Sunday, 21 February 2016

PERANG GADONG DENGAN CHENGKAU MACAM MANA JADI PERANG?



Dah siap tapi belum boleh gunakan. agaknya lah..

PERANG GADUNG DENGAN CENGKAU
Kampung Cengkau yang diteroka oleh Tiaman anak kepada To’ Lijah adalah berhubungan rapat dengan Kampung Gadung yang diteroka oleh Khasiah. Kedua-dua perut ini berhak untuk mendapatkan jawatan Undang Rembau. Waktu Dato’ Akhir, Undang Rembau ke-14 mangkat, suatu kekecohan telah berlaku bagi menentukan bakal penggantinya.
Carak yang berhak untuk menjawat jawatan tersebut, jatuh kepada carak Lela Maharaja. Menurut aturannya perut yang berhak ialah dari Kampung Gadung, kerana itu calon yang dikemukakan dari Kampung Gadung ialah Dato’ Mustafa. Beliau bukanlah seorang yang popular pada masa itu. Sesuai dengan sifat pendiam dan tenangnya, Dato’ Mustafa menerima pencalonan tersebut.
Memandangkan calon yang agak lemah itu, seorang daripada suku waris Biduanda Jakun dari Kampung Cengkau, Haji Sahil dengan sokongan orang-orang Kampung Cengkau tampil mencabar kedudukan Dato’ Mustafa. Pada mulanya cabaran itu tidak diendahkan oleh Dato’ Mustafa dan dia minta dibuatkan penyelesaiannya. Tetapi dalam beberapa perundingan, tidak ada satu penyelesaian yang diperoleh, terutamanya pihak Haji Sahil yang sememangnya berkehendakkan kuasa tersebut. Oleh sebab tidak ada jalan penyelesaiannya, maka masing-masing pihak telah menghadapi keadaan itu bertambah tegang. Masing-masing sentiasa dalam keadaan berwaspada.
Akhirnya berlakulah suatu pertempuran dalam mana angkatan dari Kampung Cengkau yang diketuai oleh Haji Sahil menyerang Kampung Gadung. Dalam pertempuran itu ramailah penduduk daripada kedua-dua belah pihak yang mati. Oleh sebab pihak Haji Sahil yang lebih lengkap dengan peralatan telah berjaya mengalahkan pasukan Dato’ Mustafa yang bertahan. Dengan kemenangan ini, maka naiklah Haji Sahil menjadi Undang Rembau ke-15 tanpa menurut lunas-lunas yang tertentu.
Berikutan dengan itu, Dato’ Haji Sahil telah melantik Dato’-dato’ Lembaganya di Kampung Cengkau dan memecat kesemua Dato’ Lembaga di Kampung Gadung. Kadang-kadang pemecatan itu bukanlah kerana kesalahan besar, tetapi yang lebihnya adalah disebabkan oleh dendam semata-mata. Umpamanya seorang Dato’ dari Kampung Mungkal telah dipecat, bukanlah kerana ada kesalahan apa-apa yang tidak boleh dimaafkan, tetapi hanyalah kerana kesalahan tidak mendirikan adat dalam satu majlis kenduri bercukur budak. Atas beberapa tindakan sewenang-wenang daripada Dato’ Haji Sahil itu, maka terpaksalah pihak Kampung Gadung tunduk dibawah kekuasaan pentadbiran Dato’ Haji Sahil.
Dalam peperangan antara Kampung Gadung dengan Kampung Cengkau[39] ini telah muncul dua orang pahlawan. Seorang dari Kampung Mungkal, bernama Pendekar Sijau dan seorang lagi bernama Pendekar Liko dari Kampung Cengkau. Mereka berdualah merupakan jaguh handalan, tetapi dalam pertarungan itu, Pendekar Sijau telah tertewas di tangan Pendekar Liko. Pendekar Liko dikatakan mempunyai beberapa keistimewaan dan ilmu hikmatnya. Beliau dikatakan ‘berkaki dua (pasang) dan bertangan dua (pasang)’. Keadaan itu bukanlah wujud pada objektifnya, tetapi adalah kerana kecekapannya, serta kepantasannya mengorak langkah, bagaikan tiada berjejak di bumi. Senjata yang digunakan oleh Pendekar Liko ialah ‘tumbuk lada’ dan dalam suatu ketika beliau boleh menggunakan lapan bilah tumbuk lada dengan diselitkan di celah-celah jarinya sahaja.


BALAI POLIS KOTA
Sebelum nama Balai Polis muncul, perkataan ‘Rumah Pasung’ telah digunakan bagi Balai Polis sekarang ini. Rumah Pasung memang dikenali oleh orang-orang kampung sebagai tempat yang sangat-sangat ditakuti. Buat pertama kalinya Rumah Pasung di kawasan Kota[74] telah didirikan di Kendung. Tetapi oleh sebab beberapa hal yang timbul, maka Rumah Pasung itu telah dipindahkan pula ke Kampung Cenong, Cengkau pada tahun 1891. Kemudiannya Rumah Pasung itu dipindahkan lagi ke Kampung Sungai Layang (Salak Nama), iaitu dalam Mukim Seri Lemak. Salak Nama kira-kira 6 batu dari Kota dan 2 batu ke pekan Rembau.
                  Pada 19 Julai 1901, satu perubahan telah berlaku, iaitu Stesen Cenong telah ditutup dan stesen yang baru dibuat di Salak Nama ditunggu sebagai gantinya.[75] Masa sebelum itu Cenong adalah sebuah pekan kecil, keadaannya baik dan didapati sebanyak 24 buah rumah kedai, kebanyakannya disewa. Pada waktu itu perniagaan agak merosot dan terkandas kerana sudah banyak kedai didirikan di dalam kampung.[76] Sebuah kedai yang disewakan itu cuma berharga antara $1.00 hingga $2.00 sebulan, iaitu di dalam kampung, sedangkan di Cenong adalah di antara $6.00 hingga $10.00 sebulan. Dalam keadaan ini, kedai-kedai di kampung adalah lebih murah menjual barang-barangnya.
                  Beberapa kejadian rompakan telah berlaku kemudiannya di pekan Kota. Yang paling buruk ialah rompakan di dua buah kedai barang-barang orang Tionghua. Sebahagian besar daripada barang-barangnya telah dirampas[77], berikutan dengan itu satu pembunuhan telah berlaku, tetapi tidak dapat dikesan siapakah pembunuhnya dan setakat ini siapakah yang kena bunuh itu tidak diketahui. Akibat daripada berlakunya beberapa kejadian jenayah tersebut, maka pada tahun 1925, dipindahkanlah Rumah Pasung di Salak Nama itu ke pekan Kota, iaitu di kawasan yang ada sekarang ini.
                  Pada mulanya Balai Polis Kota itu hanya dianggotai oleh dua orang mata-mata (polis) sahaja. Bangunan yang mula-mula didirikan itu ialah berupa bangunan separuh kekal, bertiang dan lantai batu, berdinding papan dan beratap genting. Ketika Balai Polis Kota ini dibuka, semua pegawai kanan pasukan polis terdiri daripada bangsa ‘penjajah’ dan dengan itu mereka tidak menghiraukan langsung akan keadaan bangunan yang tidak sesuai itu. Begitu juga dengan rumah-rumah kelaminnya, sungguhpun diperbuat daripada batu, tetapi hanya mempunyai sebuah bilik sahaja. Rumah-rumah seperti itu bukan sahaja tidak sesuai dari segi kemanusiaan bahkan tidak selesa diduduki dari segi kesihatan.[78]
                  Kawasan kota ini pada masa darurat bolehlah dikatakan satu ‘kawasan hitam’ yang berbahaya, banyak sekali pertempuran telah berlaku, iaitu di antara pasukan polis dengan pengganas komunis. Pada tahun 1949 telah berlaku satu pertempuran hebat antara pasukan polis dengan pengganas komunis, iaitu sesudah Stesen Kereta Api Kendung dibakar oleh pengganas komunis. Tetapi hari ini Balai Polis Kota yang lama itu telah digantikan dengan sebuah bangunan yang baharu dan moden yang pembinaannya telah dimulakan pada bulan April 1972 dan siap pada bulan Januari 1973 dengan perbelanjaan $113,000 dan ia telah memainkan peranan penting bagi menjaga keamanan di kawasan Kota. Sekarang ada lapan orang polis bertugas di sini, termasuk seorang sarjan dan seorang koperal.

EKONOMI
Sebagai sebuah tempat yang terawal wujudnya bagi daerah Rembau ini, maka Mukim Gadung ini telah mengalami beraneka jenis atau corak ekonomi, sama ada secara kecil-kecilan atau secara agak besar. Pada zaman tradisional, bentuk ekonominya ialah secara tradisional juga. Bahan-bahan semula jadi menjadi sumber utama disamping sedikit-sedikit kerja lain yang menjadi tambahan dalam mata pencarian mereka. Tegasnya ekonomi mereka itu ialah ‘secukup hidup’, tetapi kerana azam, maka bertambah luaslah kawasan untuk kepentingan ekonominya. Akhirnya wujudlah berbagai-bagai sumber ekonomi yang agak lebih menguntungkan. Kerana itu muncullah golongan orang kaya dan senang penghidupannya dan biasa pula menjadi tempat orang ramai mengadukan hal-hal kesempitan hidup.
                  Kerana perkembangan ekonomi yang semakin baik, maka Mukim Gadung terkenal dengan kemajuannya yang pesat sekali hinggalah suku pertama abad ke-20 ini. Ramailah penduduk dari luar datang membuat beberapa kegiatan di mukim ini. Hingga suatu masa mukim ini menjadi tumpuan ahli-ahli pertukangan atau disebut juga ‘pandai’ dalam bahagian masing-masing. Sudah ada tukang emas dan perak, tukang tembaga, tukang kayu (banyak jumlahnya) dan ramai pula orang luar yang datang semata-mata untuk mencari pekerjaan, iaitu dengan memperhambakan diri bagi bekerja di sawah ladang atau dirumah orang kaya-kaya.
                  Jadinya, atas usaha dan kegiatan yang banyak inilah telah menjadikan mukim ini dewasa itu begitu popular dengan panggilan ‘Rembau’. Kerana kekukuhan ekonominya, maka Mukim Gadung merupakan sebuah kawasan yang kukuh pula kekuasaannya. Dalam banyak hal telah mendapat sokongan dan sanjungan daripada beberapa buah kampung lain disekitarnya. Dan kemudiannya pula mereka mengakui ‘hak kuasa’ ketua disamping meminta perlindungan dari Mukim Gadung ini.
                  Namun, pada tahun 1930-an merupakan zaman meleset di Mukim Gadung ini, iaitu berikutan dengan peristiwa zaman meleset (Great Depression) dunia. Oleh sebab aktiviti-aktiviti ekonomi British di negara ini sebahagian besarnya diasas dan diorientasikan kepada perluasan eksport dan import yang telah dapat memenuhi kepentingan kaum kapitalis, terutamanya British sendiri, kerana kegiatan bumiputera dalam lapangan pertanian yang lain telah diabaikan, maka menjadikan keadaan ‘meleset’ itu dialami juga oleh penduduk di Mukim Gadung, malah di mana-mana sahaja.
                  Harga getah begitu jatuh, hendak mendapatkan $1.00 sehari pun agak sukar. Pada tahun-tahun 1929 hingga 1933, harga getah begitu merosot sekali. Harga bagi sepaun ialah:
1929          =    34.48 sen
1930          =    19.31 sen
1931          =    9.96 sen
1932          =    7.01 sen
1933          =    10.23 sen[79]

                  Secara keseluruhannya, orang-orang Melayu di Mukim Gadung ini tidaklah mengalami keadaan itu ‘terlalu buruk’, kerana mereka bukanlah semata-mata bergantungatas hasil getah, kopi walaupun kurang permintaannya masih ditanam oleh orang-orang Melayu. Disamping itu mereka juga menanam sumber-sumber lain untuk tambahan makanan mereka sehari-hari di sekeliling ‘porak’nya. Dan juga mendapatkan sumber-sumber hutan yang masih banyak kedapatan lagi, iaitu termasuk binatang-binatang buruan dan buah-buahan hutan.

BAHAN-BAHAN SEMULA JADI
Bahan utama yang menjadi sumber ekonomi penduduk di mukim ini ialah sebagai dikatakan ‘bahan-bahan semula jadi’. Hal ini sememangnya tidak dinafikan, kawasan mukim ini merupakan kawasan pedalaman yang sebahagian besarnya dipenuhi oleh hutan yang berhampiran dengan Banjaran Gunung Besar dimana terletaknya Gunung Dato’ (Rembau) sebagai puncaknya. Sebagai satu kawasan berhutan tebal, tentunya banyak bahan semula jadi yang terjadi daripada proses alam.
                  Kawasan ini banyak sekali mengeluarkan hasil rotan, ada dua jenis rotan yang popular pada masa itu, iaitu rotan untuk mencucuk daun atap dan mengikat seperti rotan tunggal, rotan udang dan rotan sega. Jenis rotan yang kedua ialah rotan yang lebih besar untuk dibuat perabot-perabot ialah rotan ‘manau’. Rotan ini biasanya dikerat-kerat mengikut panjang yang dikehendaki, ia dijual kepada peraih-peraih berbangsa Cina yang datang dari Melaka. Rotan-rotan jenis pertama dibeli oleh mereka dengan harga yang lebih mahal.
                  Selain daripada rotan, damar ialah salah satu hasil lain yang baik yang dikeluarkan dari hutan. Jenis damar itu ialah ‘damar penak’ dipungut oleh orang-orang Melayu daripada kayu ‘dengal’ (Balanocarpus Heimii).[80] Damar ini dijual dengan harga $27.00 hingga $35.00 bagi satu cwt. Selain untuk dijual, damar juga digunakan oleh penduduk mukim ini sebagai lampu atau pelita. Damar-damar itu dibungkus di dalam upih, kemudian dibakar. Untuk semalaman, dua atau tiga batang damar yang berbungkus itu digunakan, kerana masa itu minyak tanah belum begitu senang untuk didapati.
                  Selain itu, kayu-kayan untuk peralatan membuat rumah, memangnya diambil dari hutan. Kebanyakan kayu tersebut diambil bulat-bulat sebesar tiang dan disamping itu ada juga dijalankan kerja-kerja ‘membaji’ kayu-kayu tersebut untuk dijadikan bahagian-bahagian tertentu, umpama untuk peran, rasuk dan jerian. Kayu-kayu teras dibaji untuk dibuat tonggak pagar. Kayu-kayu ini jarang untuk dijual sebagai pasarannya. Kayu-kayu yang didapati adalah seperti kayu keruing, meranti dan cuma mulai tahun 1938, sebilangan kecil daripada kayu-kayutersebut mula dijual hingga ke Melaka, Selangor dan setengah-setengahnya ada yang dieksport ke England. Biasanya kerja untuk membuat rumah ini dijalankan secara bergotong-royong, daripada mengambil kayunya hinggalah rumah itu siap didirikan. Pada peringkat awalnya tidak ada upah yang diberikan, tetapi dianggap kerja ‘menyeraya’ dan tuan rumah terpaksa mengadakan ‘ulau’.[81] Yang menjadi kebiasaan dewasa itu ialah pulut atau cendol tepung beras, diikuti dengan jamuan nasi.
                  Pinang juga tidak kurang pentingnya. Buah-buah pinang muda dibelah dua kemudian dijemur untuk dikeringkan. Buah-buah pinang ini juga dijual dan harganya sampai 6 sen hingga 10 sen sekati. Upih pinang juga menjadi bahan jualan yang penting. Upih-upih ini selain digunakan bagi membalut damar-damar pelita, ia juga dijual bagi digunakan untuk membungkus garam. Peraih Cina dari Melaka tiba untuk membeli upih-upih dan disamping itu menjual garam kepada orang-orang Melayu. Harga sekeping upih antara ½ sen hingga 2 sen kalau yang baik dan besar.[82]
                  Selain itu, bermacam-macam lagilah hasil hutan yang dikeluarkan untuk menampung rezeki, umpamanya buah-buahan seperti petai, jering, kerdas, asam gelugur, lanjut, binjai, tampoi, gegawa. Segala pokok tersebut tidak ditanam, kebanyakannya tumbuh meliar didalam hutan. Suatu hasil yang biasa dikerjakan oleh orang-orang kampung di mukim ini ialah getah jelutung, selain digunakan sendiri umpamanyauntuk membuat getah pemikat burung, ia juga dijual kepada orang-orang Cina yang datang membelinya. Pada tahun 1938 harga sepikul getah jelutung adalah antara $40.00 hingga $60.00.[83] Buluh dan daun atap juga mendapat pasaran yang baik. Buluh digunakan untuk membuat beberapa barang anyaman dan juga untuk dibuat kertas,tetapi mutunya tidak begitu baik.







PERTANIAN
Bidang pertanian inilah yang merupakan suatu usaha yang terbesar bagi kegiatan kehidupan orang-orang di mukim ini. Mereka yang mempunyai kawasan tanah yang luas, selebih daripada yang diusahakan sendiri, maka tanah itu akan di’perdua’kan kepada orang yang tiada bertanah atau orang yang hendak mengerjakannya. Perduaan tanah ini banyak berlaku dalam usaha bersawah padi yang hasilnya nanti akan dibahagi dua.
                  Tanaman padilah merupakan bidang pertanian yang besar, kerana padi dijadikan makanan utama penduduk di sini. Penanaman padi itu dijalankan disawah dan juga di bukit, disebut juga ‘padi huma’. Cara berhuma ini walaupun kadang-kadang kurang memberikan hasil, tetapi kerja-kerjanya tetap juga dilakukan. Orang-orang kampung, khususnya Rembau mengakui semaian daratan adalah berbahaya kerana jika seminggu sahaja tidak ada hujan, benih padi akan mati, tetapi mereka tidak mahu mengubah cara semaian ini dan jika cara ini diubah ke sawah, benih-benih akan cepat tumbuh, tetapi hasilnya lebih kurang sama.[84]
                  Pada tahun 1937, penanaman padi sawah diteruskan. Kawasan percubaan telah dibuat. Kerajaan telah mengadakan pertandingan sawah padi dimukim ini dan seramai 36 orang peserta telah mengambil bahagian bagi seluruh Negeri Sembilan dan sebanyak $98.00 telah disediakan oleh kerajaan bagi pemenang-pemenang sawah yang terbaik,iaitu padinya.[85]
                  Selain daripada padi ialah sagu. Selain daripada daunnya untuk dibuat atap, sagu itu dijadikan makanan ayam itik dan tidak kurang juga yang menjadikannya sebagai bahan makananmanusia sendiri. Sagu tersebut ditumbuk lumat-lumat, airnya ditapis dan dibiarkan mendap. Mendapan itulah yang dijadikan tepung, dinamakan tepung sagu. Daripadanya dibuat lempeng atau kuih jelurai.
                  Ubi gadung juga menjadi tanaman yang utama sebelum adanya padi. Ia ditanam daripada batang dan menghasilkan ubinya. Ubi gadung ini terpaksa diproses dengan sempurna supaya tidak mabuk. Ia terpaksa direndam dengan air abu, dijemur dan kemudian ditumbuk untuk dijadikan tepung. Kemudian barulah boleh dijadikan aneka jenis makanan, umpamanya bubur, kuih-kuih dan sebagainya. Kawasan yang banyak ditanam ubi gadung ini ialah Kampung Gadung, dimana nama kampung tersebut diambil daripada ubi gadung.
                  Selain itu ialah ubi kayu. Ubi kayu juga sumber pendapatan, kerana ia boleh dijual dan ada orang Cina yang masuk ke kampung membeli ubi kayu untuk diproses di kilang Kuala Gunggong. Yeow Sioh seorang penanam ubi kayu di Kampung Kuala Gunggong, dia mempunyai tiga buah kilang dan pekerjanya diberi gaji lebih murah daripada baba-baba Melaka yang bekerja disitu. Tetapi perusahaan ubi kayu ini tidak maju sangat dan inilah sebabnya penduduk berbangsa Cina dan juga orang Melayu tidak mengusahakannya, orang Melayu lebih bergantung kepada padi, tetapi pada tahun 1901 padi tidak begitu menjadi, maka ramailah orang lelaki pergi merantau mencari pekerjaan.[86]Pada tahun 1938 didapati daerah Rembau dan Tampin pada keseluruhnnya mengalami kekurangan hasil-hasil tanaman, ini adalah disebabkan oleh panas terik dan kekeringan tanah, angin yang kuat semasa musim bunga.[87]
                  Ubi keledek, keladi juga ada ditanam disampingpadi dan ubi gadung. Begitu juga tebu, jagung, sekoi ditanam serba sedikit. Buah-buahan memang merupakan kesukaan orang-orang kamupung di mukim ini. Kerana itu banyak kedapatan pokok buah-buahan ditanam, iaitu seperti durian, rambutan (kebanyakannya jenis yang masam), manggis, ciku, duku sukun, langsat dan kelapa. Tanaman sayur-sayuran juga dilakukan seperti maman, tangkis, bayam, kangkung air, lada dan sebagainya. Dalam usaha menanam buah-buahan ini, kawasannya agak luas juga, iaitu di kawasan ‘dusun’, biasanya di kaki-kaki bukit atau pedalaman. Dusun yang popular di mukim ini ialah Dusun Pinang, luas dan dimiliki oleh beberapa orang tuan.
                  Usaha pertanian ini tidaklah mempunyai sebarang sistem yang teratur, kecualilah penanaman padi, ada penasihat tanamannya. Tetapi dengan bergantung kepada pertanian ini kehidupan orang-orang kampung agak senang, walaupun ada diantaranya yang tidak memiliki tanah, tetapi mereka rajin bekerja. Terutamanya orang-orang luar yang tiba, seperti orang-orang Jawa, Minangkabau dan orang-orang daerah lain umpamanya Kuala Pilah, Seremban dan Alor Gajah.
                  Usaha pertanian ini masih giat diusahakan sehingga sekarang. Sebagai mata pencarian utama iasemakin maju, iaitu sejak tahun 1891 dimana orang-orang Eropah yang datang bertambah ramai dan juga kemasukan orang-orang Cina. Mereka mengusahakan tanaman kopi, sewaktu harga kopi jatuh, getah dan kelapa dijadikan tanaman gantinya. Harga getah walaubagaimanapun pada tahun 1938 tidaklah begitu mahal, hitung panjang seorang penoreh hanya mendapat kira-kira 58 sen sehari dan pekerja-pekerja buruh estet kira-kira 52 sen sehari.[88]
                  Kerana itu beberapa jenis tanaman lain telah diperkenalkan, umpamanya kelapa, pisang, ubi kayu, nanas, gambir, derris dan lain-lain yang kebanyakannya diusahakan oleh orang Cina dan sedikit-sedikit orang Melayu.

PERUSAHAAN
Oleh sebab kemajuannya yang semakin pesat, maka Mukim Gadung semakin ramai didatangi oleh orang-orang luar. Diantara mereka yang tiba itu ramai pula yang mempunyai kebolehan dalam bidang tertentu dan memajukan keahliannya disitu. Kerana itu muncullah beberapa orang ‘pandai’ yang membuat perusahaan masing-masing. Antaranya ialah tukang emas, tukang perak, tukang tembaga, tukang besi, tukang kayu dan tukang cukur. Sementara itu ada pula satu tukang lain yang fungsinya berlainan, iaitu tukang upah. Tukang upah ini terdiri daripada mereka yang miskin, tidak mempunyai harta dan keluarga tertentu. Untuk mendapat makanan mereka terpaksalah mengangkat barang-barang sepertimana yang disuruh oleh orang.
                  Tukang-tukang ini menjalankan kegiatan masing-masing ditempat kediamannya secara kecil-kecilan, iaitu sekadar menerima tempahan sahaja. Tidak ada kerja yang berlebihan yang dilakukan, iaitu menyiapkan barang-barangnya terlebih dahulu. Ini adalah disebabkan minat orang untuk membelinya hanya sekali-sekala sahaja. Kecualilah tukang besi yang agak banyak menerima tempahan, berani untuk menyiapkan beberapa bilah parang sebelumnya. Juga kedapatan beberapa orang tukang membuat senapang (mascade) tetapi tidak ramai. Pelurunya dibuat daripada timah jala, tempahan terlalu sedikit, kerana harganya mahal dan orang kebanyakan tidak berkemampuan untuk membelinya. Lagipun untuk menyiapkan selaras senapang memakan masa yang agak lama.
                  Selain daripada itu tukang kayu juga agak popular, disamping menjadi tukang rumah, mereka juga membuat alat-alat seperti kerusi kayu dan meja. Katil daripada kayu jarang kedapatan, kerana dewasa itu katil besi menjadi popular dan merupakan satu ‘status’ apabila memilikinya. Katil ini biasanya dibeli, sama ada dari Melaka atau Sungai Ujong. Tukang besi yang ada cuma membuat alat-alat yang kecil, pisau dan parang dan juga keris. Kebanyakan daripada mereka ini tinggal di Kampung Gadung.
                  Perusahaaan membuat gula enau juga banyak dilakukan dan mendapat sambutan, kerana dewasa itu gula pasir belum ada. Gula enau inilah digunakan untuk membuat kuih-kuih, umpamanya kuih ‘kelepung’ atau buah melaka. Gula tebu juga ada dibuat, tebu-tebu itu dimesin dengan mesin getah dan airnya dijerang sehingga masak, iaitu likat. Ia digunakan untuk pencicah ubi rebus atau pulut. Bagi mereka yang berkesanggupan berusaha pula mencari manisan lebah, biasanya dihutan-hutan. Kerja ini dilakukan pada waktu malam dan mereka harus pandai ilmu jampi-jampinya dan biasanya Dato’ Pawang sendiri menjadi kepalanya.

                                                               PERDAGANGAN
Perdagangan secara besar-besaran tidak pernah wujud pada masa awalnya, tetapi secara kecil-kecilan sememangnya ada dan menjadi suatu kegiatanmereka. Dasar perdagangan secara pertukaran barang masih diamalkan. Bahan utama yang menjadi barang dagangan dewasa itu ialah upih, pinang kering, daun pembungkus (seakan-akan lontar) tali terap, rotan, damar, getah jelutung, getah para dan lain-lain termasuk buah-buahan hutan.
                  Peraih-peraih berbangsa Cina sering datang dari Melaka dan juga Sungai Ujong, Linggi dan Segamat. Kebanyakan barang tersebut dibawa dengan kereta lembu. Barang-barang yang dibawa oleh peraih-peraih Cina pula ialah garam, tembakau, daun rokok, kain baju dan pinggan mangkuk. Perdagangan ini mengikut arus gelombangnya. Ia tidak dapat dilakukan secara yang bersistem, kerana ia tertakluk kepada peraih-peraih yang datang sebulan sekali atau dua minggu sekali. Keadaan ini disebabkan keselamatan tidak dijamin, rompakan dijalanan sering berlaku. Berhubung dengan perdagangan ini, tiga buah ‘bangsal’ telah didirikan, iaitu tempat barang-barang dijual. Bangsal-bangsal tersebut ialah di Kendung, Gadung dan Kota.
                  Perdagangan yang dijalankan di kawasan ini adalah secara bebas, bukan di Mukim Gadung ini sahaja, malah bagi daerah Rembau. Jika orang-orang baik berhajat hendak berniaga di negeri Kota, seperti orang-orang Melayu, Cina dan lain-lain bangsa, bolehlah berniaga dengan bebas dan mereka tidak dipengapakan.[89]
                  Kereta lembu merupakan alat pengangkutan yang awal di mukim ini. Barang-barang yang hendak diperdagangkan umpamanya ke Melaka dibawa dengan kereta lembu. Ia juga digunakan sebagai kenderaan orang. Kemudian basikal digunakan, iaitu basikal roda padu. Waktu kereta diperkenalkan di negara ini, Undang Rembau ke-17, Dato’ Haji Sulong orang pertama yang menggunakan kereta. Dalam urusan biasa, orang-orang kampung hanya berjalan kaki untuk sampai ke satu tempat melalui ‘denai’ dan belum ada jalan yang baik keadaannya pada masa itu. Jalan kereta api didapati merentas dipertengahan mukim ini, waktu permulaannya ada tiga buah tempat persinggahannya, iaitu Kendung, Kota danGadung. Selepas Perang Dunia Kedua, cuma tinggal Kendung dan Gadung sahaja, Gadung hanya dijadikan ‘halt’ sahaja,tetapi sekarang kesemua perhentian itu telah ditutup.
                  Usaha-usaha lain yang dilakukan oleh orang-orang kampung ialah memelihara binatang-binatang ternakan, seperti kerbau, lembu, kambing, biri-biri, ayam itik dan sebagainya bagi menambah hasil penghidupan mereka. Usaha menternak memang digalakkan oleh Kerajaan Negeri Sembilan sendiri, umpamanya tahun 1938 kerajaan telah mengadakan pertandingan binatang cantik dan sihat, iaitu kerbau, kambing, biri-biri dan kerajaan telah mengeluarkan wang sejumlah $750 sebagai hadiah kepada pemenang-pemenang.[90]
                  Selain itu orang Cina juga banyak memelihara binatang, umpamanya ayam itik, tetapi yang lebih banyak ialah memelihara babi, terutamanya dikawasan-kawasan ladang getah dan sekitar tempat tinggal mereka di pekan Kota. Ternakan kambing semakin banyak dipelihara, ini disebabkan banyaknya permintaan oleh orang-orang India, terutamanya waktu hendak merayakan sesuatu hari kebesarannya. Ada diantara orang-orang India itu datang dari Seremban, Melaka dan Gemas untuk membelinya. Seekor kambing yang cukup umur biasa dijual antara $15.00 hingga $20.00 dan kambing yang belum cukup umur kira-kira $8.00 hingga $12.00 seekor.[91]









CUKAI
Memang telah menjadi dasar pemerintahan feudal, bahawa pungutan hasil cukai merupakan sumber terpenting bagi ekonomi dan penghidupan orang-orang bergelar. Orang-orang biasa terpaksa membayar beberapa jenis cukai, mengikut kadar harta yang dimilikinya. Di Mukim Gadung, keadaan begini juga wujud, sehinggalah kezaman Undang Rembau ke-17, Dato’ Sulong Miah. Setiap kelamin terpaksa menghantar hasil cukai mereka ke Balai Kediamannya. Tetapi cara pembayaran begini telah dimansuhkan pada zaman Dato’ Abdullah Haji Dahan, Undang Rembau ke-18 dan dibayar seperti yang ada pada hari ini.
                  Perubahan ini wujud apabila Dato’ Perba Mohd Aris mendesak Kerajaan British di Negeri Sembilan supaya memulangkan tanah-tanah kepada penduduk sendiri untuk dikerjakan. Hal ini telah dipersetujui oleh pihak Inggeris. Kerana itu penduduk telah diberikan geran bagi menentukan tanah kepunyaan masing-masing. Harga tanah pada masa itu ialah $7.50 sen bagi seeker.[92] Dengan perubahan ini, pihak Inggeris telah mengenakan cukai ke atas tanah-tanah yang bergeran pada kadar yang sama.
                  Kawalan semua cukai ubi kayu, lada hitam, gambir, kopi dan bijih timah berserta dengan cukai tanah pertanian hendaklah terpulang semata-mata kepada pegawai yang dilantik oleh Tuan Yang Terutama; bagi cukai yang dikutip daripada tanah-tanah yang tidak diusahakan, maka soal pentadbiran tanah-tanah yang ditunggu mengikut pusaka mestilah dijalankan oleh penghulu dalam Majlis tiap-tiap tiga bulan sekali dan penghulu hendaklah menyediakan satu senarai yang menunjukkan nama tiap-tiap seorang Lembaga yang mengambil bahagian dalam hasil mahsul negeri menurut hak-hak dari segi perlembagaan bagi tiap-tiap orang Lembaga.[93]















KESENIAN DAN KEBUDAYAAN
Memang banyak bentuk kesenian dan kebudayaan di mukim ini sesuai dengan tempat yang diteroka terlebih awal. Dari zaman liarnya hingga datang agama Islam dan pengaruh Barat tentulah mengalami pertembungan (syncritism) antara pengaruh-pengaruh luar tersebut. Perkembangan kesenian dan kebudayaan itu bermula dari zaman kanak-kanak hinggalah orang dewasa. Zaman kanak-kanaknya berbagai-bagai rupa permainan yang menggambarkan keasliannya, umpamanya permainan ‘galah panjang’ cak kelempong, iaitu satu permainan yang menggunakan tempurung kelapa digolekkan dengan kaki, kemudian memangkah tempurung lain yang diatur dengan kaki juga.  Permainan congkak, main induk-induk (permainan ini dijalankan dibawah rumah yang ada tiang dan tiang itulah menjadi induknya, tegasnya perlawanan untuk mencari tiang. Permainan suku lipat, permainan layang-layang. Layang-layang ini rangkanya diperbuat daripada buluh, kemudian dibalut dengan kertas layang-layang. Talinya ialah benang serban. Nama sesetengah daripada layang-layang itu ialah, ‘cacing’, ‘bawal’, ‘seri bulan’ dan ‘kumbang’. Layang-layang kumbang ini dibubuh suatu alat yang boleh berbunyi apabila ditiup angin.
                  Layang-layang kumbang dan seri bulan selalu dipertandingkan, iaitu dengan memilih layang-layang yang tidak jatuh selama tempoh yang ditentukan, umpamanya tiga hari tiga malam, diadakan biasanya antara kampung dengan kampung. Banyak layang-layang yang masuk bertanding tidak dihadkan, kadang-kadang sampai berpuluh-puluh banyaknya. Satu jamuan makan diadakan padahari pertandingan itu dengan istiadatnya yang khas. Pergaduhan sering berlaku atas sebab-sebab tertentu. Sebab yang biasanya ialah dikatakan benang lawan telah disalutkan dengan serbuk kaca, ini membuatkan tali layang-layang lawan akan putus.
                  Selain daripada permainan itu, permainan gasing juga agak popular, iaitu dinamakan gasing gurun dan gasing piring. Talinya diperbuat daripada kulit batang terap. Perlawanan antara kampung dengan kampung juga diadakan. Kadang-kadang kerbau disembelih pada hari perlawanan itu untuk hidangan orang ramai. Perlawanan gasing ini merupakan satu temasya meriah dan padang perlawanannya ialah di Kampung Gadung dan Kampung Kota.
                  Berdikir rebana merupakan salah satu kesenian yang masih diamalkan, terutamanya waktu nikah kahwin. Kumpulan berdikir rebana ini terdiri antara 10 hingga 12 orang, tiap-tiap seorang menggunakan sebuah rebana dan seorang daripadanya memukul ‘tetawak’. Nasi panca merupakan suatu alat terpenting waktu nikah kahwin, iaitu nasi pulut kuning yang dicucukkan dengan telur-telur berwarna, biasanya merah, ia dijadikan barang hadiah. Ia akan diterima oleh buapak dan disinilah banyak dilahirkan kata perbilangan adat yang merupakan puncak majlis perkahwinan tersebut.
                  Kebudayaan yang banyak berunsur Hindu masih dijalankan, iaitu ‘berpuar’ hingga tahun 1968. Temasya berpuar ini dijalankan oleh pawang yang bertujuan untuk memelihara keselamatan kampung dan juga padi serta tanam-tanaman lain. Temasya berpuar ini telah dimulakan sejak beberapa keturunan dahulu, diamalkan oleh nenek moyang. Satu majlis membaca doa selamat dilakukan dibeberapatempat tertentu, iaitu di hulu-hulu sungai. Bagi penduduk Kampung Ulu Api-Api dan Kampung Mangkal, ialah di Ulu Api-Api. Kampung Jeram, Seberang Paya dan Kampung Tanjung ialah di hulu Jeram. Kampung Gadung, Kampung Kota, Kampung Jawa ialah hulu air Gadung. Kampung Batang Nyamur ialah hulu air Lanjut dan Kampung Kendung ialah hulu air Pari.[94]
                  Di hulu-hulu anak air inilah istiadat berpuar itu dimulakan dan dihentikan disuatu tempat bernama Padang Lekok, dimana pernah Dato’ Laut Dalam tinggal. Dalam temasya itu berbagai-bagai alat kebesaran digunakan. Seorang ‘hulubalang’ dipilih daripada tiap-tiap suku, sebagai hulubalang pawang. Bagi penduduk kampung itu pula akan mendirikan sebuah rumah yang diperbuat rangkanya daripada buluh dan didinding dengan kain ‘tabir’dan ‘kain langit-langit’, kadang-kadang di dalamnya dihiasi dengan tempat tidur, ada katil dan bantal. Sebuah tilam pandanit juga dibubuh. Rumah ini dinamakan ‘rumah jamu’. Di luar rumah itu disiapkan satu kawasan, dimana ‘hulubalang’ tadi akan bersekoto, iaitu berperang dengan batang keladi. Batang keladi yang siap dipotong paras umbinya dibalingkan pada lawan masing-masing secara bergilir-gilir.
                  Tujuan utama temasya ‘berpuar’ ini adalah untuk memulihkan semangat padi, menjauhkan musuh-musuhnya. Penduduk dikenakan membayar ‘tebuyong’ mengikut yang ditentukan oleh pawang, biasanya $1.00 bagi sebuah keluarga dan sedekah makanan berapa suka. Akibat daripada kemajuan dibidang pertanian, cara mengadakan puar ini sudah tidak mendapat tempat lagi.
                  Dalam bidang kerja tangan, kebanyakan orang lelakinya pandai menganyam yang dibuat daripada buluh, rotan, resam dan sebagainya. Mereka membuat tangguk, raga, bakul, irok, tapisan, nyiru, bidai, lukah, sengkalak. Daripada kayu pula ialah tangkai cangkul, hulu parang. Mengukir juga dilakukan, iaitu pada tingkap, pintu, kepala tiang. Ukiran-ukiran tanduk juga dibuat. Seorang lelaki, paling kurang mestitahu membuat senduk, tangkai cangkul dan sengkalak. Bagi orang perempuan pula membuat anyaman daripada mengkuang, pandan atau batang mensiang. Mereka membuat bakul, sumpit, tikar, rombongan, tudung saji, terendak. Mereka juga menyulam ‘renda’, tekat-menekat, tirai.
                  Seperti yang telah diterangkan bahawa memang ramai kedapatan tukang atau pandai, umpamanya bahagian besi, mereka membuat parang, pisau, keris, lembing, tombak, jombia yang kebanyakannya dijadikan ‘alat kebesaran’. Begitu juga dengan pandai yang lain membuat dan menunjukkan kebolehan masing-masing. Pendeknya tingkat kebudayaan dan kesenian di mukim ini memang jauh lebih baik dewasa itu. Kerana hidup dibawah lingkungan adat perpatih, maka kebanyakan bentuk kebudayaan dan keseniannya itu adalah menggambarkan keutuhan adat tersebut disamping adanya selitan-selitan pengaruh daripada kebudayaan asing dan juga kebudayaan asli.


[39].            Wawancara dengan Tuan Haji Ariffin bin Sihat dan juga dengan Tuan Haji Hamzah bin Kurus dan Tuan Haji Abbas bin Haji Ali. Walau bagaimanapun kenyataan yang lebih jelas belum didapati, kerana keadaan sebenar peperangan itu tidak diketahui. Menurut Tuan Haji Hamzah, kubu pertahanan masih kedapatan, tetapi keadaannya semak samun.
[74].            Kawasan Kota bagi kawalan polis berlainan dengan kawasan Kota secara kampung. Kawasan Kota di bawah jagaan polis meliputi lima buah mukim, iaitu Mukim Gadung, Mukim Cengkau, Mukim Bongek, Mukim Seri Lemak dan Mukim Legong Ulu. Jaraknya dari Kendung hinggalah ke Kampung Batu.
[75].            Catatan daripada Warta Kerajaan Negeri Sembilan pada 19 Julai 1901 yang dibuat oleh A.P. Hannay, Pemangku Timbalan Pesuruhjaya Polis, Negeri Sembilan.
[76].            Laporan Pegawai Daerah Tampin, Mr.A. Hale bagi bulan September 1986.
[77].            Wawancara dengan Tuan Haji Hamzah bin Kurus. Keterangan yang lebih jelas tidak dapat diketahui yang jelas bahawa kejadian itu sememangnya berlaku.
[78].            Keterangan daripada Tuan Haji Zainal bin Deli, Ketua Polis Negeri Sembilan, sewaktu merasmikan bangunan Balai Polis Kota yang baharu pada 2 Jun 1973.
[79] .           P.T.Baner–‘Some Aspects of the Malayan Rubber Slump 1929-33’ dalam T.H.Silcock (ed.) Reading in Malaysian Economy, Singapura, 1961, muka surat 186.
[80] .           G.L.Ham (British Resident) – Laporan Pentadbiran Negeri Sembilan tahun 1938, muka surat 13.
[81] .           Hidangan makanan ringan yang diberikan kepada orang-orang yang bekerja. Biasanya pulut, bubur, cendol dan sebagainya. Biasanya dibawakan ketempat dimana orang-orang itu bekerja. Waktu bergotong-royong mencangkul sawah, ulau ini sering dibawa.
[82] .           Wawancara dengan Tuan Lebai Omar, Kampung Mungkal pada 6 Mac 1973.
[83].            G.L.Ham (British Resident), muka surat 13.
[84].            Petikan daripada Laporan Pegawai Daerah Tampin, Mr.A.Hale bagi bulan September 1896.
[85] .           G.L.Ham – Laporan Pentadbiran Negeri Sembilan tahun 1938.
[86] .           Dipetik daripada Laporan Pegawai Daerah Tampin, Mr.A.Hale bagi bulan September 1896.
[87].            Dipetik daripada Laporan British Resident G.H.& L.Ham, Laporan Pentadbiran Negeri Sembilan tahun 1938.
[88] .           Dipetik daripada Laporan British Resident Mr.A.Halo, Laporan Pentadbiran Negeri Sembilan tahun 1938, muka surat 41.
[89].            Salah satu butir perjanjian diantara Gabenor Negeri-Negeri Selat, Fred A.Weld dengan Dato’ Rembau Lela Maharaja (Haji Sahil) pada 31 Mac1877.
[90] .           Dipetik daripada Laporan British Resident, G.L.Ham, Laporan Pentadbiran Negeri Sembilan tahun 1938, muka surat 16.
[91] .           Wawancara dengan Tuan Haji Ariffin bin Sihat dan keterangan juga diberikan oleh Tuan Lebai Omar dari Kampung Mungkal dan Tuan Haji Harun bin Haji Kassim dari Kampung Ulu Gadung.
[92] .           Wawancara dengan Tuan Haji Ariffin bin Sihat dan Tuan Haji Mohd.Yatim bin Haji Zainal, Kampung Mungkal.
[93] .           Antara butir-butir perjanjian diantara Gabenor dengan Ketua Pemerintah Negeri-Negeri Selat, Fred.A.Weld dengan Rembau yang diwakili oleh Dato’ Penghulu (Undang), Dato’ Perba, Dato’ Menteri Lela Perkasa dan dua orang saksi, Martin Lister (Pemungut Hasil Tanah dan Pengadil Seri Menanti dan Leop Sazalas pada 17 September 1887.
[94].            Wawancara dengan Dato’ Pawang Abdul Ghani bin Muin.

No comments:

Post a Comment