Jln Kg. Tanah Datar depan rumah Haji Mohd. Noh dan Kak Pesah |
Dulu namanya Rembau |
Allahyarham Nurhalim Ibrahim |
Nurhalim Ibrahim, seorang pensyarah UPM begitu
sibuk menelaah dan meneliti beberapa dokumen sewaktu saya mengunjunginya minggu
lalu. Dia begitu asyik sehingga dia tidak sedar saya sudah berada di muka
pintu. Dan di muka pintu lagi saya melihat bermacam-macam jenis buku memenuhi
ruang tamunya. Biasanya di ruang tamu, orang meletakkan barang hiasan tetapi di
rumah Nurhalim, barang hiasannya hanyalah buku dan dokumen-dokumen yang dijilid
khas.
“Maaf, tak perasan awak datang. Maklum, lagi
sibuk menyiapkan buku terbaharu saya,” katanya begitu apologetik.
“Tak mengapa. Saya faham perangai awak,” jawab
saya, lalu masuk tanpa dipelawa lagi.
“Buku apa lagi?” tanya saya.
“Buku tentang Rembau, sebuah daerah di Negeri
Sembilan. Saya tertarik dengan Rembau ini sejak kecil lagi. Saya mahu tahu
sejarahnya.”
“Apa hebatnya Rembau ini sehingga awak beria-ria
benar hendak mengetahuinya?”
“Pada saya, Rembau ini unik. Nama Rembau ini
pernah disebut dalam buku Sejarah Melayu. Dahulu ia sebuah negeri
merdeka. Orang Rembau (Kundur) dikatakan pernah membantu membina istana Sultan
Mansur Shah di Melaka. Mereka membuat balai apit kedua-dua pintu istana. Orang
Rembau juga pernah bertempur dengan Portugis, Belanda dan Inggeris. Dan yang
hebatnya tentang Rembau juga ialah tanah kerajaan bagi Yang Dipertuan Besar
Negeri Sembilan. Yamtuan Besar Negeri Sembilan pertama dahulu pernah bersemayam
di Rembau sebelum baginda bersemayam kekal di Seri Menanti, Kuala Pilah. Kalau
awak baca sejarah Rembau tentu awak tahu betapa beraninya pendekar Rembau
membantu Naning melawan Inggeris pada abad yang lalu.”
“Jadi, apa yang awak cari sekarang?”
“Nama Rembau itu sendiri. Banyak mitos dikaitkan
dengannya. Yang menariknya adalah walaupun namanya dimitoskan ada pula bukti tentang
asal usul nama Rembau ini.”
Nurhalim bercerita panjang. Dia menghulurkan
draf manuskrip empat bab yang telah disiapkan. Katanya buku baharunya itu akan
mengandungi 10 bab. Nurhalim membuat perancangan rapi tentang bukunya itu. Dia
telah menelusuri seluruh daerah Rembau, malah seluruh negeri Sembilan dan
Sumatera Barat, Kepulauan Riau serta daerah-daerah timur Sumatera. Katanya
Rembau ialah nama yang menemukan dua suku bangsa, iaitu suku bangsa Minangkabau
dari Sumatera dan suku bangsa tempatan, orang Melayu jinak atau jakun. Proses asimilasi kedua-dua suku bangsa inilah
yang mewujudkan Rembau seperti yang ada sekarang ini.
Menurut Nurhalim, nama Rembau yang asal ialah Prabo yang bererti daulat, dipertuan atau anak
raja. Probo waktu itu didiami oleh orang
Melayu jinak ini dan ditadbirkan oleh
seorang yang digelar batin. Dikatakan ketua tadbir pertama Prabo ialah Batin Tok Nilo. Daerah itu merangkumi antara lain Merbok Kerawang, Buluh Bukil, Lengkap Berjuntai, Subang Hilang, dan Beranang. Antara nama itu hanya Prabo yang kekal dalam daerah Rembau
sekarang. Ia telah dinamakan semula dengan Semerbuk.
Pada awal abad ke-16 Prabo ditadbir oleh
Batin Skudai. Pusat pentadbirannya di Kampung Relung, satu penempatan yang baru
dibukanya. Batin ini berkahwin dengan anak Batin Seribu Jaya yang tinggal di Rahang, Sungai Ujong (sekarang Seremban). Batin
Skudai memperoleh tiga orang anak, iaitu Datuk Mudik, Datuk Tunggal dan Datuk
Mengkudu, kesemuanya perempuan. Anaknya yang sulung, Datuk Mudik dikahwinkan
dengan orang Pasai bernama Khatib Muhammad.
Batin Skudai membuka beberapa buah kampung lagi
antaranya Kebun Lada, Kampung Gembira dan Paya Merbau, kesemuanya terletak di
selatan Kampung Relung. Kampung Gembira ini menjadi penempatan Batin Pak Nilo,
iaitu ipar Batin Skudai. Atas permintaan Batin Skudai, Batin Pak Nilo meluaskan
lagi Kampung Gembira hingga ke kaki Gunung Datuk. Semasa meneroka kawasan
baharu inilah, Batin Pak Nilobertemu dengan pokok merbau yang luar biasa
besarnya. Batin Pak Nilo enggan menebangnya kerana menganggapnya keramat. Oleh
sebab penempatan baharu ini terlalu besar maka Batin Pak Nilo membahagikannya
kepada dua. Kawasan perluasan baharu itu diberi nama Kampung Paya Merbau. Batin
Pak Nilo sendiri tetap tinggal di Kampung Gembira.
Tidak lama kemudian, ayah Batin Pak Nilo, iaitu
Batin Chepa datang
mengunjunginya. Batin Cela bermuafakat dengan anak buahnya untuk menebang pokok
merbau yang luar biasa besarnya itu. Menurut cerita lisan, Batin Cela terpaksa
mengambil masa dua kali tujuh hari untuk
menebang pokok itu. Dengan bantuan ilmu Batin Cela, akhirnya pokok itu berjaya
juga ditumbangkan. Kononnya begitu besarnya perepangan tunggul pokok yang tinggal itu sehingga
ia boleh menampung dua belas dulang hidangan makanan (atau dua belas jambar mengikut istilah orang Rembau) yang
disusun di atasnya. Ini bererti 48 orang boleh makan serentak di atas tunggul
kayu itu. Cerita pokok merbau yang luar biasa besarnya ini merebak ke seluruh
kawasan dan akhirnya menggantikan nama Prabo kepada Merbau Tua, untuk mengambil
sempena pokok merbau yang besar itu. Ada pula yang menyebutnya Merbau Tua Buah.
Kononnya hujung pokok merbau itu apabila tumbang, terletak di Sungai Hujung
(Seremban). Jika benar cerita ini, maka tinggi pokok itu ialah kira-kira 30
kilometer kerana itulah jarak antara Sungai Ujong dengan tempat pokok merbau
itu tumbuh. Nama Merbau Tua yang menggantikan Prabo itu akhirnya disingkatkan
kepada Rembau sahaja.
Menurut cerita masih terdapat serpihan-serpihan
tunggul pokok merbau ini hingga ke hari ini. Tunggul itu terletak di Kampung
Api-api di Mukim Gadong, di dalam sebuah kawasan sawah yang sekarang ini
tinggal terbiar. Menurut Nurhalim, Kampung Gembira dan Kampung Merbau Tua itu
dibuka pada akhir abad kelima belas. Pada waktu itu orang Minangkabau sudah
mulai membanjiri Rembau dan ramai yang telah bermastautin di lorong dan Kampung
Lada.
Dua nama tempat yang disebutkan Nurhalim masih
asing bagi penduduk Rembau sekarang. Saya juga tidak melihatnya dalam peta
Negeri Sembilan atau Rembau. Kedua-dua nama itu ialah Kampung Kebun Lada dan
Kampung Gembira. Menurut Nurhalim, kedua-dua kampung itu sudah ditukar namanya.
Kampung Kebun Lada ditukar kepada Kampung Lada, yang terletak kira-kira enam
kilometer dari Pekan Rembau Kampung
Gembira ditukar kepada Kampung Kota Lama, kira-kira 10 kilometer dari Pekan
Tampin.
“Kedua-dua tempat ini berada dalam mukim
Gadong,” katanya.
“Kenapa Kampung Gembira dinamakan Kampung Kota
Lama? Bukankah nama itu sudah cukup menarik?” tanya saya.
“Panjang ceritanya. Ia berkait rapat dengan
kedatangan pemimpin Minangkabau bernama Datuk Lela Balang dan Datuk Laut Dalam ini pula memainkan peranan dalam
mendirikan institusi undang di Rembau yang kekal hingga ke hari ini,” jawab
Nurhalim dengan penuh minat.
“Bagaimana ceritanya?”
“Lain kali sahajalah. Kita boleh bercerita
panjang jika awak datang lagi,” jawab Nurhalim.
Demikianlah,
pada pertemuan saya dengan Nurhalim Ibrahim, yang baru sahaja menerbitkan buku Adat
Perpatih dan Perbezaannya dengan Adat Temenggung itu seperti mahu bercerita
panjang lagi tentang subjek yang diminatinya sekarang. Sebelum saya melangkah
pulang dia berpesan, “Kalau nak tahu lebih lanjut tentang penubuhan institusi
undang di Negeri Sembilan, terutama di Rembau datanglah lagi.”
(“Sembang-sembang”, dalam Utusan Zaman, 31 Julai 1994.)