Buku susunan Norhalim Hj. Ibrahim ini banyak mengolah kedatangan orang Minang dengan adat perpatihnya ke Rembau. |
Budayawan Norhalim Ibrahim bersama pemimpin adat di Rembau |
kolumnis A.F.Yassin menulis tentang Undang Pertama di Rembau dan tersiar dalam Utusan Zaman |
Ketua Admins Grup CGDG Hasni Abdul Manaf (kanan) dan Bahari Abdul Rahman Bendahari |
Kertas Latihan dengan mauduk Mukim Gadong yang diusahakan Cikgu Ismail Abd. Hadi atau Ismalam yng menyemendan ke Mungkal. |
Minggu lalu Uwan Saadan Kassim dari Kg. Gadong, Kota, Negeri Sembilan bercerita tentang pengaruh Undang Rembau yang ke-18
terhadap kegiatan politiknya. Bagi Uwan Saadan, Undang Rembau ke-18 itu
merupakan sumber inspirasinya. Bagi Uwan Saadan, undang itu seorang pejuang
yang ingin melihat orang Melayu maju. Kerana penasaran, saya menemui pakar rujuk adat
Negeri Sembilan, Nurhalim Ibrahim di rumahnya di Taman Bunga Ros, Kajang.
Saya ingin penjelasan lanjut berhubung Undang Rembau yang satu ini. Apakah benar dia pejuang yang sanggup “menghulurkan lehernya” kepada kerajaan penjajah Inggeris pada waktu itu? Setahu saya seorang pemimpin adat tidak dibenarkan berpolitik. Nurhalim bukan setakat mengakui hakikat perjuangan Undang Rembau ke-18 ini dalam politik, malah membuktikannya melalui dokumen dan kepustakaan yang tersimpan di rumahnya. Nasihat-nasihat tulisan peribadi dan rasmi Undang Rembau ke-18 itu diperagakan untuk menyokong dakwaannya.
“Jika saudara mahu kepastian lagi, sila hubungi salah seorang cucunya Abdullah Azmi Abdul Khalid dari Universiti Malaya,” kata Nurhalim.
Hampir semua dokumen itu memperjelas ketokohan Abdullah bin Haji Dahan, Undang Rembau ke-18 yang dimaksudkan itu. Malah, Nurhalim berani bertaruh hanya Datuk Abdullah satu-satunya Undang Rembau yang dikurniakan bintang CBI Commander of the British Empire) oleh King George ke-V, Raja Inggeris.
Menurut Nurhalim, setelah Datuk Abdullah menerima anugerah itu beliau mengadakan kenduri kesyukuran tiga hari tiga malam. Pesta ronggeng turut diadakan yang benar-benar mengejutkan orang kampung. Sebabnya sebelum ini Datuk Abdullah sendiri tidak membenarkan pesta ronggeng diadakan di Rembau. Kononnya Datuk Abdullah membenarkan pesta ronggeng kali ini kerana terpaksa akur dengan kehendak anak-anak muda daerah itu yang bersungut, “Kalau tak ada ronggeng tidak meriahlah sambutan kenduri itu.”
Demikianlah, Datuk Abdullah Haji Dahan, seorang tokoh adat yang dilantik sebagai Undang Rembau ke-18 pada tahun 1922, adalah sebenarnya seorang tokoh pembaharuan yang berjaya “menakluki minda pentadbir penjajah” untuk mengizinkannya berjuang memajukan ekonomi dan pendidikan orang Melayu. Pendekatan perjuangannya bukan melalui konfrontasi atau penentangan tetapi melalui konsep “jika tidak mampu menentang, kita bergabung saja.” Ia memang mendatangkan kejayaan besar.
Abdullah dilahirkan pada tahun 1900. Ayahnya Haji Dahan Haji Ibrahim daripada waris Biduanda Lela Maharaja sementara ibunya Salmah binti Daud daripada waris Biduanda Sedia Raja, Kampung Tanjung. Kedua-dua waris biduanda ini adalah kelompok suku yang mempusakai jawatan undang di Rembau. Abdullah menerima pendidikan awal di Sekolah Melayu Kota dan kemudian melanjutakan pelajaran di Maktab Melayu Kuala Kangsar hingga ke Senior Cambridge. Abdullah merupakan kutu buku. Dia membaca apa sahaja yang ada di perpustakaan dan antara yang paling digemarinya ialah Ensiklopedia Britannica yang dia anggap sebagai sahabat karibnya. Setelah lulus Senior Cambridge dengan cemerlang, Abdullah dilantik sebagai pegawai pentadbir Melayu dengan memegang jawatan Pegawai Syarikat Kerjasama. Abdullah tidak lama bekerja sebagai pegawai kerajaan kerana setahun kemudian, tepatnya 1 September 1922, dia terpilih untuk menjadi Undang Rembau yang ke-18 menggantikan Datuk Lela Maharaja Haji Sulung bin Ambia yang dipecat. Gelaran Abdullah ialah Datuk Sedia Raja.
Lima tahun kemudian, Datuk Abdullah dilantik pula sebagai ahli tidak rasmi Majlis Perpustakaan oleh kerajaan penjajah. Semasa menduduki kerusi inilah beliau memperjuangkan peningkatan dalam mutu pelajaran Bahasa Inggeris di sekolah-sekolah berasrama seperti di Maktab Melayu Kuala Kangsar dan Sekolah King George V, Seremban. Beliau juga menggesa seorang guru Melayu diambil untuk Maktab Melayu Kuala Kangsar supaya murid-murid di maktab itu mendapat pengajaran Bahasa Melayu yang bermutu tinggi. Banyak persoalan yang ditimbulkan oleh Datuk Abdullah dalam Majlis Perpustakaan dan hampir semua persoalan menyangkut masa depan orang Melayu sendiri, khususnya dalam bidang tanah pertanian.
Beliau juga tidak ingin melihat anak Melayu menjadi peon sahaja tetapi menjadi pegawai seperti katanya dalam tahun 1934, “… sangat gembira ramai peon Melayu, pembawa surat Melayu, penarik pungkah Melayu, kelasi Melayu, polis Melayu dan penjaga get Melayu di jabatan kereta api, tetapi orang Melayu juga ingin mendapat bahagian dalam jawatan-jawatan lebih tinggi.”
Menurut Nurhalim, Datuk Abdullah turut memperjuangkan perubahan kepada perjalanan adat di Rembau, Datuk Abdullah cuba merubah kedudukan lembaga dengan menjadikan mereka yang berpendidikan dan berperibadi tinggi sebagai penghulu mukim. Dengan demikian, Datuk-datuk Lembaga ini akan mendapat semula sebahagian daripada kuasa yang hilang akibat wujudnya Kanun Tanah Hak, 215 yang diperkenalkan oleh pentadbir Inggeris. Di samping itu, Datuk Abdullah menasihatkan Datuk-datuk Lembaga menghentikan sikap mementingkan diri serta rasuah dan sebaliknya menjalankan tugas dan tanggungjawab secara berkesan mengendalikan kepentingan anak buah. Dalam hal ini, salah satu kejayaan penting Datuk Abdullah dalam menasihati Datuk-datuk Lembaga menerima pembaharuan agar harta carian bersama dalam kalangan anak-anak buah dibahagikan mengikut hukum syarak.
Dalam pada itu, sebagai manusia biasa, Datuk Abdullah tidak terlepas daripada fiil negatif yang kurang disenangi dan keinginan peribadinya. Pernah beliau mempunyai lima buah kereta mewah sekali gus: dua buah Mercedes, sebuah Chevrolet, sebuah Vauxhaul dan sebuah Fiat. Dan pernah juga berlaku satu peristiwa bilamana dia mengarahkan pembantunya, Muhammad Yusuf menempeleng pemandu sebuah kereta yang memotong kereta rasminya. Mujur juga Muhammad Yusuf enggan melaksanakan suruhannya. Kemudian, terjadi pula peristiwa apabila Datuk Abdullah mendera Pegawai Daerah Tampin, seorang Inggeris bernama Lockhum Pegawai daerah itu mengadakan kunjungan mengejut ke kediaman Datuk Abdullah tanpa membuat temu janji terlebih dahulu. Datuk Abdullah enggan menemui pegawai itu. Sebaliknya beliau membiarkannya berjemur di tengah panas lebih kurang sejam lamanya. Akhirnya pegawai daerah itu pulang tanpa dapat berjumpa dengan Datuk Abdullah.
“Kan dia ada telefon, telegram, boleh menulis surat dan ada peon? Tetapi menceroboh masuk, itu kurang ajar namanya! Merah muka orang putih itu tak?” tanyanya kepada pembantunya Muhammad Yusuf.
Datuk Abdullah juga pernah meminta pembantunya Muhammad Yusuf merahsiakan kepada Inggeris tentang pertemuannya dengan beberapa pembesar Jepun semasa dia melawat negara matahari terbit itu pada tahun 1935-36. Datuk Abdullah belayar ke Jepun dengan kapal Hisibu Maru dari Singapura dan berada di negara itu selama tiga bulan sebelum mengunjungi Shanghai, negeri China. Katanya kepada Muhammad Yusuf, “Kalau ada sesiapa tanya apa kita buat di Jepun, cakapkan kita pergi berehat dan bermain golf.” Tidak pasti kenapa Datuk Abdullah mahu merahsiakan kunjungannya ke Jepun. Namun, yang jelas semasa di Tokyo, beliau diberi penghormatan menghadap Maharaja Hirohito.
Semasa berada di Shanghai beliau jatuh sakit dan terpaksa memendekkan lawatan dan pulang ke tanah air dengan pesawat terbang. Dia dikatakan menghidap penyakit ganjil dan kesihatannya kian merosot walaupun telah berubat di Singapura dan Medan. Beliau menghembuskan nafas terakhir pada tahun 1938 dalam usia 38 tahun.
Nurhalim berpendapat apa pun cacat cela yang ada pada Datuk Abdullah, namun pandangannya khusus dalam perancangan untuk pembangunan bangsa Melayu adalah mendahului zamannya. Kewibawaannya amat dirasakan. Bukan sahaja di luar Rembau, tetapi juga di seluruh Tanah Melayu. Ketokohannya diakui oleh Kerajaan British.
“Ini dapat dilihat dengan anugerah CBI yang diterima oleh Datuk Abdullah, kurniaan King George V,” kata Nurhalim.
Rencana pengarang akhbar Taksim of Malaya keluaran 3 Jun 1933 memberi dedikasi kepada perjuangan Datuk Abdullah sebagai “the ablest Malay in the Country and has shown by his speeches ... that he is likely to be as stalwart a champion of the Malays!” Dengan demikian kepergiannya dalam usia muda itu amat dirasakan. Beliau sedang berada di puncak perjuangan membebaskan belenggu mental orang Melayu apabila dia kembali menemui Tuhannya.
Bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, Tan Sri Dr. Muhammad Said pernah menganggap kepergian Datuk Abdullah sebagai satu kehilangan yang amat sangat kepada Negeri Sembilan. Baginya Datuk Abdullah adalah “salah seorang daripada putera terbilangnya. Bangsa Melayu pula kehilangan seorang daripada pemimpin terkemuka mereka pada tahun-tahun 20-an dan 30-an abad ini.”
Barangkali Uwan Saadan yang bersuamikan putera Kampung Tanjung, kerabat sepusaka Datuk Abdullah ini, mempunyai sebab tertentu menjadikannya Datuk Abdullah sebagai sumber inspirasi perjuangan politiknya ketika usia mudanya dahulu. Dia seperti melanjutkan perjuangan Datuk Abdullah yang belum selesai.
Tahniah kepada Admins Gup CGDG kerana berjaya menyediakan Blog untuk tatapan pengikutnya yang dengarnya hampir meliputi anggota seramai 300 orang.
ReplyDeletemashaaaAllah hebat Datuk Abdullah. semoga Allah swt memberi ganjaran yang sebaik2nya pada allahyarham..
ReplyDelete