Porak rumah keluarga Nasir Mohd Noh di Kg. Tanah Datar, Gadong |
Budak
Kampung Bila di Kota
Saya memanggilnya Abuk. Nama ini nama timangannya waktu
zaman anak-anak dahulu. Kenapa dia dinamakan Abuk tidak ada siapa daripada
kalangan kawan-kawannya yang tahu. Barangkali nama Abuk itu ada kaitannya
dengan badannya yang gempal dan pejal berbanding adik-beradiknya yang lain. Pun
dia memang lebih gempal berbanding kawan-kawan yang sebaya dengannya.
Pernah juga kawan-kawan menyakatnya dengan nyanyian
anak-anak yang liriknya dicipta mereka sendiri. Setiap kali menyanyi mereka
akan melagukan, “Bok-bok bing bing, kerbau dak Abok banyak daging”. Mulanya Abuk marah dengan sendaan kawan-kawannya itu tetapi
lama-kelamaan dia tidak ambil kisah lagi. Telinganya juga telah lali mendengar
lirik sendaan itu. Malah, sesekali dia turut menyanyikan lirik itu. Pernah dia
kata bahawa dia juga berbadan gempal kerana dia cukup makan minum, tidak
seperti sesetengah kawan-kawan yang kurus kering macam cicak kubin.
Demikianlah dua hari lalu saya melihatnya semasa dia
mengunjungi saya di pejabat. Cerita-cerita lama berarak lalu dalam kepala
semasa kami berbual-bual santai. Rupa-rupanya dia punya sebab untuk
“memunculkan diri” menemui saya pagi itu. Saya bergurau mimpi apa dia datang
menemui saya dari jauh-jauh pekan Ampang ke Batu Tiga Shah Alam. Dia jawab yang
dia hendak membuat penyelidikan.
“Kata nak pencen awal. Menyelidik?”
“Kerana nak pencenlah saya hendak buat penyelidikan,”
jawabnya.
“Orang kalau nak pencen, modnya nak rileks saja. Ini tidak.”
“Untuk masa depan. Itu pun kalau termampu,” katanya lagi.
Abuk rupa-rupanya sedang menyiapkan satu kertas projek
kursus sebelum bersara yang dia ikuti sekarang. Kursus yang diadakan di sebuah
perbadanan kerajaan itu akan berakhir bulan ini. Dia ditugaskan membuat satu
kertas projek niaga yang boleh membantunya memulakan perniagaannya sendiri
setelah bersara kelak.
“Masih di tempat kerja lama?”
“Begitulah. Kita kakitangan kerajaan. Mana lagi. Asyik
berpusing-pusing dalam cawan sahajalah.”
“Bila nak pencen?”
“Akhir tahun. Satu Januari depan saya masuk Kelab Elit Warga
Tua.”
Tanpa ditanya Abuk bercerita. Walaupun dia masih punya dua
tahun lagi untuk bersara, tetapi dia telah membuat keputusan untuk “menutup
buku kerjanya” lebih awal. Jawatan yang disandangnya sekarang ialah Penolong
Pengarah di sebuah jabatan kerajaan. Jawatan ini ialah puncak kerjayanya
setelah bertugas selama 34 tahun dengan kerajaan. Dia menaikkan tangga
kerjayanya dari bawah, bermula sebagai seorang kerani rendah. Kelayakannya cuma
darjah 9 sekolah Inggeris masa dulu-dulu. Dan dengan berbekalkan kelayakan
itulah dia meninggalkan kampungnya menuju Kuala Lumpur.
Dia bertugas di pelbagai jabatan dan kementerian. Berkat
ketekunannya, dia menapak naik daripada kerani biasa kepada kerani besar.
Kemudian dia bertugas pula sebagai pegawai kerja sebelum dia naik pangkat
menjadi penolong pengarah. Tugas pengkhususannya ialah bahagian kewangan. Dia
bertanggungjawab membantu menyiapkan gaji staf jabatan. Tugasnya sekarang pula
berkait rapat dengan perancangan pembangunan. Pengalaman bekerjanya sungguh
luas. Dia telah masak dengan sepak terajang, kerenah pentadbiran kerajaan dan
sikap kepegawaian sesetengah kakitangannya.
Abuk mempunyai keluarga yang bahagia. Selama berkongsi hidup
dengan isterinya, seorang wanita dari Perak, dia dikurniakan enam orang anak –
tiga lelaki, tiga perempuan. Pada mulanya dia bercadang untuk mempunyai empat
orang anak sahaja – dua pasangan – tetapi seperti yang dikatakannya “Tuhan
tidak merestui apabila anak kedua, ketiga dan keempat semuanya lelaki.” Tuhan
barangkali memakbulkan doanya apabila anak kelimanya perempuan. Begitu juga
dengan anak keenamnya. Akhirnya dia mempunyai tiga pasang, lebih sepasang
daripada rancangannya. Dia mengakui kehidupannya begitu mencabar apabila dia
dan isterinya terpaksa menanggung enam orang anak. Dengan pendapatan yang tidak
seberapa dan isteri pula tidak bekerja, dia terpaksa mengempiskan perut dan
berlinang air mata untuk membesarkan anak-anak.
“Maklum, gaji kerani waktu itu berapa sen sangatlah.
Harapkan adik-beradik, mereka juga dua kali lima hidupnya di Kuala Lumpur ini.”
Nasib abang dan kakaknya tidak pula lebih baik daripadanya. Mereka juga punya
keluarga besar dan bergaji kecil.
Abuk mula berwajah serius mengulangi cerita lamanya. Kedutan
mukanya mengingatkan saya zaman persekolahannya. Pagi-pagi lagi dia telah
mengayuh basikal Raleigh menuju pekan Kota yang jauhnya tiga kilometer dari
rumahnya. Di pekan itu dia menunggu bas Southern berwarna merah untuk membawanya dan
murid-murid sekolah lain ke pekan Rabu, 12 kilometer ke utara. Abuk belajar di
Undang Rembau English School. Walaupun hujan dia tetap menunggang basikalnya.
Pada masa itu sebelah tangannya akan memegang hendal basikal dan sebelah lagi
memegang daun pisang untuk menutup dirinya daripada hujan. Biasanya sampai
sahaja di pekan Kota dia akan basah kuyup dan sesampai di sekolah pula
pakaiannya hampir kering kecuali seluarnya.
Setiap petang pada hari-hari sekolah dia dan kawan-kawan
sebaya akan menghadiri kelas agama di madrasah Hulu Gadung yang sekarang
dinamakan Sekolah Agama Berasrama Anak Yatim Hulu Gadung. Abuk akan berjalan
satu kilometer dari rumahnya melalui sawah. Dia memakai kain pelekat yang
digulung besar di bahagian perut dan baju Melayu, serta bersongkok kulup. Dia
belajar asas-asas agama Islam seperti fardu ain, fikah dan tulisan khat.
Sebelum kelas bermula dia dan murid-murid akan beratur di pekarangan madrasah
sambil menyanyi lagu-lagu Arab.
Abuk bersyukur kerana didikan asas agamanya membolehkannya
mendidik anak-anaknya dengan lebih baik di rumah. Secara peribadi dia berjaya
membatasi dirinya di samping menyekat keinginannya untuk hidup seperti lazim
anak-anak muda di kota besar. Barangkali latar belakang hidup orang tuanya juga
turut memperkuat azamnya untuk tidak terjerumus “ke alam muda-mudi dan
nafsu-nafsi kota besar”. Ayah seorang bilal di kampung sebelum dia meninggal
dunia semasa Abuk berusia 30-an.
Kampung Baru, Kuala Lumpur menjadi tempat dia bermukim. Dia
cuma pindah dari satu jalan ke satu jalan yang lain, tetapi tetap di kawasan
Kampung Baru. Akhirnya dia berpeluang memiliki sebidang tanah lot di Ampang
yang dulunya bekas lombong. “Rezeki anak-anak,” katanya. “Tidak banyak duit
saya keluar semasa mendapat tanah itu.” Dia tidak menjelaskan lebih lanjut.
Hari ini, walaupun dengan pendapatannya telah sampai ke
peringkat maksimum lebih kurang dua ribu tetapi dia hidup bahagia dengan isteri
dan anak-anak. Seorang daripada anaknya telah pun bekerja, yang tentunya dapat
membantu meringankan beban hariannya.
Di atas tanah lotnya itulah dia mendirikan sebuah rumah
setingkat yang dibiayai melalui pinjaman perumahan kerajaan. Melihat rumahnya
itu tidak ada siapa yang akan menduga bahawa pemiliknya adalah seorang yang
hampir seluruh hidupnya bekerja dengan kerajaan sebagai pegawai rendah.
Menurutnya, semuanya ini adalah hasil kerjasama dan tabah hati isterinya. Dia
berjaya mengatasi semua cabaran, terutama cabaran kewangan. Abuk lebih rela
tidak punya kenderaan asalkan keluarganya punya tempat berteduh yang selesa.
Sejak dia membina rumahnya itu, Abuk ke pejabat menaiki kenderaan awam. Katanya
mula-mula rasa janggal juga tetapi akhirnya “menjadi seronok pula”.
Dengan berterus terang dia meminta saya membantunya dalam
tugas penyelidikannya. Dia begitu mengambil berat akan kursus yang sedang dia
jalani waktu ini kerana mengikutnya dia “tidak mahu terperangkap dalam alam
pencen” tanpa berbuat apa-apa. Anak-anaknya masih bersekolah kecuali yang
sulung. Dia masih memerlukan wang secukupnya untuk memastikan pelajaran
anak-anaknya tidak terbantut. Kadang-kadang, katanya timbul juga rasa kesal
kerana dia berkahwin agak lewat. “Nak pencen tapi anak masih banyak yang
sekolah,” katanya. Dengan setengah daripada pencennya nanti habis untuk
membayar hutang rumah, dia tidak akan mampu lagi berbelanja seperti sekarang.
Penyelidikan Abuk berkisar kepada perniagaan buku dan
alat-alat pejabat. Minatnya untuk berdagang buku ini timbul apabila dia melihat
anak-anaknya suka membaca. Ada kalanya dia berasa sedih kerana tidak dapat
membantu baik untuk membolehkan anak-anaknya membeli buku bacaan. Dia juga
ingin membaca tetapi tidak mampu membeli buku. Maka atas desakan inilah
minatnya sedikit demi sedikit timbul untuk memulakan perniagaan dalam bidang
ini. Inti penyelidikannya ialah menganalisis sejauh mana prospek perniagaan ini
dari segi jangka panjangnya. Dia diminta menganalisis pasaran buku dan untung
ruginya. Dia ingin mendapatkan nasihat dan kalau perlu latihan amali daripada
penerbit. Namun, katanya telah dua tiga penerbit dia hubungi tetapi tidak satu
pun sanggup memberikan kemudahan.
“Dewan Bahasa dan Pustaka?”
“Tak dapat. Barangkali dia orang begitu sibuk atau dia orang
tidak ada program latihan seumpama itu,” katanya.
Menurut Abuk, dia menandatangani berbagai-bagai pegawai
Dewan Bahasa dan Pustaka, dia menemui siapa sahaja pegawai yang dia disuruh
temui tetapi akhirnya dia berlegar-legar dalam bangunan dewan bahasa. “Berjumpa
dengan seorang pegawai kepada pegawai yang lain tetapi akhirnya ditolak.”
“Kita sama-sama main guli dulu, main kotak rokok tembak,
main gasing dan main getah takkan sekarang awak tak boleh bantu saya,” katanya.
Dia seperti mengusik simpati melalui kisah anak-anak ini.
“Modal daripada mana nanti?”
“Belum tahu.”
“Pinjam MARA bagaimana?”
“Itu saya kena tanya diri saya dulu siapa saya,” jawabnya.
“Bagaimana dengan grituiti persaraan?”
“Tak berapa sen. Gaji pegawai cabuk seperti saya ini
berapalah yang akan saya terima.”
Selepas berbincang untuk memenuhi kehendak penyelidikan,
kami beredar ke sebuah kedai makan di taman Batu Tiga. Kemudian Abuk meminta
dihantar ke stesen KTM Komuter Batu Tiga untuk membolehkannya naik komuter
pulang ke Kuala Lumpur. Rambutnya yang sudah mula memutih merupakan simbol
kedewasaannya menjalani liku-liku hidup kota. Bagi saya, Abuk adalah juga
simbol kejiwaan seorang anak kampung yang berhijrah ke bandar dengan hanya berbekalkan
kelayakan darjah 9 sekolah Inggeris. Baginya mungkin sumber rezekinya telah
ditakdirkan ada di bandar, bukan di kampung di mana pada hari ini rumah orang
tuanya hampir sahaja tersembam ke bumi.
No comments:
Post a Comment