Ketika mengerjakan Umrah tahun 1998. Dari kiri Mak, Amrah dan Ruby. |
PERGINYA AMRAH YASIN, ATEH DAN MAK TEH KAMI
29 Ogos 2012
Hajah Amrah Yasin TBS
1969 kembali ke rahmatullah (1951-2012) Segala-galanya bermula apabila sehari
sebelumnya, iaitu pada 28 Ogos 2012 Amrah mengadu sesak nafas. Ketika itu tidak
ada seorang pun berada di rumah keluarga di Gadong kecuali Amrah dan mak yang
juga tidak sihat badan. Amrah ambil inisiatif panggil ambulans dari Hospital
Tampin. Mak tinggal di rumah sendirian sementara Amrah ke hospital kira-kitra
tengah hari dengan ambulans. Pada pukul 3.00 petang Amrah dipindahan ke
Hospital Tuanku Jaafar di Seremban kerana disyaki kesesakan nafas dikaitkan
dengan jantung. Apabila ahli-ahli keluarga sampai kira-kira pukul 4.00 petang
di Bahagian Kecemasan hospital, Amrah masih lagi dirawat di bilik kecemasan
sementara.
Kira-kira jam 6.00 petang Amrah dipindahkan ke wad di tingkat 6A.
Saya bersama Basrah dan Shahrir ikut ke wad. Kami berbual perlahan dengan
Amrah. Tidak banyak bicaranya kali ini. Lebih banyak diam diri, namun kami
lihat nafasnya telah kembali seperti biasa, mungkin kerana Amrah masih dibantu
alat pernafasan. Dua orang doktor merawatnya dan setengah jam kemudian Basrah
memberi Amrah seteguk air kerana haus barangkali. Tidak beberapa saat kemudian,
Amrah muntah. Saya menggenggam tangan kirinya, erat dan seolah-olah tanpa mahu
melepaskannya. Saya tidak pasti sama ada saya menciumnya seperti yang selalu
saya berikan setiap kali bertemu. Apa pun, pandangan Amrah tepat ke mata saya
seperti mahu berkata sesuatu, namun tidak terungkapkan. Pandangan Amrah begitu
sayu, bagaikan Amrah mahu mengulangi kata-katanya ketika bersama-sama keluarga
di kampung. Katanya ketika di kampung, “Oni sayu saja sehari dua ini.” Mengapa
Amrah berkata begitu kami tidak pasti.
Kira-kira jam 9.00 malam saya menerima panggilan telefon daripada
doktor yang merawatnya. Doktor wanita itu memaklumkan risiko yang bakal
dihadapi Amrah kerana “pihak kami berusaha menstabilkan jantungnya yang
tersekat oleh darah yang semakin membeku.” Doktor berusaha mencairkan darah di
pembuluh. Apabila saya desak risiko apa yang bakal diterima, saya terkejut
besar dengan tanda-tanda yang diberikannya. Lantas saya terus menghubungi
anggota keluarga agar bergegas ke hospital dan memantau keadaan dengan lebih
dekat. Ketika ini semua anggota keluarga mula berkumpul di rumah Amrah di Paroi
Jaya, Seremban. Manakala saya pulang sebentar menjemput isteri di Rawang.
Saya kembali ke Hospital Seremban pada pukul 1.00 pagi 29 Ogos.
Kami kemudian dinasihatkan pihak hospital supaya berehat di rumah sahaja kerana
tidak ada apa yang dapat dilakukan kecuali berdoa sahaja. Manakala Amrah telah
dipindahkan ke bilik CCU. Sementara itu semua anggota keluarga telah berkumpul
di Paroi. Ada yang datang sejauh Johor Bahru, dari Gadong dan dari Kuala
Lumpur, berdoa dan berharap agar Amrah kembali pulih. Ada sesuatu yang memilukan
kami apabila Amrah berbisik kepada adiknya Basrah sejurus sebelum kami diminta
meninggalkan wad untuk tujuan rawatan intensif. “Kalau Oni koma, ertinya maut.”
Dua kali Amrah berbisik kepada Basrah. Sedih dan terlalu pilu rasanya apabila
kami mendengarnya dan begitulah sekitar 2.30 pagi kami terima panggilan telefon
daripada hospital meminta kami datang segera. Basrah yang menerima panggilan
itu memberitahu, “Sedih bunyi suara di hujung talian.”
Kami pun mengerti apa yang Basrah maksudkan dan apa yang kami takuti
berlaku selama ini pun berlakulah. Semasa kami sampai Amrah telah pergi buat
selama-lamanya. Innalillahi- Wainna-Ilaihi Roji’un! Tenang wajahnya adalah
segala-galanya bagi kami. Masih segar dalam ingatan, pernah Allahyarham ingin
mengerjakan haji sekali lagi pada tahun 2013 (kali ketiga). Pernah juga pada
hari raya kedua lalu, Allahyarhamah bincangkannya dengan keluarga, malah dengan
anak saudaranya, Izanul Fazliah yang bertugas di Tabung Haji, di Kuala Lumpur.
Allahyarhamah bersetuju untuk bersama-sama Izanul ke Mekah pada tahun 2014.
Menurut beberapa orang anggota keluarga Allahyarhamah banyak kali
meminta maaf sambil berpelukan, terutama dengan adiknya Mohd. Zaki (her
immediate younger brother). Tetapi ketika itu mungkin kedatangan lebaran
menyebabkan Allahyarhamah bermaaf-maafan dengan anggota keluarga. Tidak ada
yang luar biasa. Allahyarhamah pernah menyebut ingin mendermakan sebahagian
daripada pungutan sewa apartmennya di Ampang kepada yang memerlukan. Namun, ia
belum dapat dilaksanakan kerana masih di peringkat cadangan.
Allahyarham memulakan kerjayanya sebagai jurujual Syarikat Minyak
Geliga di Johor Bahru sebaik sahaja selesai persekolahan di Tunku Besar School,
Tampin pada tahun 1969. Allahyarham ke Johor Bahru dan tinggal bersama kakaknya
Sabariah yang bekerja di sana. Lagi pula, saya sebagai abang sulungnya,
bertugas di Johor Bahru. Semasa bekerja secara sementara di Syarikat Minyak
Geliga ini, sempat pula Allahyarhamah berkawan sesama jurujual yang lain,
antaranya Othman Hj. Zainuddin (yang kemudian bertugas di DBP sebagai pelukis).
Tidak lama Allahyarham di syarikat itu, Allahyarhamah bertugas pula sebagai
kerani kewangan di Hongkong Bank di Petaling Jaya. Allahyarhamah kemudian
bertugas pula dengan Malaysia-Singapore Airline (MSA) sebelum Allahyarhamah
pindah ke MAS. Jawatannya sebagai Pramugari MAS membolehkannya berkhidmat di
dalam (domestic) dan di luar negara (international). Teman sekerjanya
Ayob Hashim mungkin lebih mengetahui perkara ini.
Kesihatannya mula terganggu sejak pertengahan tahun 1977 dan
akhirnya terpaksa bersara awal (pencen ilat) melalui SOCSO. Kesihatannya
dikaitkan dengan penyakit apa yang disebut doktor sebagai SLA (a rare
disease). Allahyarhamah berubat ke merata-rata tempat di dalam dan luar
negara. Pernah bertemu tabib di Bandung dan di Solo. Ada pula yang menganggap
Allahyarhamah “termakan santau”. Bersama rombongan GAPENA, Allahyarhamah
mengerjakan umrah pada tahun 1989. Allahyarhamah pernah mendirikan rumah tangga
dengan pegawai eksekutif bank, Kassim Sir beberapa ketika, namun oleh sebab
kesihatannya tidak mengizinkannya untuk kekal bertahan dan mereka berpisah
beberapa tahun kemudian. Antara yang hadir di majlis perkahwinan Allahyarhamah
ialah dua rakannya, iaitu Dato’ Usman Awang dan Dato’ M. Noor Azam.
Ketika berkunjung ke Bandung pada tahun 1977, Allahyarhamah suami
isteri pernah diraikan oleh mantan Dekan Fakultas Pubisistik, UNPAD, Drs. Onong
Uhjana Effendy M.A. Ini adalah sebagai balasan kunjungan Pak Onong ke Malaysia
di mana Allahyarhamah meraikannya dalam satu jamuan khas di rumah Allahyarhamah
di Subang Jaya, ketika itu. Sejak berpisah Allahyarhamah tinggal sendirian
bersama mak di kampung. Hajat mak untuk berziarah ke Makam Walisongo ditunaikan
apabila kami mengunjungi Makam Walisongo di Cirebon pada awal tahun ini. Kami
berempat ke sana, bertemankan teman-teman dari Bandung – Allahyarhamah,
mak, kakak ipar Ruby dan saya. Di Bandung yang menemani kami ialah Deni
Moerdiana. Walaupun pada mulanya kunjungan ke makam akan disertai oleh dua lagi
anggota rombongan, Abdullah dan Bahari Abd. Rahman, jiran sekampung tetapi oleh
sebab kesuntukan masa Abdullah dan Bahari terpaksa pulang ke Kuala Lumpur lebih
awal. Al-Fatihah!
Ucapan takziah melalui Facebook: Erina binti Eddy, Drs. (Jakarta):
Assalamualaikum WBT, Abang dan kakak, kami sekeluarga mengucapkan Innalillahi
wa innailaihi rojiun atas berpulangnya Almh. Kak Amrah ke pangkuan Ilahi Robby,
semoga almh diterima di sisi Allah SWT dan diterima amal ibadahnya, Aamiin Ya
Robb…. Ahmad Fadzil Yassin: Innalillahi Wainna Ilaihiraji'un!!
Berpulangnya adik kami, Hajah Amrah binti Yasin (62), ke
rahmatullah pada 2.30 pagi 29 Ogos 2012 adalah kehilangan yang amat sukar
diterima, namun demikianlah perencanaan Ilahi yang tidak dapat kita mungkiri.
Namun, Allahyarhamah lebih disayangi dan kami terpaksa relakan adik kami pergi.
Adik kami pergi dengan wajah yang tenang, namun tersirat daripada wajah tenang
itu terukir keabadian jiwa yang luhur dan ikhlas, insan istimewa! Dan kepadamu
ya-Allah, kami serahkan kembali. Pagi ini kami masih lagi mendengar ingatan
terakhir bacaan terakhir talkin oleh Haji A. Rahman, Imam Masjid Kg. Gadong
memanggil Allahyarhamah, "Ingatlah Amrah anak Minah, tinggallah kamu
sekarang berdepan dengan Allah, jawablah dengan tenang apa-apa sahaja yang akan
ditanyakan, kerana yang bertanya itu juga adalah makhluk Allah jua."
Unit Forensik Hospital Tuanku Jaafar Seremban mengesahkan punca
pemergian adik kami ialah myocardial Infraction with Cardiogenic Shock.
Bersemadilah adik kami di daerah yang kekal dan abadi. Selama-lamanya. Daripada
Tajul Ariffin Kamat kami terima mesej, “Assalamualaikum wrbth.. Inna lillah hi
wainna lillah hirajiun.. Alfatihah… Dukacita dimaklumkan bahawa sahabat kita
Amrah Yasin, ex-TBS 69 telah kembali ke rahmatullah jam 2.00 pagi ini di Kg.
Gadong, Rembau. Jenazah akan dikebumikan selepas solat zuhur. Alfatihah... Ini
ialah nombor mobile arwah dan sekiranya ingin mendapatkan alamat arwah,
adiknya akan memberitahu lebih lanjut 019 2690825,” 7.56 am, 29 Ogos 2012.
Ucapan takziah SMS: Antaranya daripada Mohd. Sedek Suleiman:
“Innalillah…Takziah. Semoga Allah menempatkan rohnya di tempat mereka yang
beriman”, 4.00 am, 29 Ogos 2012; Wan Aizan Wan Ahmad, “Salam. Takziah dari saya
untuk sdr sekeluarga. Innalillah…Di mana meninggalnya & nak dikebumikan di
mana?” 6.59 am 29 Ogos 2012; Mohd. Zain Yassin, “Innalillah… Saya dan isteri
mengucapkan takziah atas meninggalnya adinda anda tersayang. Semoga Allah
mencucuri rahmat ke atas roh beliau. Al-Fatihah!” 7.22 am 29 Ogos 2012; Mohd.
Ruskeen Suleiman “Salam Bang. Takziah untuk abang sekeluarga. Akeen x dapat
hadir ke Gadong. Semoga roh Aunty Amrah dicucuri rahmat,” 7.29 am, 29 Ogos
2012; Dato’ Suriah Abd. Rahman, 7.36 am, 29 Ogos 2012. (Bercakap melalui
telefon sebelumnya); Zahriman Alias, “Innalillah…Salam takziah dari saya dan
isteri atas pemergian adinda Abang Fadzil tercinta. Allah juga yang telah
menyayanginya. Al-Fatihah! Semoga rohnya berada di tempat orang beriman,” 8.09
am, 29 Ogos 2012; Dr. Ismail Abdullah, “Saya dan keluarga turut berdukacita.
Semoga rohnya mendapat tempat yang baik di sisi Allah SWT. Amin! Semoga anda
tabah menghadapi ujian ini – Ismail & Umi,” 8.21 am, 29 Ogos 2012.
Daripada Borhan & Zahrah, “Salam takziah daripada kami
sekeluarga. Al-Fatihah! Kami doakan rohnya dicucuri rahmat Allah SWT,” 10.05
am, 29 Ogos 2012; Dra. Ervinna Hadiyanto, Bandung, “Bang, kami mengucapkan ikut
berdukacita yang sedalam-dalamnya. Semoga amal ibadah beliau diterima Allah
SWT. Amin! Dan keluarga besar abang dapat menerima dengan lapang dada. Nanti
saya sampaikan ke teman-teman salam berduka buat keluarga besar di Malaysia.
Bang, wah, mengejutkan kami.” 8.25 am 01 September 2012; Prof. Dr. Deddy
Mulyana, Bandung, “Innalillah…. Saya sekeluarga ikut berdukacita bang. Semoga
Kak Amrah Almarhumah diterima di sisi Allah SWT. Amin!” 9.15 am, 1 September
2012.
Dra. Irawaty Nasution, Drs.
& Karim Papatungan, Jakarta, “Turut berdukacita. Semoga arwahnya mendapat
tempat di sisi Allah. Diampuni segala dosanya. Diterima iman Islamnya dan yang
ditinggalkan diberi kesabaran. Wass,” 11.09 am, 1 September 2012. Dr. Betty
Soemirat & Dr. Soleh Soemirat, “Innalillah…. Pa Fadzil dan Bu Ruby ytc,
saya dan Pa Soleh sekeluarga turut berdukacita atas wafatnya Kak Amrah. Semoga
Almarhumah mendapat tempat yang paling mulia di sisi-Nya dan kepada keluarga
yang ditinggalkan, semoga diberi ketabahan dan kekuatan iman. (Soleh Soemirat
sekeluarga di Bandung),” Bu Betty kemudian bercakap melalui telefon dengan saya
selama 5 minit bercerita tentang arwah. 5.36 pm, 1 September Al-Fatihah!
Menarik tulisan ini. Mungkin ada lagi anak Mukim Gadong yang pernah bertugas sebagai Pramugari dalam pelbagai Airline bagus juga kita kongsi pengalaman. Untuk manfaat anak-anak Mukim Gadong ynag tertarik dengan kerjsya ini.
ReplyDeleteAl-Fatihah, semoga rohnya ditempatkan bersama orang2 yang solehah... Aamiin.
ReplyDelete