Friday 19 February 2016

KELAB KRIKET KG. GADONG OLEH MOHD. HARITH MOHD. SHARIFF


REMBAU GO CRICKET: KELAB KRIKET KAMPUNG GADONG

Oleh Mohd. Harith bin Mohd. Shariff

Kriket adalah antara sukan yang paling popular di dunia dan mengikut sejarah sukan kriket, pemainan ini bermula di Hamspire, England pada tahun 1760. Menjelang akhir abad ke-18, ia telah berkembang menjadi sukan kebangsaan England. Perkembangan Empayar British menyebabkan kriket dimainkan di luar dan pada pertengahan abad ke-19 perlawanan antarabangsa pertama diadakan. Pada masa ini lebih daripada 120 buah negara terbabit dalam sukan berpasukan ini.
Di Malaysia, kriket diperkenalkan oleh pihak British ketika mereka memerintah Negeri-negeri Selat. Permainan ini dimainkan oleh askar-askar British yang berpangkalan di kawasan-kawasan bandar. Sukan kriket mampu berkembang di Malaysia kerana ramai pemain berpotensi dilahirkan untuk membawa cabaran di pentas kejohanan yang lebih tinggi. Pasukan Malaysia yang bermain dalam Liga Kriket Duni Divisyen 3 kini berkedudukan dalam ranking dunia ke-23. Namun, kurang pendedahan penaja menyebabkan pasukan kriket ini kurang menonjol di negara kita.
Pada tahun 1990-an, Kementerian Pelajaran Malaysiatelah memperkenalkan permainan kriket kancil sebagai satu permainan dalam Sukatan Pelajaran Pendidikan Jasmani dan Kokurikulum Sukan di sekolah-sekolah rendah. Langkah yang positif ini bertujuan menghidupkan semula permainan kriket dalam kalangan penduduk di negara ini.Sukan ini sangat aktif dimainkan di sekolah-sekolah di kawasan bandar dalam satu-satu daerah tetapi kurang diperkenalkan di sekolah-sekolah luar bandar. Pada masaini lebih 450 buah sekolah di seluruh Malaysia agak aktif dalam sukan ini. Di Negeri Sembilan sahaja ada lebih daripda 25 sekolah yang terbabit.
Usaha gigih penggiat sukan ini yang terdiri daripada lima orang adik-beradik dari Kampung Seberang Paya, Gadong berjaya memperkenalkan dan membangunkan sukan elit ini di kampung. Khairuddin,Mohd. Harith,Zahid, Nazaruddin dan Abdul Malik bin Mohd. Shariff mula berjinak dengan sukan kriket sejak di sekolah lagi lewat tahun 1960-an. Bersekolah di Sekolah Menengah King George V Seremban, kecuali Abdul Malik (SDAR) kesemua adik-beradik ini cemerlang dalam sukan kriket yang kurang sekali diceburi oleh anak-anak Melayu pada masa itu. Lewat tahun 90-an kriket diperkenalkan di satu-satunya sekolah kebangsaan di Kampung Gadong. Sekolah Kebangsaan Tanjung yang diterajui oleh Puan Jasmiah binti Haji Mustafa, anak jati Kampung Gadong berminat dan bersetuju untuk menyerapkan sukan kriket dalam kokurikulum sekolah. Khairuddin sebagai jurulatih Kampung Gadong bersama guru SK Kg. Tanjong, Cikgu Faizal Rabani berjaya menubuhkan satu pasukan sekolah bawah 12 tahun.SK Kg. Tanjong adalah sekolah pertama dalam daerah Rembau yang menubuhkan pasukan kriket.
Pasukan SK Kg. Tanjong telah diundang untuk bertanding dalam Kejohanan Kriket Elit Kebangasaan bawah umur 12 tahun bagi merebut Piala Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid, yang telah diadakan pada 1 hingga 4 Jun 2000 di Kuala Lumpur bakal menggerakkan tanggungjawab nasional terbaharu dengan penyertaan lebih separuh anak-anak luar bandar. Mereka ini kemudiannya diserapkan dalam Program Pembangunan Kriket Remaja Nasional dibawah kelolaan Persatuan Kriket Melayu Malaysia. Daripada program ini SK Kg. Gadong telah berjaya melahirkan beberapa pemain kriket terpilih mewakili pasukan Negeri Sembilan di peringkat umur dan dewasa. Dua orang pemain telah berjaya menempah tempat dalam pasukan kebangsaan, iaitu Saudara Faizal Abu Hassan dari Kampung Seberang Paya telah terpilih mewakili Malaysia dalam Piala Dunia Remaja 2008. Beliau yang sekarang ini menuntut di UKM Bangi yang juga Pusat Pembangunan Kriket Berprestasi Tinggi, adalah antara pemain terbaik Malaysia dalam pertandingan tersebut. Selain itu, Saudara Haziq Zainuddin dari Kampung Jeram, Gadong juga terpilih mewakili Malaysia dalam beberapa pertandingan kriket antarabangsa.
Kejayaan pembangunan sukan kriket di Kampung Gadong telah menggerakkan penggiat dan peminat sukan di kampung ini untuk menubuhkan kelab sukan kriket. Dengan tertubuhnya kelab sukan kriket yang berdaftar, program pembangunan sukan ini akan menjadi lebih serius dan teratur. Pada masa yang sama kelab boleh meneroka penaja-penaja untuk menyumbang dan menyalurkan dana bagi pengurusan dan kegiatan kelab. Pada 14 November 2015, satu sesi dialog telah diadakan dengan YB Khairy Jamaluddin, Datuk Rahmah Hamid (ibunda YB Khairy Jamaluddin) dan Saudara Sham Jalil dari Persatuan Kriket Melayu Malaysia untuk membincangkan cadangan penubuhan kelab tersebut. Sokongan dan galakan yang diberi oleh YB Khairy Jamaluddin menyuntik lagi semangat kami untuk membangunkan sukan kriket di peringkat Kampung Gadong. Ibunda YB Khairy Jamaluddin yang sangat berminat dengan sukan ini telah bersetuju untuk menjadi penasihat Kelab Kriket Kampung Gadong dan berharap segala usaha kami akan berjaya. Jawatankuasa sementara ditubuhkan dan pada 6 Januari 2016, Kelab Kriket Kampung Gadong (Kampung Gadong Cricket Club - KGCC) telah diluluskan pendaftarannya oleh Pesuruhjaya Sukan Malaysia. Saudara Nasharuddin bin Mohd. Nor dilantik oleh jawatankuasa sementara sebagai Presiden kelab. Beliau dengan murah hati telah membenarkan rumah tradisionalnya digunakan sebagai ‘Clubhouse’ KGCC.Dengantertubuhnya KGCC, berbagai-bagai program pembangunan boleh dijalankan dengan lebih terancang dan teratur.Bagi menggerakkan program pembangunan, satu kemudahan latihan sukan kriket telah dibina dan disiapkan pada awal Januari 2016 di padang Sekolah Agama Hj. Mohd Yatim (SAHMY), Ulu Gadong. Dua lorong gelanggang latihan untuk pemain senior dan empat lorong gelanggang latihan untuk anak-anak bawah 12 tahun yang dibina akan merancakkan lagi Program Pembangunan SukanKriket di Kampung Gadong.
Anak-anak muda Kampung Gadong mula menunjukkan minat terhadap sukan kriket dan ramai menyertai latihan pada waktu petang di padang SAHMY di bawah pengawasan jurulatih Kampung Gadong Saudara Khairuddin dan Nazaruddin dan Abdul Malik Shariff. Daripada minat yang ditunjukkan oleh anak-anak muda ini, satu hari nanti bermain kriket akan menjadi satu budaya dalam kalangan komuniti di Kampung Gadong. Satu pasukan kriket SAHMY akan juga ditubuhkan di bawah Program Pembangunan Sukan Kriket Kampung Gadong. Kampung Gadong sebagai Pusat Sukan Kriket akan juga melebarkan pembangunan sukan ini ke kampung-kampung dan daerah kecil di sekitarnya. Dengan dana yang cukup dan program pembangunan yang terancang, KGCC akan memperkenalkan sukan kriket keseluruh daerah Rembau.
Insya-Allah bermain kriket akan menjadi satu budaya masyarakat Rembau dan dapat mencungkil bakat-bakat baharu yang akan menonjol di peringkat kebangsaandan antarabangsa. Permainan yang terdahulu cuma menjadi milik orang-orang bandar dan yang kaya-raya telah mula menampakkan perpindahan kepada orang-orang kampung sejak pengenalan.

MAJULAH SUKAN KRIKET UNTUK KG.GADONG.
REMBAU GO CRICKET




No comments:

Post a Comment