Hjh Saadan Kassim bercerita tentang Datuk Abdullah Dahan |
Minggu lalu Uwan Saadan dari sebuah kampung di
Kota, Negeri Sembilan bercerita tentang pengaruh Undang Rembau yang ke-18
terhadap kegiatan politiknya. Bagi Uwan Saadan, Undang Rembau ke-18 itu
merupakan sumber inspirasinya. Bagi Uwan Saadan, undang itu seorang pejuang
yang ingin melihat orang Melayu maju. Kerana penasaran, saya menemui pakar rujuk adat
Negeri Sembilan, Nurhalim Ibrahim di rumahnya di Taman Bunga Ros, Kajang.
Saya ingin penjelasan lanjut berhubung Undang
Rembau yang satu ini. Apakah benar dia pejuang yang sanggup “menghulurkan
lehernya” kepada kerajaan penjajah Inggeris pada waktu itu? Setahu saya seorang
pemimpin adat tidak dibenarkan berpolitik. Nurhalim bukan setakat mengakui
hakikat perjuangan Undang Rembau ke-18 ini dalam politik, malah membuktikannya
melalui dokumen dan kepustakaan yang
tersimpan di rumahnya. Nasihat-nasihat tulisan peribadi dan rasmi Undang Rembau
ke-18 itu diperagakan untuk menyokong dakwaannya.
“Jika saudara mahu kepastian lagi, sila hubungi
salah seorang cucunya Abdullah Azmi Abdul Khalid dari Universiti Malaya,” kata
Nurhalim.
Hampir semua dokumen itu memperjelas ketokohan
Abdullah bin Haji Dahan, Undang Rembau ke-18 yang dimaksudkan itu. Malah,
Nurhalim berani bertaruh hanya Datuk Abdullah satu-satunya Undang Rembau yang
dikurniakan bintang CBI (Komander Upzi British
Empayar) oleh King George ke-V, Raja Inggeris.
Menurut Nurhalim, setelah Datuk Abdullah
menerima anugerah itu beliau mengadakan kenduri kesyukuran tiga hari tiga
malam. Pesta ronggeng turut diadakan yang benar-benar mengejutkan orang
kampung. Sebabnya sebelum ini Datuk Abdullah sendiri tidak membenarkan pesta
ronggeng diadakan di Rembau. Kononnya Datuk Abdullah membenarkan pesta ronggeng
kali ini kerana terpaksa akur dengan kehendak anak-anak muda daerah itu yang
bersungut, “Kalau tak ada ronggeng tidak meriahlah sambutan kenduri itu.”
Demikianlah, Datuk Abdullah Haji Dahan, seorang
tokoh adat yang dilantik sebagai Undang Rembau ke-18 pada tahun 1922, adalah
sebenarnya seorang tokoh pembaharuan yang berjaya “menakluki minda pentadbir
penjajah” untuk mengizinkannya berjuang memajukan ekonomi dan pendidikan orang
Melayu. Pendekatan perjuangannya bukan melalui konfrontasi atau penentangan
tetapi melalui konsep “jika tidak mampu menentang, kita bergabung saja.” Ia
memang mendatangkan kejayaan besar.
Abdullah dilahirkan pada tahun 1900. Ayahnya
Haji Dahan Haji Ibrahim daripada waris Biduanda Lela Maharaja sementara ibunya
Salmah binti Daud daripada waris Biduanda Sedia Raja, Kampung Tanjung.
Kedua-dua waris biduanda ini adalah kelompok suku yang mempusakai jawatan
undang di Rembau. Abdullah menerima pendidikan awal di Sekolah Melayu Kota dan
kemudian melanjutakan pelajaran di Maktab Melayu Kuala Kangsar hingga ke Senior
Cambridge. Abdullah merupakan kutu buku. Dia membaca apa sahaja yang ada di
perpustakaan dan antara yang paling digemarinya ialah Ensiklopedia Britanika yang dia anggap sebagai sahabat
karibnya. Setelah lulus Senior Cambridge dengan cemerlang, Abdullah
dilantik sebagai pegawai pentadbir Melayu dengan memegang jawatan Pegawai
Syarikat Kerjasama. Abdullah tidak lama bekerja sebagai pegawai kerajaan kerana
setahun kemudian, tepatnya 1 September 1922, dia terpilih untuk menjadi Undang
Rembau yang ke-18 menggantikan Datuk Lela Maharaja Haji Sulung bin Ambiah yang dipecat. Gelaran Abdullah ialah
Datuk Sedia Raja.
Lima tahun kemudian, Datuk Abdullah dilantik
pula sebagai ahli tidak rasmi Majlis Perpustakaan oleh kerajaan penjajah.
Semasa menduduki kerusi inilah beliau memperjuangkan peningkatan dalam mutu
pelajaran Bahasa Inggeris di sekolah-sekolah berasrama seperti di Maktab Melayu
Kuala Kangsar dan Sekolah King George V, Seremban. Beliau juga menggesa seorang
guru Melayu diambil untuk Maktab Melayu Kuala Kangsar supaya murid-murid di
maktab itu mendapat pengajaran Bahasa Melayu yang bermutu tinggi. Banyak
persoalan yang ditimbulkan oleh Datuk Abdullah dalam Majlis Perpustakaan dan
hampir semua persoalan menyangkut masa depan orang Melayu sendiri, khususnya
dalam bidang tanah pertanian.
Beliau juga tidak ingin melihat anak Melayu
menjadi peon sahaja tetapi menjadi pegawai seperti katanya dalam tahun 1934, “…
sangat gembira ramai peon Melayu, pembawa surat Melayu, penarik pungkah Melayu, kelasi Melayu, polis Melayu
dan penjaga get Melayu di jabatan kereta api, tetapi orang Melayu juga ingin
mendapat bahagian dalam jawatan-jawatan lebih tinggi.”
Menurut Nurhalim, Datuk Abdullah turut
memperjuangkan perubahan kepada perjalanan adat di Rembau, Datuk Abdullah cuba
merubah kedudukan lembaga dengan menjadikan mereka yang berpendidikan dan
berperibadi tinggi sebagai penghulu mukim. Dengan demikian, Datuk-datuk Lembaga
ini akan mendapat semula sebahagian daripada kuasa yang hilang akibat wujudnya
Kanun Tanah Hak, 215 yang diperkenalkan oleh pentadbir Inggeris. Di samping
itu, Datuk Abdullah menasihatkan Datuk-datuk Lembaga menghentikan sikap
mementingkan diri serta rasuah dan sebaliknya menjalankan tugas dan tanggungjawab
secara berkesan mengendalikan kepentingan anak buah. Dalam hal ini, salah satu
kejayaan penting Datuk Abdullah dalam menasihati Datuk-datuk Lembaga menerima
pembaharuan agar harta carian bersama dalam kalangan anak-anak buah dibahagikan
mengikut hukum syarak.
Dalam pada itu, sebagai manusia biasa, Datuk
Abdullah tidak terlepas daripada fiil negatif yang kurang disenangi dan
keinginan peribadinya. Pernah beliau mempunyai lima buah kereta mewah sekali
gus: dua buah Mercedes, sebuah Chevrolet, sebuah Voksol
dan sebuah Fiat. Dan pernah juga berlaku satu peristiwa bilamana dia
mengarahkan pembantunya, Muhammad Yusuf menempeleng pemandu sebuah kereta yang
memotong kereta rasminya. Mujur juga Muhammad Yusuf enggan melaksanakan
suruhannya. Kemudian, terjadi pula peristiwa apabila Datuk Abdullah mendera
Pegawai Daerah Tampin, seorang Inggeris bernama Lockhom.
Pegawai daerah itu mengadakan kunjungan mengejut ke kediaman Datuk Abdullah
tanpa membuat temu janji terlebih dahulu. Datuk Abdullah enggan menemui pegawai
itu. Sebaliknya beliau membiarkannya berjemur di tengah panas lebih kurang
sejam lamanya. Akhirnya pegawai daerah itu pulang tanpa dapat berjumpa dengan
Datuk Abdullah.
“Kan dia ada telefon, telegram, boleh menulis
surat dan ada peon? Tetapi menceroboh masuk, itu kurang ajar namanya! Merah
muka orang putih itu tak?” tanyanya kepada pembantunya Muhammad Yusuf.
Datuk Abdullah juga pernah meminta pembantunya
Muhammad Yusuf merahsiakan kepada Inggeris tentang pertemuannya dengan beberapa
pembesar Jepun semasa dia melawat negara matahari terbit itu pada tahun
1935-36. Datuk Abdullah belayar ke Jepun dengan kapal Hisibu Maru dari Singapura dan berada di negara itu selama tiga
bulan sebelum mengunjungi Shanghai, negeri China. Katanya kepada Muhammad
Yusuf, “Kalau ada sesiapa tanya apa kita buat di Jepun, cakapkan kita pergi
berehat dan bermain golf.” Tidak pasti kenapa Datuk Abdullah mahu merahsiakan
kunjungannya ke Jepun. Namun, yang jelas semasa di Tokyo, beliau diberi
penghormatan menghadap Maharaja Hirohito.
Semasa berada di Shanghai beliau jatuh sakit dan
terpaksa memendekkan lawatan dan pulang ke tanah air dengan pesawat terbang.
Dia dikatakan menghidap penyakit ganjil dan kesihatannya kian merosot walaupun
telah berubat di Singapura dan Medan. Beliau menghembuskan nafas terakhir pada
tahun 1938 dalam usia 38 tahun.
Nurhalim berpendapat apa pun cacat cela yang ada
pada Datuk Abdullah, namun pandangannya khusus dalam perancangan untuk
pembangunan bangsa Melayu adalah mendahului zamannya. Kewibawaannya amat dirasakan.
Bukan sahaja di luar Rembau, tetapi juga di seluruh Tanah Melayu. Ketokohannya
diakui oleh Kerajaan British.
“Ini dapat dilihat dengan anugerah CBI yang
diterima oleh Datuk Abdullah, kurniaan King George V,” kata Nurhalim.
Rencana pengarang akhbar TaksimAuf Malaya keluaran 3 Jun 1933
memberi dedikasi kepada perjuangan Datuk Abdullah sebagai “the ablest Malay
in the Country and has shown by his speeches ... that he is likely to be as
stalwart a champion of the Malays!” Dengan demikian kepergiannya dalam usia
muda itu amat dirasakan. Beliau sedang berada di puncak perjuangan membebaskan
belenggu mental orang Melayu apabila dia kembali menemui Tuhannya.
Bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, Tan Sri Dr.
Muhammad Said pernah menganggap kepergian Datuk Abdullah sebagai satu
kehilangan yang amat sangat kepada Negeri Sembilan. Baginya Datuk Abdullah
adalah “salah seorang daripada putera terbilangnya. Bangsa Melayu pula
kehilangan seorang daripada pemimpin terkemuka mereka pada tahun-tahun 20-an
dan 30-an abad ini.”
Barangkali
Uwan Saadan yang bersuamikan putera Kampung Tanjung, kerabat sepusaka Datuk
Abdullah ini, mempunyai sebab tertentu menjadikannya Datuk Abdullah sebagai
sumber inspirasi perjuangan politiknya ketika usia mudanya dahulu. Dia seperti
melanjutkan perjuangan Datuk Abdullah yang belum selesai.
No comments:
Post a Comment