendiri. Bagaimanapun
orang Rembau tidak senang dengan tindakan Raja Melewar menja-
dikan adik ipar musuhnya itu sebagai isterinya. Raja Melewar pun diminta
keluar dari Rembau dan mengambil keputusan untuk pulang ke
rumah isterinya di Seri Menanti.
Dalam perjalanan, berlaku salah faham antara pengikut Raja Melewar
dengan tentera Rembau di Lubuk Rusa berhampiran dengan
Kampung Selemak. Orang Rembau yang simpati dengan tenteranya
cuba menyekat perjalanan Raja Melewar di Pedas. Mereka kemudian
memburu Raja Melewar hingga ke hutan Miku. Namun, Raja Melewar
berjaya sampai ke Seri Menanti, manakala ada beberapa orang kerabatnya
dikatakan sempat melarikan diri daripada serangan itu.
Baik Samad mahupun Norhalim tidak menyebut tentang akibat serangan
itu. Juga tidak dijelaskan apa yang terjadi dengan kebanyakan
pengikut Raja Melewar, terutama puteranya Raja Totok. Seorang penduduk
Tanah Datar yakin beberapa orang ahli kerabat Raja Melewar
menyelamatkan diri dengan berundur ke selatan hingga ke Rembau
Baruh. Mereka kemudian “menanggalkan” semua darjah kebesaran
dan memutuskan untuk menjadi rakyat biasa untuk mengelak mereka
diserang oleh undang dan pengikut-pengikutnya.
Penduduk ini amat yakin salah satu pasangan suami isteri yang
menetap di Tanah Datar boleh dikaitkan dengan keturunan Raja Melewar
ini. Pasangan itu bernama Jaafar dan Sulung. Dalam salasilah
Raja Melewar ada ahli kerabatnya yang bernama Raja Jaafar dan Raja
Sulung. Katanya, “Ini persamaan yang amat tidak boleh diabaikan begitu
sahaja. Mungkin Jaafar dan Sulung ini boleh dikaitkan dengan
salasilah ini. Satu kajian boleh dilakukan.”
Penduduk ini menyandarkan kaitan itu dengan nisan Batu Aceh di
pekarangan rumah Uwan Piah. “Takkanlah batu nisan itu tidak mempunyai
apa-apa pengertian. Mustahil ia ditanam di situ tanpa jenazah.
Jika kelaziman raja-raja dan pembesar kerajaan dahulu membawa
batu nisan ke mana-mana menjadi petunjuk saya yakin batu Aceh di
Tanah Datar ini adalah daripada kerabat raja juga. Yang belum dapat
dijawab, siapa ahli kerabat diraja itu? Mungkin juga salah seorang
anak cucu Raja Melewar,” katanya.
Othman dan Norhalim boleh membantu meleraikan persoalan ini
dengan mengadakan kajian bersama dengan Jabatan Muzium dan
Antikuiti Malaysia.
Assalamualaikum Tuan,
ReplyDeleteKeberadaan nesan Acheh di Kampung Tanah Datar Gadung ini boleh kah di samakan keberadaan masyarakat Siam yang pernah mendiami daerah ini suatu masa dahulu?
Bukti tentang perkara ini ada terdapat didalam perihal 'berkodin"nya masyarakat Siam ini.
Salam. Adakah Jaafar dan Sulung yang dimaksudkan adalah sama dengan Jaafar dan Sulung di dalam artikel yang saya kongsikan ini? http://cgdg71350.blogspot.com/2016/02/dato-shaziman-mansor-yb-dari-suku-tanah.html
ReplyDelete