Friday, 19 February 2016

PERKEMBANGAN MASYARAKAT CINA DI MUKIM GADONG OLEH ISMAIL HADI

Ada satu bab dalam tesis Ismail Hadi ini yang bercerita tentang Masyarakat Cina di Mukim Gadong


PERKEMBANGAN MASYARAKAT CINA
Orang-orang Cina sememangnya sudah wujud pada pertengahan abad ke-19 lagi. Tetapi munculnya suatu perkampungan orang-orang Cina di kawasan Kota ini tidaklah diketahui dengan jelasnya. Tetapi menurut Encik Choong Yew Long,[73] sepanjang yang diketahuinya orang Tionghua yang mula-mula tiba di Kota dan membuat tempat kediaman ialah seorang Hokkian berasal dari China, Encik Choon bernama ‘Chayong’. Chayong mungkin panggilan ringkas oleh orang-orang Melayu, jika dilihat daripada nama Cina sebenarnya, ia mungkin berasal daripada nama Chia Ah Yong atau Chia Yong.
                  Chayong datang ke Kota seorang diri, tidak membawa anak dan isterinya. Ketika beliau sampai, Kota masih dipenuhi oleh hutan. Beliau membuat sebuah rumah pondok (ditapak bangunan pasar sekarang). Seorang kawan lain bersamanya, bernama See Seng (Sing), tidak diketahui darimana asalnya tetapi mungkin juga berasal setempat dengan Chayong. Chayong di samping mengerjakan sedikit tanah untuk tanam-tanaman, sayur-sayuran, tembakau, ubi kayu, beliau juga membuka kedai kecil, menjual daun rokok, tembakau dan pisang. Pisang didapati daripada orang kampung, pisang kapas, pisang abu, pisang embun, pisang nangka. Harga diantara 3 sen hingga 8 sen setandan atau kadang-kadang ditukarkan sahaja daun rokok, tembakau. Bagi mendapatkan tembakau Chayong pergi ke Sungai Ujong. Baja-baja kebun, Chayong mendapatkannya daripada orang-orang kampung juga, baja ditukarkan dengan tembakau atau daun rokok (pucuk).

                  Menurut Tuan Lebai Omar,[74] See Sing mungkin datang lebih awal lagi, tetapi tidak menetap di Kota. Diadatang sebagai peraih membeli barang-barang daripada orang Melayu. Dia membeli ‘upih’ dan pinang kering. Beliau juga membeli daun ‘lorik’ untuk dibuat pembungkus ikan masin. Ikan masin dijual pula kepada orang-orang Melayu, begitu juga garam. Kemudiannya See Sing menetap di Kota membuat rumah kediaman bersama keluarganya.
                  Chayong kemudiannya balik ke negeri China dan datang semula bersama anak dan isterinya. Pada waktu Dato’ Abdullah menjadi Undang Rembau, tanah-tanahnya telah diukur dan ditentukan haknya dengan membayar cukai kepada kerajaan.Akhirnya bertambah ramailah orang Cina tiba dan membuat kediaman di sekitar Kota. Hubungan dengan orang Melayu dewasa itu memang baik. Salah seorang Cina telah berkahwin dengan perempuan Melayu, beliau ialah seorang pandai emas danperak. Kemudian orang-orang Cina menjalankan kegiatan-kegiatan ekonomi, iaitu pertanian, perniagaan secara kecil-kecilan diantara penduduk di kawasan mukim ini. Orang Cina tersangat bergantung kepada orang-orang Melayu, terutama bagi mendapatkan barang-barang makanan, iaitu beras, hasil-hasil lain seperti buah-buahan jabit, kerdas, jering dan keladi. Orang-orang Cina membuka kedai barang-barang runcit dengan menjual garam, ikan bilis, ikan masin, kain-kain, rokok daun, tembakau dan sebagainya yang diperlukan oleh orang Melayu.
                  Selain itu kedapatan pula sekelompok orang Cina di ladang-ladang getah yang dibawa masuk oleh orang Inggeris ke Ladang Getah Legong Ulu dan Ladang Kendung. Kedai di Kota semakin maju dan akhirnya menjadi pusat membeli barang-barang keperluan semua bangsa. Kemudian daripada itu berkembanglah masyarakat Cina, tanpa diganggu-gugat oleh mana-mana pihak dan muncullah beberapa keturunan seperti orang Mokkian, Kok, Hailam dan sedikit-sedikit Kongfu.

PERKEMBANGAN PELAJARAN CINA
Masyarakat Cina sehingga tahun 1931 belumlah mendapat pendidikan secara persekolahan yang sempurna. Mereka hanya mengajar anak-anak mereka mengikut kepandaian masing-masing berdasarkan ilmu pengetahuan yang ada. Pelajaran yang diajarkan ialah ilmu-ilmu perniagaan berjual beli dimana sejak dari kecil anak-anak itu dilatih menjual barang-barang kepada pembeli dengan diawasi oleh ibu bapanya.
                  Hingga tahun 1931, kalau orang Cina hendakkan pelajaran secara persekolahan, mereka terpaksalah pergi ke Tampin atau ke Rembau yang jauhnya kira-kira 10 batu. Memandangkan beberapa kerumitan, orang-orang Cina tidak memberi pelajaran anak-anak mereka ke sekolah secara formal. Hanya sebilangan kecil sahaja yang mampu menghantar anak-anak mereka ke sekolah-sekolah tersebut. Bilangan penduduk Cina semakin bertambah dan memandangkan ramainya anak muda yang tidak mendapat pendidikan persekolahan, maka pada tahun 1931, satu mesyuarat ibu bapa kaum Cina telah diadakan dan keputusan mesyuarat itu bersetuju untuk membina sebuah sekolah bagi anak-anak mereka. Rundingan dan usaha seterusnya telah dijalankan. Akhirnya atas muafakat dan perjanjian, sebidang tanah kepunyaan Haji Abu Bakar telah disewa dengan bayaran $2.00 sebulan.
                  Pada pertengahan tahun 1931, sebanyak $1,000 telah dapat dikumpulkan hasil daripada derma ibu bapa dan orang ramai. Sebanyak $500 telah dibayar kepada seorang tauke Cina di Melaka, bagi mendapatkan kayu-kayunya, tetapi wang tersebut telah dilenyapkan. Pembinaan sekolah itu terbantut buat beberapa ketika, kemudian dilakukan pungutan derma sekali lagi dan akhirnya tegaklah sebuah bangunan yang beratapkan rumbia, berdindingkan papan, berlantaikan tanah yang menelan belanja kira-kira $800.
                  Selepas bangunan siap, masalah yang timbul ialah bagi mengadakan guru yang mengajarnya. Kira-kira sebulan mencari gurunya barulah dapat, beliau ialah seorang Cina dari Kuala Lumpur dilantik sebagai Guru Besar. Beliau berasal dari Shanghai di daerah Foo Nam. Guru penolongnya ialah dari Rembau bernama Ngau Chen Sin. Pada permulaan sekolah itu dibuka, seramai 36 orang murid sahaja. Sebuah lembaga sekolah telah dilantik, dalam mesyuarat pertamanya telah membuat keputusan bahawa tiap-tiap seorang murid dikenakan bayaran sebanyak $1.50 sebulan. Wang tersebut adalah untuk membayar gaji kepada guru-guru tersebut, bagi Guru Besar ialah $38.00 dan hanya bayaran sagu hati diberikan kepada guru penolongnya, jumlahnya tidak tetap.
                  Untuk menarik minat guru-guru yang mengajar, guru-guru tersebut dibenarkan tinggal di sekolah tersebut. Makanannya tiap-tiap hari disediakan oleh ibu bapa, hal ini berjalan selama tiga tahun. Sejak itu bertambahlah murid-murid yang belajar. Mereka tidak perlu lagi pergi ke Rembau atau ke Tampin. Pentadbiran sekolah dibaiki dari masa ke masa. Sewa tanah daripada $2.00 meningkat kepada $2.50 dan paling akhir ialah $6.00 sebulan. Sekolah tersebut diberi nama Hua Kiew, pada mulanya hanya dua bilik darjah dan kemudian sampai ke darjah VI. Keadaan ini hinggalah ke zaman Jepun. Waktu pemerintahan Jepun sekolah ini telah ditutup selama setahun. Kemudian dibuka semula, pelajaran Jepun telah diajarkan, sambutan tidak menggalakkan, murid-muridnya tinggal 16 hingga 20 orang sahaja. Ini disebabkan ramai yang pindah ke Kuala Lumpur dan bencikan kepada Jepun. Tambahan pula Kuala Lumpur mudah mendapat pekerjaan sebagai pelombong bijih.
                  Waktu Jepun kalah, beberapa orang ahli kongsi gelap dari Seremban telah datang ke Kota dan cuba mengatur satu barisan bagi bertindak keras terhadap orang-orang Melayu. Selama 14 hari komunis-komunis itu memerintah, ramailah orang Melayu dan orang Cina sendiri menjadi korban kebuasannya. Sekolah Hua Kiew sendiri telah dijadikan pusat pergerakan komunis pada masa itu. Keliaran ini adalah disebabkan himpitan yang dialami semasa Jepun.
            Apabila British tiba semula pada tahun 1945, suasana kembali tenang, perasaan permusuhan tidak ada. Sekolah Hua Kiew dibuka seperti biasa dengan pentadbiran yang sempurna. Murid-murid lama dijemput dan menerima murid-murid baharu, sehinggalah tahun 1948. Waktu darurat, sekolah ini telah disyaki sebagai pusat komunis, tetapi tidak ada bukti, walaupun mungkin ada orang Tionghua di Kota yang menjadi anggota komunis itu. Pelajarannya tidak terganggu, malah semakin maju sehinggalah tahun 1959, selepas tanah air mencapai kemerdekaan, sekolah tersebut telah dipindahkan ke tapak sekolah yang ada sekarang ini. Perpindahan ini berpunca daripada sulitnya untuk membayar sewa tanah. Akhirnya ahli MCA cawangan Kota mendesak kerajaan untuk mendapatkan sebidang tanah untuk tapak sekolah yang baharu.
            Setelah mendapat tanah maka dibina sebuah sekolah pada tahun 1959 dengan bantuan kerajaan. Guru Besarnya ialah Cikgu Loo Teoh Foo dan guru penolongnya seramai 8 orang. Tahun 1960 sekolah ini mendapat bantuan penuh daripada kerajaan dan pada tahun 1961, sekolah itu ditukar namanya kepada yang baharu, Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) Pei Teck, muridnya seramai 186 orang dan gurunya bertambah menjadi 9 orang dengan 8 bilik darjah.[75]
            Sejak ditubuhkan hingga sekarang sudah ramai murid sekolah ini yang berjaya dalam lapangan pelajarannya. Sebelas orang telah menjadi guru, 3 orang telah melanjutkan pelajaran hingga ke universiti. Perkembangan pelajaran Cina di sini selari dengan perkembangan pelajaran Cina di tempat lain di seluruh Negeri Sembilan. Pada tahun 1938 sudah ada 83 buah sekolah persendirian Cina dengan 242 orang guru yang digaji sendiri oleh badan pengurus sekolah dan muridnya seramai 5642 orang termasuk seramai 1665 murid-murid perempuan.[76]
            Seperti yang telah dijelaskan bahawa kedatangan orang-orang Tionghua ke Kota ini bukanlah dengan tujuan politik, tetapi adalah untuk mencari kehidupan dan ingin maju dalam lapangan ekonomi dan perniagaan. Di Kota merekatidak ambil pusing tentang soal politik, pentadbiran yang telah dijalankan oleh pentadbir-pentadbir Melayu itu tidak diganggu, malah mereka sering patuh. Politik yang halal bagi mereka wujud pada tahun 1948 dimana MCA telah ditubuhkan di Rembau dan sebilangan mereka menjadi ahli, sehingga mendapat kemerdekaan, keadaan politik kaum Tionghua di Kota ini tidaklah sehebat mana. Hingga pembentukan Malaysia, penyatuan MCA di Kota begitu teguh. Tetapi apabila munculnya parti-parti pembangkang, tidak dinafikan adanya sebilangan orang Tionghua yang menganut parti tersebut.
            Cawangan MCA kawasan Kota telah ditubuhkan pada 25 Julai 1972 dengan ahlinya seramai 385 orang dan dipengerusikan oleh Encik Choon Yew Long.Walaubagaimanapun terdapat juga ramai daripada anak muda bangsa Tionghua di Kota ini telah terlibat dengan gerakan anarkis walaupun tidak secara terang-terangan. Seorang Cina dari Seremban pada bulan April 1921 pernah berkempen di Kota supaya masuk pergerakan anarkis. Walaupun tidak ramai, ada juga anak-anak mudanya yang terlibat tidak dengan pengetahuan ibu bapa mereka, mereka pernah pergi ke suatu perayaan di Ipoh, bulan Mei 1921 itu. Majalah Kwong Ming pernah didapati dibaca oleh anak-anak muda. Tetapi kegiatan mereka dapat dibanteras oleh keluarga masing-masing.
            Memandangkan kepada gerakan-gerakan kehidupan yang dilakukan oleh orang-orang Tionghua di Kota ini, maka merupakan persaingan kepada orang-orang Melayu untuk mencapai kemajuan dan hubungan baik sememangnya terjamin sejak awal lagi. Pergaduhan secara besar-besaran tidak pernah berlaku, perselisihan kecil biasanya dapat diselesaikan, kecualilah akibat dendam atas seseorang, pernah berlaku kejadian-kejadian jenayah bagi kedua-dua belah pihak.

PERKEMBANGAN MASYARAKAT INDIA
Kedatangan masyarakat India ke Mukim Gadung ini tidak dapat dipastikan bilakah sebenarnya, tetapi apa yang diketahui bahawa sudah lama masyarakat India wujud di mukim ini, tetapi bilangan mereka tidak ramai. Kedatangan mereka pada peringkat awal, bukanlah untuk membuat kedudukan, tetapi untuk berburu binatang dan mendapatkan barang-barang makanan yang lain. Mereka ini dipercayai datang dari Melaka.
            Tetapi apa yang lebih jelas ialah orang Indialah yang memperkenalkan ‘kereta lembu’ di kawasan ini. Pernah dikatakan bahawa orang-orang Melayu berasa agak hairan dengan kereta lembu dan telah menyuruh pembawa kereta lembu itu membawa mereka naik. Waktu ini kedatangan orang-orang India membawa barang-barang jualan. Antara barang-barang yang dibawanya ialah rempah tumbuk, lada dan alat-alat kari yang lain. Juga ada diantara mereka yang membawa manik-manik, makjun jadan, minyak wangi dan sebagainya. Disamping itu ada juga orang-orang Arab yang membawa jualan yang sama dan juga membawa kitab-kitab agama Islam.
            Orang India ini datang dari Melaka, bagi yang beragama Islam, mereka biasa menumpang bermalam di masjid dan surau-surau. Setengah-setengah daripada orang India ini menjadi buruh kereta api, tinggal di Kendung dan buruh estet dan tinggal di ‘kaman-kaman’ yang disediakan oleh pihak estet. Proses kedatangan mereka adalah sama dengan proses dengan kedatangan orang India secara umumnya ke negara ini.
            Menurut Tuan Haji Maidin,[77] beliau mula-mula sampai menetap di Kampung Jeram dan membuka kedai kopi. Beliau adalah orang India Muslim yang pertama tinggal di kampung bersama orang-orang Melayu. Waktu itu belum ramai orang India yang tinggal di kampung-kampung. Kerana hubungan yang semakin baik, akhirnya Haji Maidin,(waktu itu belum haji lagi) telah berkahwin dengan seorang perempuan Melayu di Kampung Jeram. Selain daripada menjual minuman, beliau juga ada menjual serba sedikit barang-barang runcit. Tetapi oleh sebab perniagaan di kampung tersebut tidak berapa maju, beliau pindah membuka kedai di Kampung Tanjung, iaitu di Gadung Halt.
            Pada waktu beliau mula-mula sampai, tidak ada sebuah pun sekolah Tamil yang didirikan di sekitar kawasan ini. Bagi anak-anak kaum India yang ingin bersekolah, terpaksalah pergi ke Tampin. Pada umumnya perhubungan orang-orang India dengan masyarakat lain di mukim ini adalah baik dan tidak pernah berlaku pergaduhan. Tinggal bersama Haji Maidin ialah seorang sahabatnya bernama Haji Naidu. Mereka tinggal bersama-sama, tetapi Haji Naidu datang agak terkemudian. Sejak itu ramailah orang India yang tiba dan kadang-kadang tinggal bersama Haji Maidin buat beberapa ketika bagi mendapatkan pekerjaan.
            Seperti yang telah dijelaskan bahawa tidak terdapat sebuah sekolah Tamil di mukim ini, tetapi bukanlah ertinya kelompok orang India di mukim ini tidak mendapat pendidikan. Hampir kesemua anak mereka dihantar belajar di Tampin, terutama apabila Government English School dibuka. Selain daripada itu mereka menghantar anak-anak mereka bersekolah di Rembau, iaitu di Estet Chembong, Seremban (anak-anak mereka ini tinggal bersama sanak saudara mereka). Hingga tahun 1938 di Negeri Sembilan sudah ada kira-kira 100 buah sekolah Tamil termasuk sebuah sekolah kerajaan. Kebanyakan sekolah tersebut didirikan di dalam estet dan juga dibandar-bandar, iaitu dimana terdapat kelompok-kelompok mereka tinggal. Sekolah yang didirikan dalam estet berjumlah 96 buah dan 10 buah dibandar-bandar termasuk sebuah sekolah kerajaan.[78]
            Pada tahun 1938 itu sudah ada 4360 orang murid India di sekolah-sekolah Tamil seluruh Negeri Sembilan. Ini berbanding pada tahun 1930, jumlah sekolah ialah 63 buah dan muridnya 1930 orang, sementara pada tahun 1931, sekolah semakinberkurang, iaitu tinggal 36 buah dan muridnya juga kurang, tinggal hanya 1145 orang sahaja.[79]
            Dalam bidang politik, bangsa India tidak menampakkan sebarang kegiatan awalnya sehinggalah terbentuknya MRC. Memang telah tertubuh persatuan sekerja, tetapi tidak mempunyai sebarang cawangan, mereka hanya menjadi ahli kepada Persatuan Pekerja dan Buruh yang berpusat di Tampin. Hingga ke hari ini bilangan orang India yang tinggal di mukim ini tidaklah bertambah dengan pesat. Segolongan besar diantara mereka telah memeluk agama Islam dan membuka kedai perniagaan di pekan Kota.

LAMPIRAN
1.      Abdul Ghani bin Nuin
2.      Abdullah bin Dato Bandar Haji Said
3.      Haji Abbas bin Haji Ali
4.      Haji Ariffin bin Sihat
5.      Alias bin Linsah
6.      Amrah bt Haji Mahmood
7.      Hajah Busu bt Haji Abdul Manan
8.      Choong Yew Long
9.      Haji Hamzah bin Kurus
10.  Haji Harun bin Haji Lassim
11.  Hajah Jeibah bt Haji Mohd Yatim
12.  Khoo Kay Kim
13.  Lee Teoh Foo
14.  Haji Latim
15.  Muhammad bin Jumat
16.  Haji Mohd Yatim bin Haji Zainal
17.  Haji Maidin
18.  Lebai Omar bin Ganting
19.  Haji Zainal bin Deli
20.  Siti Rokiah bt Haji Hamzah
                                    Siap,
                                    31 Ogos 1973


BIBLIOGRAFI
1.      Khoo Kay KimArtikel “Sejarah Tempatan”, dalam jurnal penyelidikan, Jilid 1, bil.1, Oktober 1972.
2.      Diana LewisInas: A Study of Local History, JMBRAS, Vol.33, 1960.
3.      Abdul Samad IdrisNegeri Sembilan dan Sejarahnya, Utusan Melayu, KL, 1968.
4.      P.J.BegbioThe Malayan Peninsular, OUP, KL, 1967.
5.      J.M.GullickSistem Politik Bumiputera Tanah Melayu Barat, DBP, KL, 1970.
6.      C.W.C.Far & W.H. MackeryJurnal SBRS, bil.56.
7.      M.D.MansoorSejarah Minangkabau, Bhaatara, Jakarta, 1970.
8.      P.T. Baner “Some Aspects of the Malayan Rubber Slump 1929-33”, dalam T.H.Silcock (ed.) Reading in Malaysian Economy, Singapura, 1961.
9.      G.L.HamLaporan Pentadbiran Negeri Sembilan tahun 1938.
10.  A.HaleLaporan Pegawai Daerah Tampin, September 1896.
11.  Arkib NegaraAnnual Report on Education in the Federated Malay States, tahun 1931.
12.  Arkib Negara Perjanjian Inggeris dengan Rembau, pada 31 Mac 1877.
13.  Arkib Negara Perjanjian Inggeris dengan Rembau, pada 31 Mac 1883.
14.  Arkib Negara Warta Kerajaan Negeri Sembilan, pada 19 Julai 1901.
15.  Haji Zainal DoliUcapan merasmikan Bangunan Balai Polis Kota pada 2 Jun 1973.
16.  Haji Buyong AdilSejarah Johor, DBP, 1971.
17.  Haji Abbas Haji AliRembau: Sejarah Perlembagaan Adat dan Istiadatnya.
18.  T.J.NewboldA Political and Statistical Account of the British Settlements in the Straits of Malacca, Kuala Lumpur, 1971 (dua volume).




[73] .           Seorang ahli perniagaan berumur 58 tahun, menjadi Ketua orang Cina di Kota sekarang. Keterangan mengenai masyarakat Cina ini banyak sekali diberikannya.
[74] .           Wawancara Tuan Lebai Omar, beliau yakin tentang keterangan yang diberikannya itu, kerana waktu itu beliau pernah berjumpa ketika beliau berumur kira-kira 6 tahun.
[75] .           Wawancara dengan Cikgu Lee Teoh Foo, Guru Besar Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) Pei Teok, Kota pada 16 Mac 1973.
[76] .           Dipetik daripada Laporan Pentadbiran Negeri Sembilan tahun 1938 oleh G.L.Ham British Resident Negeri Sembilan, muka surat 23.
[77] .           Beliau ialah seorang India Muslim yang mula-mula tinggal bersama orang-orang Melayu. Beliau tiba pada tahun 1926. Beliau datang terus dari India. Dalam hal ini beliau banyak sekali memberi keterangan berkenaan masyarakat India disini.
[78] .           Petikan daripada Laporan Pentadbiran Negeri Sembilan tahun 1938oleh G.L.Ham, British Resident Negeri Sembilan, muka surat 23.
[79].            Dipetik daripada “Annual Report on Education in the Federated Malay State bagi tahun 1931” – Arkib Negara.

No comments:

Post a Comment