Friday, 19 February 2016

KATA PENGANTAR BUKU REMBAU SEJARAH DAN ADAT ISTIADATNYA TERJEMAHAN ABBAS ALI

Buku ini karangan Parr dan Mckray dan diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu oleh Cikgu Abbas Ali dari  Chengkau yg menyemenda ke Gadong.



KATA PENGANTAR

Bahawa buku ini diusahakan menterjemahnya adalah untuk memberi sedikit gambaran kepada ahli-ahlinya, khasnya anak-anak Rembau sendiri yang berhajat hendak menyemak sejarah pentadbiran dan adat perpatihnya, kerana pada masa-masa yang akhir ini didapati selalu benar menjadi perbincangan di dalam surat-surat khabar tempatan dengan berbagai-bagai fikiran dan tuduhan didatangkan oleh penulis-penulisnya, mengatakan pada beberapa perkara, maka adat ini kononnya telah tidak bersesuaian lagi dengan zaman sekarang.
Sama ada pendapat dan tuduhan-tuduhan yang pernah didatangkan oleh penulis-penulis itu benar atau tidak, tiadalah penyalin hendak mengulasnya di sini; tetapi harus berguna diperkatakan bahawa sebagai sebuah negeri kecil, maka Rembau yang luasnya kira-kira 400 batu persegi sahaja dalam Negeri Sembilan sekarang adalah mempunyai sejarah yang patut dimegahkannya pada zaman kebesarannya, iaitu pada suatu masa dahulu, 350 tahun atau lebih ialah sebagai sebuah negeri Melayu yang berkerajaan sendiri, mempunyai perlembagaan dan “undang” menjadi pucuk pemimpin pemerintahan.
Dengan sedikit pindaan pada mana-mana tentangan yang telah berubah maka buku ini bolehlah dikatakan terjemahan bulat-bulat daripada karangan C.W.C. Par dan W.H.Macrel dalam jurnal, Stories Branch Royal Asiatic Society, bilangan 56, keluaran Disember 1910. Maka semenjak tarikh tersusunnya sebanyak yang ada ini sampai sekarang, masanya telah berjalan selama 43 tahun dan penyusunnya boleh mengumpulkan dalam masa yang singkat dan beberapa tahun sahaja setelah berdamping mencampuri hal-hal pemerintahan adat Rembau, oleh yang demikian tidaklah syak bahawa pada beberapa perkara, maka buku ini masih dalam keadaan yang kekurangan juga.
Bagaimanakah caranya pemerintahan Rembau itu dijalankan dan apakah undang-undang yang dipakai oleh kerajaan pada zamannya? Buku ini akan memberi sedikit bayangan kepada pembaca-pembacanya. Kesan-kesan yang ada pada hari ini menunjukkan Melaka, dengan tidak syak, akan jajahan ini ialah satu-satunya negeri kecil yang telah lama berkemajuan dan mempunyai peradaban dan kebudayaan, setidak-tidaknya dari masa setelah runtuhnya kerajaan Melayu Melaka tahun 1511 dahulu lagi. Adapun darihal rupa atau cara undang-undang negerinya pada zamannya itu tidaklah lain daripada yang disebut dengan nama “adat perpatih” masa ini yang diketahui oleh anak-anak Rembau dengan lancar di mulut sahaja dan tiap-tiap satunya menjadi kata-kata basahan dalam masyarakat mereka hari-hari. Maka bolehlah dikatakan bahawa kata “nang tua-tua”, bagaimana difahamkan di Rembau daripada kumpulan kata pepatah, bidalan, perumpamaan, tamsil ibarat dan sebagainya yang banyak dibukukan sekarang ialah bukan perkara baharu kepada orang-orang Melayu Negeri Sembilan yang beradatkan perpatih, meskipun sesetengah daripadanya masih tidak pun tahu menulis. Maka apabila disebut adat di Rembau adalah difahamkan meliputi kehendak-kehendak yang luas ertinya. Adat inilah undang-undang negeri mereka dan sangat dipegang dan dihormati oleh mereka.
Sesiapayang didapati oleh mereka di dalam masyarakatnya berkelakuan tidak baik atau membuat sesuatu yang tidak senonoh maka dikata oleh mereka “tak tahu adat” dan hendaklah dihukum. Jika membuat sesuatu yang ditegah agama juga akan dikata oleh mereka “melanggar hukuman adat” keranaagama dikira oleh mereka sebahagian daripada adat juga yang berjalan seiring dan terus-menerus di mana-mana juga tempatnya. Tiap-tiap orang ada belaka kerajaan bagi membetulkan yang lainnya mengikut adat. Adat berjalan “membujur lalu, melintang patah” kata perbilangan, ertinya adat tetap berjalan lurus menuju matlamatnya, tiada apa yang boleh menahan dan mengendalakan. (Biar mati anak, asalkan jangan mati adat”, kata mereka, jikalau anak hidup, tiada mahu mengikut benar dan undang-undang masyarakat hidup dikelilingnya, maka tiadalah dipandang ia berharga dalam kumpulan mereka, demikianlah teguhnya mereka berpegang kepada adat.)
Mengapakah sampai demikian kuatnya pegangan mereka? Tidaklah lain daripada mengikut tafsirannya bahawa adat itu dikatakan diasaskan daripada enam puncak kata-kata yang berbunyi:
            Pertama, kata Allah,
            Kedua, kata Rasul,
            Ketiga, kata pusaka,
            Keempat, kata muafakat,
            Kelima, kata berteromba dan
            Keenam, bersalasilah.
Yakni segala-galanya sudah terkandung belaka di dalam suatu ikatan peraturan yang membawa kepada kebajikan dan keselamatan hidup. Maka daripada kata-kata tersebut mereka meletakkan kedudukan adat berbanding dengan syarak dalam serangkap kata pengikat yang berbunyi:
            “Pada adat: Menghilangkan yang buruk, menimbulkan yang baik”.
            “Pada syarak: Menyuruh berbuat baik, menegah berbuat jahat”.
Jika difahamkan baik-baik, maka didapati pula mengandungi kehendak-kehendak dan tujuan yang luas dan adil. Perbilangan adat yang sebenar-benarnya disebut oleh mereka “kata pusaka” dan menjadi pakaian kepada seseorang yang gemar hendak hidup mengikut jalan lurus, betul, damai dan menimbang rasa dan keadaan dalam pergaulan adalah berusaha menggalakkan cara hidup bertolong-tolongan dan persamaan rata; berbanding dengan adat temenggung dalam perbilangan yang berbunyi:
            “Siapa menjala, siapa terjun,
            “Siapa salah, siapa bertimbang,
            “Siapa berhutang, siapa membayar,
            “Siapa membunuh, siapa kena bunuh.”
Maka adat perpatih adalah berkata:
            “Hutang bertaruh, cagar bergadai,
            “Cincang pampas, bunuh beri balas.”
Iaitu cenderung kepada bersama-sama memperbaiki sesuatu kerosakan dalam keluarga, tidak membiarkan hidup “laksana telur sesangkar, pecah sebiji, pecah semuanya”. Maka adalah didapati bahawa daripada sekecil-kecil kejadian sampailahkepada sebesar-besarnya, samaada perkaranya itu baik ataupun jahat, mengikut adat, bukanlah dia hak perseorangan. Apakala seseorang yang tinggal di Pahang, Selangor ataupun di Perak misalnya, terpaksa menerima hukuman atas sesuatu kesalahannya yang disyak sahaja dan tiada upaya si yang tertuduh itu hendak mempertahankan dirinya daripada terlepas kena hukum maka tentulah ia akan terus menghadap nasibnya; tetapi di dalam masyarakat adat perpatih, semuanya atau sekurang-kurangnya ahli bagi suku yang tertuduh itu akan bangkit membantah, setidak-tidaknya bersuara menegur atau berkata, si penimbang (hakim) itu tidak tahu adat atau tidak memakai “cupak asli,” maka pada zaman Melayu dahulu lazim kejadian demikian membawa kepada perkelahian yang menumpahkan darah kerana kekurangan usul periksa serta terlangsung memberi keputusan yang bergopoh-gapah itu. Sesuatu keputusan yang didapati adil pada mereka dikata
            “cupak yang pepat,
            “gantang yang piawai,
            “bungkal yang betul,
            “teraju yang baik,”
Pendeknya, apa-apa juga perkaranya, terutama pendakwaan atau tuntutan-tuntutan hendaklah dikemukakan kepada yang bertanggungjawab mengikut aturannya dan jenis serta besar kecilnya perkara itu dengan setahu ramai, kerana macam mana pun halnya, tiap-tiap orang ada belaka kuasanya dan bernobat:
            “raja menobat di dalam alam,
            “penghulu menobat didalam luak,
            “lembaga menobat di dalam lingkungan
            “ibu bapa menobat pada anak buah, dan
            “orang banyak menobat di dalam terataknya.”
Jika
            “penghulu biasa berhukumkan adat,
            “alam biasa berhukumkan syarak,
            “hulubalang biasa menjarah,
            “juara biasa melepas,
            “saudagar biasa bermain bungkal teraju dan
            “perempuan biasa berusahakan kapas dan benang.”
Demikianlah sedikit daripada garisan-garisan asas adat dengan sekali imbas hal-hal yang lanjut masih banyak boleh didapati dan hanya ahli-ahlinya yang gemar membongkar, menyiasat dan mengumpulkan, akhirnya boleh menimbang dengan fikiran yang tenang, sihat dan saksama sahaja yang mengetahui kedudukannya yang sebenar pada masa yang lalu berbanding dengan zaman yang dikatakan kemajuan sekarang ini.
Penyalin buku ini sengaja tidak menyebutkan sesetengah daripada pendapat ahli Rembau, terutama hal yang mengenai bahagian mewarisi tanah pusaka, masyarakat hidup bersuku, nikah kahwin dan lain-lainnya mengikut segi agama yang selalu menjadi sungutan baru-baru ini, keranasepanjang yang diketahui bahawa apa yang pernah diperkatakan itu adalah masih sebagai rancangan yang belum masak dan angan-angan yang selalu dijumpai di mana-mana tempat lain (Tanah Melayu) jua, jika dilayani maka akibatnya akan lebih mengecewakan daripada mendatangkan kebajikan dalam masa segala-galanya masih berjelantah susunannya lagi.
Adapun perihal Rembau memanglah banyak diriwayatkan oleh penulis bangsa asing seperti Portugis, Belanda dan Inggeris dalam masing-masing zamannya. (semaklah majalah JMBRAS jilid XII, 1934; jilid III bahagian II, nombor 1925, sejarah Melayu dan sejarah-sejarah perihal Tanah Melayu) maka dengan ini bertambah kuatlah kepercayaan kita mengatakan bahawa wujudnya dalam setiap zaman itu sebagai sebuah kerajaan merdeka, bukan seperti suatu dusun atau suluk yang didiami oleh orang-orang darah yang masih liar. Sejarah Melayu yang terkarang pada tahun 1612 Masihi itu sungguhpun tiada menyebutkan perkataan “Rembau”, tetapi pada masa Sultan Mansor Syah (1459-77 T.M.) mendirikan istana adalah orang-orang Kundur sana, iaitu membuat dua buah balai pengapit pintu istana baginda, Itu menunjukkan bahawa Rembau ialah sebuah jajahan yang diperintah oleh orang-orang besar (bendahara) Melaka juga dengan Kundur sebagai pusat pentadbiran luaknya. Dan Penajih (Penajis) pun memang telah terkenal dalam zaman kerajaan Melaka, iaitu mana-mana daerah yang dilembahkan oleh Sungai Linggi sekarang. Dahulu namanya Penajih dan Kuala Linggi disebut Kuala Penajih. Nama-nama lain yang ada tersebut dalam Sejarah Melayu ialah Lubuk Cina, Hulu Muar, Sening Ujung  dan lan-lain lagi.
Maka suku Biduanda yang dikenal di Rembau sekarang sebagai suku yang memerintah haruslah keturunan Biduanda. Melaka yang mencampuri pemerintahan Rembau pada zaman kerajaan Melaka Tua itu juga. Biduanda ialah panggilan kepada keluarga bendahara dan memegang jawatan-jawatan yang penting dipaseban Raja Melaka. Sejarah Melayu menyebutkan bahawa anak baik-baik Cina dan juga kaum-kaum bangsawan Jawa yang berkahwin dengan perempuan–perempuan Melayu Melaka semua keturunannya digelar Biduanda. Sama ada cerita bendahara Sekudai yang sememangnya keturunan daripada bendahara-bendahara Melaka juga,manakala tiba ke Rembau berkahwin dengan puteri Biduanda (Jakun) Rembau boleh dikatakan sebagai menghubungkan pertalian darah yang telah renggang atau hendak diterima bulat-bulat cerita bapa kepada anak yang terkenal di Rembau itu seperti yang diterangkan oleh buku ini kelak, maka bolehlah sama-sama kita fikirkan; tetapi satu perkara nyatalah benar, iaitu Rembau ialah daerah yang dekat sekali dengan Melaka dan lagi di Rembaulah boleh didapati tersangat ramai orang-orang Biduanda. Saudagar-saudagar di Melaka memang tertarik hati mencampuri hal Rembau kerana daerah ini banyak mengeluarkan bijih dan benda-benda hutan yang berhasil. Dalam peta d’Eredia tahun 1613 Masihi, Rembau telah ada disamping nama-nama Klang, Sungai Ujung, Naning, Johol dan Jempul dan juga menyebutkan bahawa pada tahun 1613 itu Klang telah mengeluarkan bijih sebanyak seratus bahara setiap tahun. Demikian juga Penajis (tempat bijih dari hulu Rembau terkumpul).
Darihal kedatangan orang-orang Minangkabau ke Rembau ahli-ahli pentarikh Portugis mempercayai semenjak padaabad ke-15 lagi dan keadaannya bertambah ramai dari semasa ke semasa. Maka kebanyakan mereka bercucuk tanam. Apabila Portugis menduduki Melaka sehingga membawa ke tahun 1856 mereka adalah bersahabat dan bertukar-tukarbarang dengan Portugis, iaitu Portugis membawakan barang-barang perniagaan dari Coromandel, India dan orang-orang Minangkabau Rembau memberi emas pula sebagai pertukaran. Pada tahun 1856 mereka pun berpaling tadah, iaitu menyebelahi Johor memerangi Portugis di Melaka dengan angkatan seramai kira-kira 2000 orang dari Rembau di bawah pimpinan seorang panglima perang dari Johor. Apabila Potugis menyerang balas ke Rembau dengan kekuatan 100 orang soldadu Portugis dan 600 soldadu tempatan maka panglima Rembau ini dapat melarikan diri; orang-orang Rembau telah dimaafkan perbuatan ini.
Jadinya, jikalau pada tahun 1856 ini sudah boleh mengadakan angkatan tentera sampai 2000 orang, maka haruslah sekurang-kurangnya sudah seabad dahulu Minangkabau menduduki Rembau atau Rembau-Naning pada masa itu. Tambahan lagi, sebagai memperkuat kepercayaan ini, kita dapati sebuah makam di Pengkalan Kempas yang bertarikh 1467 Tahun Masihi yang tersurat dengan huruf Arab berbahasa Melayu Sumatera dan buatannya pun lebih kurang sama dengan bentuk kebanyakan kubur di sana, maka ini juga menunjukkan jika tidak pun hendak dikatakan orang di dalam kubur itu seorang pemimpin agama orang Minangkabau, maka yang menukangi batu-batu nisan ini ialah orang-orang Minangkabau juga.
Pentarikh Portugis d’Eredia sungguhpun tidak menyebutkan apakah bangsa orang yang menduduki Rembau pada masa Portugis menakluki Melaka pada tahun 1511, tetapi dengan jelasnya menerangkan bahawa Rembau, Sungai Ujong dan Klang adalah sebahagian daripada daerah Kerajaan Melayu Melaka.Maka kenyataan Portugis ini disokong pula oleh Dagh Register,iaitu penyata harian Belanda semasa memerintah Melaka, mengesahkan bahawa sememangnya semenjak beberapa lama orang-orang Portugis mengadakan perhubungan perniagaan dengan jajahan-jajahan yang dahulu negeri Melaka.
Adapun perkelahian di antara Rembau dengan Portugis pada tahun 1585 itu sungguhpun berkesudahan dengan bermaaf-maafan tetapi boleh dikatakan semenjak itu juga keadaan perhubungan diantara kedua-duanya semakin renggang dan selalu sahaja berlaku persengketaan, sampailah pada masa Belanda merampas Melaka daripada Portugis tahun 1641, kerana hubungan Rembau telah bertambah rapat dengan Johor dan Belanda pula. Maka pada masa Belanda mengambil Melaka daripada Portugis, orang-orang Johor, Naning dan Rembau adalah sama mencampurinya; jika tidak pun dikatakan memihak kepada Belanda maka mereka telah melakukan perampasan harta benda dan menawan orang-orang pelarian Portugis yang dalam kelaparan yang berundur ke darat negeri Melaka dan di samping itu, menyekat Sungai Penajih (Linggi)supaya ketenteraman mereka jangan pula dicerobohi oleh Belanda yang sememangnya di sebalik perkataan “bersahabat” hendak memborong pula apa-apa juga hasil yang dikeluarkan oleh Rembau.
Kepercayaan Rembau kepada Belanda telah rosak, manakala Belanda menuntut supaya memulangkan orang-orang tawanan Kristian kepadanya apabila selesai sahaja memerangi Melaka dan juga Belanda memaksa Rembau dan negeri-negeri lain di Semenanjung ini berniaga dengannya sahaja. Mulai dari tahun 1641 itu juga Rembau telah membukakan perniagaan dengan orang-orang asing. Maka pada masa itu wakil Belanda sebagai Temenggung Naning ialah Jan Menie namanya sebagai mengganggu perbuatan Rembau ini maka Temenggung ini telah menyekat Sungai Penajih pada bulan Januari 1642, tetapi dapat dikalahkan oleh Rembau. Pada bulan Mei tahun itu Sultan Johorpun menghantar utusan ke Rembau bagi mendenda Dato’ Lela Maharaja dan lembaga-lembaga Rembau, jumlah denda semuanya sebanyak $200 kerana perbuatan membenarkan orang-orang asing berniaga dengannya.
Belanda tidaklah terhenti usahanya sekadar menghasut Johor ini sahaja. Lebih lanjut pada awal tahun 1643, daripada keputusan jemaah tadbir Belanda di Melaka bahawa mustahaklah konon dihantar perutusan ke Naning dan Rembau bagi memujuk kerajaan kedua-dua luak ini supaya bersifat damai dan aman dan berhenti daripada melakukan rompakan dan membuat huru-hara. Perutusan ini bertolak pada 3 Februari, diketuai oleh Gabenor Jeremias van Vliet dan diiringi oleh Kapten Laurens Forsenburgh, Temenggung Jan Jansz Menie,hakim, setiausaha Belanda dan dikawal oleh 60 orang tentera Belanda serta seratus askar tempatan. Maka lawatan ini sunguhpun dikatakan berhasil kerana Belanda telah dapat memecah dan mendenda setengah-setengah ketua tempatan seperti memecah A.Badur, ketua melakik dan membuka sekatan di Pengkalan Nawar dan juga menetapkan cukai 1/10 daripada hasil padi mesti dibayar oleh Naning kepada Belanda, tetapi apabila mara lagi hendak masuk ke Rembau mereka telah kecewa dan menemui jalan buntu. Apabila Belanda menuntut kepada Rembau supaya memulangkan orang-orang tawanan Kristian, senjata dan lain-lain barang rampasan serta juga jajahan Tampin, Rembau telah menangguh-nangguhkan tuntutan itu.
Kerajaan Rembau menegaskan bahawa Tampin telah diberikan oleh Sultan Johor kepadanya dan darihal barang-barang rampasan dan orang-orang tawanan, sagu hati sudah pun dibayar kepada Menie. Oleh yang demikian Belanda pun mengambil langkah yang bergopoh-gapah lalu menyerang, tetapi tidak berhasil kerana sebelum sempat bertentangan di medan, mereka telah diserang hendap oleh Rembau. Kapten Forsenburgh dan Temenggung Menie berserta enam orang lagi askar Belanda telah terbunuh dalam serangan ini. Maka satu angkatan tentera lagi telah dikirimkan tetapi itu pun gagal juga dan terpaksa berundur ke Melaka dengan meninggalkan sebuah peti berisi wang sebanyak kira-kira 14,000 riyal dan 30 orang lagiaskar Belanda terkorban. Sultan Johor tidak dapat berbuat apa-apa dalam rusuhan ini selain daripada berdalih mengatakan bahawa kejadian yang tersebut ialah perbuatan orang-orang bendaharanya dan kerajaan tidak bertanggungjawab serta menghantar Hang Khamis dan Hang Sikam, iaitu dua orang utusan bagi menyampaikan ucapan dukacitanya terhadap kematian sahabatnya, Menie dan dua orang lagi diutus ke Betawi iaitu Seri Maharaja Lela dan Lela Wangsa bagi menerangkan kejadian ini juga.
Selain daripada kejadian tersebut, sekurang-kurangnya ada dua kejadian yang besar lagi yang berlaku pada tahun 1643, iaitu pada 5 Mei orang-orang Rembau telah berhasil membinasakan sebuah kapal nelayan Belanda di Sungai Baru dengan membunuh dua orang daripada orang-orangnya: perbuatan ini telah dibalas oleh Belanda dengan menyekat Sungai Penajih juga dengan tujuan hendak melaparkan Rembau. Pada 23 Mei pula berperang betul-betul di antara Belanda pada satu pihak dengan Rembau dan Naning pada pihak yang sebelahnya. Raja Merah, penghulu Naning hendak berbaik-baik dengan Belanda, tetapi bimbang pula akan Rembau. Masa inilah juga Belanda sendiri telah serbasalah, bimbang kepada Johor dan sebaliknya Johor bimbangkan Belanda, dalam mana akibatnya perniagaan di Melaka telah susut dan kucar-kacir. Setelah beberapa bulan lamanya dalam keadaan yang bersorong tarik ini barulah Belanda dapat bertapak sedikit demi sedikit mempengaruhi Rembau, Naning dan Johor.
Pada bulan Ogos 1644 ada lima orang Melayu Naning telah dijatuhihukum oleh Belanda mengikut Dagh Register. Nama-nama mereka ialah Sitam, Busu, Silap, Putra dan seorang utusan bernama Pijum yang bekerja sebagai pengintip rahsia. Kesalahan Sitam yang sifatnya sebagai orang kepercayaan Belanda di Melaka bagi menyampaikan surat utusan ke Naning dan Rembau, sebaliknya telah mengusahakan satu angkatan seramai 2000 orang Minangkabau melawan Belanda. Dia dihukum bunuh dan tubuhnya dipertunjukkan kepada khalayak ramai sampai hancur. Silap dan Busu dihukum pancung, demikian juga Putra, tetapi Putra dicacakkan kepalanya pada kayu; Pijum dilepaskan. Selain daripada itu ada dua orang Rembau pula yang dapat ditangkap oleh Belanda dahulu Muar dan dihukum bunuh tidak berapa lama kemudiaannya, iaitu setelah Belanda mengutus Peter Souriji menuntut berdamai menerusi Johor dan Johor mengutus Bendahara Skudai untuk menyelesaikan hal dan pertelingkahan yang tidakberkesudahan ini. Sebagai satu muslihat, maka Bendahara Skudai melantik cucunya yang bergelar Lela Maharaja[1], menjadi Undang Rembau. Setelah itu, apabila hal-hal Rembau dan Naning telah tenang maka Skudai pun beredar ke Sungai Ujong seterusnya ke Pahang.
Sungguhpun keadaan telah berjalan dengan baik tetapi hanya buat sementara sahaja kerana Belanda masih berdendam hendak membalas perbuatan Rembau membunuh dua orang pembesarnya, iaitu Forsenburgh dan Menie.Pada (bulan Februari 1645 dihantarnya satu angkatan seramai 350 orang tentera melanggar Naning dan Rembau, tetapi tidak berhasil menentang kekuatan Rembau yang seramai 2000 orang, lalu berundur.(Setahun kemudian dilanggar sekali lagi dengan angkatan yang lebih besar, barulah Rembau menuntut damai kerana tidak tahan melihat keganasan Belanda terhadap pokok tanam-tanaman dan rumah-rumah mereka yang dibinasakan. Di antara tujuh orang wakil pihak Naning dan Rembau yang datang sebagai utusan menuntut damai termasuklah Jalila Muluk, iaitu ipar Dato’ Lela Maharaja Rembau dan Katib Sitam Muda ipar Dato’ Syahbandar Rembau. Belanda menuntut tiga orang dari Rembaudan tiga orang dari Naning hendaklah dijatuhkan hukum bunuh kerana perbuatan membunuh dua orang pembesarnya dan semua barang yang dirampas dan wang yang tercicir dahulu jugaperlu dipulangkan. Rembau menuntut maaf sahaja dan tiada upaya menyempurnakan tuntutan-tuntutan ini. Belanda pula sekadar jika dilakukan sebarang perbuatan yang bergopoh-gapah akibatnya akan menambahburukkankeadaan.Oleh yang demikian, hukuman itu diringankan dengan denda wang sahaja. Ini pun tidak juga sanggup Rembau membayarnya, kecuali mengaku hendak dibayar dengan beransur-ansur. Sebagai hendak berbaik-baik sangka, maka pada 17 September 1646 dibuatlah satu perjanjian persahabatan di antara wakil-wakil Kerajaan Rembau dengan Syahbandar Abraham Steen dan yang demikian Sungai Penajih pun dibuka semula bagi perniagaan, Rembau bertambah-tambah maju.
Pada tahun 1673 datanglah Jambi melanggar Johor lalu Sultan Johor berundur, mula-mulanya ke Johor Lama dan setelah itu ke Pahang. Melihat kejadian ini Rembau pun memutuskan perhubungan dengan Johor dan bersekutu semula dengan Naning memilih seorang raja dari pantai timur Sumatera. Raja ini namanya Raja Ibrahim, dari Sayak. Ia mengaku dirinya keramat dan keturunan raja-raja Melaka. Mengikut kenyataan Balthasar Bort, iaitu Gabenor Belanda di Melaka bahawa Raja Ibrahim ini ialah seorang pelarian dari Acheh dan tiada betul akalnya. Dalam pada itu, ia berjaya mempengaruhi Naning dan Rembau dengan mengadakan kekuatan tentera melanggar Belanda di Melaka sampai dapat dikalahkannya batang tiga dan berganti-ganti kalah menang dengan Belanda. Dalam peperangan ini sungguhpun Belanda cuba menyekat Sungai Penajih semuladengan kapal-kapal perangnya yang bernama t’Wape van Malacca dan Onrust bagi memotong perbekalan Rembau dan Naning tetapi tidak berjaya juga. Setelah Raja Ibrahim mangkat dibunuh oleh Bugis pada tahun 1679 barulah rusuhan ini berhenti. Maka berdamailah semula Belanda dengan Naning serta Naning mengaku bahawa perbuatannya yang sudah-sudah itu hanyalah kerana terpaksa dan dipengaruhi oleh Rembau. Pada 13 Februari 1680 dibuatlah lagi perjanjian persahabatan di antara Belanda dengan Naning-Rembau bagi membaharui persetiaan yang dahulu.
Apabila Johor telah berbaik-baik semula dengan Jambi maka Belanda pun ke Johor meminta Johor mempengaruhi Rembau semula supaya sentiasa menghormati perjanjian-perjanjian persahabatan.Pada sesetengah riwayat akibat daripada permintaan ini maka pada tahun 1701 Johor pun menyerahkan kuasanya di Naning kepada Belanda.
Pada tahun 1707 diterimalah oleh Undang Rembau surat cap mohor yang bertulis “dengan kurnia Bendahara Seri Maharaja” sebagai menghubung semula ikatan dan pertalian mereka yang telah renggang itu. Kemudian daripada ini negeri Johor telah termasuk ke dalam kuasa Bugis dan dengan sebab itu, Rembau pun tertarik sama. Maka berbalik semula bermusuh dengan Belanda. Pada akhir tahun 1756 Rembau telah membantu Daeng Kemboja, Yamtuan Muda Linggi, melanggar Belanda di Melaka, tetapi pada bulan Mei 1757 telah terpaksa berundur. Sultan Sulaiman, Johor dan Sultan Mansor, Terengganu telah berjaya mengeluarkan Rembau dan Linggi daripada cengkaman Bugis tetapi kerana kuasa Johor semakin lemah maka diserahkan hak memerintah atau sekurang-kurangnya menaungi Rembau yang dikatakan tidak berapa menguntungkan itu kepada Belanda. Kuasa-kuasa Daeng Kemboja, Raja Alam, Raja Said, Raja Haji, Dato’ Engku Klang dan Raja Adil Rembau yang semuanya sangat merosakkan kuasa Belanda di Melaka telah dilucutkan. Pada 1 Januari 1758 diikatlah satu perjanjian lagi di Fort of Filipina, Kuala Linggi diantara Belanda dengan Bugis beraku-akuan sahabat dan Johor meluluskan Belanda memajak bijih timah yang dikeluarkan dari Linggi, Rembau dan Klang. Demikian juga pada 11 November 1759 di antara Gabenor David Bulen bagi pihak Belanda di Melaka dengan Daeng Kemboja, Linggi, Dato’ Engku Klang, Setia Purba, Paduka Alam bagi pihak suku berempat, Rembau dan penghulu pendeta kaya serta Syahbandar Pendeta Garing, Rembau, sekaliannya berikrar hendak bersungguh-sungguh bersama memerangi perompak-perompak lanun dan menahan kapal-kapal lain yang belayar di Selat Melaka yang tidak dengan kebenaran Belanda. Maka perjanjian ini diperbaharui oleh Gabenor Thyssen, Inggeris di Melaka, tahun 1818.
Satu daripada perkara yang menarik hati lagi ialah bahawa perjanjian ini ada menyebutkan sembilan daerah di Rembau dan juga ditandatangani oleh Dato’ Undang Rembau sahaja sebagai penghulu bagi pihaknya dengan meninggalkan Raja Adil, iaitu menunjukkan bahawa Raja Adil bukanlah raja yang memerintah Rembau yang diakui oleh pembesar-pembesar Bugis bagi pihak kerajaan Johor pada masa itu sungguhpun gelarannya Yamtuan Muda Rembau mengikut gelarannya yang dipakai oleh Kerajaan Riau-Johor dan isterinya pun seorang puteri Bugis.
Darihal raja-raja Minangkabau mencampuri hal Negeri Sembilan amnya dan Rembau khasnya adalah bermacam-macam cerita. Sebelum datang Raja Adil, yakni selepasa Raja Ibrahim yang terbunuh pada tahun 1679, dalam riwayat Sungai Ujong ada menyebut nama Raja Kasah. Raja ini dijemput oleh Undang Sungai Ujong, Johol, Naning dan Jelebu tetapi oleh sebab didapati jahil dalam adat perpatih lalu terletak semula ke Sumatera. Kemudian barulah datang Raja Adil. Selepas itu Raja Khatib pula namanya. Dia ini pun dikatakan raja tiada sah juga. Akhirnya barulah Raja Melewar. Mengikut peringatan hari-hari Belanda bahawa (Raja Melewar datang pada tahun 1772.)
Maka riwayat perjalanan Raja Melewar datang penuh dengan cerita yang dibesar-besarkan, dalam pada itu diakui bahawa ia datang melalui Siak dengan membawa keterangan yang bercapkan mohor sebagai Sultan Minangkabau, kononnya memerintah Palembang, Jambi, Inderagiri, Inderapura, Siak, Acheh Pariaman dan lain-lain lagi. Darihal menabalkan dia jadi Yamtuan pula bermacam-macam cerita yang didapati lagi, setengah riwayat menyebutkan ditabalkan oleh Undang Sungai Ujong, Johol dan Rembau dan setengahnya mengatakan Undang Jelebu termasuk sebagai penabal yang keempat; yang lain lagi menyebutkan pula penghulu Klang, ada yang mengatakan Dato’ Ulu Muar, Dato’ Naning dan bermacam-macam lagi. Jika hendak diterima kesimpulannya maka haruslah bukan keempat-empat undang sekali menabalkan dia, melainkan Raja Melewar perlahan-lahan kuasanya luas mempengaruhi daerah Ulu Muar dengan meninggalkan daerah-daerah di tepi laut yang dibawah pengaruh Bugis yang tidak berkesudahan menghuru-harakan Belanda di Melaka. Maka pada masa Rembau membantu Raja Haji (Bugis)menyerang Melaka tahun 1784 Raja Melewar tidak mencampuri hal Rembau itu. (Raja Melewar mangkat pada tahun 1795), iaitu semasa Inggeris mengambil Melaka daripada Belanda. Pendeknya Raja Melewar tidak mengambil hirau akan hal-hal Bugis di luar daerah Melaka serta mengambil tahu hal penghasilan bijih timah di Sungai Ujong dan Jelebu dan juga persengketaan Undang Rembau atau Sungai Ujong yang kedua-duanya sama kuat dan tidak mahu beralah, sebaliknya ia berdiam-diam mempengaruhi penghulu Ulu Muar, Terachi Gunung Pasir, Jempul dan Inas sebagai penyokongnya.
Adalah campuran British ke atas Rembau mulai tegap ialah selepas Perang Naning tahun 1832 kerana Rembau telah tidak menyalahi Naning lagi. Pada mula-mula Perang Naning ini Raja Ali, Rembau telah dapat dipujuk oleh Dol Said, Dato’ Naning memihak kepada Naning dengan alasan bahawa selepas British berjaya menyerang Naning, maka ia akan menyerang Rembau pula. Maka bantuan Rembau ke atas Naning itu menyebabkan British kalah dalam serangannya yang pertama dan memeranjatkan, sampai disangkanya bahawa seluruh Negeri Sembilanlah yang membantu Naning itu. Tetapi setelah berjaya Gabenor Ibbetson memujuk dan menerangkan kepada Raja Ali bahawa British sekali-kali tidak berniat sedemikian, maka barulah Rembau menarik tenteranya dari Naning dan kemudian Syed Syaaban berpaling pula membantu British sebagai pengakap yang membukakan rahsia perkubuan Naning.
Perundingan-perundingan di antara British dengan Rembau ini berjalan di antara bulan September 1831 membawa kebulan Januari tahun berikutnya: perjanjian-perjanjian telah dibuat, mula-mulanya pada 30 November 1831 dan kemudian disambung lagi pada 28 Januari 1832 dengan menyebut di antara lain “bahawa Kerajaan Rembau dengan kuasa yang ada kepadanya adalah bebas menjalankan pemerintahan di dalam daerah luaknya mengikut undang (adat perpatih) pentadbirannya sendiri” dan British dengan Rembau tiadalah harus lagi bermusuh-musuhan dan rampas-merampas jajahan. Selepas perjanjian ini ditandatangani dan Rembau mendapat perhatian British, maka Raja Ali pun sebagai menangguk di air keruh, menggelar dirinya Yamtuan Besar Negeri Sembilan yang tidak pernah diakui oleh sesiapa dan menantunya, Syed Syaaban digelarnya Yamtuan Muda Rembau. Tetapi tidak pun beberapa lama timbullah pula perselisihan dengan Dato’ Muda keatas Linggi, lalu berperang. Maka dalam perkelahian ini Dato’ Undang Rembau mendiamkan diri sahaja, tidak memihak kepada mana-mana. Syed Syaaban marah lalu cuba menjalankan muslihat hendak membunuh Undang Rembau. Maka dengan sokongan Undang Sungai Ujong Raja Ali pun dapat diundurkan dan lari ke Lukut dan Syed Syaaban berpindah ke Tampin, iaitu sebahagian daripada hujung daerah luak Rembau yang disebelah timur. Maka disini ia memakai gelaran Tengku Besar dan memerintah, kekal berketurunan kepadaanak cucunya sampai sekarang dengan gelaran tersebut. Setelah itu Rembau pun tetaplah menjalankan halnya dengan menderhaka dan bersendirian membuat sebarang perjanjian dengan British dari semasa ke semasa.
Maka adalah satu perkara lagi yang rasanya berguna disebutkan selepas Perang Naning ini. Adapun Naning berperang melawan British itu berakhir dengan Naning kalah pada 15 Jun 1832, Dato’ Dol Said berundur menyelamatkan diri, maka sebagai membalas budi baik Raja Ali lalu British hendak menyerahkan Naning di bawah tadbirnya. Tetapi oleh keadaannya dalam bimbang agaknya, maka tiadalah diterima pemberian ini. Oleh itu, Naning pun diperintah dari Melaka dengan Tuan Westerhout, seorang Belanda diwakilkan memungut cukai dan menjaga hal ehwal daerah ini. (Tuan ini dikenal dengan sebutan Tuan Bartje oleh orang-orang Melaka, iaitu dipelatkan daripada nama Kristiannya Bartholomeus atau Bartje.)
Selepas kejadian tersebut, apabila Raja Ali dan Syed Syaaban berundur dari Rembau, maka Sungai Ujong pula berbalah dengan Rembau kerana Dato’ Kelana tidak berkenan akan Lebai Kulub memungut cukai di Simpang bagi pihak Rembau. Pergaduhan ini tamat pada bulan Ogos 1885. Tetapi satu perkara lain berbangkit pula, gabenor Negeri-negeri Selat mengeluarkan peraturan bahawa Sungai Ujong hendaklah jangan mendirikan kubu lagi di Kuala Linggi. Maka sejak itu, kapal-kapal perang British berkawal di laut untuk memastikan peraturan ini dihormati. Pada tahun 1860 dan 1861 Haji Musa dengan kuasa yang diberi oleh Undang Sedia Raja Rembau telah tampil menuntut cukai bijih yang dibeli oleh kapal-kapal British di Lubuk Cina. Maka kejadian ini melarat kepada pergaduhan senjata di antara Rembau bagi sebelah pihak dan Sungai Ujong serta Linggi di sebelahnya lagi kerana Dato’ Muda Linggi tidak sudi memberi cukai daripada hasil-hasil yang dipungutnya di Sungai Linggi kepada Rembau. Rembau memanjangkan perkara ini kepada British bagi timbang rasa, tetapi British tidak pula berupaya memberi suatu ketetapan yang diikut oleh kedua-duabelah pihak. Apabila selesai pergaduhan ini pada tahun 1877 Simpang pun berpindah ke tangan British diserahkan oleh Undang Lela Maharaja Haji Sahil dengan suatu perjanjian yang tidak diakui oleh lembaga-lembaga berlapan.
Pada tahun 1877 ini dua perjanjian yang dibuat oleh Rembau dengan British. Satu bertarikh 31 Mac dibuat di antara Gabenor Wm.F.Drummond Jervois bagi pihak British dengan Sultan Abu Bakar, Johor dan Undang Lela Maharaja Haji Sahil bagi pihak Rembau. (pada masa itu Sultan Johor ada di Rembau). Maka diantara lain-lain dalam perjanjian itu, Undang Haji Sahilmengaku hendak tinggal dengan aman dan damai dalam luaknya dan tidak lagi mengharu atau mengganggu hal-hal Sungai Ujong, Jelebu, Seri Menanti, Jempul, Johol dan lain-lain negeri kecil di Seri Menanti yang di bawah Yamtuan Antah. Jika berbangkit perselisihan dengan negeri yang berjiran, maka Rembau mengaku membawakan halnya bagi pemerhatian Seri Maharaja Johor. Perjanjian ini tidak ditandatangani oleh lembaga berlapan dan yang demikian tidak sah mengikut peraturan Rembau. Satu lagi ialah surat penyerahan Simpang yang disebutkan di atas. Iaitu bertarikh 27 September, ini pun sebagai perjanjian yang tidak sah juga kerana selain daripada tandatangan Undang Haji Sahil (cap) maka tidak ada tandatangan Dato’-dato’ Lembaga berlapan. Meskipun dalam surat ini ada menyebut perkataan “bahawa kami, Haji Sahil, Dato’ Rembau LelaMaharaja dengan lembaga berlapan suku yang tersebut namanya di bawah ini…” iaitu sepatutnya ada tandatangan mereka di bawah surat itu. Jadinya, perbuatan Undang Haji Sahil ini ialah bersendirian dan yang demikian telah membangkitkan perselisihan. Maka pada tahun 1883 beliau pun dipecat oleh lembaga-lembaga Rembau. Mulai dari tahun ini Rembau tidaklah menggantungkan halnya ke Johor lagi melainkan berhubung rapat dengan gabenor British pula.
Sepuluh tahun lepas, perjanjian ini iaitu pada tahun 1887 dibuat lagi satu persetiaan yang besar sekali maknanya dalam sejarah Rembau. Persetiaan ini bertarikh 17 September. Persetiaan inilah sebagai penamat riwayat Rembau yang sifatnya sebuah negeri merdeka semenjak hampir 400 tahun itu berpindah menjadi jajahan naungan. Di antara lain maka di dalamnya menyebutkan bahawa segala perkara yang berhubung dengan hasil negeri, mahkamah pengadilan sivil dan jenayah hendaklah terserah ke dalam kuasa British. Dato’ Undang Rembau hanyalah akan menerima bersih 1/3 daripada hasil negeri sahaja bagi saranya dan sara Dato’-dato’ Lembaga dan pegawai-pegawai adatnya. Maka keadaan demikian berjalan sehingga tahun 1922, manakala Undang Sedia Raja Abdullah dengan muslihat yang tidak dapat dielakkan terpaksa menerima sara tetap bulanan bagi pihaknya dan Dato’-dato’ adatnya juga demikian hingga sekarang.
Akhirnya pada tahun 1889 Rembau dan Tampin pun masuklah ke dalam persekutuan sembilan negeri yang ditubuhkan semenjak tahun 1887 dan mengaku bernaung di bawah penasihat Residen British yang memerintah daerah Seri Menanti. Pada masa itu hingga tahun 1895, iaitu apabila diadakan seorang residen sahaja bagi Negeri Sembilan yang duduk di Seremban. Maka Yamtuan Seri Menanti, Undang Johol, Sungai Ujong, Jelebu dan Rembau serta Tengku Besar Tampin mengaku meletakkan negeri masing-masing di bawah naungan British dengan angkatan nama “Negeri Sembilan” dari semenjak ini tiadalah lagi Rembau membuat apa-apa persetiaan atau sebarang surat perjanjian yang bersendirian dengan kerajaan luar. Sebaliknya perlahan-lahan hak dan tarafnya berkurangan sebagaimana kuasa dan tadbiran adat-adat itu bertambah layu dan tiada terpakai kerana digantikan dengan undang-undang British yang berjalan mengikut perubahan yang diruntun oleh masa sekarang adanya. Wassalam.

Abbas bin Haji Ali.
Seremban,
10 Oktober 1952.




[1][1] .           Jika hendak disangkutkan Bendahara Skudai dengan sejarah Undang Rembau maka tarikh mengikut Parr and Mackrray itu berbeza kira-kira seratus tahun. Bendahara Skudai mengikut sejarah Melayu ialah keturunan yang ke-7 daripada Seri Nara Diraja Tun Ali, Melaka atau bendahara yang ke-XV daripada keturunan bendahara-bendahara Melaka dan Johor. Rembau telah terbuka dan berkerajaan terdahulu daripada kedatangan Skudai, tetapi siapakah pemerintahnya? Adakah Dato’ Ubun, waris Jakun Cengkau iaitu undang yang ke-5 itu cucu Skudai? Jika sungguh maka bukanlah cucu Skudai yang sebenar-benarnya undang yang-1, Rembau. Penyalin.

(Catatan: Artikel di atas masih belum diedit.)

No comments:

Post a Comment