Mukim Gadong bertuah kerana seorang
anak watannya pernah menjadi Kadi Daerah Rembau suatu ketika. Berlatar
belakangkan ilmu agama Allahyarham Haji
Mohd Yatim Bin Zainal Abidin (1903 – 1979) berada pada kedudukan yang begitu
mulia walaupun dilahirkan dalam suasana kampong yang serba dhaif .
Allahyarham yang popular dengan
panggilan Long Atin dalam kalangan sanak saudra dilahirkan pada tahun 1903 bersamaan 1320 Hijrah di Kampung
Tanah Datar, Kota dalam Daerah Rembau. Bapanya dari suku Biduanda Gadong Baroh manakala ibunya dari suku Tanah Datar Gadong,
waris Biduanda. Long Atin Beliau anak
pertama dari dua adik beradik. Pendidikan Menurut sumber yang layak dipercayai,
Long Atin mula mendapatkan pendidikan di
Sekolah Melayu Kota sehingga Darjah Empat. Bapanya Hj. Zainal menyimpan hasrat
supaya anak lelakinya itu menjadi orang alim dalam agama. Lalu beliau
menghantar anaknya, mengaji agama di pondok- pondok di Kedah dan Kelantan
ketika usianya menjangkau 20an. Mengikut riwayatnya, Long Atin pernah berguru
dengan Allahyarham Tok Kenali tokoh ulama terbilang dari Kelantan.
Sekembalinya ke kampung halaman, Long
Atin bertemu jodoh dengan Hajjah Aminah Binti Haji Taha. dan ketika usianya
telah 32 tahun. Mereka dikurniakan anak lelaki dalam tahun 1936. Long Atin
kemudian belayar membawa bersama isteri dan anak kecilnya menunaikan rukun
Islam kelima. Long Atin bertekad untuk menetap di Mekah untuk melanjutkan
pengajian agamanya, dan menuntut di
Darul Ulum Masjidil Haram Al Makkahtul Mukarramah. Suami isteri ini dikrniakan anak
perempuan di sana tetapi Allah SWT lebih menyayangi puterinya ini dan meninggal
dunia dalam usia masih kecil. Sumber yang layak dipercayai menyebut Long Atin menuntut
di Mekah selama hampir 4 tahun sebelum balik ke tanah air. Long Atin memutuskan
untuk membuka Madrasah Sekembalinya dari Mekah, Long Atin menubuhkan sekolah
pondok di kampong tempat Long Atin brsemenda, iaitu di Kampung Ulu Gadong. Tiga
tahun kemudian Long Atin begitu prihatin dengan kedhaifan anak-anak yatim lagi miskin
kerana kekurangan dalam pengajian agama.
Dengan tekad dan sokongan penduduk
kampung, Long Atin akhirnya mendirikan Madrasah Itthihadiah Ulu Gadong lengkap
dengan asrama untuk dihuni oleh anak-anak yatim dan miskin secara percuma. Long
Atin menumpukan seluruh perhatian dan tenaganya untuk menghidupkan madrasah
yang telah didirikan. Di samping itu Long Atin turut mengajar agama (isitilah
yang digunakan di kampong itu ialah Baca Kitab) di sebelah malamnya di surau-surau atau masjid
sekitar Daerah Rembau sehingga akhir hayatnya. Long Atin juga adalah pengasas
Pertubuhan Kebajikan Anak Yatim Dan Miskin Ulu Gadong. Atas kegigihan dan
kealimannya maka YAM Dato' Haji Ipap bin Haji Abdullah, Undang Luak Rembau
ketika itu telah melantik Long Atin menjadi Kadhi Daerah Rembau bagi tahun 1954
hingga 1968.
Perawakan Long Atin menurut
anak-anaknya, lemah lembut, tekun dalam mencari ilmu dan mendidik, mudah
tersenyum dan penyabar. Sikap ini tentu menepati gaya peribadi unggul seorang
guru dan alim pula dalam agama. Long Atin juga bersikap sederhana dalam
berpakaian dan sering berserban, berbaju Melayu dan berkain pelekat sahaja.
Dengan isterinya Hajjah Aminah Binti Haji Tahadan, mereka dikurniakan 11 orang
cahaya mata iatu 4 lelaki dan 7 perempuan. Setelah isterinya meninggal dunia, Long
Atin berkahwin kali kedua dengan Hajjah Sarah Binti Haji Maarof tetapi tiada
memperolehi anak.Long Atin telah menghabiskan sebahagian usianya untuk pendidikan ilmu agama dan akhirnya Long Atin dijemput
Allah SWT kembali ke sisi-Nya pada 13
April 1979 pada usia 76 tahun. Sempena pemergian dan khismat baktinya
menegakkan syiar Islam sekolah agama yang
didirikannya telah diambil alih oleh Kerajaan dan ditukar namanya kepada Sekolah
Menengah Agama Haji Mohd Yatim.
Long Atin juga telah dianugerahkan
Pingat Khidmat Lama ( PKL) dan dinobatkan sebagai Tokoh Ulama Silam Negeri
Sembilan sempena Sambutan Maal Hijrah 1423 yang lalu. Kita berdoa semoga ulama
yang gigih ini diberkati Allah SWT jua atas sumbang bakti beliau dalam mendidik
anak bangsanya. Al-Fatihah. (Dipetik dengan
ehsan daripada blog Orangtuo).
Saya sering mendengar emak bercerita
tentang hubungan pasang surut anntara Long Atin dengan adik lelakinya satu ayah
berlainan ibu . Adiknya ini bernama Haji Yassin Bin Hj. Zainal (1907 – 1984).
Orang kampong memanggil Hj. Yassin ini “Yassin Ana” dan popular dengan
panggilan Ngah Asin. Sebab orang meanggilnya Yassin Ana kerana Ngah Asin
membahasakan dirinya “Ana”. Isteri Ngah Asin, iaitu ibu saya, Minah Wahab,
sering memberikan penjelasan tentang hubung kait antara Long Atin dengan Ngah
Asin terutama yang merujuk kepada kekeluargaan. Menurut Minah, Long Atin dan
Ngah Asin berbapakan Haji Zainal Abidin dari Suku Biduanda Gadong Baroh. Haji
Zainal nama penuhnya Haji Zainal Abidin bin Lamit.
Haji Zainal popular dengan panggilan
Dang Sena adalah orang suku Biduanda Gadong Baroh yang bersemenda dengan suku
Tanah Datar apabila beliau berkahwin dengan wanita darpada suku berkenaan. Adik
perempuannya bernama Lamah bte Lamit. Lamah ini adalah ibu mentua kepada Cikgu
Abbas Bin Ali dari Chengkau, seorang guru sekolah King George Ke-V, Seremban.
Cikgu Abbas pernah menterjemahkan buku “Rembau, Sejarah Perlembagaan Adat dan Istiadatnya,
karangan C.W.C Parr and W.H. Mackray dalam JS, 1910.
Menurut cerita Minah, madrasah yang
didirikan di Ulu Gadong itu diasaskan bersama kedua adik-beradik ini dengan
antara tenaga pengajarnya termasuklah beberapa ustaz terkenal di daerah itu, seperti
Ustaz Ahmd Serol, Legong, Ustaz Ahmad Anwar, Ustaz Ahmad Munir dan Ngah Asin sendiri.
Asalnya madrasah ini ditempatkan di Surau Ulu Gadong sebelum dipindahkan ke
lokasinya yang ada sekrang. Adik Long Atin, Ngah Asin juga pernah belajar agama
di Kedah dan Kelantan. Semasa di Kelantan Ngah Asin juga belajar dengan Tok
Kenali. Ngah Asin telah kembali ke Rahmatullah pada tahun 1984. Kedua-dua adik
beradik ini ke Mekkah secara berasingan. Ngah Asin ke Mekah ketika masih kecil,
dibawa oleh emak saudaranya, Hajah Meja (Anjang), isteri kedua Undang Rembau
Ke-17 Dato' Haji Sulong Miah Lela Maharaja.
Penulis Memoir A.F.Yassin ini adalah
anak saudara kepada Long Atin. Semasa kecil kami saling berkunjungan, iaitu mengunjungi
anak Long Atin bernama Haji Fuzi di Seremban, Haji Hamdan yang tinggal di
Bongek, dan Hajah Rahah yang menetap di Sri Kendong.
19 Mei 2008.
No comments:
Post a Comment