Sunday, 28 February 2016

SENI BUDAYA SUKA BUMI BERSAMA LATIFF RAHMAN - SEBUH KENNGAN




SENI BUDAYA SUKA BUMI
BERSAMA TABLORAMA DAN TARIAN MINANGNYA

Oleh A.F.Yassin

Kelab Seni budaya Suka Bumi Sri Kendong Rembau sejak ditubuhkan beberapa tahun lalu mengalami proses jatuh bangunnya yang kalau diceritakan bagaikan sebuah kisah "perang dan damai". Pengasasnya, Abd. Latif Abd. Rahman, seorang pengusaha Village Resort ala homestay mempunyai komitmen yang cukup tinggi mempastikan kelangsungan hidup kelabnya. Abd. Latif seorang pencinta seni, terutama yang menyangkut perbilangan dalam adat perpatih. Tema penubuhan kelab beserta resortnya ialah "Alam terkembang dijadikan guru". Bagi Latif tema ini bersifat mesra alam. Katanya, " Dari alam keliling kita belajar kehidupan dan dari alam jugalah kita berjuang meneruskan kelangsungan hidup."

Seni yang telah mendarah daging dalam jiwa Latif sejak di bangku sekolah lagi menjadi tunggak bisnes resortnya. Di samping menawarkan khidmat pelancongan homestay,  kolam renang air gunung, masakan kampung, perkhemahan, trekking dalam hutan, memanjat gunung dan mengunjungi tempat-tempat bersejarah, Latif aktif menubuhkan Kelab Seni Budaya Suka Bumi dan baginya "melalui kelab ini saya dapat mengetengahkan seni bangsa kita kepada pengunjung resort, terutama dari luar negeri."

Keghairahan Latif mengetengahkan acara seni budayanya kepada  pelancong yang mahu menikmati dan menghayati seni budaya Negeri Sembilan merupakan satu obligasi sosial. Dengan aktifnya kelab ini semula, yang satu waktu dahulu dilanda krisis dalaman, maka Latif berjaya memeriahkan lagi suasana bercuti setiap pengunjung di Taman Suka Buminya. 

Ada pentas budaya yang dibina khas di pekarangan resort ini. Di pentas inilah pertunjukan kesenian dan kebudayaan diadakan berdasarkan permintaan. Baru-baru ini kelab telah mengadakan pertunjukan di sebuah hotel terkemuka di Seremban dan sempena Tahun Melawat Negeri Sembilan, kelab ini akan diminta mengadakan persembahan di Dewan Merdeka, Rembau.

Ahli-ahli kelab seramai 15 orang terdiri daripada anak-anak sekolah dari Tingkatan Satu hingga Tingkatan V. Dua jenis kesenian ditampilkan, iaitu seni tari dan dan seni drama. Kesemua jenis kesenian ini didasarkan kepada seni Minangkabau. Latif menghimbau adat resam Minang yang baginya telah mengikat kehidupan kebanyakan penduduk Rembau khasnya dan Negeri Sembilan amnya. Pepatah-petitih Adat Perpatih meniti bibirnya. Maka setiap kali persembahan seni budaya diatur Latif akan memulakan mukadimah seninya dengan perbilangan:

         Ekolah endang balimbing
         Kami bermain dambil menyanyi
         Sambutlah salam sembah mairing
         Kami menyusun sepuluh jari.

         Betitir canang pemanggil
         Pukul tabuh larangan
         Palu gong pelaung
         Maka rakyat datang berkampung
         Bulat air kerana pembetong
         Bulat masyarakat kerana muafakat
         Muafakat jangan bercanggah.

         Lancar jalan dek dilalui
         Lancar kaji dek dibaca
         Adat berkata lima perkara
         Sirih, pinang, kapur, gambir dan tembakau.

         Biar lemas itik di air
         Biar berlaga ayam di reban
         Biar menendang kuda di kandang
         Namun adat, seni budaya
         Maruah bangsa dipertahankan juga.


Di setiap persembahan Latif akan berikrar dengan perbilangan ini. Obligasinya kepada seni budaya sebagai taruhan kepada maruah banagsa tetap kental dalam jiwanya. Sejurus selepas itu sebuah tablorama, berupa sketsa sebuah kehidupan alam Negeri Sembilan dipertontonkan. Tablorama ini adalah inti persembahan keseluruhan. Dengan berlatar belakangkan lagu "Apa Kono Eh Jang" dan lakonan tujuh orang anak seni didikanya, Latif melakar peristiwa seorang anak muda bersama ibunya yang pasrah terhadap kehidupan.

Unsur kehidupan desa seperti sawah, padi, lesong, niru dan kerbau divisualisi melalui lambang-lambang gerak badan yang mengasyikkan. Lengkap dengan pakaian pesawah anak-anak didiknya dalam liukan badan tanpa gerak dan kata-kata mempersembahkan lambang gerak badan melalui irama latar. Kepasrahan sebuah keluarga desa disketsakan dengan  amat jelas dan mengesankan.

Latif memilih lima tarian sebagai penyeri persembahan, iaitu Tari Tempurung, Tari Terinai, Tari Pok Amai-Amai, Tari Dikir Putri dan Tari Endang. Kecuali Tari Dikir Putri yang didasarkan kepada Dikir Barat, semua tarian ini dikoreografi dengan latar dan suasana alam Minangkabau. Koreografer kelab, Nora Amrah dan anaknya Dina mendapat ilham mencipta tarian ini sewaktu berkunjung ke Bukit Tinggi, Sumatra Barat.

"Kami sebenarnya tertarik dengan alam Minang sewaktu mula sampai di sana. Sawah padi dan gunung-ganang yang memagari alam desa di Paya Kumbuh, misalnya, menyerupai alam desa kami satu ketika dulu. Walaupun kawasan desa kami tidak sebesar alam Paya Kumbuh, namun kesamaan suasananya sungguh-sungguh menakjubkan. Dari situlah tergerak hati kami untuk meniru konsep tariannya," kata Latif.

Daripada lima tarian itu tiga, iaitu Tari Silat Terinai, Tari Pok Amai-Amai dan Tari Endang  dipersembahkan dengan berlatarkan lagu-lagu Minang. Manakala Tari Dikir Putri berlatarkan lagu "Dikir Putri" nyanyain Noraniza Idris dan Tari Tempurung berlatarkan pula lagu tema Tahun Melawat Negeri Sembilan yang sedang berlangsung sekarang. Tari Tempurung berupa tambahan terbaru dan dicipta khas sempena Tahun Melawat Negeri Sembilan. Jelas Latif, "Suka Bumi telah dipilih sebagai salah satu objek pelancongan sempena tahun melawat Negeri Sembilan ini. Kerana itu saya bersama-sama Nora Amrah mencipta tarian ini dengan mengambil unsur alam, iaitu tempurung sebagai lambang utama tarian."

Tari Silat Terinai merupakan primadona persembahan. Tarian ini memperkenalkan budaya asli Rembau. Menurut konsep asalnya, tarian ini yang namanya Tari Terinai dipersembahkan oleh seorang lelaki di hadapan pengantin dengan menggabungkan empat unsur utama, iaitu piiring, lilin dan gong (tetawak) dan rebana. Penari akan menari sambil menyanyikan pantun-pantun lama yang mengusik kedua-dua pengantin. Lazimnya, usikan nyanyian itu seperti menyakat kedua-dua mempelai yang akan mengalami malam pertamanya setelah bersanding.

Bagaimanapun, Latif bersama Nora telah menggubah semula tarian itu dengan menambah satu lagi unsur, iaitu silat sehingga akhirnya diperlukan tiga orang penari (dua wanita dan seorang lelaki) bergabung untuk menjayakannya. Walaupun nyatanya tarian ini telah dipermodenkan namun keaslian dalam rentak dan lenggok tetap dipertahankan.    
"Sekali pandang orang boleh saja kata ia tari lilin atau tari piring, tapi yang membezakan dengan kedua-dua tarian itu ialah irama dan lenggoknya," kata Latif.

Secara keseluruhannya persembahan Seni Budaya Suka Bumi ini berteraskan Alam Terkembang Dijadikan Guru. Latif berikrar untuk melastarikan konsep persembahannya sesuai dengan suasana alam semula jadi daerah pedesaannya. Dan dia akan berusaha mengetengahkan kegiatan seninya ini ke daerah luar. "Kalau diberi peluang saya mahu membuat persembahan di kota-kota. Dengan cara ini kita membawa suasna alam desa ke bandar melalui tarian dan tablo," katanya. "Cita-cita saya ialah kelab seni budaya ini dapat mengadakan persembahan di rumah PENA atau GAPENA."

Dalam pada itu Latif tengah menimbang-nimbang kemungkina untuk menamakan semula kelabnya itu sebagai Kelab Seni Budaya Gunung Datuk. Katanya nama Gunung Datuk membawa kesan legendaris dan hari ini  gunung itu semakin ramai dikunjungi sebagai objek pelancongan. Dengan menamakan semula kelab itu maka "kami akan merasa lebih dekat dengan alam desa kami dan tentunya ia lebih mengeratkan hubungan kami dengan alam."

          
20 Februari 1999.


No comments:

Post a Comment