Hj. Yassin Bin Hj. Zainal - Abah - ketika berusia 74 tahun |
Abah (Hj. Yassin Bin Hj. Zainal) meninggal dunia
pada tahun 1985 semasa berusia 74 tahun. Ketika abah masih hidup saya sebagai
anak sulungnya dan sebagai seorang kanak-kanak rindukan alam kanak-kanak. Saya
jarang dapat bermain dengan kawan-kawan sebaya kerana pada waktu petang saya
mengikuti kelas agama dan pada hari cuti sekolah dan hujung minggu saya
terpaksa bantu abah menoreh getah di ladang. Pernah satu kali saya dibaling
dengan kasut oleh abah kerana enggan mengikutnya menoreh. Saya geram dengan
tindakan abah tetapi saya takutkan abah. Kadang-kadang timbul juga rasa benci
terhadap abah. Mak juga tidak berbuat apa-apa apabila abah berada dalam keadaan
marah dan panas baran.
Demikianlah saya kurang dapat manfaatkan alam
kanak-kanak. Say tidak seceria seperti halnya kanak-kanak lain di Kg. Gadong
yang petang-petang hari pergi melastik burung dalam belukar dan tangkap
belalang di tengah sawah. Ada pula yang memancing dan tidak kurang yang
memanjat pokok jambu batu yang tumbuh liar di kawasan hutan di belakang
kampung. Apa pun jua, saya tidak dapat melupakan satu peristiwa yang terjadi
kepada saya yang mengubah sikap saya terhadap abah. Saya tidak pasti bila
peristiwa itu berlaku tetapi saya masih ingat, pada waktu itu saya masih
menuntut di sekolah rendah Inggeris kerajaan.
Abah bercerita kepada saya. Pada satu pagi abah ke
dusun durian di lereng bukit kira-kira 10 kilometer dari Bukit Tempayan di
penghujung selatan Banjaran Titiwangsa. Orang kampung menamakan kawasan lereng
bukit itu Dusun Nangka dan semua kawasan itu ditanam dengan durian. Abah ke
dusun untuk menebas kerana musim durian akan bermula tidak lama lagi. Abah
mendapati banyak buah durian pada musim itu. Dalam pada itu abah faham sangat,
waktu-waktu terakhir ini dusun nangka kerap benar menjadi sasaran pengeboman
pihak tentera kerana dusun nangka dianggap laluan dan sarang pengganas komunis.
Kawasan itu masih diisytihar kawasan hitam. Namun, musim durian mendorongnya
kuat untuk menebas dusunnya walaupun dia bermain dengan bahaya. Bila-bila masa
sahaja dia mungkin terserempak dengan pengganas komunis atau berada di
tengah-tengah sasaran operasi tentera.
Biasanya sebelum memulakan operasi, pihak
tentera akan menaburkan lembaran-lembaran kertas dari udara meminta orang
kampung meninggalkan kawasan sasaran. Sebuah helikopter akan terbang rendah
untuk menaburkan lembaran-lembaran itu dari udara, sambil menasihatkan orang
kampung melalui pembesar suara supaya meninggalkan kawasan sasaran.
Pada pagi itu abah terlupa akan bahaya itu. Dia
pun mula menebas sehingga pada suatu ketika dia terdengar laungan amaran
daripada helikopter yang terbang rendah dari atas. Dia terus sahaja bekerja
walaupun telah beberapa kali dia mendengar laungan suara itu. Tiba-tiba dia
dikejutkan oleh suara letupan bom yang menggegarkan seluruh kawasan. Kakinya
seperti tercabut oleh kuatnya bunyi ledakan itu. Dia terasa dirinya
terperangkap. Dia tidak pasti sama ada dia akan berjaya melepaskan diri kerana
bunyi ledakan bom semakin hampir jua. Hati kecilnya berkata barangkali ajalnya
akan sampai pada hari itu, dalam pada itu dia berusaha mencari perlindungan di
celah-celah batu dan hanya dapat berdoa agar batu-batu di atas tidak terkena
sasaran bom.
Setelah beberapa lama, enjin pesawat pengebom
itu semakin sayup didengarnya. Dengan cepat dia bertindak keluar dari
celah-celah batu itu lalu berlari kencang turun dari lereng bukit menuju sawah
di bawah bukit. Parang masih di tangannya. Sebaik sahaja sampai di tengah sawah
sekali lagi dia mendengar bunyi deru pesawat. Deru itu semakin lama semakin
dekat dan abah mendongak ke atas. Dia melihat dua pesawat pengebom terbang
rendah menuju arah bukit. Beberapa saat kemudian abah terdengar beberapa
dentuman kuat dan api mula kelihatan menjilat pokok di beberapa kawasan bukit,
api juga kelihatan di kawasan dusunnya.
Abah cemas. Dia hanya seorang diri di tengah sawah
dan terdedah pula kepada penglihatan dan ancaman bahaya. Siapa dalam pesawat
pengebom itu, mungkin akan menyangkanya seorang komunis yang cuba melarikan
diri dan dia akan menjadi sasaran bom mereka. Dengan tangan di parang abah
pura-pura menebas rumput di permatang sawah. Dia terus membaca ayat suci
al-Quran setiap kali pesawat pengebom terbang rendah di atas kepala. Satu
ledakan terjadi pula betul-betul di pinggir sawah, tidak jauh dari tempat dia
menebas rumput. Begitu kuat bunyi ledakan itu sehingga abah terjatuh ke dalam
sawah. Debaran jantungnya semakin kencang, sekencang kumat-kamit bibirnya.
Setelah beberapa lama kedua-dua pesawat itu pun pergi. Abah menunggu sehingga
bunyi ancaman pesawat itu hilang daripada pandangan. Kemudian abah bingkas
bangun lalu berlari menuju sungai sebelum pulang ke rumah melalui kebun getah
Lopari.
Saya dan Mak sedang menunggu kepulangan abah. Mak
begitu risau dengan keselamatan suaminya. Mata Mak merah. Mak begitu lega
apabila abah muncul di pintu pagar. Suasana kepulangan abah segar benar dalam
ingatan dan saya tidak akan dapat melupakannya, apatah lagi setelah abah
bercerita tentang pengalaman azabnya itu.
Sejak peristiwa abah lari daripada perangkap bom
itu abah tidak pergi lagi ke dusun untuk beberapa minggu. Setelah itu dia
mendapatkan nasihat ketua kampung tentang cara-cara yang selamat untuk ke
dusun. Satu jadual yang diselaraskan dengan operasi tentera di kawasan itu
diberikan kepadanya dan penduduk kampung agar mereka mengelakkan diri daripada
terperangkap dalam operasi tentera. Pengalaman azab ayah itu benar-benar
membuatkan saya berubah sikap terhadap abah. Hilang semua rasa marah dan benci
terhadap abah kerana “mendera”nya di hujung minggu. Sewaktu menatap kali
terakhir wajah abah sebelum jenazahnya dikebumikan pada tahun 1985 dahulu saya
membuat janji dengan diri sendiri untuk “menjaga” arwah abah dengan baik. Saya
berjanji untuk memberi peringatan khas kepada abah setiap pagi subuh hari
kemerdekaan melalui wirid dan doa panjang. Pada waktu itu saya akan memainkan
dalam kepalanya seluruh rakaman hidup masa lalunya bersama abah. Pada pagi 31
Ogos 2015 lalu, saya keluar dari bilik sambil mengesat mata saya yang merah. Al-Fatihah!
Ahmad Fadzil Yassin
Al-Fatihah.. Semoga rohnya ditempatkan bersama sama orang yang soleh.. Aamiin.
ReplyDeleteP/S : Shukor Alhamdulillah, Tuan masih beruntung kerana berkesempatan utk menatap wajah aruah bapa disaat akhir. Perkara ini tidak terjadi kepada diri saya sendiri. Tarikh 26 December 1981 akan sentiasa kekal dlm ingatan saya. Tarikh 26 December 2015 yg akan menjelang tiba genap 34 tahun aruah bapa meninggalkan kami sekeluarga.
Al-Fatihah.. Semoga rohnya ditempatkan bersama-sama orang yg solehah... Aamiin.