JK Penerbitan Cucu Gunung Datuk Gadong yang bertanggungjawab enyediakan buku CGDG 71350 menjelang Hari Raya Puasa 2016. Satu Tall order yang perlu dilaksanakan. |
Pusara yang bernisankan Batu Aceh tanda pusara ini milik keluarga bangsawan. Kenapa pusara ini terletak di porak Tanah Datar Gadong? |
Menurut terombo di Negeri Sembilan, Datuk
Perpatih Pinang Sebatang ini telah diperintahkan oleh Raja Minangkabau di Pagar
Ruyung pergi ke tanah seberang (Semenanjung Malaysia) untuk menjaga kepentingan
orang Minangkabau yang telah lama bermastautin di sana. Hari ini kawasan itu
meliputi Negeri Sembilan, Alor Gajah, Segamat dan Kelang. Bagaimanapun,
kedatangan datuk adat ini diceritakan dalam pelbagai versi. Dua yang paling
terkenal ialah apa yang disebut Terombo versi Kuala Pilah dan Terombo versi
Naning. Akhir-akhir ini penulis buku Negeri Yang Sembilan (1995),
Norhalim
Haji. Ibrahim telah memperkenalkan Teromba versi Rembau atau lebih tepat versi
Batu Hampar. Kesemua versi ini cuba menegakkan keberanan masing-masing.
Percanggahan amat nyata walaupun kesamaan masih terasa. Kata seorang Datuk
Lembaga di Rembau, “Inilah masalahnya. Saya sekarang tak tahu versi yang mana
yang boleh kita terima. Kuala Pilah, Naning atau Rembau. Dan siapa tahu tidak
lama lagi akan muncul pula Terombo versi Jelebu, Johor, Tampin dan Sungai
Ujong. Semua akan mengaku versinya lebih tepat dan betul.” Anggapan versi mana
yang lebih tepat dan betul ini lazimnya dikaitkan dengan ketokohan dan karisme
datuk peneroka adat itu sendiri. Secara psikologis kelompok masyarakat yang
mendakwa mereka dari keturunan peneroka adat ini akan meletakkan status
sosialnya lebih tinggi berbanding kelompok masyarakat lain yang sekadar menjadi
pengikut.
Sesetengah
kalangan di Negeri Sembilan berpendapat oleh kerana “kehebatan tokoh inilah,
maka banyak daerah di negeri itu mahu mengaitkan datuk ini dengan
pembukaannya.” Terombo versi Kuala Pilah setakat ini lebih tertonjol berbanding
versi-versi lain. Menurut Norhalim selagi tidak ada versi yang dapat menyanggah
kebenaran Kuala Pilah ini selagi itulah ia dianggap versi terkuat. Lagi pula
yang memperkenalkan versi ini adalah tokoh adat yang bukan “calang-calang”,
antaranya Allahyarham Tan Sri Abdul Samad Idris melalui buku Payung Terkembang
(1990) dan pengarang Dharmala N.S.. Terombo versi Naning adalah pencabar
terdekatnya. Menurut terombo versi Kuala Pilah yang dicatat Abu Cit Mat Serum,
rombongan pertama orang Minangkabau datang ke Negeri Sembilan di bawah pimpinan
Datuk Perpatih Pinang Sebatang.
Rombongan
meninggalkan Pagar Ruyung di Sumatera menuju Siak. Dari Siak rombongan belayar
ke Muar. Dari Muar, rombongan mengikuti jalan darat menuju Bukit Kepong dan
terus ke Johor (Lama?). Dari Johor rombongan mudik pula ke Pasir Besar dan
terus ke Hulu Muar ke satu tempat yang disebut Pelangai. Setelah beberapa
ketika rombongan meneruskan perjalanan ke Kampung Tengah, Seri Menanti dan
akhirnya Pilah. Rombongan akhirnya menetap di Angga Bisa, Hulu Pilah. Ketua
rombongan Datuk Perpatih mula menyusun dan mengatur pantang dan sendi adat yang
akhirnya dinamakan Adat Perpatih. Adat ini disebarkan ke seluruh kawasan yang
berdekatan yang didiami orang asli, antaranya di Jenang, Jiru dan Johol. Datuk
Perpatih kemudian bertolak ke Naning tetapi gagal menemui Datuk Batin ketua
penduduk orang asli di sana. Dalam perjalanan pulang Datuk Perpatih singgah di
Rembau, Sungai Ujong dan Jelebu.
Menurut
ceritanya ke mana sahaja datuk ini singgah, pengikut-pengikutnya terus meneroka
negeri. Maksudnya mereka menetap di tempat-tempat yang dilalui dan berkahwin
dengan penduduk-penduduk asli tempatan. Pada tahun 1372, dan setelah berada
selama 20 tahun di Tanah Semenanjung, Datuk itu mengadakan satu perhimpunan
besar di Gunung Datuk, juga disebut Gunung Rembau. Dalam perhimpunan itu Datuk
Perpatih melantik Datuk-Datuk Undang dan Datuk-Datuk Lembaga untuk semua
kawasan yang telah menerima sistem Adat Perpatih. Dikatakan setelelah
pelantikan itu Datuk Perpatih pun menghilangkan diri (ghaib?).
Penduduk-penduduk di kaki gunung itu mendakwa nama Gunung Datuk itu adalah
mengambil sempena nama Datuk Perpatih Pinang Sebatang. Nama Gunung Datuk lebih
terkenal berbanding nama rasminya Gunung Rembau.
Terombo
versi Naning pula membawa sedikit kelainan. Pencatat versi ini, Shahiba,
menulis Datuk Perpatih Pinang Sebatang meninggalkan Pagar Ruyung menuju Kampar
lalu ke Siak. Dari Siak rombongan belayar ke Bengkalis dan Bukit Batu.
Rombongan kemudian menyeberang Selat Melaka ke muara Sungai Linggi. Dari muara
ini mereka mudik ke hulu sungai hingga ke Paya Dalam dan meneruskan perjalanan
ke Bukit Penyaling lalu membuat kampung. Datuk Perpatih berkahwin dengan anak
Datuk batin, ketua orang Jakun di kawasan itu, sementara pengikut-pengikut
Datuk itu berkahwin dengan anak-anak buah Datuk Batin. Tidak lama kemudian
Datuk Perpatih menamakan tempat itu Naning dan beliau dilantik menjadi Penghulu
Naning yang pertama bergelar Datuk Naning. Datuk Naning pertama mewujudkan Suku
Semelenggang dan keturunan Datuk Naning dari suku ini menjadi pewaris jawatan
Datuk Naning hingga ke hari ini. Datuk Naning pertama (Datuk Perpatih Pinang
Sebatang) meninggal dunia dan dimakamkan di pinggir jalan yang menghala ke
Lubok Kepong.
Terombo versi Naning mendakwa Datuk Perpatih
Pinang Sebatang bukanlah orangnya yang “membuka” dan memperkenalkan Adat
Perpatih di Segamat, Hulu Muar, Johor, Rembau, Sungai Ujong, Jelebu, Kelang,
Hulu Pahang, Jempul dan Serting. Semua daerah ini diteroka oleh kumpulan orang
Minangkabau yang datang kemudian. Kumpulan inilah yang memperkenalkan adat ini
setelah mendapat restu dari Datuk Perpatih di Naning. Maka jelas melalui
kedua-dua versi ini terlihat percanggahan dalam penglibatan Datuk Perpatih di
Negeri Sembilan dan Naning. Dari sudut geografi, versi Naning lebih mudah
difahami dan lebih diterima akal. Secara alamiah, kawasan pantai barat
Semenanjung akan menjadi kawasan pertama yang akan didiami oleh penghijrah dari
Sumatera.
Dalam
hal ini kemungkinan amat besar bahawa rombongan Datuk Perpatih akan meneroka
daerah di sepanjang pantai. Rombongan berikutnya akan “terpaksa” mudik dari
muara sungai ke hulu atau mengikut jalan darat ke daerah pedalaman. Jika dikaji
kedudukan daerah-daerah yang disebutkan itu, Naning merupakan kawasan yang
paling dekat dengan pantai. Jaraknya tidak melebihi 40 km berbanding Kuala
Pilah atau Jelebu yang jauhnya ratusan kilometer di pedalaman, hatta Sungai
Ujong sekalipun. Hanya Rembau yang bersamaan jarak dengan Naning. Juga sedikit
aneh dan tidak ada sebab, mengapa rombongan Datuk Perpatih perlu berjalan
beratus-ratus kilometer ke daerah pedalaman hingga ke Kuala Pilah dan Jelebu
untuk menjaga kepentingan orang Minangkabau. Sedangkan secara geografisnya
kebanyakan orang Minangkabau telah terlebih dahulu bermastautin di
kawasan-kawasan pantai Selat Melaka. Pemastautin di Kuala Pilah tentunya
merupakan pendatang-pendatang terkemudian. Lain lagi ceritanya dengan Terombo
versi Rembau (Batu Hampar) yang diperkenalkan Norhalim.
Menurut
Norhalim, yang memetik beberapa hasil kajian orang Portugis dan Belanda, adat
Perpatih yang hampir sama dengan adat di Minangkabau diperkenalkan oleh seorang
“wakil” Raja Minangkabau. Wakil raja itu bernama Datuk Leteh dan diperintahkan
pergi ke Rembau pada tahun 1490an Raja untuk memimpin masyarakat Minangkabau
yang menetap di daerah-daerah di sekitar pantai dan kawasan yang hari ini
disebut Rembau. Datuk Leteh berasal dari Batu Hampar, Mendahiling dan
bersukukan Caniago. Pengikut-pengikutnya terdiri daripada penduduk-penduduk
dari suku Batu Hampar sendiri, Paya Bidara, Pagar Cincang dan Agam. Mereka
sampai di muara sungai yang hari ini disebut Kuala Sungai Linggi lalu mudik ke
Lubok China (wilayah Naning sekarang Alor Gajah). Dari Lubok China Datuk Leteh
mudik ke hulu hingga ke Relong dan bertemu dengan ketua orang Asli, Datuk Batin
Skudai. Datuk Leteh meminta izin dengan datuk batin untuk menetap di Relong.
Kawasan itu hari ini dinamakan Kampung Penajis Ulu. Datuk Leteh mula menyusun
dan mengatur system masyarakat orang Minangkabau sehampir mungkin dengan system
adat di tanah asalnya. Sistem ini diterima baik oleh penduduk orang asli
pimpinan Datuk Batin Skudai kerana kebersamaan dengan adat orang asli yang
matrilineal. Pada tahun 1500, Datuk Leteh bersama Datuk Batin Skudai
meninggalkan Relong untuk membuka negeri di Kampung Lada, Chengkau. Datuk Batin
Skudai kemudian meninggalkan Kampung Lada untuk menetap di Seliau, Rantau dan
meninggalkan salah seorang anak perempuannya, Datuk Bungkal, dalam jagaan Datuk
Leteh. Datuk Bungkal telah lama menjadi anak angkat Datuk Leteh. Ada
kemungkinan Datuk Leteh tidak mempunyai anak dan menjadikan anak Datuk Batin Skudai
anak angkatnya.
Pada
tahun 1502, Datuk Leteh sekali lagi pindah, kali ini ke Kampung Kota Lama
(sebelumnya dinamakan Kampung Gembira yang dibuka oleh Datuk Batin Pak Nilu
dari Sungai Ujong, kawasan Rahang, Seremban sekarang). Di kampung itu pertemuan
diadakan dengan Datuk Lela Balang, juga dari Batu Hampar yang telah menetap di
Kota Lama. Mereka bermuafakat untuk membahagikan wilayah kuasa di Kota Lama itu
kepada dua, satu ditadbirkan Datuk Leteh dan satu lagi Datuk Lela Balang.
Berdasarkan permuafakatan itu Datuk Leteh mendapat wilayah “kanan mudik” Sungai
Rembau, sementara Datuk Lela Balang wilayah “kiri mudik.” Datuk Leteh menamakan
wilayah kuasanya sebagai Kampung Perah oleh kerana banyaknya pokok perah
(elateriospermum tapos) di kawasan itu. Datuk Lela Balang dikahwinkan dengan
Datuk Bungkal dan keturunan keluarga ini mewarisi jawatan Undang Rembau hari
ini.
Walaupun
terombo versi Rembau ini tidak menyebut langsung nama Datuk Perpatih Pinang
Sebatang tetapi perintah yang diberikan kepadanya oleh Raja Minangkabau dan
tindakannya memperkenal sistem adat Minangkabau adalah sama seperti yang
ditulis dalam versi Kuala Pilah dan Naning. Cuma perbezaannya terletak pada
nama tokoh sentralnya, sama ada Datuk Perpatih Pinang Sebatang atau Datuk
Leteh. Di kalangan penduduk Rembau ada yang menganggap Datuk Leteh dan Datuk
Perpatih Pinang Sebatang sebenarnya nama orang yang sama. Anggapan ini
diasaskan kepada beberapa pertimbangan. Pertama berlakunya peristiwa
perhimpunan besar di Gunung Datuk untuk melantik undang dan lembaga oleh Datuk
Perpatih Pinang Sebatang. Gunung ini terletak di Rembau. Di kaki gunung
terletak Kampung Perah dan Kampung Kota Lama yang pula bersempadankan Naning.
Sedangkan Kuala Pilah berada jauh di sebalik gunung. Bayangkan Datuk Perpatih
terpaksa mendaki Bukit Putus atau Bukit Miku sebelum mendaki Gunung Datuk.
Andainya Datuk Perpatih Pinang Sebatang mahu
melantik undang dan lembaga, apakah perlu beliau naik gunung turun gunung yang
mungkin memakan masa beberapa hari, malah minggu untuk sampai ke puncak Gunung
Datuk. Manakala Datuk Leteh yang tinggal di kaki gunung tersebut hanya
memerlukan kira-kira tiga atau empat jam untuk sampai ke puncak. Kedua, titah
perintah raja Minangkabau kepada Datuk Perpatih adalah juga titah perintah raja
Minangkabau kepada Datuk Leteh. Soalnya apakah perlu seorang raja memerintahkan
dua orang pembesarnya untuk menjaga kepentingan masyarakat Minangkabau di
kawasan yang sama di seberang? Dikatakan Datuk Perpatih dan Datuk Leteh belayar
ke seberang melalui pangkalan yang sama, iaitu Siak. Cuma bezanya Datuk
Perpatih menuju muara Sungai Muar (versi Kuala Pilah) sementara Datuk Leteh
menuju muara Sungai Linggi (versi Rembau).
Dalam
hal ini ada persamaan antara versi Naning dengan Rembau. Kedua-dua versi ini menyebut
orang besar raja ini belayar dari Siak menuju muara Sungai Linggi. Jika versi
Kuala Pilah diambil kira maka sudah tentu ada kesan-kesan peninggalan
Minangkabau di Muar seperti halnya di Kuala Linggi. Setidak-tidaknya adan
proses penyemendaan antara orang Minang dengan penduduk tempatan. Ketiga dan
dianggap lebih penting ialah kisah penerokaan Datuk Perpatih dalam ketiga-tiga
versi. Teromba versi Kuala Pilah memperlihatkan satu perjalan yang kompleks
(sungai dan daratan) sebelum membuka tempat baru. Versi ini menunjukkan
kehebatan Datuk Perpatih mengembari dari Muar ke Johor Lama (mungkin ke Batu
Sawar tempat bersemanyamnya Sultan Johor), lalu mudik ke Hulu Muar sebelum
meneruskan perjalanan ke Hulu Pilah.
Secara
geografisnya hari ini, Datuk itu bersama pengikutnya menjelajah dua negeri,
Johor dan Negeri Sembilan. Satu perjalanan panjang dan memakan masa
berbulan-bulan lamanya. Jika dilihat dari sudut ini, maka versi Naning dan
Rembau adalah lebih rasional. Demikianlah, tiga versi terombo yang kadang-kadang
terlihat sebagai satu cara memperbesar jurai keturunan penganut adat Perpatih
di Negeri Sembilan dan Alor Gajah (Naning) hari ini. Norhalim barangkali
berkata benar apabila orang sering mengaitkan kehebatan tokoh peneroka dengan
daerah tempat tinggalnya.
No comments:
Post a Comment