Friday 26 February 2016

MENGENALI DATO' LEMBAGA DI MUKIM GADONG DAN REMBAU UMUMNYA

Induk Limah, balu Allahyarham Dato' Samsura Pahlawan Aji  dari suku Mungkal

CERAIAN 4, LEMBAGA

Maka adalah “lembaga” itu ialah tuan penghulu bagi sesuatu suku. Kedudukan mereka dalam perlembagaan tadbir adat Rembau diibaratkan dengan kata perbilangan:
“yang bertumbuh di lereng itu,
“sebagai beluluk tumbuh di rusuk,” (perbilangan III, penambahan i) berbanding dengan undang ibarat,
“yang bertumbuh di bukit itu,
“erti nyiur tumbuh di mata.” (perbilangan III, penambahan i) iaitu tarafnya di atas “buapak” yang dikiaskan dengan kata:
“yang bertumbuh delapan itu,
“erti berangan tumbuh di buntut.” (perbilangan III, penambahan i) maka dialah pemerintah yang terutama di dalam suku dengan sama rata dan penuh pentadbirannya, kecuali dua perkara mengikut kata;
“lembaga bersekat,
“undang berkelantasan.” (perbilangan IX, penambahan i)
Iaitu kuasanya tiada melampaui sempadan “darat” dan “baruh”, misalnya, anak-anak suku Paya Kumbuh yang datang kemudian meneroka di darat,di Sungai Layang dengan lembaganya Dato’ Seri Maharaja, tiadalah kena-mengena dengan suku Paya Kumbuh di baruh yang dahulu datang dan diam di Legung serta di Gadung di bawah perintah Dato’ Marabangsa itu. “Lembaga-lembaga” di darat, adat alat jamunya haruslah tidak mengikut lembaga di baruh; tetapi pada bahagian yang kena-mengena dengan adat di dalam pentadbiran suku keadaan kedudukan mereka adalah luas dan berbimbing tangan satu dengan lainnya.
Pada setengah perkaraada juga didapati suku atau pecahan-pecahan daripada sesuatu suku yang bergerak di bawah seorang yang sebagai lembaga, kuasanya dan nasibnya tergantung kepada undang. Maka pada sebutannya suku yang seumpama ini ahli-ahlinya adalah beruntung mendapat pentadbiran terus sebagai suatu hukuman kepada lembaga mereka. Tetapi kejadian demikian nyatalah sebagai suatu hukuman yang dijatuhkan kepada ahli-ahli suku itu dengan lembaganya pun sama. Perpindahan hak kuasa memerintah itu tidak diapa tiadalah sebabnya oleh pengaduan yang cukup alasannya daripada anak-anak suku itu sendiri dalam hal perselisihan mereka dengan lembaga dan yang demikian mereka berpisah daripada tanggungan suatu lembaga lalu berpindah kepada naungan undang, bukanlah kejadian ini dengan kehendak undang. Maka di tempat-tempat lain pun pernah juga berlaku kejadian ini. Tidak beberapa tahun dahulu, dalam negeri Pahang misalnya, seseorang yang berselisih dengan penghulunya, biasanya keluarlah ia dari daerahnya tinggal lalu menghilir. Apabila sampai ke Pekan, dipinjamnya wang seringgit daripada bendahara, kemudian ia pun menjadi hamba raja dengan tiada siapa-siapa pun berani mengganggu halnya lagi. Sungguhpun mengikut adat Rembau kejadian-kejadian yang berlaku bukanlah tanggungjawab seseorang, melainkan adalah bagi suku-suku,tetapi pada bahagian ini didapati lebih kurang sama juga seperti yang berlaku di Pahang yang disebutkan itu, iaitu kuasa penghulu luak kelak bertambah akibat daripada kejadian di dalam lingkungan lembaga. Maka pada mula-mulanya suku yang tergantung itu diadakan sebagai langkah sementara sahaja supaya menjauhkan pergaduhan yang berpanjangan di antara seorang lembaga dengan anak-anak sukunya, tetapi akhirnya perpaduannya itu pun kekal sebagai suku yang di bawah undang buat selama-lamanya.
Maka boleh kita mengambil alasan lagi, misalnya suku Anak Acheh, dari semenjak zaman dahulu hanya perut sahaja yang layak menerima pusaka gelaran Dato’ Lela Wangsa, iaitu lembaga suku Anak Acheh semuanya itu. Tetapi oleh sebab waris suku Acheh di Bongek dan Bintongan telah bertambah ramai pada tahun 1877 Masihi. Mereka pun berjaya memujuk Dato’ Lela Wangsa Malimsupaya gelaran pusaka ini diluaskan kepada mereka. Tuntutan ini telah dikabulkan: tetapi manakala tiba hari istiadat berjamu mengesahkan, pihak di Bongek dan di Bintongan sudah pun menyembelih kerbau,memasak nasi kunyit dan mengacau penganan serta mempersilakan Undang Haji Sahil dengan segala kebesaran mengikut adat maka didapati Dato’ Lela Wangsa Malim dengan ahli-ahli suku yang sebagai wakil waris telah enggan hadir, entah macam mana didapati berubah sahaja fikiran mereka pada hari itu. Maka ahli suku dua buah kampung itupun marah akan perbuatan orang-orang Pulau itu; lalu mereka menarik diri, tidak hendak berlembagakan Malim lagi, melainkan berteduh di bawah naungan undang.
Maka pertikaian ini berekorlah kepada kejadian pada tahun 1896 Masihi. Iaitu setelah delapan tahun lamanyaperselisihan di antara undang (Dato’ Sarwan) dengan lembaga suku ini berkenaan dengan perkara kecil di dalam adat maka sampailah kepada suatu kejadian “memecah ikatan” ini. Dato’ Undang telah menahan pertukaran hak memiliki tanah dan juga telah membuat keputusan bagi perdamaian di antara dua pihak yang berselisih itu. Tetapi entah macam mana maka yang terdenda ialah pihak yang sukakan perdamaian (Bongek dan Bintongan), oleh yang demikian maka Anak Acheh tergantung kepada undang itu pun menghantar rayuan kepada Tuan ResidenBritish memohonkan masuk semula di bawah perintah Lela Wangsa, lembaga mereka yang dahulu, atau jika permintaan ini tidak diluluskan, maka redalah mereka mengikut lembaga pada mana-mana suku juga dan tidak hendak “bergantung” kepada undang lagi. Akhirnya mereka pun masuklah semula ke dalam lingkungan lembaga asalnya.
Maka perbuatan “tua” suku tergantung seperti ini adalah merugikan dia juga kerana hilang makanan yang didapatinya daripada anak-anak sukunya sebab anak-anak sukunya itu terlepas daripada tanggungannya. Dalam pada itu bagi pihak tua itu pernah tidak menyesal atas perbuatannya itu, baik bagi suku Anak Acheh dalam kejadiannya seperti yang disebutkan, mahupun suku Seri Lemak yang satu pecahan daripadanya keluar bergantung kepada undang kerana tidak mahu menghulur balas atas kesalahan membunuh seorang anak suku Seri Melenggang yang bernaung di dalam lingkungan Dato’ SendaMaharaja, lembaga suku Seri Lemak dahulu itu.
Sebagaimana telah disebutkan bahawa undanglah yang beruntung jika terjadi sebarang perpindahan, maka apabila sekali telah disahkan bergantung kepadanya, tidaklah boleh lagi hendak keluar daripada naungannya itu melainkan dengan persetujuan juga dan setelah menyempurnakan bayaran denda adat sebanyak satu bahara ($14.00).
Adapun Dato’-dato’ Lembaga itu, bagaimana diterangkan dalam tambahan III, terbahagi kepada dua bahagian, iaitu;
1.      Lembaga “yang berlapan”.
2.      Lembaga “yang dua belas”.
Maka ikatan lembaga “yang berlapan” itu ialah juga yang dinamakan “tiang balai” atau “tulang urat”.Akan halnya adalah sebagai sebuah jemaah kerapatan (mesyuarat) bersendiri yang di dalamnya undang tiada berkuasa mengambil apa-apa langkah. Undang tidaklah boleh membicarakan sesuatu kejadian yang menentang adat melainkan di hadapan mereka semua yang duduk sebagai pengapit di dalam persidangan di balai. Demikian juga surat-surat persetiaan bagi faedah atau untung rugi luak undang tidaklahberkuasa menandatanganinya jika tidak termasuk “lembaga yang berlapan” menurunkan tandatangan masing-masing.

Adalah ikatan ini tertubuh pada tahun 1831 Masihi, iaitu apabila masuk perikatan “berempat di sebelah darat”. Sebelum itu lembaga darat dengan lembaga baruh menjalankan tanggungan yang berasing-asingan. Maka ikatan “di baruh” terdiri daripada dua perikatan yang dinamakan “berempat dan berlima suku[1] iaitu pergabungan orang mendatang yang mula-mula denganwaris tujuh buah kampung daripada delapan yang terutama dan yang mewarisi pusaka undang itu. Maka ikatan “di darat” kerajaan pada zaman dahulu ialah terkhas bagi perkara-perkara yang berhubung dengan hal-hal suku dan siasah luar bagi luak yang dibuat oleh undang dan jemaah lembaga “berempat”di baruh sahaja. Keterangan-keterangan berkenaan dengan pemerintahan berperlembagaan mengikut cara tua ini adalah tersebut dalam persetiaan yang dibuat oleh Rembau dengan Belanda bertarikh tahun 1760 Masihi dan 1819 Masihi dan juga dalam persetiaan yang dibuat dengan British pada tahun 1831 Masihi.
Maka adalah beberapa tanda yang menunjukkan keadaan “berempat di baruh” itu lebih tarafnya daripada “berempat di darat”, diantaranya berkenaan dengan bayaran adat nikah kahwin yang tinggi pada sesetengah suku[2] dan bahagian yang diambil oleh lembaga “berempat di darat” pada masa melantik undang[3]. Demikian juga dalam istiadat memakamkan salah seorang di antara “berempat di baruh”[4] itu adalah lebih belaka keadaannya daripada di darat.
Maka “lembaga berempat” dan juga yang kemudiannya bernama “berlapan” di darat itu tiadalah berhak mencampuri perkara ikatan lembaga jenis kedua yang dinamakan lembaga “dua belas”.
Adapun masa sekarang lembaga “yang dua belas” hanya tinggal namanya sahaja. Yang sebenarnya hanya sembilan orang sahaja lembaga di dalam ikatan itu yang mentadbirkan dua belas suku. Jadinya, sebutan “dua belas” itu ditujukan kepada suku layaknya. Maka sebutan ini tiadalah kena pasangan pada beberapa perkara. Kumpulan yang “dua belas” itu yang diketahui ialah lain daripada “yang berlapan”. Suku-suku seperti Seri Lemak, Paya Kumbuh dan Tiga Nenek yang ada lembaganya masing-masing itu termasuk ke dalam kumpulan “berlapan”, tetapi adalah syakakan perbezaan di antara yang “berlapan” dengan yang “dua belas” itu kerana tiada terang pada sebutannya. Tiap-tiap lembaga dalam yang “berlapan” itu nampaknya sama juga keadaannya dengan tiap-tiap lembaga dalam yang “dua belas”sebagai salah seorang ahli dalam jemaah pentadbiran Rembau. Jadinya waswaslah jika hendak dikatakan bahawa sebutan itu terbiar mengikut bilangan lembaga-lembaga. Sebelum Rawa melanggar Rembau pada penghujung abadyang kedelapan belas, dalam kumpulan ini adalah termasuk sama Dato’ Mengkuta, lembaga suku Seri Melenggang Kendung dan Dato’ Dagang, lembaga suku Seri Melenggang Minangkabau. Tetapi kedua-dua lembaga ini telah membantu pihak musuh itu, lalu dihukumlah mereka keluar daripada ikatan yang “dua belas” itu. Maka ada lagi lembaga yang “dua belas” asalnya dan jatuh yang kedua belas dalam hitungannya, iaitu Dato’ Lela Raja, lembaga suku Tiga Batu sebelah baruh. Oleh sebab orang-orang Tiga Batu ini diamnya di Legong, sebagai membalas budi mereka dengan lembaganya pun masuklah ke bawah naungan Dato' Bangsa Balang meskipun mereka memang diakui sebagai yang “dua belas” juga. Jadinya terkeluarnya daripada kumpulan ini pun sebab daripada pergaduhanlah juga. Darihal ahli kelima-lima suku dalamkumpulan “baruh” itu, perkara yang berkait dengan kuasa di dalam suku masing-masing samalah seperti “yang berlapan”juga. Tetapi di dalamlingkungan bersekat, Dato’ Setia Maharaja dan Sutan Bendahara lebih utama dalam hal menghukum dan juga dalam perkara yang berkaitan dengan adat istiadat, samalah keadaannya dengan “yang berlapan” juga. Dato’ Maharaja Unda dan Dato’ Nganyang, jika hendak membuat barang suatunya adalah pula dikehendaki sepakat dengan Dato’ Mandulika. Maka pada adat, kuasanya tidaklah juga luas, melainkan berjalan di dalam suku pegangannya masing-masing sahaja.
Maka suku yang “dua belas” ini dikenal dengan sebutan “kapak sayap”. Daripada kumpulan mereka inilah undang memilih pengapitnya dalam masa hendak mengadakan sesuatu lawatan rasmi. Maka berhak juga mereka hadir di balai undang bersama lembaga yang “berlapan” tetapi jika tiada pun tidak mengapa dan tidak menggendalakan perjalanan kerapatan di balai itu. Mereka tiadalah bersuara dalam perkara memilih undang.
Apabila seseorang lembaga meninggal dunia maka adat adalah berkata bahawa gantinya hendaklah dipilih sebelum mayat sempurna dimakamkan dengan adat dan beristiadat. Ada beberapa perkara yang mustahak dibuat berhubung dengan istiadat memakamkan seseorang lembaga ini. Jikalau tidak “berdiri adat” pada masa itu maka suku itu adalah akan hilang pusaka lembaganya; kecuali pada mati terkejut atau meninggal kerana penyakit berjangkitan, tidaklah dikehendaki “mendirikan adat” ini[5].
Berkenaan dengan memilih bakal ini terpulanglah kepada buapak-buapak dengan sifatnya menjalankan kerja yang diperintahkan oleh “besar” dan dengan persetujuan semua waris (ahli-ahli suku). Maka kawasan memilih lembaga ini adalah terhad mengikut giliran perut dan hendaklah dengan persetujuan waris di dalam perut yang kena giliran itu. Sungguhpun demikian halnya, undang bolehlah menolak pilihan ini, maka dia diakui sah hanyalah setelah undang menerima penghadapannya
Alhasilnya pada lazimnya, pilihan lembaga ini adalah bergantung kepada undang juga; demikian juga memecatnya, undanglah sahaja yang berkuasa seperti kata perbilangan:
“lembaga itu, hidup matinya pada undang”.
Undang tidaklah boleh memecat dengan berleluasa. Dia akan membawa lembaga “yang berlapan” sama melihat dan menimbangkan kesalahan seseorang lembaga. Jika ada lembaga-lembaga yang menimbang rasa, maka mahulah ia menerangkan dengan secukupnya di mana salahnya perbuatan lembaga yang hendak dipecat itu mengikut adat dan dengannya mereka bersetuju “dipecat”.
Kesalahan-kesalahan mengikut adat terbahagi kepada dua bahagian” (1) salah pada suku, cuai menjalankan kewajipan; (2) salah pada undang, menceroboh adat yang di dalam lingkungan kuasa undang.
Maka yang pertama itu terkandung di dalamnya empat jenis, iaitu seperti kata perbilangan:
“melindungkan, mengendapkan;
“pecah, menghilangkan;
mencacankan;
“terkurung mati.” (perbilangan XXXVIII, penambahan ii)
Jenis yang kedua pula berkait dengan adat pantang larang undang seperti kata:
“derhaka, celaka;
“dahaga: dahagi:
“rembun; bakar:
“tikam: bunuh:
upas: racun:
“sombong, salah.” (perbilangan XXXII, penambahan i)
Dan juga lihat undang, bab II ceraian 5. Jadinya, kesalahan ini kesimpulannya ialah kesalahan pantang larang dan kesalahan melakukan sesuatu yang di luar kuasa lembaga itu boleh membuatnya maka dikiralah perbuatan itu menentang berterang-terang akan kuasa undang. Adapun perbuatan Dato’ Bangsa Balang Haji Abdul Karim pada tahun 1871 Masihi membantu Haji Mustafa melawan Haji Sahil kerana berebutkan undang itu adalah termasuk ke dalam kesalahan jenayah yang dikehendaki di sini. Pada tempoh Melayu dahulu kesalahan pantang larang seperti ini jika dibuat, maka bukan sahaja boleh menyebabkan hilang pusaka gelaran, tetapi ialah harta pusaka juga harus dirampas. Maka adalah lagi perbilangan berbunyi:
“Maka dibilang daripada adat lembaga dengan pusaka di dalam sukunya seekor kerbau: tampaknya, pertama nikah dan kahwin: kedua, alat (ulik) dan jamu (termasuk jamu hari raya): ketiga, jinjang, tindik: keempat, sunat rasul: kelima, jemput, hantar: keenam, pertolongan nasi berkaki dua berjalan siang: ketujuh, pertolongan kuih berkaki empat berjalan malam.” Maka hendaklah lembaga tersila dalam jamuan ini. Sungguhpun pada setengah perkara tiada istiadat yang hendak dibuatnya, tetapi mengikut adat, asalkan menyembelih kerbau maka hendaklah lembaga hadir dalam jamuan itu. Maka kehadirannya adalah dikata “lenggang bernama helang mengepak.” Kata perbilangan:
“Dibilang atoran,
“Jalan bernama semut beriring:
“Lenggang bernama helang mengepak:
“Duduk bernama bunga sekuntum:
“Bertinggi helang berbegar (berlegar-legar),
“Berjinjang tiung akan terbang,
Berkungkum gagak yang hinggap,
“Berbelok kucing main daun,
“Berendah kuau menyisir.” (perbilangan XXII, penambahan i)
Jika hadir, ia akan dapat daging ramek-ramek; demikian juga berhak menggunakan setengah daripada istiadat kebesaran, umpamanya, langit-langit terpasang, marual dan ular-ular seperti yang digunakan alat mengikut kebesaran undang[6] maka kehadirannya mahulah dihormatkan dengan alat-alat kebesaran ini.
Adapun kuasanya memerintah mengikut adat, seperti ibu bapa (buapak), adalah terikat dalam kata perbilangan “bersekat” itu juga. Maka hukuman-hukuman yang berat, seperti kesalahan-kesalahan jenayah adalah terkhas bagi kuasa di balai undang; lembaga boleh menyelesaikan perkara-perkara seperti kata-kata “membuta mata, mematah tulang memutus urat” dan luka yang di luar daripada kuasa buapak[7] dan lagi ia boleh menghukum sehingga dua puluh rupiah iaitu $7.20 dalam sesuatu kenduri kerana perdamaian. Denda ini dibayar sebagai ikhlas pihak yang melakukannya. Maka bagi kesalahan-kesalahan yang besar dia bertanggungjawab menyembahkan dan menghadapkan yang bersalah itu ke balai undang.
“Tali pengikat daripada lembaga,” kata adat. Maka segala perkara yang berkait dengan hutang-piutang yang disebut oleh adat “terang gelap” berlaku di dalam suku, tidak yang “gelap semata-mata”, bolehlah ia menyelesaikannya mengikut kata “sah batal kepada lembaga”. Maka sampailah kepada perkara yang kena-mengena dengan harta yang boleh dianjak-anjak seperti kambing dan kerbau, jika berlaku, boleh diperintahkannya rampas jika kejadian itu di dalam suku, serta kepunyaan anak sukunya. Baik mengikut kuatkuasa yang ada kepadanya atau dengan persetujuan buapak-buapak pun sama.
Jikalau didapati kejadian yang seperti ini berlaku dan sukunya yang bertanggungjawab, maka hendaklah ia meluluskan bayaran itu.
Berhubung dengan perkara tanah pusaka yang pada masa sekarang di dalam nama perempuan sahaja itu, tidaklah sah berpindah milik atau digadaikan melainkan dengan setahu lembaga. Maka peraturan bertukar milik bagi harta mengikut kata perbilangan:
“Jangka berelak,
“Lantak bertukul,
“Emas bertahil,” (perbilangan XXIII, penambahan i)
Adalah dihormatkan oleh lembaga dan dijalankan di antara kedua-dua pihak yang berkenaan. Merekalah yang mengukur tanah, memancang sempadan dan melihat wang berpindah tangan serta mendapat bahagiannya yang dinamakan “adat tukul lantak” dua puluh rupiah. Maka semenjak kerajaan menjalankan kerja-kerja mengukur dan mendaftarkan sendiri akan tanah-tanah sekarang, bahagian lembaga ini telah didapati hilang begitu sahaja dan hanya menjadi perkara yang pernah disungutkan mereka sahaja lagi padahnya.




[1].              Lihat bab I muka 9 dan bab II ceraian I.
[2].              Lihat penambahan IV, IX.
[3].              Bab II bahagian 6, ceraian undang.
[4].              Masa jenazah diusung lembaga di darat tiadalah bertabur emas di jalan sampai ke perkuburan dan juga tiada
                kain putih dibentangkan pada jalan jenazah itu lalu seperti yang dibuat kepada “berempat di baruh”.
[5][5].            Lihat hal Dato’ Raja Senara, lembaga suku Tanah Datar Baruh. Adat istiadat yang dibuat apabila seseorang
                lembaga meninggal dunia, lihat tambahan I.
[6].              Lihat perbilangan XII tambahan I.
[7].              Lihat bab II, ceraian 2.

1 comment:

  1. Assalamualaikum Tuan,

    Nie arwah uwan saya

    ReplyDelete